30 March 2009

Kembara Mencari Diri

Kutanya pada bintang
“Wahai bintang, siapa diri ini”?
Cahayanya berkedip namun ku tidak mengerti

Ku tanya pada bulan
“Wahai bulan kenapa ku disini?”
Sang bulan tersenyum
Mengocak jiwa nan sepi

Ku tanya pada mentari
“Wahai mentari ke manakah aku selepas ini?”
Sinarnya cerah namun ku masih tercari-cari

Mengapa semua membisu
Mengapa semua menyepi
Membiarkan daku merangkak sendiri
Bertatih lalu jatuh lagi
Mencari makna sebuah hidup hakiki
Dalam mencari restu ilahi

Akhirnya ku tanya pada hati
Akhirnya ku tanya pada diri
Jawapan telah terpatri
Dirimu datang dari sana
Akan kembali ke sana
Di sini dituntut mengabdi kepada pencipta

Wahai sang kembara
Perjalananmu sebentar cuma
Buat mengutip bekal menuju akhir masa
Bila cukup waktu dan usia
Engkau akan dijemput ke sana

Wahai diri
Kembaralah mencari diri
Agar memperoleh cinta Ilahi
Agar hidupmu diredhai
Agar kembalimu dirahmati

Kembaralah mencari diri
Berkelana meredah realiti
Biar badai terpaksa diharungi
Biar lautan terpaksa direnangi
Moga musafirmu lebih bererti…

Surat Jemputan Itu

Surat jemputan itu
Hadirnya mengundang debaran
Hadirnya menyapa persoalan
Benarkah hamba ini menjadi pilihan
Menjejak tanah suci penuh kemuliaan

Surat jemputan itu
Layangannya tanpa diduga
Kepada hambaNya yang berdosa
Tenggelam dalam lautan ternoda
Lemas di dalam dunia yang alpa

Surat jemputan itu
Wajahnya wajah penuh cinta
Lalu ku sambut ia dengan cinta jua
Moga kan ketemu cintaNya disana

Surat jemputan itu
Seharum wangian rindu
Menggamit daku ke rumahmu
Wahai Tuhan
Izinkan daku
Bertandang ke halamanMu…

26 March 2009

22 Mac 2009 : tarikh yang menyentuh rasa


22 Mac 2009 mencatat beberapa sejarah buat saya dan keluarga. Pada tarikh tersebut kami bukan sahaja menerima dua orang ahli baru (Abang Khairul dan hasni), tetapi kami juga dapat duduk di rumah abah yang baru diubahsuai. Dan satu lagi yang paling mengharukan dan mencatat sejarah ialah kami dapat berkumpul bersama sebagai satu keluarga.
Mak dan abah yang telah berpisah 16 tahun yang lalu, menyebabkan kami tidak pernah lagi berkumpul seperti ini selama tempoh itu. Impian yang dianggap mustahil ini, akhirnya berlaku sempena majlis perkahwinan 2 mempelai iaitu Kak Gee dengan Abang Khairul dan Nor dengan Hasni.
Hanya kepada Allah kami memanjatkan kesyukuran kerana memberi peluang untuk kami berkumpul semula dalam keadaan yang penuh kebahagiaan. Jika ditatap setiap wajah di dalam gambar di atas, semua menguntum senyuman yang sukar ditafsirkan. Antara kesyukuran dan keharuan, antara kebahagiaan dan kegembiraan. Semuanya menyatakan ketidakpercayaan atas apa yang berlaku. Seolah-olah berada dalam mimpi... Aaahhh... Sungguh ia perasaan yang sukar digambarkan.
Air mata saya sering berguguran tika mengenangkan anugerah Allah ini, tidak tahu bagaimana ingin saya ungkapkan perasaan saya. Begitu besar nikmat yang Allah berikan kepada kami. Betapa hebat kurniaan Allah ini... Adakah akan ada lagi peluang sebegini, hanya Allah saja yang tahu, tetapi saya yakin, setiap orang dari kami pasti menanti-nantikan saat begini berulang kembali...
Indahnya jika perpisahan tidak pernah terjadi
Namun apakan daya
Ini semua sudah Takdir Ilahi
Walau apapun, kami tetap mensyukuri
Kerana kami tahu bahawa Engkaulah yang Maha Mengetahui
Hikmahnya setiap apa yang telah dianugerahi...
Wahai Tuhan
satukanlah kami
dalam hidup yang diredhai
dalam cinta yang diberkati...

24 March 2009

Kejayaan yang menginsafkan


Jawapan Nur Madihah, ''saya tidak pernah meminta jadi popular seperti hari ini. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Saya juga tidak mengharapkan ganjaran yang begini hebat.
''Saya ikhlas belajar sungguh-sungguh untuk berjaya tanpa memikirkan apa-apa sasaran. Tapi Allah Maha Kaya, Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dan saya terima anugerah yang Dia berikan ini dengan penuh insaf. Kejayaan ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai untuk saya,'' tenang suaranya memberi jawapan.

Membaca jawapan Nik Nur Madihah (Pelajar Cemerlang SPM yang mendapat 20A) apabila ditanya oleh wartawan tentang perasaannya yang tiba-tiba menjadi selebriti setelah mencapai kejayaan cukup mengkagumkan saya. Jelas sekali bahawa beliau adalah seorang anak remaja yang tahu ke mana harus diletakkan rasa syukur, tahu kepada siapa harus diletakkan segala pengharapan.

Berbeza sekali dengan kebanyakkan remaja zaman sekarang. Melihat fenomena remaja sekarang yang gila glamour, betul-betul menyesakkan kepala dan menyempitkan dada saya. Berapa ramai yang tergila-gila ingin menjadi penyanyi. Berapa ramai yang ingin menjadi artis. Disokong pula oleh rancangan-rancangan realiti yang ditaja pelbagai pihak, ia sungguh satu keadaaan yang menunjukkan kepada kita betapa ramai anak-anak remaja sekarang tidak jelas dengan matlamat hidup.

Bagi mereka, dengan glamour, dengan popular, dengan kemasyhuran, mereka boleh hidup senang. Mereka boleh hidup mewah. Bagi mereka itu sudah cukup untuk mencapai kebahagiaan. Bagi mereka apa jua sanggup dikorbankan demi sebuah kebanggaan. Tak kiralah apa yang dikorbankan, sama ada maruah atau syariat Allah, yang paling penting ialah diri menjadi selebriti yang digilai dan dipuja manusia sekeliling. Sedangkan Allah s.w.t telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa orang yang paling mulia disisi Nya ialah orang yang paling bertaqwa.

Matlamat dan tujuan kehidupan sebenar anak remaja telah jauh tersasar. Apa yang dilihat hanyalah kehidupan dunia yang menipu daya. Ya Allah... Tunjukilah kami dan mereka ke jalan-Mu. Kurniakanlah kami hidayah dan petunjuk-Mu... Amin... Ya Rabbal Alamin...

Kritikan yang membunuh perasaan...

“eh apa yang awak buat ni tak sesuai la…” , “Kenapa awak buat kerja macam ni? Entah apa-apa!” Pernahkah anda menerima kritikan sebegini? Atau adakah anda pernah memberi kritikan sebegini terhadap sahabat anda, adik-adik anda, staf anda atau anak anda? Jika ya, hentikan segera kerana ia akan membunuh potensi, perasaan dan kebolehan mereka.

Alangkah baiknya jika kita yang ingin mengkritik ini berkata : “ Apa yang awak lakukan ini baik, Cuma mungkin perlu ditambah ini dan ini…” atau “Mmm Bagus kerja awak, kalau awak buat begini dan begini tentu ia akan jadi lebih menarik…”

Walaupun ayatnya tidak begitu berbeza namun sebenarnya ia memberi banyak kesan terhadap individu yang menerima. Bagi yang ingin mengkritik, lihatlah hasil kerja orang lain dari pelbagai sudut. Mungkin apa yang dilakukan tidak menepati citarasa anda, tapi cubalah cari sudut baik yang mungkin sesuai untuk orang lain.

Lihatlah secara positif usaha orang lain untuk memulakan sesuatu. Mustahil hasil kerja nya akan sempurna dalam sekelip mata, tetapi ia adalah satu permulaan yang baik kerana dia sedang mencuba melakukan sesuatu yang mungkin belum dapat kita lakukan.

Cubalah bayangkan, jika anak kita yang baru nak belajar menulis, pastilah tulisannya kurang cantik, kurang kemas dan mungkin juga memang tak betul. Sekiranya kita yang melihat tulisannya lalu memberi komen sebegini “Tulisan adik tak cantik/ tak jadi la.” Agak-agak apa perasaan si kecil yang baru nak belajar itu? Pasti perasaannya sedih dan motivasinya menurun. Jika saya berada ditempat dia sekalipun, saya rasa seperti tak nak lagi cuba menulis.

Bagaimana pula agaknya jika kita yang melihat tulisannya itu lalu berkata : “Wah… hebatnya tulisan adik tu… tapi kalau adik bulatkan sikit dibahagian ni tentu ia akan jadi lagi cantik… macam adik…” Pasti anak itu akan lebih bermotivasi dan bersungguh-sungguh lagi. Pasti anak itu akan berusaha sedaya upaya memperbaiki kelemahannya.

Tidak salah kita nak menegur atau nak mengkritik usaha atau kerja orang lain, tetapi sebelum kita mengkritik, telitilah dahulu apa yang baik dan apa yang kurang baik. Berfikirlah secara positif. Jangan apabila kita melihat ada sesuatu yang kurang baik atau kurang sesuai, lalu kita akan terus memperlekehkan usaha-usaha seseorang. Janganlah pula kita rasa apabila sesuatu itu tidak sesuai dengan kita maka ia tidak sesuai dengan semua orang. Cubalah cari sudut yang positif, lalu perbaikilah bahagian yang negatif.

Yang penting jangan sampai kritikan kita itu membunuh potensi. Jika anda seorang ‘bos’, kritiklah secara berhikmah, jangan biarkan kebolehan pekerja anda terhapus hanya kerana teguran anda.

Bagi yang menerima kritikan yang tidak membina, jangan putus asa. Buktikan anda boleh melakukan apa yang orang lain tidak boleh lakukan. Berusahalah sedaya upaya untuk memperbaiki hasil kerja anda. Anda tidak akan dapat melakukan yang terbaik jika anda tidak memulakan. Dan sedarlah bahawa, permulaan biasanya tidak akan sempurna, namun ia akan sempurna bila kita belajar dari kesilapan-kesilapan yang terpaksa kita tempuhi.

Jika anda tidak bermula, bagaimana anda akan bertemu akhirnya???

14 March 2009

Renungan bersama Imam Hassan Al-Banna

Syeikh Ismail Hamdi seorang pendidik di Kota Iskandariyyah bercerita, ia dalam perjalanan bersama Ustaz Hassan Al-Banna di Mesir Atas. Setelah perjalanan panjang di sebahagian desa itu, pada satu malam, tibalah waktu solat Isya'. Ustaz Hassan berkata kepada Syeikh Ismail Hamdi, "Kami penat sekali, Kami ingin agar anda menjadi imam solat."

Maka Syeikh Ismail maju untuk mengimami solat, akan tetapi ia solat dengan surah-surah pendek. Ketika solat berakhir, Hassan Al-Banna berkata kepadanya, "Kenapa anda solat dengan surah-surah pendek." Ia menjawab, "kerana anda mengatakan 'kami penat sekali', oleh sebab itu saya membaca surah-surah pendek untuk meringankan anda."

Ustaz Hassan Al-Banna berkata, "Wahai saudaraku, junjungan kita Rasulullah berkata kepada Bilal, 'Hai Bilal, istirehatkan kami dengan solat.' Baginda tidak berkata, 'Hai Bilal istirehatkan kami dari solat.' "

Dipetik dari buku "Ikhwanul Muslimin dalam kenangan" oleh Abbas As-Sisiy

12 March 2009

Telekung


Dapatkan telekung yang mudah, selesa dan praktikal.

* Jahitan yang kemas di bahagian muka, anda tidak perlu memakai anak tudung.
* terdapat dua jenis kain iaitu kain cotton dan kain jc
* Kain bergetah di pinggang
* Kain yang panjang, Insya Allah aurat anda tidak akan terbuka semasa sujud
* Terdapat lapisan dalam di bahagian leher hingga paras
bahu , jadi ia tidak jarang

Sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa

terdapat dalam beberapa saiz
saiz s (4-6 tahun) - RM 30.00 sepasang
saiz m (7-9 tahun) - RM 35.00 sepasang
saiz L ( 10-12 tahun) - RM 40.00 sepasang
saiz XL ( dewasa ) - RM 60.00 sepasang / RM 40.00 (telekung sahaja)
Jika anda berminat e-mail saya di ummuhumaira79@yahoo.com

Kerumitan yang memualkan

Entah kenapa sejak akhir-akhir ni email saya susah benar nak dibuka, kalau nak attach fail pun ambil masa yang lama.. Kadang-kadang saya jadi mual nak baca email sebab bila tekan aje inbox akan keluarlah error 999.

Saya yang memang tak tau sangat pasal teknologi mula tertanya-tanya, ape yang bermasalah sebenarnya. Laptop ke, modem ke atau saya sendiri yang tak pandai guna teknologi.

Bila dirujuk kepada suami, dia kata "kenapa la syifa ni selalu tak bernasib baik dengan barang-barang elektronik..." Saya yang mendengar kata-kata itu termangu mencari jawapan. Ish apa salah saya? Rasanya saya dah cukup berhalus guna barang-barang elektronik, terutama barang-barang yang saya beli menggunakan titik peluh saya sendiri...

Huhu... rasa geram pun ada... bila nak buka email tak boleh, nak attach laporan pun tak boleh.. Apa yang perlu saya buat? Ke mana saya nak mengadu? Atau saya perlu biarkan saja ia berlalu?

Mmm saya pun tak tahuuuuu....

11 March 2009

Dihimpit keletihan


Hampir 2 minggu saya tidak dapat meng"update" blog ini kerana kesuntukan masa. Dikejar tugas-tugas sebagai pengetua tadika yang perlu dilangsaikan, dihimpit tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, dibelenggu dengan kesihatan yang kadang-kadang kurang memuaskan, dihujani dengan karenah adik saya yang sedang meningkat remaja, dan kerja-kerja dakwah yang diamanahkan... Argh sungguh melelahkan... Kadang-kadang saya terpaksa ambil cuti sendiri, duduk di rumah untuk menenangkan perasaan dan tubuh badan. Tambahan pula dalam keadaan berbadan dua ini, keadaan ini memang cukup menguji kesabaran saya.


Keletihan dan kelesuan yang menguasai diri memaksa saya memohon maaf kepada orang sekeliling-suami, staff tadika, anak saya yang saya kasihi dan adik-adik kerana tak dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya. Keletihan itu juga menyebabkan emosi yang kurang stabil... Walaubagaimanapun, saya tetap akan mencuba lakukan yang terbaik agar setiap orang yang berada disekeliling saya tidak terkena tempias lantaran kelemahan diri yang serba kekurangan ini. Moga Allah memberi kekuatan kepada saya dan mengampunkan saya atas kelemahan saya...


Keletihan dan kelesuan itu juga menyebabkan saya tidak dapat memasukkan entri-entri baru dalam blog ini. Walaupun telah beberapa kali saya mencuba, namun kelesuan itu mengikat fikiran dan jiwa saya untuk mengarang sebarang entri. Seingat saya sudah 5-6 kali saya membuka blog ini dan cuba mengarang, malangnya mmm tiada apa yang dapat saya lakukan...


Saya harap selepas ini saya dapat meluangkan sedikit masa untuk terus meng'update' blog ini untuk memberi sedikit sumbangan dakwah di alam maya ini. Kepada pembaca, doakanlah saya agar blog ini akan terus bernyawa sampai bila-bila...

Program Jalinan Mahabbah

Alhamdulillah, pada 9 Mac yang lalu satu program jaulah yang diberi nama sebagai Program Jalinan Mahabbah telah berjaya dijalankan. Program yang dianjurkan oleh Pembina Kedah (Wanita) telah menarik minat 25 orang akhawat untuk sama-sama menjelajah ke Muzium Padi dan gunung Keriang di samping menziarahi rumah Ketua Wanita Pembina Kedah, Dr Murizah Mohd ZainProgram bermula pada 8.00 pagi dimana semua peserta dikehendaki berkumpul di Mall UUM. Setelah semua berkumpul, 3 buah kereta dan 2 buah MPV digunakan untuk membawa peserta ke Muzium Padi. Sampai di Muzium padi lebih kurang pada jam 9.30 pagi, kami dihidangkan dengan suasana indah dan nyaman di Muzium Padi yang terletak di kaki bukit gunung keriang. Peserta-peserta yang tidak sabar-sabar ingin mengetahui apa yang ada di dalam muzium tersebut segera bergerak ke kaunter masuk. Sebelum masuk ke Muzium kami telah diberi taklimat oleh seorang pegawai tentang sejarah Muzium Padi. Banyak maklumat yang dapat ditimba daripada penerangan pegawai tersebut. Setelah menjelajah ke Muzium Padi selama hamper 2 jam, semua peserta menjamu selera (bihun goreng) di pondok wakaf yang terletak dihadapan muzium padi.

Sekitar jam 12.00 tengahhari semua peserta bergerak ke Kawasan Rekreasi Gunung Keriang. Ketibaan kami di sana disambut oleh sekumpulan monyet. Peserta yang pada mulanya takut-takut nak ke kawasan lapang di kaki bukit tersebut akhirnya lega apabila monyet-monyet tersebut beransur-ansur beredar apabila menyedari kehadiran kami. Di situ satu kuiz berkenaan Sirah Rasulullah S.A.W telah diadakan. Peserta yang dibahagikan kepada 4 kumpulan bersemangat menjawab soalan-soalan yang diajukan. Setelah kuiz berakhir, hadiah telah disampaikan bukan sahaja kepada pemenang tetapi kepada semua peserta. Kami beredar dari kawasan rekreasi tersebut pada jam 1.00 tengahhari menuju ke rumah Ketua Wanita Pembina, Dr. Murizah Mohd Zain.

Di rumah Dr Murizah, kami menghidupkan api untuk membakar ayam. Maka berasap-asaplah rumah beliau. Usaha dan kesungguhan peserta menghidupkan api telah berjaya menyediakan ayam bakar yang sedap walaupun warnanya agak “hitam manis”. Semua peserta menikmati juadah makan tengahhari dengan penuh selera dengan nasi panas, air asam dan ayam bakar.

Selesai menjamu selera, peserta berkumpul di ruang tamu untuk santapan rohani pula. Tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Junainah banyak menyentuh tentang tarbiyah yang telah dilalui oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang perlu setiap insan meneladaninya. Tazkirah yang bertajuk “Mengenal Rasullullah, memantapkan tarbiyah” banyak memberi makna kepada para peserta. Walaupun ringkas, tetapi ia padat dengan ilmu dan pengajaran. Diharap setiap peserta dapat mengutip iktibar dan panduan dari tazkirah tersebut.

Yang bermula pasti berakhir, begitu jugalah dengan Program Jalinan Mahabbah ini. Program berakhir selepas sesi tazkirah sekitar jam 4.15 petang. Sebelum beredar, diadakan sedikit majlis penyampaian cenderahati kepada tuan rumah dan Ustazah Junainah atas kesudian mereka meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan program ini.


Akhir sekali, terima kasih atas usaha semua pihak yang telah menjayakan program ini. Moga program sebegini akan semakin mengeratkan silaturrahim antara kita dan memberi banyak kesan-kesan tarbiyah dalam diri kita semua...Wallahua’lam…

04 March 2009

Anak kita, tanggungjawab kita




Ini adalah respon saya berkenaan dengan isu penjagaan anak-anak ketika program


Assalamualaikum w.b.t

Setelah membaca beberapa respon tentang anak-anak kita, ana terpanggil untuk sama-sama berkongsi pandangan.

Sebelum itu, ana nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ikhwah-ikhwah yang sanggup menjaga anak-anak ketika zaujah masing-masing berprogram. ana melihat perkara ini sebagai satu usaha murni ikhwah kerana kadang-kadang sanggup meluangkan masa dan terpaksa mengenepikan urusan lain hanya kerana ingin memberi laluan kepada zaujah masing-masing untuk menghadiri program tarbiyah. Ana percaya, setiap ikhwah yang sedar tentang kepentingan tarbiyah dikalangan akhawat pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu menjaga anak-anak ketika akhawat ada program, cuma mungkin pada masa-masa tertentu mrk tidak dapat membantu atas sebab2 yang tak dapat dielakkan atau mungkin juga kerana ada program bersama ikhwah student atau lain2.

Kepada akhawat, ana juga ucapkan tahniah kerana cuba sedaya upaya untuk memberi tumpuan kepada program walaupun anak-anak sentiasa mempunyai karenah yang kadang-kadang agak memeningkan para ibu.

Sebenarnya isu yang diketengahkan di sini mungkin satu isu yang agak sensitif. Bagi surirumah yang tak biasa meninggalkan anak-anak, mungkin rasa keberatan bila nak tinggalkan anak dengan orang lain, dan anak juga taknak. Dan bagi ibubapa yang bekerja sepenuh masa mungkin juga keberatan kerana terpaksa juga meninggalkan anak-anak walaupun ketika hujung minggu (sebab program selalunya hujung minggu). Bagi ana walau apa pun keputusan yang kita ambil, apa jua tindakan yang kita buat kita perlu melihat perkara ini dari banyak sudut.

Ana tertarik dengan apa yang diutarakan oleh Dr. Muri tentang anak-anak yang tidak mewarisi dakwah yang dibuat oleh ibu bapanya. Mengapa ini berlaku, sedangkan ibu atau bapanya adalah seorang da'i yang sangat hebat. Ana melihat perkara ini ada beberapa faktor.

1. Kefahaman tentang dakwah yang tidak dapat disampaikan oleh ibubapa kepada anak dengan baik
2. Anak-anak itu membenci dakwah kerana dakwah itu menyebabkan mereka sering ditinggalkan oleh ibu bapa.

Ana sebenarnya gerun nak berkongsi pandangan kerana anak-anak baru setahun jagung, tetapi ana cuba berkongsi apa yang ana pernah dapat melalui pembacaan dan kursus2 pendidikan anak2 yang pernah ana hadiri.

Dalam proses kita mentarbiyah diri dan anak-anak, ia sangat memerlukan keseimbangan. Jangan biarkan berlaku, ibu bapa sibuk dengan program manakala anak-anak sibuk dengan hal masing-masing. Jika kita pulang dari berdakwah, layanilah kemanusian anak-anak dengan penuh keseronokan dan kemesraan walaupun tugas-tugas kita diluar sana sudah terlalu melelahkan. Apa yang kita perlu sedar, anak kita ialah manusia yang perlu kita raikan kemanusian mereka. Mereka perlukan perhatian, mereka perlukan ibubapa yang mendengar cerita-cerita mereka. Jika hendak meninggalkan mereka untuk ke program, luangkanlah masa yang berkualiti bersama-sama mereka. Bermain bersama, menyanyi bersama, mandi bersama, makan bersama dan apa jua aktiviti yang menggembirakan mereka. Selalu katakan kepada mereka "ummi sayangkan kamu atau ayah sayangkan kamu."

Jangan sampai anak-anak merasakan bahawa mereka tiada nilai disisi ibu bapa mereka. Bila balik dari kerja, duduk rehat-rehat lepas tu keluar semula untuk aktiviti dakwah. Sehinggakan anak-anak merasa mereka selalu ditinggalkan kerana ibu bapa sibuk berdakwah. Disamping itu, ibu bapa perlu memahamkan anak-anak kenapa mereka perlu keluar berdakwah. Jangan sekadar berkata "ayah pergi berjuang atau ibu pergi usrah". Bagi anak-anak yang belum faham erti perjuangan, kata-kata itu hanyalah sia-sia.

Pastikan juga, sebelum kita tinggalkan mereka keperluan emosi mereka telah kita penuhi, biarlah kita tinggalkan mereka dalam keadaan mereka merasakan bahawa ibu bapa mereka amat mengasihi mereka. Katakan kepada mereka bahawa mereka sentiasa dihati kita. Jika kita tak sempat memenuhi keperluan emosi mereka mungkin kita boleh bawa ke program tetapi dengan syarat mereka perlu mengikut peraturan yang kita tetapkan (tapi jangan selalu). Dan ana minta ikhwah dan akhawat lain boleh berlapang dada dengan kehadiran si kecil ini kerana mungkin inilah juga masa untuk kita berlapang dada sesama ikhwah/akhawat yang mungkin tak sempat nak uruskan anak mereka. Mungkin inilah juga masanya untuk kita sama-sama didik anak-anak ikhwah/akhawat untuk menghormati majlis kita. Apa yang penting tiada pihak yang mengambil kesempatan atas sangka baik sahabat-sahabat kita.

Bagi ibu yang tidak bekerja (yang sentiasa bersama anak2) pula, belajarlah meninggalkan anak-anak. Ana pasti anak-anak akan meraung-raung supaya tidak ditinggalkan, tetapi sedarlah wahai ibu yang amat penyayang, "anakmu sedang mengujimu". mereka sedang mengujimu sejauh mana kecekalan dirimu. dan sejauhmana dirimu tertewas dengan tangisan mereka. Sepanjang ana berkecimpung dalam dunia tadika, rekod yang paling hebat ialah seorang pelajar yang menangis dari pagi hingga petang selama sebulan,tetapi ibu bapanya sangat tegas, datang ke sekolah dan hantar anak, kemudian balik. Selepas sebulan berlalu, pelajar itu boleh ke sekolah dengan penuh riang gembira. Cuma apa yang perlu kita lakukan hanyalah keraskan hati, lalu tinggalkan mereka. Nampak kejam tetapi itulah sahaja cara untuk anda pastikan anak-anak belajar untuk bergaul dengan orang lain. Dan percayalah, jika anda menunggu mereka di tadika, proses mereka menyesuaikan diri akan jadi lebih lama dan lambat.

Ana juga sangat berterima kasih kepada biro wanita kerana berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah anak-anak ini. Insya Allah ana akan cuba tanya guru-guru ana, tetapi setelah beberapa kali bertanya untuk program-program yang lalu, biasanya mereka keberatan kerana kepenatan bekerja di siang hari. Untuk pengetahuan semua, ada beberapa pelajar ana yang dijemput oleh ibu bapa mereka menjelang maghrib dan kadang-kadang sehingga jam 8 malam. Maka, untuk mengharapkan mereka menjaga pula anak ikhwah akhawat sampai ke sebelas malam adalah sesuatu yang membebankan mereka. Jika program hujung minggu pula, mereka selalunya memang nak balik kampung. Ana sudah cuba beberapa kali minta mereka mengiring pelajar kami ke program aulad, itupun kadang-kadang tidak berjaya. Ana mohon maaf andai guru-guru ana tidak dapat membantu, namun ana akan cuba juga bertanya kesediaan mereka untuk menjaga anak-anak akhwt jika ada program nanti. Panjang pula bicara ana kali ini. Ia hanyalah sekadar perkongsian. Moga ada manfaat dan jika ada silap ana mohon ampun dari Allah s.w.t dan dari ikhwah dan akhawat semua. Wallahu a’lam…

03 March 2009

Apa yang penting! Kerjasama!

Alhamdulillah, berkat kerjasama ikhwah dan akhawat Kursus Kecemerlangan Solat yang telah diadakan pada hari Jumaat 27 Februari lalu telah berjalan dengan lancar. Walaupun kegusaran jelas kelihatan di wajah beberapa akhawat, namun kehadiran peserta yang hampir memenuhi dewan telah mengubat hati semua.

Kami sangat bersyukur kerana program terbuka bersama belia-belia kedah yang pertama kali dianjurkan ini mendapat sambutan hangat di kalangan belia-belia di negeri ini. Ia bukan sahaja memberi semangat kepada kami untuk terus melaksanakan dakwah, tetapi sebenarnya memberi gambaran kepada kita bahawa sebenarnya masyarakat sangat menunggu-nunggu program kerohanian seumpama ini.

Jika sebelum ini kita merasa sedikit bimbang sama ada boleh melakukan atau tidak penggarapan massa, alhamdulillah program ini juga memberi sedikit keyakinan bahawa dengan kerjasama dan kesungguhan semua pihak, program-program penggarapan massa yang kita rancangkan dapat dilaksanakan.

Syabas diucapkan kepada semua penggerak. Moga proram ini menjadi satu batu loncatan kepada kita untuk terus bergerak dengan lebih dinamik demi dakwah yang kita cintai ini.