29 March 2014

Tips memasak cepat buat ibu super sibuk!

Dulu, sebelum saya berhijrah mengikut suami menyambung pelajaran di South Australia, saya selalu merasakan memasak suatu urusan yang merumitkan. Ia perlukan masa yang panjang, memerlukan kudrat yang banyak dan akan memenatkan saya yang sudah sedia penat setelah seharian bekerja.

Saya rasa, ramai juga yang merasakan sedemikian, tambahan pula di Malaysia kedai makan boleh dijumpai di mana sahaja. Perjalanan dari tempat kerja ke rumah pun akan menempuhi berpuluh-puluh kedai makan. Itu belum dikira dengan pasar malam yang ada saban hari, jika di Jitra hampir setiap hari ada pasar malam cuma tempat sahaja yang berbeza.

Namun, setelah tiga tahun saya tinggal di negara orang yang agak sukar untuk mencari kedai makan halal. Jika ada, ia agak jauh dari rumah dan memakan masa untuk pergi ke sana. Itu belum dikira belanja yang terpaksa dikeluarkan kerana makanan di kedai yang agak mahal (sekali makan mesti sediakan Aud 30 ke atas) menyebabkan kami jarang-jarang makan di luar.

Faktor ini menyebabkan saya belajar banyak perkara yang membuatkan saya telah mengubah fikiran bahawa memasak makanan untuk seisi keluarga sebenarnya mudah sahaja jika betul cara dan kita mempunyai tips-tips yang berguna.

Malahan, sekarang saya juga merasakan bahawa betapa ruginya saya dahulu membiarkan anak dan suami makan makanan kedai yang belum terjamin kebersihannya dan menggunakan ajinomoto yang tidak baik untuk kesihataan.Sedangkan air tangan seorang ibu itulah yang akan mengikat hati ahli keluarganya.

Maka di sini, ingin saya kongsikan sedikit tips bagi ibu yang sibuk bekerja, sama-sama kita berazam untuk mengurangkan makan di kedai. Sama-sama kita usahakan untuk memasak untuk keluarga kita yang lebih terjamin kebersihan dan kesuciannya.


Tips memasak cepat

1.     1.  Pembelian, pembersihan dan pembungkusan

a) Jika membeli bahan mentah seperti ayam, daging atau ikan, beli untuk stok seminggu, jadi kita tak perlu menyinggah kedai setiap hari atau selang dua tiga hari. Ini dah menjimatkan masa sebab sekali kita pergi kedai atau pasar malam, kita akan ambil masa mungkin 15 minit hingga satu jam sebab memusing-musing mencari barang. Itu belum kira belanja lebihan sebab kita ‘terbeli’ benda-benda yang tidak sepatutnya.

b) Ketika membeli, minta penjual potong siap-siap bahan mentah tersebut. Contohnya: kalau minggu tu kita nak buat sup ayam, minta penjual ayam potong kecil-kecil ayam kita tu, kalau nak buat nasi ayam, potonglah empat. Elakkan beli ayam seekor yang kita terpaksa potong sendiri di rumah. Pisau kita mungkin tidak setajam pisau pakcik jual ayam jadi ia akan merumitkan kerja-kerja kita.

c) Jika ikan, minta penjual buang terus sisik dan potong ikan yang dibeli kepada beberapa bahagian yang kita nak. (ini boleh dibuat kalau kita beli ikan besar-besar macam siakap, kalau beli ikan selar kuning, siang sendiri la di rumah).

d) sekiranya kita membeli ikan yang bersisik, buang atau kikis(betul tak perkataan ni saya tak pasti) sisik ikan di dalam bekas yang berisi air supaya sisik tidak berterbangan ke serata alam yang menyusahkan kita untuk membersihkannya.

e) Jadi, bila bahan mentah dah siap dipotong mengikut menu kita, balik rumah kita hanya perlu membersihkannya. Bila dah siap cuci, bungkus bahan mentah mengikut kegunaan harian, jangan masuk semua dalam satu bekas atau satu plastic sebab ia akan menyukarkan kita bila nak masak nanti.

Contohnya: keluarga saya akan gunakan 5-6 ketul ayam sekali makan, maka saya akan bungkus ayam mentah 5-6 ketul sahaja dalam  satu plastic/ bekas. Jadi kalau saya nak masak esok, malam tu saya akan letak satu plastic/bekas dibahagian bawah peti ais ataupun saya akan defrost guna microwave. Maka dengan cara begini, tidak perlu lagi kita mengeluarkan satu bongkah besar bahan mentah yang agak sukar untuk kita ambil bahagian yang kita mahukan.

 f) Kita juga boleh perap bahan mentah sebelum masukkan dalam peti ais. Bahan mentah yang hendak dibakar sebagai contoh, kita boleh perap daging atau ayam dengan bermacam-macam resepi seperti tandoori, lada hitam atau sebagainya. Maka kalau nak masak nanti tak perlulah kita buka botol kunyit atau rempah untuk lumurkan pada ayam atau daging kita tu. Jika suami sampai rumah dulu, boleh telefon suami minta masukkan sahaja daging atau ayam tu dalam oven atau airfryer… mudah kan?

2.     2.   Kisar bawang dan cili dalam kuantiti besar

Orang Malaysia seperti saya memang suka menumis. Kalau tak menumis rasa macam tak lengkap. Jadi kalau nak menumis mesti perlukan bawang putih, bawang besar/bawang merah dan cili kering.

a) Bagi memudahkan kerja-kerja menumis, kisar bawang-bawang dan cili tu banyak-banyak sekali harung. Jadi kita hanya akan mengupas bawang dua minggu sekali sahaja dan hanya perlu basuh blender kita sekali tu je la. Bayangkan jika setiap kali nak masak baru nak kisar, jenuh juga kita nak mencuci blender yang sedikit sebanyak mengambil masa juga.

Tambahan pula kerja mengupas bawang juga mengambil masa juga. Maka jika dah siap kisar, bila nak masak keluarkan saja bekas bawang/cili kisar dari peti ais, terus sahaja boleh menumis. Jadi berapa banyak masa yang kita boleh jimat? Jimat masa nak kupas bawang, nak ambil blender, pasang plug, nak tekan, dan nak basuh blender. Kiralah sendiri ye…

b) Saya beli bawang putih yang siap dikupas tu, hehe punyalah ‘rajin’, tapi bagi saya apa yang penting ia mudah dan tidak membuang masa saya.

c) Bawang merah pun dah bertahun tidak saya gunakan, saya hanya gunakan bawang besar dan rasanya tidaklah jauh berbeza.. Sebiji bawang besar lebih kurang sama kuantiti dengan 4-5 biji bawang merah.. Jadi lebih baik saya kupas bawang besar sahaja berbanding bawang merah yang kecil-kecil dan merumitkan itu.

Berbalik kepada bahan kisar tadi, dalam peti ais saya akan ada 3 bekas bahan menumis yang sudah siap dikisar

a)      Bawang besar + bawang putih

b)     Bawang besar + bawang putih + cili kering (elakkan mengisar cili kering sahaja, ia akan cepat berkulat dan berbau masam. Jika dicampur 3 bahan ini, bahan kisar akan tahan sehingga dua minggu)

c)      Halia (halia akan mudah kecut dan kering, maka dengan mengisarnya ia dapat mengelakkan halia dari cepat rosak)

Jika ada bahan-bahan kisar ni, cakap je nak masak apa semua boleh guna. Sup, kari, nasi goreng, mee goreng, paprik? Semua boleh guna bahan kisar tu sahaja. Saya memang tak suka guna bawang yang dihiris sebab nanti masa makan saya terpaksa pilih dan buang pula dari pinggan anak-anak saya. Bila kisar, mereka telan sahaja semua.

Dengan adanya bahan-bahan kisar ni, suami saya pun rajin nak membantu masak ketika saya dalam keadaan kurang sihat ataupun ketika dia nak tunjukkan bakat memasak dia. Jika bahan kisar dah habis mulalah dia susah hati sebab susah dia nak masak kari…hehe..



3.    3. Gunakan gunting bukan pisau

Saya lebih suka menggunakan gunting berbanding pisau. Jika guna pisau kita perlukan papan pemotong ( jadi tidak perlu mencuci papan pemotong lagi), tetapi jika menggunakan gunting tak perlu lagi papan tu. Gunting terus sayur terus masuk ke dalam bekas. 

Jika dibandingkan antara gunting dan pisau, saya akan buat kerja dengan lebih cepat menggunakan gunting

Saya akan menggunakan gunting untuk potong sayur berdaun macam sawi, kangkung, bayam dan sebagainya (kacang panjang dan cili juga saya potong guna gunting). Bahkan saya juga menggunakan gunting untuk menyiang ikan.

Pada waktu-waktu terdesak (kalau tak terdesak pun saya buat juga), saya akan potong             sayur-sayur tu terus masuk kuali hehe… Contohnya: saya masak nasi/mee goreng, saya           potong sawi terus masuk kuali, tapi jangan lupa basuh dulu sawi tu ye..

4.      4.  Lauk yang tidak habis jangan dibuang, boleh dibekukan

Kadang kala, walaupun kita dah bajet masakan kita seperti biasa ada juga masa-masa tertentu lauk tak habis. Kebiasaannya kita akan buang saja. Di sini saya nak mencadangkan supaya jangan buang lauk lebihan itu. Masukkan ke dalam bekas, bekukan ia kerana ia akan menjadi lauk penyelamat ketika kita ‘super sibuk’.

Pengalaman saya, jika letak di tengah-tengah peti sejuk, lauk akan mudah rosak berbanding kita letakkan di tempat sejukbeku. Apa yang selalu saya buat ialah, jika ada lauk lebihan seperti kari, kurma, rendang atau yang sewaktu dengannya yang saya bekukan. Beberapa hari selepas itu saya akan buat dadar tepung, roti jala atau lebih mudah beli sahaja roti kosong yang boleh dicicah dengan lauk-lauk tersebut. Maka, tidak perlu kita berbelanja untuk sarapan pagi.

Jika saya tidak sempat atau datang angin malas memasak untuk makan malam, lauk itu jugalah yang akan menjadi penyelamat, saya hanya perlu masak nasi dan potong ulam- ulaman. Selesai untuk sekali makan sekeluarga.

5.    5. Masak 1 lauk yang lengkap

Kebiasaannya, saya akan masak satu kuah, satu lauk goreng dan satu sayur. Namun semasa waktu-waktu yang sibuk dan nak cepat, saya akan masak satu lauk sahaja yang ada semua benda. Contohnya seperti tomyam, paprik, sweet sour, masak kicap atau apa jua yang boleh dimasukkan semua ke dalam satu periuk.

Apa jenis lauk tu tidak penting, yang penting cukup khasiat.

6. Satu lagi cara ialah tidak perlu masak sayur, makan sahaja ulam-ulaman atau acar yang hanya perlu digaul dengan garam, gula dan sedikit asam limau. Cara ini lebih sihat kan?

6.      7. Gunakan oven/airfryer/kukus

      Saya memang suka bakar sahaja ikan, ayam atau daging. Jika kita menggunakan kaedah ini, hanya masukkan bahan mentah dalam tu, pusing sahaja timer, kemudian tinggal. Bila bunyi ‘ting’ dah boleh makan

      Maka sementara proses pembakaran tu, boleh la kita buat kerja lain seperti goreng sayur, basuh pinggan, mandi atau sebagainya. 2-3 kerja dalam satu masa

      Jika kita menggoreng, kita terpaksa tunggu ikan, ayam atau daging tu. Kalau lambat sikit mungkin akan hangit. Nak kena balikkan satu hal lagi, dengan minyak yang terpercik di sekitar dapur pun satu hal lagi. Semuanya memerlukan masa untuk dibuat dan dibersihkan.

7.     8.  Dari dapur terus ke meja

Ini pula strategi saya untuk menjimatkan masa mencuci periuk belanga. Saya suka menggunakan peralatan memasak yang boleh dipindahkan dari dapur terus ke meja makan.

Saya suka gunakan mangkuk corning ware yang boleh digunakan untuk memasak sama ada di atas dapur atau di dalam oven. Lepas masak terus letak atas meja. Jadi kuranglah kerja saya dalam urusan basuh membasuh peralatan dan ia sangat menjimatkan tenaga dan masa saya.

Biasanya kita memasak menggunakan periuk, kemudian ceduk ke dalam mangkuk kemudian baru dihidangkan. Maka, banyaklah peralatan yang terpaksa digunakan.
8.      

      9. Sarapan mudah dan berkhasiat

Ajar keluarga kita makan sarapan yang mudah disediakan dan berkhasiat. Jika selalunya kita sediakan nasi goreng, mee goreng, nasi lemak atau sebagainya yang mengambil masa untuk memasaknya. Mungkin sekarang tibalah masanya untuk kita menukar menu sarapan kepada yang lebih mudah dan sihat.

Kita boleh buat sandwich yang disapu dengan sardine, coklat, mentega dan gula atau apa sahaja yang disukai kemudian dibakar. Boleh juga makan oat dan segelas kopi. Pancake juga satu pilihan yang mudah dan berkhasiat.

Jika kita mungkin mengambil masa 15 minit ke 30 minit untuk menyediakan nasi goreng, dengan menyediakan sarapan mudah dan ringkas seperti yang saya sebutkan tadi, kita mungkin hanya perlukan masa 5-10 minit sahaja.

Mudah, tidak perlu basuh kuali, tidak perlu mengotorkan dapur dengan bahan tumisan, dan yang paling penting ia lebih sihat!

#########

Itulah Antara tips-tips yang selalu saya amalkan di dapur saban hari. Ia memudahkan dan menjimatkan masa. Saya juga rasa sangat gembira apabila saya dapat menyediakan makanan yang terjamin dari segi kebersihan, bebas ajinomoto, sihat (makanan kedai selalu menggunakan minyak berlebihan), segar dan yang penting suci. Bak kata orang “Halalan Toiyiban”

Dulu, ada orang berseloroh dengan saya : “Jangan sampai anak-anak dan suami lebih kasihkan mamak kedai makan atau tukang masak kedai daripada kita si isteri dan si ibu kerana ‘manisnya’ air tangan mereka...”

Walaupun kita penat memasak, airtangan pasti akan ada kesannya. Apatah lagi jika ketika memasak kita selangi dengan selawat dan zikir. Suami bertambah cinta, anak-anak suka dan kita juga bahagia! Ingatlah memberi itu lebih bahagia dari menerima…