27 December 2010

Ada yang mengaturnya...

Kasih suci: saya suka cerita humaira tentang soal jawab dia dengan ayah dia, tak berhenti-henti bertanya,sampai kadang-kadang Encik Hisham terkedu tak terjawab


Saya: Mmm… betul tu,sebab kadang-kadang soalan dia tu mencabar dan perlu difikirkan. Kami pun tak terfikir soalan-soalan begitu akan terkeluar dari anak kecil seperti dia.

Kasih suci : Akak, apa surah yang akak amalkan semasa mengandungkan Humaira?

Saya : akak baca sahaja seluruh Al-Quran, tiada surah-surah khusus

Kasih suci : amalan lain kak?

Saya : akak banyak berdoa agar Allah kurniakan anak yang terbaik buat buat kami

Kasih suci : ooo

Saya : Tapi sampai ke saat dan waktu ini, apa yang akak rasa ialah Allah kurniakan anak-anak yang bijak ini bukan dengan usaha akak pun, tetapi kerana rahmat dari Allah

Kasih suci : Alhamdulillah, tapi saya tak faham kenapa akak rasa begitu. Maksudnya macammana? Ada apa-apa yang aneh ke kak?

Saya : jika nak mengharapkan akak dan suami mendidik dia, dia tidak akan jadi sebijak itu. Ada campur tangan Allah dalam pendidikan dia. Kami hanya membantu, selebihnya Allah lah yang mengaturnya

Kasih suci : ooo saya dah faham. Sekarang akak sedang menerapkan dan mengingatkan saya bagaimana menjalankan konsep rendah diri dalam kehidupan. Betul kata akak tu, segalanya ada campur tangan dari Allah.

Saya: kadang-kadang kita selalu rasa sesuatu itu jadi begitu dan begini kerana usaha kita semata-mata. Sedangkan segalanya berlaku dengan izin dan inayah Allah sebenarnya. Bila akak melihat perkembangan dan tumbesaran anak-anak, sungguh ia adalah keajaiban Pencipta. Tidak sanggup rasa hidup tanpa kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t. Tanpa kasih sayang dan rahmat dari Allah yang memberi ilham kepada anak-anak, pasti anak-anak itu tidak pandai menghisap susu tanpa diajar oleh ibu bapanya. Maha suci Allah!


Begitulah perbualan saya bersama seorang rakan di alam maya malam tadi. Saya tidak mengenalinya apatah lagi bertemu dengannya. Beliau pula hanya mengenali saya melalui blog saya dan suami. Walaupun tidak pernah bertemu, saya sudah menganggapnya seperti adik saya sendiri.

Kami selalu berbual tentang Humaira’ yang juga hanya dikenalinya dari cerita-cerita yang kami coretkan di dalam blog kami.

Ketika dia bertanya tentang amalan sewaktu mengandungkan Humaira’ saya jadi malu, kerana tidak ada apa yang saya lakukan. Apa yang saya harapkan hanyalah kasih sayang Allah terhadap anak-anak yang bakal saya lahirkan.

Hari demi hari yang saya lalui, apa yang saya lihat hanya kehebatan dan kekuasaan Allah yang dizahirkan melalui perkembangan dan tumbesaran anak-anak.

Anak-anak yang pandai mengiringkan badan ketika berusia tiga bulan, pandai meniarap ketika lima bulan, mula menjulur ketika tujuh bulan, merangkak ketika sembilan bulan, meniti di bibir-bibir kerusi, seterusnya berjalan di usia sebelas bulan. Aduhai, jika diserahkan kepada saya tugas mendidik mereka untuk melakukan semua ini. Pasti awal-awal lagi saya akan gagal.

Allah yang Maha Bijaksana telah mengilhamkan kepada anak-anak untuk melakukannya pada masa yang tepat dan sesuai. Melalui fasa-fasa yang tertentu dengan penuh tersusun dan teratur. Di situ jelas tergambar ketelitian Allah yang menguasai seluruh alam.

Semakin hari saya semakin kagum dengan Yang Menciptakan anak-anak ini. Mereka membesar dengan sempurna dan bijaksana bukan kerana saya melakukan sesuatu terhadap mereka. Tetapi semuanya itu berlaku dengan ilham dan inayah dari Allah s.w.t. Semakin saya fikirkan dan renungkan, semakin dalam kesyukuran saya terhadap Tuhan yang satu. Semakin anak-anak membesar di hadapan mata saya, semakin banyak saya melihat campur tangan Allah di dalam pendidikan mereka.

Apa yang saya harapkan, Allah akan sentiasa memberi hidayah kepada kami semua untuk menjadi hambaNya yang diredhai. Serta memohon agar Allah sentiasa menunjuki saya dalam saya membesarkan anak-anak di dalam lembayung rahmatNya.

YA ALLAH, KURNIAKANLAH KAMI DARI PASANGAN KAMI PENYEJUK MATA DAN JADIKANLAH KAMI IMAM KEPADA ORANG-ORANG YANG BERTAKWA… Amin Ya Rabbal Alamin…

17 November 2010

Siri Saya Sayang Rasul, Saya Ikut Rasul: Nabi dibelah dada

Nabi Muhammad tinggal di perkampungan Bani Saad sehingga berusia dua tahun. Kemudian, Halimatus Saadiah pun membawa Nabi Muhammad ke Mekah untuk menyerahkannya kepada Aminah.

Walaubagaimanapun, Halimatus Saadiah memohon kepada Aminah agar membenarkannya terus memelihara Nabi Muhammad kerana dia sangat sayangkan Nabi Muhammad dan ingin terus mendapat keberkatan Nabi Muhammad.

Aminah bersetuju, maka Nabi Muhammad pun kembali semula ke perkampungan Bani Saad.

Tidak berapa lama selepas itu.

“Bonda! Bonda! Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!” Jerit saudara susu Nabi Muhammad kepada Halimatus Saadiah. Wajah mereka putih lesi ketakutan.

“Apa! Apakah benar apa yang kamu katakan ini?” kata Halimatus dalam nada yang begitu cemas. Hatinya berdebar-debar, bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada anak susu kesayangannya itu.

“Benar bonda! Tadi ketika kami asyik bermain, datang dua orang lelaki kepada kami lalu memegang dan merebahkan Muhammad. Kemudian mereka belah dada Muhammad!” Cerita saudaranya itu.

Di satu tempat yang lain, Malaikat Jibril sedang mengeluarkan hati Nabi Muhammad.
“Inilah bahagian tempat syaitan bersarang.” Kata Malaikat Jibril

Setelah dicuci dengan air zamzam di dalam satu dulang emas, badan Nabi Muhammad disembuhkan semula dan dibawa semula ke tempat permainan kanak-kanak tadi.

Halimatus Saadiah yang bimbangkan keadaan Nabi Muhammad, segera berkejar ke tempat permainan dan mendapati Nabi Muhammad dalam keadaan yang sangat pucat.

Lantaran peristiwa itu, Halimatus Saadiah memulangkan Nabi Muhammad kepada ibunya Aminah kerana risau jika peristiwa sebegitu berulang lagi. Maka sejak itu Nabi Muhammad pun tinggal bersama ibunya di Mekah.

Siri Saya sayang rasul, Saya ikut Rasul :Keberkatan buat ibu susu yang ikhlas

Di Tanah arab semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, bayi-bayi kecil yang dilahirkan akan disusukan oleh wanita-wanita kampung supaya mereka akan menjadi anak-anak yang kuat, tahan lasak dan dapat menguasai bahasa arab yang betul.

Pada mulanya, Nabi Muhammadi disusukan oleh Suwaibah iaitu hamba Abu Lahab yang telah dibebaskan. Kemudian Abdul Mutalib berusaha mencari ibu susu bagi Nabi Muhammad dari kampung.

Pada masa yang sama, ibu-ibu susu dari perkampungan bani saad datang ke Mekah untuk mencari anak-anak susu. Dikalangan mereka termasuklah Halimatus Saadiah dan suaminya yang bernama Al-Harith bin Abdul Al-Qira atau digelar dengan panggilan Abu Kabshah.

Kelesuan terpancar di wajah Halimatus Saadiah. Kemarau yang panjang di kampung halamannya menyebabkan dia kekurangan makanan. Susunya hampir kering menyebabkan anaknya menangis kelaparan sepanjang malam. Unta-unta pula menjadi kurus kering, tanam-tanaman juga tidak dapat mengeluarkan hasil.

Semasa di dalam perjalanan, keldai Halimatus Saadiah sangat lemah seperti tidak berdaya lagi untuk bergerak. Namun, akhirnya mereka sampai juga ke Mekah.

“Ambillah anakku ini sebagai anak susuanmu.” Ujar Aminah sambil menyuakan Nabi Muhammad kepada ibu-ibu susu yang datang itu.

Semua ibu susu menolak, Halimatus Saadiah juga turut menolak daripada mengambil Nabi Muhammad untuk menjadi anak susuannya

“Jika kita mengambil anak yatim ini sebagai anak susuan, mungkin kita tidak akan mendapat habuan apapun dari datuk atau ibunya.” Begitulah luahan ibu-ibu susu sesama mereka

Sehinggalah semua ibu-ibu susu telah mendapat bayi susu masing-masing. Namun, Halimatus Saadiah masih belum mendapat anak susuan.

“Wahai Abu Kabshah, adakah kita akan pulang tanpa membawa seorang pun anak susuan? Demi Allah, aku mesti mengambil anak yatim tadi.” Kata Halimatus Saadiah apabila dia merasa bahawa dia tiada pilihan lain lagi

“Ambil sahajalah bayi itu, mudah-mudahan Allah akan memberikan keberkatan kepada kita.” Kata suami Halimatus Saadiah

Halimatus Saadiah segera mendapatkan Nabi Muhammad.

Sebaik sahaja Nabi Muhammad berada di riba Halimatus Saadiah, tiba-tiba Halimatus Saadiah dapat merasakan susunya menjadi banyak. Lalu Nabi Muhammad pun menyusu sehingga kenyang dan tertidur. Begitu juga dengan anak Halimatus Saadiah, dapat menghisap susu sehingga kenyang dan tertidur.

Abu Kabshah pula pergi memerah susu unta, unta yang sebelumnya kurus kering tiada susu, tiba-tiba penuh dengan susu. Pada malam itu, setelah sekian lama sentiasa berada di dalam kelaparan, mereka semua dapat tidur dengan nyenyak sekali kerana kekenyangan.

Keesokan paginya, Halimatus Saadiah dan suami pun bergerak menuju ke kampung halaman mereka.

“Wahai Halimatus Saadiah! Tunggulah kami! Bagaimana unta yang semalam tidak bermaya tiba-tiba boleh bergerak laju begini?” Tanya rakan-rakan Halimatus Saadiah kehairanan

“Demi Allah! Hanya Allah yang mengetahui!” Jerit Halimatus Saadiah yang sudah berada dihadapan rombongan

“Demi Allah! Bayi itu pasti ada keistimewaan.” Ulas rakan-rakannya lagi.

Sesampainya mereka ke perkampungan Bani Saad, Halimatus Saadiah terkejut melihat keadaan yang sangat berubah.

“Demi Allah! Aku seperti tidak pernah melihat kampung ini. Dulu kampung ini kering kontang tetapi sekarang segar bugar. Kambing-kambing yang dahulunya kurus kering, tiba-tiba menjadi gemuk dan dapat menghasilkan susu yang sangat banyak. Sungguh! Anak itu benar-benar membawa keberkatan.” Kata Halimatus Saadiah dengan perasaan yang sangat gembira.

Begitulah yang terjadi sepanjang kehidupan Nabi Muhammad di perkampungan Bani Saad. Nabi Muhammad menjadi rahmat kepada suluruh alam dan menebarkan keberkatan kepada seluruh makhluk.

16 November 2010

Siri Saya sayang Rasul, Saya ikut Rasul: Kelahiran yang agung

Bapa Nabi Muhammad bernama Abdullah. Abdulllah adalah anak yang paling baik antara adik-beradiknya. Abdul Mutalib iaitu datuk Nabi Muhammad sangat menyayangi Abdullah.Ibu Rasulullah pula bernama Aminah iaitu wanita yang paling mulia di kalangan wanita-wanita Quraish.

Apabila sampai masanya, Abdullah dan Aminah berkahwin lalu tidak lama kemudian, Aminah pun mengandung.

Ketika Nabi Muhammad baru dua bulan di dalam kandungan ibunya, Abdullah telah wafat di Yatsrib(Madinah) ketika pulang dari berniaga di Syam(Yaman). Maka lahirlah Nabi Muhammad sebagai anak yatim.

Tanggal 12 Rabiul awal Tahun gajah, lahirlah seorang nabi yang ditunggu-tunggu.

“Abdul Mutalib! Abdul Mutalib! Cucumu telah lahir!” Jerit pembantu Aminah memberitahu tentang kelahiran Nabi Muhammad S.A.W

Wajah Abdul Mutalib bercahaya mendengar berita tersebut, lantas beliau mengambil bayi tersebut lalu membawanya ke dalam kaabah untuk berdoa dan bersyukur kepada Allah.

“Aku akan namakan bayi ini dengan nama Muhammad.” Katanya dengan penuh kegembiraan dan penuh yakin walaupun nama tersebut belum pernah digunakan oleh orang Arab ketika itu.

Suasana hari itu sungguh indah, pagi Isnin yang bersinar menerima kedatangan seorang Nabi. Semua orang gembira, bahkan Abu Lahab juga telah membebaskan seorang hambanya yang bernama Thuwaibah kerana terlalu seronok menerima berita tersebut.

Ketika kelahiran Nabi Muhammad juga, terpadam api yang disembah oleh agama Majusi sedangkan api tersebut tidak pernah padam selama beribu-ribu tahun.

Istana Kisra iaitu Istana Raja Parsi juga bergegar menyebabkan empat belas anjungnya runtuh. Runtuhan tersebut menyebabkan Tasik Sawah yang sering sesak dengan para pengunjung tertimbus.

Subhanallah, itulah tanda-tanda kebangkitan seorang Rasul. Kelahiran yang begitu agung, yang bakal melenyapkan sembahan selain daripada Allah.

15 November 2010

Siri Saya sayang Rasul, Saya ikut Rasul: Tahun Gajah yang bersejarah

Rasulullah s.a.w telah dilahirkan pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah. Pada tahun ini telah berlaku satu peristiwa yang bersejarah. Kisah tentang tentera bergajah yang ingin menyerang kaabah.

Pada zaman itu, ada seorang lelaki yang bernama Abrahah. Abrahah berasa sangat irihati terhadap kaabah kerana orang-orang arab sentiasa pergi ke Kaabah untuk beribadat. Abrahah telah membina sebuah gereja di Sana’. Lalu Abrahah pun merancang untuk meruntuhkan kaabah supaya orang-orang arab akan pergi ke gereja yang telah dibinanya. Dia tidak mahu orang arab pergi beribadah di Kaabah lagi.

Abrahah mengumpulkan tenteranya dengan 13 ekor gajah untuk menyerang Kaabah. Tetapi sampai satu tempat bernama Muzdalifah dan Mina, gajah-gajah itu tidak mahu bergerak. Jika dihalakan ke tempat lain gajah itu bergerak, jika dihalakan ke Kaabah, gajah-gajah tersebut terus berhenti dan terus duduk.

Abrahah merasa sangat marah. Dia memukul-mukul gajah-gajah itu supaya ia bergerak untuk menyerang kaabah. Pada masa itu juga, Allah telah menghantar sekumpulan burung-burung Ababil. Burung-burung Ababil itu membawa tiga biji batu. Sebiji diparuhnya, dan dua biji lagi di kakinya. Batu itu sebenarnya adalah batu dari neraka.

Burung-burung Ababil itu telah melemparkan batu-batu dari neraka itu ke atas tentera bergajah. Bila batu-batu itu terkena tentera bergajah, mereka semua hancur. Akhirnya, matilah tentera bergajah. Mereka tidak berjaya menyerang Kaabah kerana Allah memelihara dan memuliakannya.


Pengajaran cerita:

Allah menjaga dan memuliakan Kaabah. Sesiapa yang ingin menyerang dan memusnahkannya pasti tidak akan berjaya.

14 November 2010

Rasululllah umpama bulan

Insya Allah mulai dari hari ini, saya akan memasukkan bahan-bahan tentang Rasulullah. Saya namakan siri ini sebagai  "Saya Sayang Rasul, Saya Ikut Rasul".  Siri ini akan menggunakan bahasa yang mudah agar kita boleh mengajarkannya atau membacanya semula kepada anak-anak kita. Di dalam menulis bahan-bahan ini, saya banyak merujuk kepada buku-buku yang muktabar seperti :


1. Syamail Muhammad S.A.W

2. Al-Raheeq Al-Makhtum

3. Ajarkan anak-anakmu cintakan Rasulullah S.A.W

Mari kita bersama-sama AJARKAN ANAK-ANAK KITA CINTAKAN RASULULLAH. Biar Rasulullah menjadi idola mereka, biar Rasulullah menjadi ikutan mereka kerana Rasulullah adalah sebaik-baik contoh tauladan.

Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini akan dinilai oleh Allah sebagai amal soleh dan saya memohon taufik dan inayah daripada Allah di dalam meneruskan usaha-usaha ini. Doakan saya, jika ada kesilapan atau cadangan, saya amat mengalu-alukannya.

Selamat membaca dan menyampaikannya semula kepada anak-anak, anak-anak murid, anak-anak saudara, anak-anak jiran atau kepada sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai…

Terimalah entry yang pertama ini



Rasulullah umpama Bulan

Rasulullah adalah seorang manusia yang sangat sempurna kejadiannya. Allah menciptakan Rasulullah dengan begitu sempurna. Rasulullah sangat tampan orangnya.


Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidaklah terlalu pendek. Rambut Rasulullah pula ikal, tidak kerinting dan tidak pula terlalu lurus, bahkan rambut rasulullah sentiasa disikat rapi. Rasulullah tidak gemuk, dan wajah beliau tidak terlalu bulat. Kulit Rasulullah pula putih kemerah-merahan.


Rasulullah mempunyai mata yang hitam pekat, bulu matanya lentik, mata Rasulullah sangat cantik!


Rasulullah juga seperti bulan purnama, bahkan lebih indah lagi! Masya Allah!


Pendek kata, Rasulullah sangat tampan! Tidak ada orang yang boleh menandingi keindahan paras rupa Rasulullah.


Rindu betul untuk bertemu Rasulullah…


Ya Allah, muliakanlah kami dengan kecintaan kepada Rasulullah, kekalkanlah kami dengan Nabi yang mulia ini, semoga kami bahagia mendapat syafaat darinya, kemudian kami dapat bertemu dengan Rasulullah di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin…

08 November 2010

Air bah, bukan sekadar musibah

Hujan yang mencurah-curah dan tanpa henti selama beberapa hari telah menyebabkan banjir besar melanda di utara semenanjung. Bermula dari Arau Perlis, kemudian turun ke Changlun, kini kami di Jitra pula ditenggelami air bah. Pagi Isnin, dengan menaiki motor, kami berempat, ayah, Humaira, Khadijah dan saya menaiki motor membuat rondaan dari Taman Tunku Sarina, singgah di Tasik Bandar Darul Aman yang telah bertukar wajah menjadi lautan, meneruskan rondaan hingga ke jalan Wang Tepus yang telah ditenggelami air. Berpatah balik ke Bandar darul aman, masih boleh dilalui hingga ke Alor star.

Rondaan kami terhenti setakat persimpangan lebuh Raya PLUS ke Kuala Lumpur di Bandar Darul Aman. Pulang ke rumah berehat , suami keluar pula bersama rakannya untuk pergi melihat perumahan di taman-taman sekitar Bandar Darul Aman sekiranya ada bantuan yang boleh dihulurkan. Dihati mula memikirkan apakah yang boleh dibuat untuk membantu.

Petang itu sedang kami berbual-bual di atas sofa ruang tamu, Humaira’ yang sudah mula kebosanan kerana terpaksa berkurung lantaran hujan yang tidak henti-henti mula memuntahkan pertanyaan demi pertanyaan buat kami berdua.

“Ayah, kenapa hujan lebat?” Humaira’ memulakan sesi soal jawabnya bertanya tentang fenomena alam yang telah dialaminya sejak beberapa hari lalu.

“Sebab air di awan tu banyaaaak sangat!” Jawab si ayah sambil mengerling ke arah anak kecil itu.

“Macammana pula boleh banjir?” Humaira bertanya lagi, mungkin teringatkan keadaan banjir ketika kami meronda pagi tadi.

“Mmm bila hujan lebat dan air turun terlalu banyak, air sungai akan melimpah keluar, sebab tu lah jadi banjir. Sungai dah tak muat nak tampung air yang banyak tu.” Jawab ayahnya lagi

“Oooo ye ke…” Humaira’ menjawab diiringi dengan anggukan

“Humaira nak tahu? Selain daripada air terlampau banyak dan sungai tidak mampu menampungnya lagi lalu terjadi banjir, sebenarnya Allah sedang mengajar kita sesuatu.” Ulas saya yang sejak tadi hanya mendengar perbualan Humaira’ dengan suami saya.

“Haa?” Humaira’ membulatkan matanya memandang saya, mungkin tidak berapa faham dengan kenyataan saya tadi

“ Begini, banjir yang berlaku sebagaimana yang kita tengok pagi tadi bukanlah sekadar banjir atau hanya disebabkan hujan yang lebat. Tetapi sebenarnya, Allah hendak menunjukkan kekuasaan dan kehebatannya yang boleh buat apa sahaja. Allah boleh tenggelamkan manusia di dalam banjir, Allah boleh hanguskan kita dalam letusan gunung berapi. Semuanya Allah boleh buat jika Allah mahu.”

“Humaira ingat tak tentang cerita Kaum Nabi Nuh yang dilanda banjir tu?” Saya cuba mengaitkan kejadian yang sedang dialami di Jitra dengan kisah-kisah yang boleh diambil sebagai tauladan.

“Mmm tak ingatlah, yang mana ya?”

“Alaaa, yang ibu beli cd dulu tu…”

“Mmm tak ingatlah… Macammana ya ceritanya?”

“Pada zaman dahulu, ada seorang Nabi. Namanya Nabi Nuh. Nabi Nuh cuba berdakwah kepada kaum dia supaya beriman kepada Allah. Nabi Nuh ajak kaum dia sembah Allah, tetapi kaum dia taknak dengar pun ajakan Nabi Nuh tu. Malahan, mereka mencaci dan mengejek-ngejek Nabi Nuh. Mereka sombong sangat. Mereka kata Tuhan Nabi Nuh tak ada kuasa, mereka kata patung-patung yang mereka sembah itu lebih hebat dari tuhan Nabi Nuh.”

“Walaupun Nabi Nuh dicaci dan diejek, tetapi Nabi Nuh tetap sabar dan terus-menerus mengajak kaum dia menyembah Allah, malangnya mereka taknak juga sembah Allah, mereka tak mahu dengar langsung ajakan Nabi Nuh itu.”

“Setelah sekian lama mengajak manusia menyembah Allah, Nabi Nuh merasa sangat sedih sebab tak ramai dari kaumnya yang mahu menyembah Allah. Nabi Nuh sedih dan meminta Allah memberi peringatan kepada kaumnya. Lalu, Allah pun menyuruh Nabi Nuh buat sebuah kapal yang sangat besar.”

“Semasa Nabi Nuh membina kapal tersebut, semua orang ketawakan dia, mereka gelakkan Nabi Nuh sebab buat kapal atas bukit. Pada satu pagi, bermulalah hujan yang sangat lebat mencurah-curah ke bumi, setelah hujan bebarapa hari, banjir pun terjadi. Banjir tu lebih besar dari banjir di Jitra macam yang kita tengok tadi. Airnya banyak sampai tinggi gunung! Akhirnya semua orang yang tidak mahu menyembah Allah tenggelam di dalam banjir besar itu. Semua orang yang sembah patung mati lemas.”

“Mereka tak naik ke kapal yang Nabi Nuh buat tu ibu.” Tanya Humaira’

“Mmm tak boleh, hanya orang yang sembah Allah sahaja boleh naik kapal tu, orang yang sembah patung tak boleh naik.”

“Jadi, kita mesti sentiasa sembah Allah, mesti ikut apa yang Allah kata. Mesti buat baik sentiasa, tak boleh buat jahat.”

“Allah juga nak mengingatkan manusia supaya jangan sombong, jangan buat apa yang Allah tak suka. Jika kita ingkar, Allah Yang Maha Kuasa boleh menenggelamkan kita bila-bila masa sahaja. Sekelip mata Allah boleh buat rumah kita tenggelam.”

“Dengan banjir juga mungkin Allah nak ampunkan dosa-dosa kita. Jadi kita kena banyak bersabar kalau berlaku banjir di kawasan kita. Tak boleh marah-marah. Bagi kita yang tak tenggelam ni, mesti banyak membantu orang-orang yang terlibat dengan banjir.”

“Ooo macam tuuu… Nak tolong macam mana ibu?”

“Kita tolonglah ikut kemampuan kita, kita tolong basuh rumah mereka, beri mereka pakaian yang elok-elok, beri makanan ataupun kita tolonglah apa-apa yang patut.”

“Mmm kalau macam tu esok Humaira’ nak pergi tolong basuh rumah orang banjir boleh ibu?”

“Mmm… Biarlah ayah sahaja yang tolong basuh dengan kawan-kawan ayah. Humaira’ tolong ibu masak untuk ayah dan kawan-kawan ayah boleh?”

“Haaa… Boleh! boleh!”

Hujan yang turun petang itu, menambah lagi kebimbangan kami. Kami terputus hubungan, nak ke Bandar Jitra tidak boleh, nak ke Alor Star pun tak boleh. Namun saya amat bersyukur kerana tidak diuji dengan ujian berat ini. Bagi yang terlibat dengan banjir, bersama-sama kita ingat hadith Rasulullah yang bermaksud :

" Ajaib sungguh urusan orang2 yang beriman,semuanya adalah baik. Sekiranya dikurniakan nikmat dia bersyukur,tiada balasan bagi orang yang bersyukur kecuali syurga. Dan sekiranya dia ditimpa bala bencana, dia bersabar. Dan tiada balasan bagi orang yang bersabar kecuali syurga". Mafhum hadis rasulullah..

28 October 2010

Masa untuk bekerja!

Perit sungguh jiwa saya apabila saya terbaca satu laporan yang mengatakan bahawa perancangan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.


Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, ETP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Saya beristighfar panjang. Dangkal sungguh cadangan tersebut. Hanya kerana inginkan dunia, manusia sanggup menggadaikan akhiratnya.

Tidak cukupkah lagi dengan gejala sosial yang makin sukar dibendung? Tidak cukupkah lagi dengan pembuangan bayi yang tidak terhitung? Tidak cukup lagikah remaja-remaja yang hamil luar nikah?

Bagi umat Islam di Malaysia, marilah sama-sama kembali kepada cara hidup islam. Tinggalkanlah cara hidup yang berpaksikan yahudi dan nasrani. Muhasabahlah kembali, adakah kita sudah menjadi muslim yang sejati.

Akhir-akhir ini pelbagai peringatan dari Allah di dalam bencana-bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Banjir besar, letusan gunung berapi, goncangan gempa bumi, tsunami yang menenggelami, dan seribu satu macam lagi ancaman-ancaman yang telah diberikan. Usahlah kita menjadi manusia yang sombong lagi lalai. Kembalilah segera, bertaubatlah kita kepadaNya.

Bagi para Da'ie, sekarang waktu untuk kita bekerja, telah berlalu waktu lena, sesungguhnya tugas yang tergalas dibahu terlalu berat untuk kita pikul. Namun, Allah pasti akan menghitungnya.

":Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo`a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir".

26 October 2010

Adik suka, kakak gembira!

“Aaaaaah… Aaaaah… Aaaaah…” Adik khadijah menjerit sambil jari kecilnya menarik-narik gula-gula lollipop yang sedang di pegang kakak Humaira’.


“Ni kakak punya!” Humaira’ menjerit dan menarik kembali gula-gula lollipop kesukaannya yang dibeli suami saya yang berjanji setelah dia berjaya pergi solat subuh di surau pagi tadi.

Sorong tarik, sorong tarik. Adegan itu tidak berhenti kerana tiada siapa mahu mengalah. Adik khadijah menarik sepenuh hati sambil mengetap bibir. Bersungguh-sungguh benar dia untuk memenangi perebutan itu. Kakak pula mula mengeraskan tangan, juga tidak mahu tewas dengan tarikan adik Khadijah.

Ayah hanya melihat sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Mmm kenapalah abang beli satu sahaja lollipop tu? Lain kali ayah belilah dua, kan anak kita dah ada dua…” Saya mengomel

“Itu la… abang pun tak terfikir pula nak beli dua. Dah janji dengan Humaira, ayah beli satu sahaja la… Aduhai silap la pula… Ibu selesaikanlah, ayah tak reti dah ni” Keluh suami saya dengan kerutan yang sengaja dibuat di dahi

“Ish, ish, ish budak-budak ni!” bentak saya dalam hati. Otak saya ligat mencari jalan supaya wujud situasi menang-menang untuk mereka berdua.

“Ahah! Sudah datang satu idea!” Jerit saya di dalam hati

“Baiklah anak-anak ibu, beri kepada ibu gula-gula lollipop itu. Ibu nak buka pembalutnya” Saya menghulurkan tangan meminta gula-gula lollipop tersebut. Masing-masing memandang ibu tanpa ada reaksi, lalu menyambung semula acara tarik menarik tadi. Adik menangis, kakak yang tidak mahu kalah juga menangis. Mungkin sama-sama mahu menarik simpati. Suasana menjadi gamat dengan jeritan mereka berdua.

“Perlu lakukan sesuatu supaya mereka pandai berkongsi!” Detik hati saya

“Kakak, kakak sayang adik kan?” saya bertanya.

Angguk tidak, geleng pun tidak, mungkin bimbang jika saya akan mengambil gula-gula tersebut dan memberi kepada adik semuanya sedangkan di dalam kepala saya, ada perancangan lain.

“Macam ni, kita kongsi ramai-ramai gula-gula lollipop ni, Kakak Humaira’ dapat, adik Khadijah pun dapat. Okey tak?” Saya berbisik ke telinganya.

“Cepatlah sayang! Ibu buka plastik tu lepas tu kita kongsi sama-sama. Sharing is caring!” Saya berkata dengan penuh ceria kepadanya. Sedangkan adik, masih dengan tangisan mahukan gula-gula tersebut. Mmm apalah yang Khadijah faham dalam usia setahun, yang dia tahu hanyalah mahukan apa yang dia nampak itu.

Setelah dipujuk beberapa kali, akhirnya Humaira’ mengalah juga untuk memberi kepada saya gulu-gula lollipop berwarna merah itu. Sementara saya membuka pembalut plastik, adik khadijah terus-terusan menjerit mahukan gula-gula, Humaira’ pula menanti penuh sabar tetapi dengan wajah penuh kebimbangan. Bimbang akan kehilangan gula-gula kegemarannya itu.

“Baiklah! Sekarang masa untuk berkongsi, setiap orang akan dapat hisap lollipop ni, ibu kira sampai lima, lepas tu kena bagi orang lain pula. Faham?” saya menerangkan peraturannya dan bertanya kepada kedua anak-anak saya itu. Walaupun Khadijah masih kecil dan mungkin belum memahami apa yang saya katakana, tetapi dia akan faham melalui perbuatan saya sebentar sahaja lagi.

“Humaira’ pegang lollipop ni, ibu akan kira sampai lima tau! Bila dah lima kakak bagi adik pula, lepas tu kakak pula, lepas tu adik, kakak, adik, kakak. Boleh?” Sekali lagi saya menerangkan kepada anak kecil saya itu dan bertanya persetujuannya.

Humaira’ mengangguk dan tersenyum

“Satu, dua, tiga, empat, lima. Okey bagi kepada adik pula.” Humaira’ yang sedang asyik menghisap lollipop teragak-agak ingin menyuakan gula-gula itu kepada adiknya. Saya pegang tangannya dan memasukkan lollipop ke mulut adik.

“Satu, dua, tiga, empat, lima. Giliran kakak pula.” Saya menarik lembut lollipop dari mulut adik. Adik Khadijah menjerit tetapi saya tidak hiraukan, biar dia belajar untuk berkongsi

“Satu, dua, tiga, empat, lima, adik pula.” Saya tarik dari mulut kakak masuk ke mulut adik, dari mulut adik ke mulut kakak dan begitulah seterusnya. Walaupun pada mulanya agak sukar, tetapi lama-kelamaan setelah mereka memahami bahawa setiap orang akan terima gilirannya, masing-masing berkongsi dengan penuh keseronokkan dan penuh harmoni. Wah! Seronoknya bila dapat sama-sama mengecapi apa yang disukai! Adik suka, kakak gembira…



Mutiara buat ibu bapa

Pertelagahan antara anak-anak memang lumrah di dalam kehidupan berkeluarga. Kita sebagai ibu bapa harus bijak di dalam menanganinya supaya setiap anak pandai untuk bertolak ansur dan bertimbang rasa. Tidak perlu tindakan kekerasan, hanya perlu kreatif untuk menyelesaikan pertelingkahan. Ibu bapa akan lega, anak-anak pun tidak terluka hati dan perasaan mereka.

24 October 2010

Kita sedang membina insan

“Kak, macammana saya nak buat dengan anak-anak saya, dah lah degil, buas dan lasak pula tu. Ya Allah… penat sangat rasanya, nak marah, pukul dan tengking pun tak guna dah kak. Kalau dengar pun dua saat je, lepas tu dia buat semula.. macammana ya kak” Keluhan yang maha berat itu keluar satu persatu dari bibirnya. Matanya memandang jauh ke dada tasik seolah-olah meminta simpati sang camar yang berterbangan agar membawanya bersama menjelajahi angkasa supaya dapat meringankan sedikit beban di fikirannya.


Ketenangan yang terpancar petang itu, adalah lantunan daripada ketaatan dan zikir dari pohon-pohonan, tasik nan terbentang, sang burung dan lain-lainnya. Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Lantaran tasbih dan ketaatan apa yang di langit dan dibumi itulah, kami tika ini bagai tenggelam di dalam rahmat ilahi, tenang dibuai hembusan angin yang sedang menunaikan janji kepada tuhannya.

“Anak saya tu baru berumur tiga tahun, tetapi tak nak dengar kata saya. Tak retilah nak buat macammana.” Keluhan itu mengembalikan semula saya dunia nyata.

“Jadi apa yang ina harapkan dari anak kecil itu?”

“Saya naklah dia ikut cakap saya, jangan nakal-nakal, saya balik kerja dah lah penat, nak kemas rumah lagi, nak memasak lagi, lepas tu dia buat perangai dan macam-macam. Tu yang saya tak tahan, dia tak faham ke yang saya ni penat? Sekejap nak itu, sekejap nak ini, naik angin juga saya dibuatnya!” luah Ina lagi.

“Kak, bantulah saya kak, saya tak mahu keadaan ini berterusan. Saya sayangkan anak-anak saya!”

Sudah menjadi lumrah ibu bapa, inginkan anak-anak yang mendengar kata. Bak kata orang, anak yang sejuk dikandung ibu. Namun sejauh mana usaha kita untuk menjadikan mereka penyejuk mata kita?

“Ina, tahniah akak ucapkan kerana ina bersungguh-sungguh mencari penyelesaian untuk masalah anak-anak ini. Dan bersyukurlah kepada Allah kerana Allah mengurniakan hati yang sensitif kepada kita tentang tabiat negatif anak-anak.”

“Begini Ina, anak-anak sebenarnya sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Di dalam menangani masalah anak-anak, apa yang perlu kita lakukan bukan mencari apa yang anak kita lakukan, tetapi kita perlu melihat bagaimana kita melayani mereka. Cubalah kita bayangkan, bila kita bekerja, pagi-pagi lagi kita dah hantar mereka ke nursery atau tadika. Petang baru kita ambil. Setelah seharian kita tinggalkan mereka bersama dengan orang lain, bila balik kita sibuk dengan kerja-kerja rumah pula. Jadi bilakah waktunya mereka boleh dapatkan kasih sayang kita?”

“Ina, sebelum anak-anak menderhakai kita, sebenarnya kitalah yang terlebih dahulu menderhakai mereka. Bila balik ke rumah, yang keluar dari mulut kita biasanya “Kak Long pergi mandi sekarang!” “Kak Long makan!” “Kak Long itu! Kak Long ini!” Semuanya arahan dan suruhan. Bila anak-anak tak ikut, mulalah suara kita akan meninggi. Hakikatnya, anak-anak itu masih kecil ina. Tidak semua arahan dan suruhan kita akan dibuat serta merta. Dia sedang belajar tentang kehidupan. Dia sedang belajar mengutip pengalaman."

Ina hanya mampu mengangguk lesu, mungkin mengakui itulah yang terjadi saban hari di rumah. Wajahnya tertunduk ke bawah, ada nada keluhan di dalam nafasnya.

“Anak-anak kecil seusia itu sebenarnya sedang membina perasaan, jika kita sebagai ibu bapa hanya suruh itu, suruh ini, bila tak buat dimarah-marahi, takut-takut nanti kasihnya bukan lagi pada kita. Tapi kepada orang yang lebih prihatin padanya. Masa kecil ni mungkin dia akan mengadu pada kita. Tapi cuba bayangkan bila dia dah semakin meningkat remaja. Ada rakan taulan yang lebih kasih dan mudah berkongsi rasa, pasti jiwa mereka lebih cenderung kepadanya. Pada masa itu, ibu bapa hanyalah sebagai orang asing. Bukan tempat berbahagi masalah, bukan lapangan menenangkan hati yang resah. Jika dilanda masalah, akan diadu kepada orang lain yang dianggap lebih mengasihi dan memahami. Masa itu, sukar untuk kita mendekati mereka."

“Cuba kita tanya pada diri kita, dalam sehari berapa kali kita peluk dia, berapa kali kita bertanya masalah dirinya, berapa kali kita bertanya apa yang dia perlukan daripada kita, berapa kali kita berbual-bual dengannya? Berapa kali? Seringkali yang kita fikirkan hanyalah penat lelah diri kita, hakikatnya anak-anak tak tahu yang ibu dan ayahnya letih. Yang mereka tahu, mereka mahukan perhatian kita. Sebagai ibu bapa kita kena banyak sabar. Jika kita penat, ketepikanlah dahulu perasaan-perasaan itu. Tumpukan kepada manusia di hadapan kita yang lebih memerlukan kita. Anak-anak perlukan kita sebagai rakannya. Jika kita dapat membina kepercayaan mereka kepada kita, Insya Allah kita akan dijadikan tempat rujukan. Apa jua yang melanda diri mereka, kita adalah orang pertama tempat meminta nasihat."

“Merujuk kepada anak-anak Ina yang tidak mahu mendengar kata itu, sebenarnya mereka hanya ingin menarik perhatian ina dan suami. Walaupun perhatian yang diterima hanyalah marah dan tengking kita, atau tampar dan cubit kita. Mereka tidak kisah asalkan kita memberi focus kepada mereka dalam apa cara sekalipun. Mungkin kalau mereka berkelakuan baik kita buat tak tahu sahaja, jadi dia akan melakukan sesuatu agar perhatian kita terarah kepadanya. Walaupun, caranya dengan bergaduh dengan abang atau adik dan sebagainya. Mendidik anak-anak tidak perlukan kekerasan, tidak perlu kepada tinggi suara…”

Saya maraut dan mengusap-usap tangannya. Saya pandang dia dan dia membalasnya. Jelas, matanya berkaca-kaca.

“Betul tu kak, biasanya apa yang akak katakan tadi memang selalu berlaku di dalam hidup kami sekeluarga. Balik penat, suruh anak itu dan ini, bila tak ikut dimarah-marah, Ya Allah, apalah yang telah saya lakukan kepada anak-anak?” Suaranya bergetar menahan tangis yang berat di dalam jiwa.

“Jadi apa yang perlu saya lakukan? Masih belum terlambat bukan?” Dia bertanya, air mata yang sedari tadi diempang akhirnya melimpah juga.

“Insya Allah masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan lagipun anak-anak ina masih kecil. Apa yang perlu Ina lakukan, pertama sekali, mohonlah keampunan daripada Allah s.w.t atas kelemahan kita yang lalu dalam mendidik anak-anak. Mohon sungguh-sungguh dengan Allah supaya Allah tunjukkan kita jalan untuk mendidik anak-anak yang diredhaiNya.”

“Yang kedua, Ina dan suami mesti ingat bahawa anak-anak amat memerlukan kasih sayang kita. Tunjukkanlah kasih sayang kita kepada mereka, peluklah mereka sentiasa, sekurang-kurangnya empat kali sehari lebih baik kalau dua belas kali, katakan juga kepadanya bahawa kita sangat-sangat sayangkan mereka. Luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak samaada dengan bermain bersama, makan sambil berbual-bual bersama, berkebun bersama, memasak bersama, berbasikal bersama, jogging bersama atau apa juga aktiviti yang menyeronokkan. Jika mereka buat perangai, tanya dia jika kita boleh membantu dia menyelesaikan masalahnya. Biasanya, anak-anak tidak pandai untuk bercerita apa yang sedang dialaminya, sebab tu dia cuba menunjukkan ketidak selesaannya. Jadi kita perlu sentiasa bertanya apa yang dia mahukan.”

“Jika mereka melakukan kebaikan, pujilah kebaikan mereka itu seolah-olah kebaikan itu amat besar maknanya kepada kita. Jika dia masukkan baju kotor di dalam mesin basuh sebagai contoh, mungkin Ina boleh katakan kepadanya “Masya Allah, solehnya anak ibu hari ni, masukkan baju dalam mesin, Ya Allah, ibu sayang adik hari ini, terima kasih ya sebab masukkan baju ke dalam mesin.” Kemudian peluklah dia. Berikan ganjaran atas perbuatan baiknya itu. Pelukan itu pun sudah cukup sebagai ganjaran”

“Boleh ke anak-anak dengar cakap kita kalau kita asyik berlembut sahaja?” Tiba-tiba Ina bertanya, matanya tepat menala ke mata saya.

“Insya Allah… Ina tahu tentang kisah Rasulullah bukan? Dakwahnya sangat lembut. Bahkan baginda juga menganjurkan supaya umatnya menggunakan kaedah secara baik dan lembut terhadap anak-anak. Di dalam Al-Quran pun Allah suruh kita berlemah lembut, jika kita bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari kita. Kita kena banyak maafkan mereka dan berbincanglah dalam menyelesaikan masalah.”

Saya teringat ayat Allah di dalam surah ke tiga ayat 159

“Jika dia melakukan sesuatu kesalahan, jangan cepat-cepat marah atau pukul dia. Alangkan kita yang sudah dewasa ini pun selalu membuat kesalahan, inikan pula si dia yang masih kecil dan belum matang itu. Nasihati dia penuh kasih sayang. Jika dia pukul adiknya sebagai contoh, katakan padanya, “Sayang tak boleh pukul adik tau. Allah tak suka, ibu dan ayah pun tak suka, lagi pun kasihan adik, sakit adik, tak nak pukul adik lagi ya. Abang soleh kan?” Satu perkara yang perlu kita ingati, janganlah kita sangka dengan sekali nasihat sahaja anak-anak akan terus jadi baik. Ia tidak semudah itu kerana kita sedang membina jiwa manusia yang ada nafsu dan akal, bukan robot yang boleh diprogramkan mengikut spesifikasi yang kita mahukan. Ulangilah nasihat-nasihat seperti ini. Kita perlu ulang nasihat ini pada waktu-waktu yang mana anak-anak boleh menerimanya seperti sebelum tidur, selepas mandi, selepas solat, selepas makan dan ketika anak sedang tenang. Jangan biasakan marah dan menengking anak, jika sudah terbiasa nanti, kita marah pun dia dah tak rasa apa-apa lagi.”

“Jadi kita tak boleh pukul anak-anak ya kak?”

“Boleh, tetapi ia adalah yang terakhir setelah apa yang akak katakana tadi kita dah buat. Tetapi… Akak pernah membaca buku Profesor Dr Saedah Siraj yang bertajuk Pendidikan anak-anak. Dia kata sekatan kepada harga keseronokan merupakan hukuman paling berkesan dan baik untuk mendidik anak-anak.”

“Apa harga keseronokan? Ish! Tak pernah dengar la pula. Apa tu kak?” Dia bertanya, hairan agaknya dengan istilah itu, dengar pun tak pernah bagaimana pula nak melaksanakannya?

“Begini di dalam usia anak yang masih rebung, kita disarankan mendidik mereka dengan kaedah nasihat dan menyuruh anak-anak secara baik, tanpa marah atau memukul. Sekiranya mereka tidak melakukan apa yang ibu bapa suruh, ibu bapa boleh mengambil salah satu dari langkah-langkah sekatan terhadap harga keseronokan yang akak sebut tadi.”

“Apa langkah-langkahnya?” tak sabar gayanya ingin mengetahui.

“Pertama, melarang mereka bertemu kawan-kawan. Kedua, menyekat mereka dari bermain dan yang ketiga menyekat mereka daripada mendapat perhatian ibu bapa, kita menyekat mereka dalam beberapa waktu yang tertentu dan tidak begitu lama.” Jelas saya panjang lebar

“Ooo… begitu rupanya. Mmm banyak sungguh kesilapan saya dalam mendidik anak-anak. Saya ingatkan dengan marah dan hukuman tu dapat mendisiplinkan mereka. Rupa-rupanya banyak lagi cara lain yang lebih baik. Nampak sangatlah, yang bermasalah bukan anak-anak, tetapi ibu bapa seperti saya ni. Insya Allah, lepas ni saya akan cuba laksanakan saranan-saranan akak tadi. Kak! Jom kita balik! Tak sabar rasanya saya nak peluk anak-anak saya tu!”

“Okey! Tapi ada satu lagi yang paling penting!”

“Eh! Ada lagi?”

“Ya laaa… selain daripada kita usaha, perkara yang paling penting ialah ibu bapa mesti doakan anak-anak. Jangan hanya berdoa “ Ya Allah, jadikanlah anak-anakku soleh dan solehah.” Tetapi kita perlu berdoa secara yang lebih spesifik seperti “Ya Allah, jadikanlah anakku Aiman orang yang rajin solat, jadikanlah dia orang yang rajin belajar, jadikanlah dia anak yang berbakti kepada ibu bapa dan jadikanlah dia penyejuk mata kami.” Bukankah doa ibu itu doa yang mustajab? Jadi mari kita serahkan anak-anak kita kepada Allah yang memegang hati-hati manusia. Kadang-kadang kita ni sombong dengan Allah, doa pun tak mahu. Jika ingin lebih baik, kita doa kuat-kuat selepas solat berjemaah bersama supaya anak-anak kita dengar, insya Allah lembut hati mereka ketika mendengar doa kita itu. Akak, kalau Humaira’ tu buat sesuatu yang akak tak suka, akak akan berdoa kuat-kuat supaya dia dengar, insya Allah lepas-lepas tu dia akan berubah dengan cepat.”

“Masya Allah kak! Saya rasa seperti sebiji batu besar yang menghempap dada saya sejak sekian lama sudah terlepas dari saya. Jom! Tak sabar saya nak jumpa anak-anak ni!” Dia berkata dengan penuh semangat. Ditariknya tangan saya menuju ke tempat parkir dengan wajah yang berseri-seri.

Moga ada sinar selepas ini, dan semoga anak-anak kami akan menjadi manusia yang hebat dan soleh, yang akan menjadi khalifah terbaik di muka bumi. Amin Ya Rabbal Alamin…

23 October 2010

Iktibar dari Taif

“Uwaaaaa… Uwaaaa… Ibuuuuuuu…” Raungan humaira’ bergema menerobos ke pendengaran saya yang sedang sibuk memasak di dapur. Lantas saya meluru ke pintu hadapan mendapatkannya. Hati saya berdegup kencang, sedang dalam fikiran sedang menepis tanggapan-tanggapan negatif yang berkunjung menyapa minda.


“Ya Allah! Kenapa ni sayang?” Saya terjerit kecil tatkala Humaira’ terhencut-hencut menghampiri saya. Kelihatan seluar panjang berwarna jingga yang dipakainya sudah terkoyak di lutut. Lututnya berdarah, ada kesan geseran dengan jalan tar. Rembesan airmata makin deras berguguran sepeti hujan lebat yang turun selepas kemarau panjang.

“Huuuu…Huuuu…Huuu… Sakiiiiit….” Dia menangis kesakitan. Ditunjukkan pula telapak tangan yang bercalar balar kerana terseret di atas jalan. Melekat juga pasir-pasir halus di celahan luka-luka tersebut.

“Astaghfirullah… Humaira’ jatuh di mana ni?” Tubuh kecilnya itu saya dakap penuh kasih sayang. Saya usap belakang badannya. Dia masih menangis kesakitan.

“Humaira’ jatuh basikal depan rumah Ayong… Huhuhu… Humaira’ nak pusing depan tu, tiba-tiba Humaira’ jatuh… Lutut Humaira’ sakit, tangan ni pun sakit… Huk… Huk…” Jelas Humaira’ dalam sendu yang masih ada. Mungkin sudah tenang sedikit selepas didakap saya tadi.

“Ooo begitu, Kasihan sungguh anak ibu… Jom kita masuk ke dalam, kita basuh luka ni, kita mandi dulu, kemudian ibu sapukan minyak gamat ya… Sebelum tu, Humaira’ minum air dulu, bagi lega sikit sakit tu.” Saya menariknya ke dapur dan menuangkan air kosong kepadanya. Menurut pakar perubatan, orang yang mengalami kemalangan akan terhidrasi. Jadi kita perlu memberi mangsa kemalangan air minuman bagi mengembalikan bendalir di dalam badan.

Humaira’ menangis dan meraung-raung ketika saya membersihkan lukanya. Humaira’ memang jenis yang tidak tahan sakit dan manja. Luka sikit pun dia akan menangis, inikan pula luka sebegini. Saya mencari-cari bicara-bicara tarbiyah untuk menjadikan dia lebih tabah mengharungi ujian kehidupan. Saya akan menunjukkan simpati, tetapi saya tidak mahu kemanjaannya itu akan menjadikan dia manusia yang lemah. Saya harus mengajarnya agar lebih tahan lasak. Sudah sunnah orang yang berjuang, pasti akan disakiti dan dilukai. Perkara ini mesti dipasakkan di dalam hati dan jiwanya sejak kecil lagi.

“Sakiiiit… Sakiiiit…” Humaira’ mengaduh ketika saya menyapukan ubat gamat di kawasan yang luka. Bila ditelek-telek, kecederaannya tidaklah teruk sangat.

“Ya sayang, ibu tahu Humaira’ sakit… Sabar ya, sikit saja ni…” Saya cuba memujuk

“Tapi sakit sangatlah ibu... Auch! Auch!” Terjerit dia apabila tangan saya menyentuh kulitnya kerana meratakan minyak gamat.

“Mmm memanglah sakit, tapi kalau kita sabar, Allah bagi banyak pahala tau!” saya memberi motivasi kepadanya agar tidak mengaduh lagi.

“Auch! Auch!” Dia mengaduh lagi

“Humaira’ nak dengar tak cerita berkenaan dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang sabar ketika ditimpa kesakitan?” Saya ingin mencuri tumpuannya yang sekarang ini memfokus kepada kesakitan yang sedang dialami. Mudah-mudahan dia dapat belajar sesuatu dari kisah Rasulullah s.a.w. ini.

“Masa dulu, Rasulullah pun pernah berdarah juga tau!” Ujar saya kepadanya yang masih menelek-nelek tapak tangan yang cedera itu.

“Hah? Rasulullah jatuh juga ke ibu?” Umpan saya nampaknya berjaya, dia memberi respon walaupun matanya masih tertancap pada luka yang masih berlumuran minyak gamat di lutut pula.

“Taaaak… Rasulullah berdarah bukan sebab jatuh, nak dengar cerita macammana Rasulullah baleh berdarah?”

“Nak! Nak!”

“Begini ceritanya, Pada suatu hari, Rasulullah pergi ke Taif. Taif tu nama satu tempat berhampiran kota Mekah. Rasulullah pergi ke Taif untuk mengajar manusia tentang islam. Masa tu, semua orang sembah patung. Boleh tak kita sembah patung?” saya bercerita diselang selikan dengan soalan-soalan mudah.

“Ish.,. mana boleh kan ibu. Kita kena sembah Allah.” Dia menyambut soalan saya

“Betul tu! Kita tak boleh sembah patung, mesti sembah Allah sahaja. Tetapi, pada zaman tu, ramai sangat orang yang sembah patung. Rasululullah pun pergilah ke Taif untuk mengajak manusia sembah Allah. Tiba-tiba! Sampai sahaja Rasulullah di Taif! Humaira’ tahu apa yang orang Taif buat kepada Nabi kita?”

“Dia buat apa ibu?” Dia semakin tertarik dengan cerita saya

“Orang-orang Taif tu, mereka membaling Rasulullah dengan batu. Dah la ramai! Semua baling batu kepada Rasulullah! Berdarah-darah kaki Nabi. Bukan sikit macam Humaira’ tadi, tapi darah tu banyaaak sangat sampai basah kasut Nabi dengan darah! Kasihan Rasulullah kan?” saya menarik simpatinya kepada Rasulullah s.a.w.

“Ya Allah… Kasihannya! Kenapa orang baling Nabi Muhammad dengan batu ibu?”

“Tu lah… Mereka tak suka kepada Nabi Muhammad sebab Nabi Muhammad tak bagi mereka sembah patung. Rasulullah suruh mereka sembah Allah sahaja. Mereka marah, sebab tu lah mereka baling Rasulullah dengan batu. Masa kaki Rasulullah berdarah-darah tu, Rasulullah SABAR sangat! Rasulullah tak mengaduh-aduh pun walaupun kaki Rasulullah sakit. Oleh sebab itu, kalau kita sakit, kita kena banyak sabar. Kita kena jadi orang yang kuat macam Rasulullah.” Saya mengaitkan dengan situasi Humaira’ tika ini yang sedang kesakitan agar dia tahu apa yang dialaminya itu tidaklah sebesar mana.

“Humaira’ nak jadi macam Rasulullah tak?” Saya bertanya lagi

“Nak…” Perlahan sahaja suaranya, seiring dengan matanya yang makin layu.

“Ok kalau Humaira’ nak jadi macam Rasulullah, Humaira’ kena sabar ketika sakit. Tak boleh merungut. Kalau sakit saja Humaira’ kena ingat Allah banyak-banyak dan berdoa, Ya Allah, sembuhkanlah Humaira’.” Saya mengaitkannya dengan pergantungan dengan Allah. Saya memandang wajah mulusnya itu. Dia mengangguk-angguk perlahan, matanya semakin layu dan layu, sedang menuju ke alam mimpi…

“Okey, okey nanti Humaira’ sabar ya…” Katanya dengan suara yang tenggelam timbul, entah sedar atau tidak, hanya Allah yang tahu.

“Tidurlah anakku sayang, moga hari esok menjadikanmu lebih kuat dan lebih tabah berbanding hari ini.” Bisik hati saya sambil mengucup dahi permata hati saya itu.

21 October 2010

Nasi beratur

“Ya Allah Humaira’, sayang nasi tu, makanlah sampai habis…” saya memujuk dia agar menghabiskan nasi lauk sotong masak kicap yang hanya berbaki sedikit.


“Humaira’ tak larat dah ni…” Dia cuba bernegosiasi dengan saya

“Ish kesian lah nasi tu, menangis lah dia nanti.” Saya cuba lagi memujuk. Suami saya yang duduk di sisi Humaira’ sedang khusyuk bersantap.

“Humaira’ takmau la ibu, nasi ni pedas! Haa! Haa!” Dia menekup mulut seperti orang kepedasan

“Eh mana ada pedasnya, sebiji lada pun ibu tak masuk dalam tu. Pedas datang mana pulak?” Saya sudah mula kurang sabar dengan karenahnya.

Humaira’ memang dari kecil lagi susah makan. Buat ini tak mahu, buat itu tak mahu. Kadang-kadang susah hati juga dibuatnya. Macam-macam menu telah dicuba, walau bagaimana sedap sekalipun hanya secubit dua yang sudi masuk ke mulutnya. Seringkali juga saya seperti berperang dengannya semata-mata untuk menghabiskan nasi atau bubur yang cuma suku mangkuk. Mengejarnya ke sana dan ke mari sewaktu makan memang sudah menjadi kebiasaan, Cuma semakin dia membesar kami ajar dia supaya makan di atas meja makan bersama kami, agar lebih mudah diurusi. Nasi yang saya hidangkan kepadanya tadi hanya setengah senduk, itupun mengambil masa yang begitu lama untuk dihabiskan.

“Kalau Humaira’ tak habiskan nasi tu, tak payah pergi main petang nanti.” Akhirnya saya terpaksa mengeluarkan kata-kata ugutan setelah pujukan saya tadi seperti mencurah air ke daun keladi. Wajahnya semakin kelat. Saya buat-buat tak nampak. Di dalam hati saya menahan geram.

“Okey Humaira, kita buat nasi ni beratur lah… Lalalala… Dia beratur nak masuk rumah diaaaa…” Tiba-tiba suami saya bersuara sambil jemarinya mengumpulkan nasi-nasi di dalam pinggan itu menjadi beberapa kumpulan kecil sesuai dengan mulut kecil si Humaira’

“Tolong! Tolong! Saya nak masuk rumah awak juga! Jangan tinggalkan saya!” Suami saya mencubit sesuap nasi yang telah dikumpulkan tadi lalu disuakan ke mulut Humaira’. Humaira yang seronok mendengar lakonan ayahnya yang bersuara halus ala-ala doremon tergelak kecil. Dinganga mulutnya luas-luas untuk menerima suapan dari ayahnya itu.

“Okey yang ni pula! Alamak dia tertinggal pula kawan dia yang nama Kak Tong ni. Cepat! Buka mulut besar-besar saya nak terbang masuk mulut awaaaaakk! Zrooom…” Satu lagi suapan masuk ke mulut Humaira. Humaira melayaninya dengan penuh kegirangan. Tersengih-sengih dia mengunyah nasi yang memenuhi mulutnya.

“Kreatif juga suami saya ni.” Bisik saya

“Baiklah! Sekarang tibalah masanya kumpulan terakhir untuk terbang masuk ke rumah dia… Saya nak jumpa kawan-kawan di dalam perut Humaira’! Aaauuum…” Humaira’ yang telah sedia ternganga menerima kumpulan nasi yang terakhir itu. Licin sudah nasi Humaira’, tanpa paksaan tetapi penuh kegembiraan dia habiskan nasi lauk sotong tengahhari itu.

12 October 2010

Nak tengok Allah, Boleh?

“Ibu, ibu, kenapa kita tidak boleh nampak Allah?” Humaira’ nak tengok Allah…” Suara Humaira menerobos ke pendengaran saya tatkala saya sedang khusyuk menghadam buku motivasi Rich Dad Poor Dad yang telah pernah saya khatamkan sebelum ini. Dia menopang dagunya menanti soalan tersebut dijawab.


Terkejut saya dibuatnya, tiba-tiba sahaja muncul, rasa-rasanya baru sebentar tadi saya mendengar dia sedang bergurau senda dengan suami tercinta. Adik yang sudah lama diulit mimpi, mengeliat kerana kakak tertindih sedikit tangannya. Saya membetulkan baring adiknya dan terus menutup buku yang sedang asyik dibaca. Ini persoalan penting, maka saya mesti melayani Humaira’ terlebih dahulu. Buku tersebut bila-bila masa saya boleh menyambungnya semula.

“Humaira’ nak tengok Allah?” Saya bertanya semula, dia hanya mengangguk dalam keadaan dagu yang masih ditopang.

“Kita tak boleh tengok Allah…” Saya memulakan penerangan

“Kenapa pulak?

“Sebaaaab… Allah itu saaaangat hebat! Manusia tak akan sanggup melihatnya. Humaira’ nak dengar cerita tentang Nabi Musa tak? Nabi Musa pun dulu-dulu nak tengok Allah juga.”

Teringat saya tentang kisah Nabi Musa yang dinukilkan di dalam Surah Al-A’raf ayat 147.

“Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau". Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihat-Ku". Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pingsan. Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertobat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman".

“Nak! Nak! Nak!” Humaira’ menjerit keseronokan.

“Pada satu zaman dahulu, ada seorang nabi, namanya Nabi Musa. Pada satu hari, Nabi Musa teringiiin sangat hendak berjumpa dengan Allah s.w.t. Lepas tu dia pun berdoalah kepada Allah. “Ya Allah, tunjukkanlah diri Engkau ya Allah supaya aku boleh melihatMu.” Begitulah doa Nabi Musa, dia minta nak tengok Allah s.w.t. Tapi… Humaira tahu tak apa yang terjadi selepas tu?” Saya bercerita siap dengan aksi orang yang sedang berdoa. Humaira’ mendengar dengan begitu khusyuk.

“Hah! Pastu macammana ibu?” tak sabar gayanya nak tahu apakah yang terjadi selepas itu.

“Haaa… Selepas Nabi Musa berdoa, Allah pun berkata-katalah kepada Nabi Musa “Wahai Musa, kamu tak akan sanggup melihatKu, cuba tengok gunung itu jika dia tetap sahaja begitu, maka dapatlah kamu melihatKu.” Humaira’ yang teruja, mendekatkan dirinya kepada ku

“Tiba-tiba! Pom! Hancur gunung itu kerana kehebatan Allah s.w.t. Nabi Musa pula pengsan.” Saya menguatkan kesan bunyi agar cerita tersebut lebih berkesan. Tangan saya juga menggayakan seperti sesuatu benda pecah

“Haaaaa!!! Sampai pecah gunung tu?” Ternganga-nganga mulut si kecil itu. Jika ada lalat yang lalu, mungkin sampai ke tekak perginya.

“Iya… Sudah la gunung tu pecah, Nabi Musa pun pengsan sebab tak sanggup melihat Allah yang sangat-sangat hebat itu. Masya Allah… Hebat sungguh Allah!”

“Tidak lama setelah itu, Nabi Musa pun tersedar dari pengsan, selepas itu, dia merasa sangat menyesal kerana memohon kepada Allah perkara sedemikian. Dan Nabi Musa pun bertaubat memohon ampun dari Allah dan dia pun berimanlah kepada Allah s.w.t” Saya menyudahkan cerita tentang nabi musa.

“Ooo… jadi kita tak boleh lah tengok Allah lah ya?” Humaira bertanya lagi

“Boleh! Tapi di syurga la… Masa di dunia ni memang tak boleh.” Saya memberi harapan kepadanya. Biar dia rasa rindu untuk bertemu dengan Allah yang Maha Kuasa.

“Sebab itulah kita kena buat baik banyak-banyak, kena jadi solehah… Selepas itu…” Saya membuat kesimpulan sebelum kami sama-sama masuk tidur, mata pun dah semakin melayu. Tetapi, belum sempat saya menghabiskan ayat-ayat tersebut, Humaira’ menyambungnya.

“Lepas tu, kita boleh masuk syurga dan boleh tengok Allah, Kan ibu?

“Betul tu sayang, kita doa moga kita sama-sama dapat masuk syurga dan boleh tengok Allah sama-sama.” Humaira’ tersenyum berseri-seri dengan harapan yang saya ungkapkan tersebut.

Di dalam hati, saya turut berharap agar kami akan ditempatkan dengan orang-orang mukmin selepas kematian kelak sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Qiyamah ayat 22-23.

“Wajah-wajah ornag mukmin pada hari itu berseri-seri, kepada Tuhannyalah mereka melihat”

23 September 2010

Di mana Allah?


Tasik Darul Aman yang begitu mendamaikan. Bertambah damai bila dapat bersama keluarga...

Kereta Myvi berwarna perak yang sudah banyak calar balarnya saya pandu perlahan-lahan menelusuri laluan di hadapan tasik Darul Aman yang indah. Bagi warga jitra, tasik ini akan menjadi tempat rekreasi yang paling menyenangkan. Tasik yang begitu tenang, ikan-ikan yang berjuang berhabis-habisan tika kami mencampakkan biskut atau roti ke dada tasik, pokok-pokok nan hijau yang memagari di sekelilingnya. Burung-burung yang berterbangan melintasinya. Benar-benar bisa memberi ketenangan dan kedamaian.


Tasik ini juga seringkali mengingatkan kami tentang kehebatan dan kebesaran Allah s.w.t. Ia menjadi kitab yang terbuka untuk ditadabburi. Menjadi bukti akan kebijaksanaan Rabbul Izzati. Namun jika ada pertandingan memancing di Tasik ini, segala pemandangan indah akan direnggut oleh sampah sarap yang bertaburan di bibir tasik. Pedih hati melihat, perit jiwa mengenang manusia yang tidak menghargai alam ini.

Lama sudah kami sekeluarga tidak menjejak ke tasik ini untuk beriadah. Tugasan yang pelbagai mengikat kami dari bersenang-senang menghirup udara yang menyuntik kesegaran ke minda yang berserabut dek beban-beban duniawi.

Sedang saya asyik mengelamun.

“Ibu, Allah duduk di mana?” Suara Humaira menyentuh gegendang telinga saya ketika fikiran saya masih melayang-layang menjelajahi kesempurnaan ciptaan Allah. Ketika jiwa saya meneroka kenangan-kenangan berjogging bersama anak dan suami. Lantas saya menoleh ke wajahnya yang mulus.

Kepala saya yang tadi sedang santai kini terpaksa dipusingkan ke liputan yang lebih serius. Bukan mudah menerangkan konsep aqidah kepada anak kecil sepertinya. Perlukan ketelitian dan kehalusan agar kefahaman yang tertanam dalam jiwa dan akalnya adalah kefahaman yang benar dan mantap.

“Allah ada di mana-mana sahaja sayang.” Saya menjawab ringkas kerana saya tahu akan ada soalan-soalan seterusnya yang akan diutarakan. Tambahan pula otak saya belum ketemu gelombang yang betul untuk membicarakan soal besar ini.

“Allah ada rumah tak ibu?” Seperti yang saya jangkakan, dia tak akan berpuas hati dengan jawapan pendek saya tadi. Matanya terkedip-kedip sambil anak matanya memandang ke atas, meminta diberi pencerahan. Saya diam seketika, menyusun-nyusun ayat agar butir-butir penerangan saya nanti dapat dihadam dengan baik.

Mana mungkin saya bercerita tentang Arasy Allah seperti dalam ayat 59 Surah Al-Furqan ini.

“Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.” 25:59



“Allah tak ada rumah. Allah ada dekat dengan kita sebenarnya.”

Mukanya berkerut-kerut seperti tak berpuas hati dengan jawapan saya itu.



“Dah tuuuu… Kaabah tu kan Rumah Allah. Allah tak duduk kat situ ke?” Dia mengeluarkan pula dalil yang dapat difikirkan oleh kanak-kanak seusia tadika sepertinya.

“Kaabah itu pusat kesatuan umat… Tapi bagaimana nak cerita kepada anakku yang kecil ini ya?” Detik hati saya.

“Memang betul kaabah tu dipanggil sebagai rumah Allah, tetapi Allah kan hebat, Allah tak perlukan rumah macam kita. Kaabah itu arah kita solat. Jadi bila semua orang Islam solat, semua akan menghadap kaabah. Mudah la sikit kaaaan…”Saya mulakan penerangan agar dia lebih faham dengan konsep Kaabah sebagai pusat kesatuan umat.

Si kecil itu memandang ke siling kereta. Hehe tak faham lagi la tu…

“Ok,sekarang cuba humaira bayangkan. Kalau ibu solat menghadap sana, ayah menghadap sini, Humaira pulak menghadap ke belakang… mesti pening! Betul tak?” Terang saya lagi sambil tangan menunjukkan arah-arah yang bertentangan.

“Mmm memang la pening… Boleh ke solat macam tu?” Dia mengiyakan kata-kata saya dan bertanya lagi untuk kepastian.

“Mana boleh solat macam tu, sebab tu Allah perintahkan kita solat menghadap kiblat, jadi tak ada siapa akan gaduh nak menghadap ke mana. Humaira faham tak sekarang ni kenapa adanya Kaabah tu? Kaabah bukan rumah tempat Allah duduk, tapi tempat orang Islam menghadap semasa buat ibadat.”

“Oooo macam tuuuu… Dah tu Allah kat mana?” Dia bertanya lagi, mungkin masih kurang jelas lagi tentang keberadaan Allah.

“Allah ada di mana-mana saja sayang. Dia sangat dekat dengan kita, sebab tu la bila kita berdoa Allah dengar. Bila kita susah, Allah tolong. Bila kita sakit, Allah sembuhkan. Betul tak?” Kereta sudah diparkir dan saya rasa ini ayat penyudah bagi sesi kali ini.

Humaira mengangguk-angguk, lalu menuruti saya membeli belah barang keperluan dapur. Dalam hati saya, saya mengakui bahawa mendidik anak ini sungguh ia satu tugas yang mencabar dan berat. Kadang-kadang saya sendiri terkelu bila disoal dengan pertanyaan yang bertalu-talu. Selalu juga terpaksa saya balas pertanyaannya dengan jawapan ibu tak tahu.

Jika susah ingin melahirkan anak, namun tugas mendidik mereka beribu kali ganda kesukarannya. Tambahan pula, anak yang kita impikan bukan anak yang biasa-biasa tetapi anak yang dapat berbakti kepada dunia dan seluruhnya.

Apa yang pasti, amanah Allah ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti. Hakikat inilah lebih menggetarkan jiwa.

21 September 2010

Tanda syukur

Humaira’ berlari ke sana ke mari mencari-cari permainan yang ingin dimilikinya. Matanya liar memerhati kotak-kotak permainan yang tersusun di atas rak-rak jualan di Toys R Us.




Sekejap-sekejap dia memanggil ibu, bertanya pendapat sesuai tak permainan yang ingin dibelinya. Sekejap-sekejap dia memanggil pula si ayah untuk bertanya perkara yang sama.



Dia sudah mula rambang mata. Bila tengok telefon yang bila ditekan-tekan mengeluarkan bunyi, dia rasa nak beli yang itu. Bila dia melihat meja kanak-kanak, dia rasa nak beli yang itu pula.



“Kakak jangan terburu-buru, tengok perlahan-perlahan, pilih betul-betul...” Saya cuba menenangkan gejolak hatinya. Melihat gelagatnya, seolah-olah satu kedai ingin diangkut balik ke rumah.



“Bang, nak beli mainan apa kat budak-budak ni?” Saya bertanya suami yang juga leka meninjau-ninjau kedai permainan itu.



“Mmm biarlah dia tengok-tengok dulu, bagi dia yang pilih mainan apa yang berkenan di hati.”



Humaira’ terus melilau-lilau di dalam kedai. Sekajap ke depan, sekejap ke belakang. Habis semua rak diteliti, habis semua penjuru dijelajahi.



“Ibu! Ibu! Mai sini sat!” Dia melaung memanggil saya dalam loghat kedah yang agak pekat.



“Ye Humaira’, Kenapa?” Saya pantas ke arahnya kerana malu juga bila dipanggil kuat sebegitu di tempat awam.



“Humaira suka la mainan ni... Humaira nak beli yang ni boleh?” Dia menunjukkan satu kota permainan ‘playdoh’ yang agak besar dan mahal.



“Mahal jugak yang ni, cuba kita tanya ayah, boleh tak Humaira beli mainan ni.” Saya cuba berunding dengannya kerana sebelum ditunjukkan yang ini sudah beberapa cadangannya saya tolak kerana harga yang mencecah ratusan ringgit.



“Ayah... Boleh tak Humaira nak mainan ni... Humaira nak buat burger macam dalam gambar ni. Humaira tak ada lagi mainan macam ni...” Si kecil mula mengeluarkan ayat-ayat ‘cinta’ agar ayahnya sudi memenuhi hajat di hati. Suaranya yang mendayu-dayu memang bisa mencairkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya



“Oooo... Humaira nak yang ni ke.. Apa kata kalau Humaira ambil yang kotak satu lagi ni, yang ni murah sikit, lagipun Humaira’ boleh buat aiskrim kalau beli yang ni.” Melihat harga yang agak mahal itu, ayahnya mengalih perhatian kepada satu lagi kotak disebelah yang lebih kecil dan murah. Masih jenis permainan yang sama.



“Ha! Boleh! Boleh!” Humaira’ melompat-lompat gembira kerana permainan yang diidam-idamkan sekian lama bakal menjadi miliknya sebentar lagi. Dipeluknya mainan itu dan terus sahaja ke kaunter bayaran.



Selesai membayar, kami segera ke kereta untuk terus ke rumah Kak Nani kerana perut yang sudah mula berkeroncong.



“Kakak seronok tak dapat mainan tu?” Saya menoleh ke arahnya sambil memuncungkan mulut ke arah mainan yang masih dipeluknya.



“Seronok! Seronooooook sangaaaaaaaaat!” Teruja benar dia dengan mainan tersebut



“Mmm... Kalau macam tu, kakak kena banyak bersyukur pada Allah. Allah dah bagi kakak mainan ‘playdoh’ tu. Mainan tu cantik, elok, sebab tu la kakak kena banyak syukur kepada Allah” Saya memulakan bicara-bicara tarbiyah buat anak tercinta.



Humaira’ membulatkan matanya, tanda dia kurang faham tentang apa yang saya katakan.



“Kakak tahu tak macammana nak bersyukur?”



“Macammana ibu? Humaira tak tahu la...” Jawab dia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.



“Senang je. Kalau nak bersyukur, kakak kena solehah la. Kakak kena rajin solat, dengar cakap ibu dan ayah, kalau main kongsi dengan kawan-kawan.” Saya cuba menjelaskan konsep bersyukur dengan bahasa mudah sesuai dengan usianya yang baru lima tahun.



“Oooo macam tuuuuu... Boleh! Boleh! Nanti Humaira jadi solehah. Balik rumah nanti Humaira main sama-sama dengan Anis, Alia, Ayong dan Ome.” Humaira tersenyum menyebut satu-persatu sahabat-sahabat baiknya yang juga jiran kami itu. Mungkin dia sedang membayangkan saat-saat manis yang bakal dilalui tatkala membuat asikrim menggunakan permainan yang baru dibelinya tadi.



“Humaira’... Humaira tahu tak...?” saya sekali lagi memancing perhatiannya.



“Tahu apa ibu?”



“Budak-budak kat palestin tu takde pun mainan macam Humaira’ tu?”



“Kesian kat dia orang, tak ada makanan, tak ada mainan, kesian kat dia orang kan?” Saya cuba merangsang pemikirannya agar berfikir tentang kesusahan orang lain juga. Semoga dia tidak tenggelam dalam keseronokan dan kesenangan yang sedang dikecapi olehnya.



“Ha’ah... kesian kat depa kan ibu? Tak ada makanan, tak ada mainan, baju pun tak ada...” Humaira menjawab dengan wajah yang sedih sambil menundukkan kepalanya. Masih dalam pelat kedah.



“Mmm itulah sebabnya kita kena banyak bersyukur. Tak boleh sombong, tak boleh kedekut, kalau kita ada kena kongsi-kongsi dengan orang lain. Allah bagi kat kita bukan untuk kita seorang je, tapi mesti diberi juga kepada orang lain.” Saya menyudahkan sesi tarbiyah saya dengan kesimpulan supaya dia sentiasa berfikir.



Humaira’ mendengar dengan penuh perhatian, kepala diangguk-angguk tanda faham. Moga dia menjadi orang yang sentiasa bersyukur.

Doa dapat bilik

Hari sudah menjelang maghrib. Anak-anak sudah mula meragam dan gelisah lantaran keletihan. Perjalanan yang kami lalui dari Marang, Terengganu ke Tanah Merah di Kelantan cukup perlahan kerana banyaknya lori-lori yang melambatkan pergerakan.


“Ada lagi ke bilik hotel untuk kita ni ye... Maklumlah, sekarangkan musim cuti sekolah, bimbang juga kalau hotel dah penuh, kat mana pulak kita nak duduk ye…” Saya meluahkan kebimbangan hati kepada suami di sebelah.

“Macammana ye Humaira’, kalau kita tak ada bilik? Kita tidur dalam kereta je boleh?” Sengaja saya menujukan soalan itu kepadanya supaya ada tarbiayah yang dapat saya sampaikan kepadanya waktu-waktu senggang begini.

“Haaa! Tidur dalam kereta? Nanti adik nangis macammana?” Dia memang sangat prihatin kepada adik Khadijah. Apa pun masalah yang timbul, pertama yang difikirkan ialah adiknya

“Mmmm kalau begitu, Humaira doa la… Moga-moga Allah bagi kita bilik malam ni. Ni dah nak malam, takut-takut hotel dah penuh. Ibu bimbang la… Humaira doakan ye…” Saya cuba menanamkan rasa pergantungan anak kecil itu kepada Allah s.w.t. Kebimbangan yang saya kongsikan bersamanya disulami dengan mengaharapkan bantuan Allah s.w.t

Walaupun isunya hanyalah mengenai bilik hotel, tetapi saya ingin dalam apa jua keadaan dan situasi, hanya Allah lah yang akan diingati dan diharapkan. Bukan saya, bukan ayahnya atau bukan orang lain selain zat yang Maha Agung.

“Humaira’ dah doa dah!” tiba-tiba suara halusnya memecah gegendang telinga.

“Humaira’ doa macammana? Cuba kakak ulang, ibu nak dengar boleh?” Saya menoleh ke arahnya yang masih menekup jari-jemari ke mulutnya.

“Hi hi hi… Ada laa…” Dia tersengih-sengih. Mungkin malu.

“Macammana Humaira doa kat Allah… Cepat laaa, ibu nak tahu ni…” Saya memujuk. Bukan memaksa tapi saya ingin tahu bagaimanakah bunyinya doa yang dipanjatkan kepada Allah s.w.t.

Setelah beberapa kali memujuk, nyata dia masih malu untuk memberitahu kami. Mungkin perlu guna cara lain.

“Ya Allah… Ada lah bilik hotel untuk kami malam ni…” Saya berdoa dengan suara yang agak kuat agar dia yang duduk dibelakang mendengarnya. Mudah-mudahan dengan itu dia akan memberitahu kami doa yang dimintanya tadi.



“Haaa! Macam tu la Humaira doa tadi!” Nampaknya strategi saya berjaya memancingnya untuk bercerita. Saya tersenyum

“Oooo iye? Humaira doa macam ibu doa ke?”

“Tak la… Humaira doa lain sikit…”

“Lain macammana pulak? Humaira’ doa macammana ek?” Saya tak jemu-jemu ‘menyucuk’ dia

“Humaira doa… Ya Allah, bagilah bilik untuk ayah, untuk ibu, untuk adik dan untuk maira malam ni…” Tulus dan mulus suaranya berdoa kepada Rabbnya. Ikhlas sungguh pengharapan kepada Tuhannya.

Mendengarkan doa yang begitu ikhlas, kami spontan meng ‘amin’kan doanya. Kami terharu.

Kereta terus bergerak laju membelah malam, masing-masing tenggelam dalam keheningan senja. Sekitar jam lapan malam kami sampai ke Tanah Merah dengan harapan yang sama, suami saya singgah di sebuah hotel dan Alhamdulillah doa Humaira’ dimakbulkan Allah.

Ada bilik untuk ayah, ibu, adik Khadijah dan Humaira.

“Humaira’, Alhamdulillah… Berkat doa Humaira’ Allah bagi bilik untuk kita semua. Syukur pada Allah sebab kita tak payah tidur dalam kereta malam ni.” Saya mengingatkan dia untuk terus-terusan bersyukur atas nikmat Allah.

“Alhamdulillaaaaahh…” Humaira’ mengucapkan tahmid dengan wajah yang bercahaya. Senyuman terukir dibibirnya yang indah sambil jari kecilnya meraup wajah…

24 August 2010

Ia pasti diwariskan

Ramai orang mengumpul harta. Ramai orang menyimpan wang berjuta. Ramai orang mencari apa jua yang berharga. Ramai orang lebih cintakan dunia.

Tetapi sedarkah kita semua itu akan kita tinggalkan. Ia pasti akan diwariskan.

Apabila kita meninggal dunia semua akan kita titipkan buat anak, cucu dan cicit kita. Tetapi apakah yang akan tinggal bersama kita?

Jika harta hanya kita kumpulkan untuk menyenangkan hati kita bahawa kita ini kaya raya. Jika harta kita hanya untuk kita bermegah-megah bahawa ia adalah hasil usaha kita. Untuk apa kita punya harta yang tidak terkira banyaknya?

Sedarkah kita ia pasti akan diwariskan. Mahukah kita, harta yang masa hidup kita yang punya, tetapi masa kita mati ia tidak bermakna buat kita sedikitpun. Mahukah kita, harta yang kita kumpul dan himpun itu akan menyukarkan kita di hari perhitungan?

Kalau begitu tak perlulah bekerja, biarlah kita hidup papa kedana. Tidak! Bukan itu maksud saya. Jika kita punya harta, jadikanlah ia sebagai bekalan berguna tatkala tiada siapa yang dapat membantu kita. Jika kita ada wang, infakkanlah agar ia menjadi pemberat amal tatkala ditimbang kelak di hari yang telah ditentukan.

"Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."  (3:180)

Bahkan kita ingin jika apa jua harta yang kita ada di dunia ini bakal membantu kita mewarisi syurga Allah yang tidak tergambar nikmatnya.

"Itulah surga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa." (19:63)

Jika kita merasa bakhil untuk menafkahkan apa yang kita cintai, ingatlah bahawa pemberian kita itu tidak akan menjadikan kita miskin, tetapi kita akan menjadi lebih kaya dan bahagia.

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (2:261)

Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Sungguh ia hanyalah ujian dan amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Jika kita tidak merancang untuk menjadikannya sebagai amal jariah, maka ia hanyalah akan menjadi warisan dari zaman ke zaman.

Apalah gunanya wang berjuta jika jasad kita telah berada di liang lahad? Apalah gunanya tanah berekar-ekar sedangkan kita akan mendiami pusara yang kecil dan sempit? Apalah gunanya anak-anak yang ramai jika hanya menjadi musuh kita di akhirat kelak?

"Dan apa saja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah kamu tidak memahaminya?" (28:60)

Fikir-fikirkan... Renung-renungkan...                         

10 August 2010

Bersediakah kita?

Bersediakah kita untuk menerima tetamu mulia?
Bersediakah kita bertemu dengan sejuta rahmat?
Bersediakah kita untuk berjumpa dengan yang lebih baik dari seribu bulan?
Bersediakah kita untuk menggandakan amal?
Bersediakah kita untuk menahan bukan sahaja lapar dan dahaga, malahan segala yang boleh mengurangkan pahala puasa?
Bersediakah kita?
Atau kita hanya bercita-cita?

Jika Sang Raja ingin bertamu ke halaman kita, pasti persiapannya disediakan berbulan-bulan
Jika Sang menteri menziarah kita, pasti aturcara lengkap disenaraikan
Jika Si kekasih ingin ketemu, pasti perhiasan indahlah yang akan kita pakaikan

Tetapi bagaimana kita menyambut Ramadhan?
Di awalnya rahmat
dipertengahannya keampunan
dan di akhirnya di jauh kan dari api neraka
Rasulullah mangatakan bahawa ia adalah sebaik-baik-baik bulan
pintu syurga di buka seluas-luasnya
pintu neraka ditutup rapat
Syaitan-syaitan dirantai

Adakah persediaan kita menyambut kehabatannya?

Adakah cukup sekadar menyediakan menu berbuka untuk sebulan?
Adakah cukup menahan diri dari minum dan makan?
Sedangkan Ramadhan itu adalah madrasah untuk meningkatkan ketaqwaan.

Marilah sama-sama kita
Menyambut tetamu besar ini dengan penuh penghormatan
Maghrib ramadhan pertama ini di hidangkan dengan kesyukuran kita yang penuh perhambaan
Kosongkan jiwa untuk mengisi Ramadhan ini dengan segenap kebaikan
Hulurkan walau sebiji kurma kepada yang memerlukan
Tahanlah diri kita dari apa jua keburukan

Bersediakah kita untuk bertemu Ramadhan?
Tepuk dada tanyalah iman
Moga Ramadhan ini menggamit keampunan
Untuk di dakap andai tidak lagi ketemu Ramadhan
Allahumma ballighna Ramadhan...

28 July 2010

Selamat Hari Lahir Khadijah Hanan


Khadijah yang masih dalam bedungan

27 Julai 2010, genap sudah setahun umur Khadijah Hanan. Tidak terasa masa pantas berlalu, Khadijah telah menginjak usianya. Sedar tak sedar, dia yang dahulunya hanya tersenyum, kini sudah ligat berjalan ke sana ke mari. Panjang akalnya mengusik kakak dan orang sekeliling.

Kesakitan yang dialami di dalam bilik bersalin tatkala bertarung nyawa melahirkannya bagaikan baru semalam.


Dah pandai meniarap...

Terserlah segala kebesaran dan kekuasaan Allah. Dari bayi yang hanya pandai menangis, hari ke hari sudah pandai meniarap. Dari hanya berpusing-pusing di satu tempat, laju pula menjulur ke depan mencari 'juadah' untuk masuk ke mulut.

Meningkat ke usia tujuh bulan bergerak pula seperti harimau bak kata kakak. Seterusnya tanpa diajar oleh sesiapa, si kecil mula mengatur langkah. Walaupun pada mulanya langkahnya senget benget bahkan selalu juga menyembah bumi, tetapi itulah sunnah alam, langkah seribu bermula dengan langkah yang satu.


Langkah bermula...

Maha Suci Allah yang telah mengajarkan seluruh makhlukNya. Maha Suci Allah yang mentadbir makhlukNya dengan penuh kesempurnaan.

"yang kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan (Nya), dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya." 25:2

Maha Suci Allah yang telah menghidupkan manusia berperingkat-peringkat, sesungguhnya kita hanya akan kembali kepadaNya.

"Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur-angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.

Maha Suci Allah kerana menciptakan manusia sebagai sebaik-baik kejadian.


Menjengah masa depan...
Doa ibu, moga anak-anakku akan menjadi hamba Allah yang terbaik dan kembali kepadaNya bersama Redha dan keampunan Allah s.w.t

Selamat Hari Lahir Khadijah!

26 July 2010

Berhentilah menjadi orang gila

Pantas sungguh masa berlalu. Pejam celik pejam celik umur sudah merangkak ke angka tiga puluh. Anak sudah bertambah. Uban sudah mula berceracak. Perut pun juga makin maju ke depan. Garis-garis di wajah juga kian tampak.


Tetapi kita masih sahaja di tahap lama. Kehidupan seperti juga biasa, iman dan amal tiada gaya menuju puncak, tetap begitu juga. Tidak menaik, malahan turun pula. Terkadang hati bertanya, kenapa kita masih di sini. Melalui hari demi hari tanpa perubahan yang bermanfaat untuk persekitaran dan diri sendiri.

Sering juga kita mengeluh, aduhai diri… kapankah kita akan mencapai langit? Bilakah masanya kita akan menjadi insan yang berbakti kepada masyarakat dan umat? Yang jika mati meninggalkan nama sebagai insan berjuang, bukan hanya meninggalkan hutang piutang. Bilakah itu, dan bilakah ini…

Kerap juga kita berharap, usaha yang sedikit itu, menghasilkan impak yang besar. Amal kita yang acuh tak acuh itu, mendapat perhatian dari Allah s.w.t. Zikir dan fikir kita yang sekelumit itu, dikira sebagai tafakur dan tanda syukur ke atas segala pemberianNya.

Wahai diri yang sering lupa dan alpa!

Kata Armstrong:

Orang yang paling gila ialah orang yang melakukan sesuatu dengan cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.”

Benarlah kita memang gila. Selalu sahaja mengharapkan perubahan yang hebat sedangkan kita asyik melakukan kerja dengan tahap kesungguhan yang sama.

Kita lah yang gila kerana menjalani rutin hidup seperti tahun-tahun lalu juga tetapi kita berharap hidup kita akan bergerak ke peringkat yang lebih tinggi dan sempurna.

Berhentilah menjadi orang gila!

Cara kita berkerja menentukan natijahnya. Bagaimana kita berkerja, tanyalah diri kita yang makin dimakan usia. Modal kita makin berkurangan dek umur yang makin pendek jangkanya.

Masa memang tidak menunggu kita, kitalah perlu mengejarnya. Berhijrahlah dari diri kita yang biasa-biasa untuk menjadi hamba tuhan yang luar biasa.

Berhentilah menjadi orang gila!

17 June 2010

Ibu, Humaira' nak solat subuh!

"Wah... Cantiknya sticker niii... Ibu nak buat apa ni?" Humaira begitu teruja dengan sticker smiley yang saya beli di pekan cina petang itu.

Saya tersenyum kepadanya

"Cepat la ibu, ibu nak buat apa dengan sticker-sticker ni?" Dia bertanya lagi apabila soalnya tadi hanya dibalas dengan senyuman.

"Mmm... Humaira suka ke dengan sticker ni? Humaira nak tak?" Saya cuba menguji

"Suka! Suka! Humaira nak!" Jerit dia dengan wajah penuh ceria

"Boleh... tapi ibu akan bagi kat humaira bila humaira solehah je..." Jelas saya sambil melihat dia yang begitu asyik menelek sticker-sticker comel tu.

"Mmmm boleh!" Dia jawab dengan penuh semangat.

Saya ambil kertas manila kad yang saya beli bersama sticker itu petang tadi, meminta dia menulis satu persatu akhlak yang saya ingin tanamkan dalam diri anak sulung saya itu. Biar dia jadi contoh kepada adik-adiknya nanti.

Dengan penuh semangat, dia menulis satu persatu...

Sengaja saya biarkan dia menulis sendiri, agar dia lebih bersungguh-sungguh untuk memenuhi carta akhlak mulianya itu. Agar dia lebih menjiwainya.

Bangun awal

Mandi tak nangis

Solat subuh

pergi sekolah awal

Solat maghrib

baca iqra

Itulah yang ditulisnya, biar pun tulisannya ada yang senget benget tapi dia cukup gembira menulisnya.

Seusai dia menulis carta akhlak tersebut saya pun memberi satu sticker kepadanya kerana pagi tadi dia bangun awal pagi. Dengan wajah yang berseri-seri dia menampal sticker di atas kolum bangun awal.

"Esok Humaira' solat subuh ye.. Kalau Humaira solat subuh, ibu bagi sticker yang paaaling besar." Saya tunjukkan kepadanya. Bulat-bulat matanya melihat sticker itu.

"Ok... Tapi ibu kejut lah humaira masa gelap macam ni tau... Humaira' nak solat subuh..." Dia meminta sambil menunjuk ke arah langit malam yang gelap.

"Insya Allah... Esok ibu kejutkan merro' ye..." Saya memberi persetujuan.

Alhamdulillah, keesokan paginya, humaira' telah berjaya solat subuh pada jam 6 pagi dengan wajah yang ceria. Berbeza dengan sebelum ini yang biasanya dia akan solat dalam linangan air mata.

Syabas Humaira'! Syabas!

02 June 2010

Ingatkan migrain, rupa-rupanya...

Masya Allah...

Lama betul saya tak mencoret apa-apa dalam blog ini. Di dalam hati meronta-ronta nak menulis, tetapi apakan daya, keadaan agak tidak mengizinkan.

Setiap kali saya menghadap laptop, mata akan mula berdenyut-denyut, kemudian saya akan diserang sakit kepala.

Pada mulanya saya ingatkan saya migrain, rupa-rupanya saya ada masalah rabun silau. Menurut pakar optometris, rabun silau ini menyebabkan kita sangat sensitif kepada cahaya. Pendedahan kepada cahaya akan mengganggu saraf, dan inilah yang menyebabkan kita akan sakit kepala.

Begitu rupanya, saya dinasihatkan untuk membuat kaca mata, tetapi memandangkan saya tidak suka memakainya. Saya cuba dulu cara alternatif.

Harap-harap ia akan membantu mengurangkan masalah rabun silau saya. Dan seterusnya saya dapat aktifkan kembali blog saya yang dah lama suram dan sepi.

Moral of the story, kalau sakit kepala, jangan cepat-cepat telan panadol. Cuba periksa mata, mungkin mata anda yang menyebabkan anda diserang sakit kepala...

29 April 2010

Kamu dan hartamu milik bapamu

Pada suatu hari, ada seorang pemuda pergi bertemu Rasulullah s.a.w.

Pemuda itu mengadu kepada Rasulullah : "Wahai Rasulullah, bapaku selalu mengambil hartaku."

Lalu Rasulullah bersabda : "Kamu dan hartamu adalah milik bapamu."

Begitulah tingginya kedudukan ibu bapa dalam Islam. Harta yang diusahakan oleh anak-anak hakikatnya berhak dimiliki oleh ibu bapa.

Sedangkan pada zaman sekarang betapa ramai anak-anak kaya raya, tetapi ibu bapa merempat sini sana.

Berapa ramai anak-anak makan sedap-sedap, ibu bapa makan sekadarnya sahaja.

Berapa ramai anak-anak tinggal di rumah bagaikan singgahsana, ibu bapa tinggal hanya di teratak usang.

Berapa ramai anak-anak yang pakaiannya berjenama, ibu bapa pakainya yang lusuh cuma.

Berapa ramai anak-anak yang bersuka ria, tetapi ibu bapa kesunyian di kampung merindukan zuriat tercinta

Usah dilihat kepada orang lain, tetapi lihatlah bagaimana kita melayani ibu bapa kita. Sudah berapa lama kita membiarkan ibu bapa menanggung rindu kepada kita.

Betapa banyak perkataan kita yang mengguris hati mereka.

Betapa lama kita tidak bertanya sakit pening dan makan minum mereka.

Betapa kikirnya kita nak menghulurkan sedikit sebanyak duit belanja kepada mereka

Betapa beratnya kita nak mendoakan mereka

Sedangkan mereka:

Berusaha sehabis daya membesarkan kita

Berkorban segalanya demi kebaikan kita

Berlapar dahaga asalkan kita bahagia

Berjaga siang dan malam kerana menjaga kita

Kasih sayang mereka cukup menghadirkan ketenangan jiwa


Mungkin kita boleh katakan :

- tak sempatlah nak balik kampung, sibuk

- tak sempatlah nak telefon mak ayah, sibuk

- tak cukup duit lah nak bagi, banyak belanja bulan ini

- ala bukan taknak kasiiii... tapi...

Tetapi alasan-alasan ini tidak akan diterima untuk meloloskan diri dari azab Allah s.w.t. jika ia menyakiti hati ibu bapa kita.

Masa untuk berbakti kepada mereka mungkin sudah tidak lama. Sama ada mereka yang meninggalkan kita atau kita yang akan meninggalkan mereka.

Apa yang penting, berlumba-lumbalah dalam berbakti kepada mereka, kerana mereka adalah jalan kita menuju ke syurga...

02 April 2010

Mereka cerminan kita

"Ibu, kenapa kalau adik nak susu dia nangis?" Tanya Humaira kepada ibunya yang sedang menidurkan adiknya.

"Sebab adik tak pandai cakap lagi..." jawab saya

Adik Khadijah yang memang sudah cukup mengantuk berpaling melihat kakaknya.

"Kalau merro'? (nama singkatan kepada Humaira)" Dia bertanya lagi sambil mengangkat kening.

"Mmm... Humaira tak boleh la menangis kalau nak susu, kena bagitau sebab kakak dah pandai cakap." Saya menjawab sambil dalam hati mengharapkan dia jangan lagi bertanya sementara adik belum tidur.

Setiap kali dia bertanya, pasti adiknya akan berpaling kepadanya dengan mata yang membulat semula sedangkan dia sangat-sangat mengantuk. Semakin banyak soalan dari kakak, maka makin lambat pulalah proses nak tidurkan si kecil.

"Ibu kenapa hari hujan?" Dia bertanya lagi.

"Sebab Allah nak bagi air kepada kita, binatang dan tumbuh-tumbuhan." Jawab saya ringkas

"Kalau tak hujan cemana?" Dia menyambung lagi pertanyaan

"Kalau tak hujan, semua benda akan mati. Kita tak boleh la minum air lagi... Lagipun, semua benda-benda hidup perlukan air, sebab tu lah Allah turunkan hujan. Allah hebat kan?" saya menjawab dengan ayat-ayat mudah sesuai dengan tahap pemikirannya yang baru lima tahun.

"Mmm... Hebat!" Humaira menyambut dengan penuh keyakinan.

Adik Khadijah dah tidur. Mungkin dah tak berdaya lagi nak mengangkat mata.

Saya turun ke bawah untuk menyediakan sedikit juadah untuk makan malam.

Saya keluarkan sotong untuk digoreng.

"Ibu! Humaira nak tolong ibu masak boleh?" Humaira bertanya saya. Ini memang aktiviti yang sangat digemarinya

"Mmm... Boleh!" Belum sempat saya habis menjawab, dia sudah bersedia di atas kerusi yang ditolak ke depan dapur.

"Ibu, kenapa sotong ni dia lekat dengan kawan-kawan dia?" Dia ragu-ragu melihat sotong yang dipotong tak sempurna itu.
"Bukan dia melekat laaa... Ummi (panggilannya kepada ibu saudaranya) yang tak potong betul tu, sebab tu la dia melekat."

"Oooo ye ke... Kenapa ibu buh garam ngan kunyit?" Soalnya lagi tatkala saya gaulkan sotong-sotong tu dengan garam dan kunyit.
"Ye lah! Baru lah sedap!" Bagitau saya
"Bukanlah... Ibu nak bagi dia jadi kuning kot..." Dia membetulkan jawapan yang saya berikan tadi. Saya hanya tersenyum.

"Ibu kenapa sotong ni kena masak?"
"Kalau tak masak kita tak boleh makan... keras... tak sedap... Sebab tu la kena masak."
"Kenapa kalau masak kena bukak api?"
"Kalau nak masak memang la kena guna api, kalau tak guna cemana nak masak?" Hehe saya tak tahu la nak jawab apa sebenarnya tapi saya jawab juga untuk meraikan sifat mahu tahu dia itu

"Ooo... Kenapa kalau tengah masak dia bunyi ssssssssssss?" Lagi soalan dari sikecil itu.

Hehe saya dah terperangkap ni, tak tahu nak jawab apa. Saya cuba mengalih perhatiannya dari soalan tadi.

"Mmm Humaira tolong ibu kacau sat sotong ni boleh?"

"Haaaa... Boleh! Boleh!" Dia menjawab dengan penuh semangat. Sudip yang di tangan digunakan untuk mengacau-ngacau makanan.

"Alhamdulillah, habis dah kot soalan dia..." Detik hati saya. Saya menarik nafas lega.

Tetapi belum sempat saya menghela nafas seterusnya dia bersuara lagi.

"Ibu kenapa api ni panas sangat ni?" Dia bertanya untuk kesekian kalinya, mungkin kerana tangannya terkena bahang masakan.

"Mmm... Memang Allah ciptakan api tu panas, supaya manusia boleh gunakan untuk memasak, dan buat benda-benda lain..."

Begitulah anak-anak, dia bertanya kerana dia ingin tahu. Kita sebagai orang tua, perlu mendorong sifat ingin tahu mereka dengan cuba sedaya upaya meraikan pertanyaan-pertanyaan mereka.

Kadang-kadang kita memang rasa sangat tercabar dan kurang sabar dengan soalan-soalan remeh anak-anak. Dengan badan yang letih, minda yang kusut dek timbunan tugas di pejabat, soalan-soalan ini boleh sahaja menaikkan darah kita.

Dalam hati mungkin akan terdetik "Ish budak ni... Banyak betul soalannya! Tak tahu ke aku ni balik kerja penat! tak boleh rehat langsung!"

Mungkin ramai juga dikalangan kita yang melontarkan kata-kata sebegini kepada anak-anak :" Ish... Boleh tak diam sikit, ayah nak rehat ni..."

Ataupun begini "Kak Long p tanya mama la, ayah nak rehat sekejap"

Atau jika lebih keras lagi "Kau ni menyibuk betul la! P main jauh-jauh!"

Maka dengan wajah muram, pasti anak-anak akan beredar dari kita dan kita pun boleh berehat atau melakukan kerja-kerja dengan senang hati tanpa gangguan. Namun di dalam kemudahan kita itu, ada hati yang terluka, ada hati yang memendam rasa.

Si kecil mungkin merasa bahawa dia bukanlah orang yang penting dalam hidup kita sebagai ibu bapa mereka.

"Salahkah saya bertanya, saya nak tahu je..." Mungkin begini lintasan hati mereka.

"Ibu tuuu... Orang nak tanya sikit tak boleh! Lepas ni tak payah tanya dah la..." Mungkin begini juga apa yang mereka rasa.

Anak-anak merasakan diri mereka tidak dihargai. Anak-anak akan merasakan bahawa ibu bapa tidak mahu memberikan perhatian.

Lama kelamaan, jika perkara ini berterusan maka, hubungan ibu-anak dan bapa-anak ini akan jadi semakin renggang hanya kerana kita tidak mahu menjawab persoalan yang dikemukakan.

Nantii janganlah kita terkejut, jika ketika mereka menginjak ke usia remaja pertanyaan-pertanyaan kita akan dijawab sepertimana jawapan kita kepada mereka ketika mereka masih kecil.

Bila kita bertanya "Kakak kat sekolah tadi buat apa?"

Dia akan menjawab "Alah kakak penat la ayah, esok je la kakak bagitau ayah!"

Ataupun bila kita bertanya "Kamu pergi ke mana petang tadi dengan kawan-kawan?"
Dia akan menjawab "Ibu jangan la sibuk-sibuk pasal saya ngan kawan-kawan... Kami pi jalan-jalan je..."

Bukankah begitu cara anda menjawab soalan mereka dahulu. Bukankah begitu juga cara anda melayan pertanyaan mereka dahulu?

WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK!

Jadi, layanilah mereka dengan adil. Penuhilah hak-hak mereka ke atas kita. Mereka akan memenuhi hak kita sebagai ibu bapa.

Jika kita ingin dilayani dengan baik, maka layanilah mereka dengan baik terlebih dahulu. Anak-anak adalah cerminan diri kita, jika elok kita maka eloklah mereka. Jika sebaliknya, usah menuding jari kepada mereka kerana yang tertuding ialah kita sebenarnya...
Wallahua'lam...