28 October 2010

Masa untuk bekerja!

Perit sungguh jiwa saya apabila saya terbaca satu laporan yang mengatakan bahawa perancangan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.


Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, ETP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Saya beristighfar panjang. Dangkal sungguh cadangan tersebut. Hanya kerana inginkan dunia, manusia sanggup menggadaikan akhiratnya.

Tidak cukupkah lagi dengan gejala sosial yang makin sukar dibendung? Tidak cukupkah lagi dengan pembuangan bayi yang tidak terhitung? Tidak cukup lagikah remaja-remaja yang hamil luar nikah?

Bagi umat Islam di Malaysia, marilah sama-sama kembali kepada cara hidup islam. Tinggalkanlah cara hidup yang berpaksikan yahudi dan nasrani. Muhasabahlah kembali, adakah kita sudah menjadi muslim yang sejati.

Akhir-akhir ini pelbagai peringatan dari Allah di dalam bencana-bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Banjir besar, letusan gunung berapi, goncangan gempa bumi, tsunami yang menenggelami, dan seribu satu macam lagi ancaman-ancaman yang telah diberikan. Usahlah kita menjadi manusia yang sombong lagi lalai. Kembalilah segera, bertaubatlah kita kepadaNya.

Bagi para Da'ie, sekarang waktu untuk kita bekerja, telah berlalu waktu lena, sesungguhnya tugas yang tergalas dibahu terlalu berat untuk kita pikul. Namun, Allah pasti akan menghitungnya.

":Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo`a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir".

26 October 2010

Adik suka, kakak gembira!

“Aaaaaah… Aaaaah… Aaaaah…” Adik khadijah menjerit sambil jari kecilnya menarik-narik gula-gula lollipop yang sedang di pegang kakak Humaira’.


“Ni kakak punya!” Humaira’ menjerit dan menarik kembali gula-gula lollipop kesukaannya yang dibeli suami saya yang berjanji setelah dia berjaya pergi solat subuh di surau pagi tadi.

Sorong tarik, sorong tarik. Adegan itu tidak berhenti kerana tiada siapa mahu mengalah. Adik khadijah menarik sepenuh hati sambil mengetap bibir. Bersungguh-sungguh benar dia untuk memenangi perebutan itu. Kakak pula mula mengeraskan tangan, juga tidak mahu tewas dengan tarikan adik Khadijah.

Ayah hanya melihat sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Mmm kenapalah abang beli satu sahaja lollipop tu? Lain kali ayah belilah dua, kan anak kita dah ada dua…” Saya mengomel

“Itu la… abang pun tak terfikir pula nak beli dua. Dah janji dengan Humaira, ayah beli satu sahaja la… Aduhai silap la pula… Ibu selesaikanlah, ayah tak reti dah ni” Keluh suami saya dengan kerutan yang sengaja dibuat di dahi

“Ish, ish, ish budak-budak ni!” bentak saya dalam hati. Otak saya ligat mencari jalan supaya wujud situasi menang-menang untuk mereka berdua.

“Ahah! Sudah datang satu idea!” Jerit saya di dalam hati

“Baiklah anak-anak ibu, beri kepada ibu gula-gula lollipop itu. Ibu nak buka pembalutnya” Saya menghulurkan tangan meminta gula-gula lollipop tersebut. Masing-masing memandang ibu tanpa ada reaksi, lalu menyambung semula acara tarik menarik tadi. Adik menangis, kakak yang tidak mahu kalah juga menangis. Mungkin sama-sama mahu menarik simpati. Suasana menjadi gamat dengan jeritan mereka berdua.

“Perlu lakukan sesuatu supaya mereka pandai berkongsi!” Detik hati saya

“Kakak, kakak sayang adik kan?” saya bertanya.

Angguk tidak, geleng pun tidak, mungkin bimbang jika saya akan mengambil gula-gula tersebut dan memberi kepada adik semuanya sedangkan di dalam kepala saya, ada perancangan lain.

“Macam ni, kita kongsi ramai-ramai gula-gula lollipop ni, Kakak Humaira’ dapat, adik Khadijah pun dapat. Okey tak?” Saya berbisik ke telinganya.

“Cepatlah sayang! Ibu buka plastik tu lepas tu kita kongsi sama-sama. Sharing is caring!” Saya berkata dengan penuh ceria kepadanya. Sedangkan adik, masih dengan tangisan mahukan gula-gula tersebut. Mmm apalah yang Khadijah faham dalam usia setahun, yang dia tahu hanyalah mahukan apa yang dia nampak itu.

Setelah dipujuk beberapa kali, akhirnya Humaira’ mengalah juga untuk memberi kepada saya gulu-gula lollipop berwarna merah itu. Sementara saya membuka pembalut plastik, adik khadijah terus-terusan menjerit mahukan gula-gula, Humaira’ pula menanti penuh sabar tetapi dengan wajah penuh kebimbangan. Bimbang akan kehilangan gula-gula kegemarannya itu.

“Baiklah! Sekarang masa untuk berkongsi, setiap orang akan dapat hisap lollipop ni, ibu kira sampai lima, lepas tu kena bagi orang lain pula. Faham?” saya menerangkan peraturannya dan bertanya kepada kedua anak-anak saya itu. Walaupun Khadijah masih kecil dan mungkin belum memahami apa yang saya katakana, tetapi dia akan faham melalui perbuatan saya sebentar sahaja lagi.

“Humaira’ pegang lollipop ni, ibu akan kira sampai lima tau! Bila dah lima kakak bagi adik pula, lepas tu kakak pula, lepas tu adik, kakak, adik, kakak. Boleh?” Sekali lagi saya menerangkan kepada anak kecil saya itu dan bertanya persetujuannya.

Humaira’ mengangguk dan tersenyum

“Satu, dua, tiga, empat, lima. Okey bagi kepada adik pula.” Humaira’ yang sedang asyik menghisap lollipop teragak-agak ingin menyuakan gula-gula itu kepada adiknya. Saya pegang tangannya dan memasukkan lollipop ke mulut adik.

“Satu, dua, tiga, empat, lima. Giliran kakak pula.” Saya menarik lembut lollipop dari mulut adik. Adik Khadijah menjerit tetapi saya tidak hiraukan, biar dia belajar untuk berkongsi

“Satu, dua, tiga, empat, lima, adik pula.” Saya tarik dari mulut kakak masuk ke mulut adik, dari mulut adik ke mulut kakak dan begitulah seterusnya. Walaupun pada mulanya agak sukar, tetapi lama-kelamaan setelah mereka memahami bahawa setiap orang akan terima gilirannya, masing-masing berkongsi dengan penuh keseronokkan dan penuh harmoni. Wah! Seronoknya bila dapat sama-sama mengecapi apa yang disukai! Adik suka, kakak gembira…



Mutiara buat ibu bapa

Pertelagahan antara anak-anak memang lumrah di dalam kehidupan berkeluarga. Kita sebagai ibu bapa harus bijak di dalam menanganinya supaya setiap anak pandai untuk bertolak ansur dan bertimbang rasa. Tidak perlu tindakan kekerasan, hanya perlu kreatif untuk menyelesaikan pertelingkahan. Ibu bapa akan lega, anak-anak pun tidak terluka hati dan perasaan mereka.

24 October 2010

Kita sedang membina insan

“Kak, macammana saya nak buat dengan anak-anak saya, dah lah degil, buas dan lasak pula tu. Ya Allah… penat sangat rasanya, nak marah, pukul dan tengking pun tak guna dah kak. Kalau dengar pun dua saat je, lepas tu dia buat semula.. macammana ya kak” Keluhan yang maha berat itu keluar satu persatu dari bibirnya. Matanya memandang jauh ke dada tasik seolah-olah meminta simpati sang camar yang berterbangan agar membawanya bersama menjelajahi angkasa supaya dapat meringankan sedikit beban di fikirannya.


Ketenangan yang terpancar petang itu, adalah lantunan daripada ketaatan dan zikir dari pohon-pohonan, tasik nan terbentang, sang burung dan lain-lainnya. Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Lantaran tasbih dan ketaatan apa yang di langit dan dibumi itulah, kami tika ini bagai tenggelam di dalam rahmat ilahi, tenang dibuai hembusan angin yang sedang menunaikan janji kepada tuhannya.

“Anak saya tu baru berumur tiga tahun, tetapi tak nak dengar kata saya. Tak retilah nak buat macammana.” Keluhan itu mengembalikan semula saya dunia nyata.

“Jadi apa yang ina harapkan dari anak kecil itu?”

“Saya naklah dia ikut cakap saya, jangan nakal-nakal, saya balik kerja dah lah penat, nak kemas rumah lagi, nak memasak lagi, lepas tu dia buat perangai dan macam-macam. Tu yang saya tak tahan, dia tak faham ke yang saya ni penat? Sekejap nak itu, sekejap nak ini, naik angin juga saya dibuatnya!” luah Ina lagi.

“Kak, bantulah saya kak, saya tak mahu keadaan ini berterusan. Saya sayangkan anak-anak saya!”

Sudah menjadi lumrah ibu bapa, inginkan anak-anak yang mendengar kata. Bak kata orang, anak yang sejuk dikandung ibu. Namun sejauh mana usaha kita untuk menjadikan mereka penyejuk mata kita?

“Ina, tahniah akak ucapkan kerana ina bersungguh-sungguh mencari penyelesaian untuk masalah anak-anak ini. Dan bersyukurlah kepada Allah kerana Allah mengurniakan hati yang sensitif kepada kita tentang tabiat negatif anak-anak.”

“Begini Ina, anak-anak sebenarnya sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Di dalam menangani masalah anak-anak, apa yang perlu kita lakukan bukan mencari apa yang anak kita lakukan, tetapi kita perlu melihat bagaimana kita melayani mereka. Cubalah kita bayangkan, bila kita bekerja, pagi-pagi lagi kita dah hantar mereka ke nursery atau tadika. Petang baru kita ambil. Setelah seharian kita tinggalkan mereka bersama dengan orang lain, bila balik kita sibuk dengan kerja-kerja rumah pula. Jadi bilakah waktunya mereka boleh dapatkan kasih sayang kita?”

“Ina, sebelum anak-anak menderhakai kita, sebenarnya kitalah yang terlebih dahulu menderhakai mereka. Bila balik ke rumah, yang keluar dari mulut kita biasanya “Kak Long pergi mandi sekarang!” “Kak Long makan!” “Kak Long itu! Kak Long ini!” Semuanya arahan dan suruhan. Bila anak-anak tak ikut, mulalah suara kita akan meninggi. Hakikatnya, anak-anak itu masih kecil ina. Tidak semua arahan dan suruhan kita akan dibuat serta merta. Dia sedang belajar tentang kehidupan. Dia sedang belajar mengutip pengalaman."

Ina hanya mampu mengangguk lesu, mungkin mengakui itulah yang terjadi saban hari di rumah. Wajahnya tertunduk ke bawah, ada nada keluhan di dalam nafasnya.

“Anak-anak kecil seusia itu sebenarnya sedang membina perasaan, jika kita sebagai ibu bapa hanya suruh itu, suruh ini, bila tak buat dimarah-marahi, takut-takut nanti kasihnya bukan lagi pada kita. Tapi kepada orang yang lebih prihatin padanya. Masa kecil ni mungkin dia akan mengadu pada kita. Tapi cuba bayangkan bila dia dah semakin meningkat remaja. Ada rakan taulan yang lebih kasih dan mudah berkongsi rasa, pasti jiwa mereka lebih cenderung kepadanya. Pada masa itu, ibu bapa hanyalah sebagai orang asing. Bukan tempat berbahagi masalah, bukan lapangan menenangkan hati yang resah. Jika dilanda masalah, akan diadu kepada orang lain yang dianggap lebih mengasihi dan memahami. Masa itu, sukar untuk kita mendekati mereka."

“Cuba kita tanya pada diri kita, dalam sehari berapa kali kita peluk dia, berapa kali kita bertanya masalah dirinya, berapa kali kita bertanya apa yang dia perlukan daripada kita, berapa kali kita berbual-bual dengannya? Berapa kali? Seringkali yang kita fikirkan hanyalah penat lelah diri kita, hakikatnya anak-anak tak tahu yang ibu dan ayahnya letih. Yang mereka tahu, mereka mahukan perhatian kita. Sebagai ibu bapa kita kena banyak sabar. Jika kita penat, ketepikanlah dahulu perasaan-perasaan itu. Tumpukan kepada manusia di hadapan kita yang lebih memerlukan kita. Anak-anak perlukan kita sebagai rakannya. Jika kita dapat membina kepercayaan mereka kepada kita, Insya Allah kita akan dijadikan tempat rujukan. Apa jua yang melanda diri mereka, kita adalah orang pertama tempat meminta nasihat."

“Merujuk kepada anak-anak Ina yang tidak mahu mendengar kata itu, sebenarnya mereka hanya ingin menarik perhatian ina dan suami. Walaupun perhatian yang diterima hanyalah marah dan tengking kita, atau tampar dan cubit kita. Mereka tidak kisah asalkan kita memberi focus kepada mereka dalam apa cara sekalipun. Mungkin kalau mereka berkelakuan baik kita buat tak tahu sahaja, jadi dia akan melakukan sesuatu agar perhatian kita terarah kepadanya. Walaupun, caranya dengan bergaduh dengan abang atau adik dan sebagainya. Mendidik anak-anak tidak perlukan kekerasan, tidak perlu kepada tinggi suara…”

Saya maraut dan mengusap-usap tangannya. Saya pandang dia dan dia membalasnya. Jelas, matanya berkaca-kaca.

“Betul tu kak, biasanya apa yang akak katakan tadi memang selalu berlaku di dalam hidup kami sekeluarga. Balik penat, suruh anak itu dan ini, bila tak ikut dimarah-marah, Ya Allah, apalah yang telah saya lakukan kepada anak-anak?” Suaranya bergetar menahan tangis yang berat di dalam jiwa.

“Jadi apa yang perlu saya lakukan? Masih belum terlambat bukan?” Dia bertanya, air mata yang sedari tadi diempang akhirnya melimpah juga.

“Insya Allah masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan lagipun anak-anak ina masih kecil. Apa yang perlu Ina lakukan, pertama sekali, mohonlah keampunan daripada Allah s.w.t atas kelemahan kita yang lalu dalam mendidik anak-anak. Mohon sungguh-sungguh dengan Allah supaya Allah tunjukkan kita jalan untuk mendidik anak-anak yang diredhaiNya.”

“Yang kedua, Ina dan suami mesti ingat bahawa anak-anak amat memerlukan kasih sayang kita. Tunjukkanlah kasih sayang kita kepada mereka, peluklah mereka sentiasa, sekurang-kurangnya empat kali sehari lebih baik kalau dua belas kali, katakan juga kepadanya bahawa kita sangat-sangat sayangkan mereka. Luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak samaada dengan bermain bersama, makan sambil berbual-bual bersama, berkebun bersama, memasak bersama, berbasikal bersama, jogging bersama atau apa juga aktiviti yang menyeronokkan. Jika mereka buat perangai, tanya dia jika kita boleh membantu dia menyelesaikan masalahnya. Biasanya, anak-anak tidak pandai untuk bercerita apa yang sedang dialaminya, sebab tu dia cuba menunjukkan ketidak selesaannya. Jadi kita perlu sentiasa bertanya apa yang dia mahukan.”

“Jika mereka melakukan kebaikan, pujilah kebaikan mereka itu seolah-olah kebaikan itu amat besar maknanya kepada kita. Jika dia masukkan baju kotor di dalam mesin basuh sebagai contoh, mungkin Ina boleh katakan kepadanya “Masya Allah, solehnya anak ibu hari ni, masukkan baju dalam mesin, Ya Allah, ibu sayang adik hari ini, terima kasih ya sebab masukkan baju ke dalam mesin.” Kemudian peluklah dia. Berikan ganjaran atas perbuatan baiknya itu. Pelukan itu pun sudah cukup sebagai ganjaran”

“Boleh ke anak-anak dengar cakap kita kalau kita asyik berlembut sahaja?” Tiba-tiba Ina bertanya, matanya tepat menala ke mata saya.

“Insya Allah… Ina tahu tentang kisah Rasulullah bukan? Dakwahnya sangat lembut. Bahkan baginda juga menganjurkan supaya umatnya menggunakan kaedah secara baik dan lembut terhadap anak-anak. Di dalam Al-Quran pun Allah suruh kita berlemah lembut, jika kita bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari kita. Kita kena banyak maafkan mereka dan berbincanglah dalam menyelesaikan masalah.”

Saya teringat ayat Allah di dalam surah ke tiga ayat 159

“Jika dia melakukan sesuatu kesalahan, jangan cepat-cepat marah atau pukul dia. Alangkan kita yang sudah dewasa ini pun selalu membuat kesalahan, inikan pula si dia yang masih kecil dan belum matang itu. Nasihati dia penuh kasih sayang. Jika dia pukul adiknya sebagai contoh, katakan padanya, “Sayang tak boleh pukul adik tau. Allah tak suka, ibu dan ayah pun tak suka, lagi pun kasihan adik, sakit adik, tak nak pukul adik lagi ya. Abang soleh kan?” Satu perkara yang perlu kita ingati, janganlah kita sangka dengan sekali nasihat sahaja anak-anak akan terus jadi baik. Ia tidak semudah itu kerana kita sedang membina jiwa manusia yang ada nafsu dan akal, bukan robot yang boleh diprogramkan mengikut spesifikasi yang kita mahukan. Ulangilah nasihat-nasihat seperti ini. Kita perlu ulang nasihat ini pada waktu-waktu yang mana anak-anak boleh menerimanya seperti sebelum tidur, selepas mandi, selepas solat, selepas makan dan ketika anak sedang tenang. Jangan biasakan marah dan menengking anak, jika sudah terbiasa nanti, kita marah pun dia dah tak rasa apa-apa lagi.”

“Jadi kita tak boleh pukul anak-anak ya kak?”

“Boleh, tetapi ia adalah yang terakhir setelah apa yang akak katakana tadi kita dah buat. Tetapi… Akak pernah membaca buku Profesor Dr Saedah Siraj yang bertajuk Pendidikan anak-anak. Dia kata sekatan kepada harga keseronokan merupakan hukuman paling berkesan dan baik untuk mendidik anak-anak.”

“Apa harga keseronokan? Ish! Tak pernah dengar la pula. Apa tu kak?” Dia bertanya, hairan agaknya dengan istilah itu, dengar pun tak pernah bagaimana pula nak melaksanakannya?

“Begini di dalam usia anak yang masih rebung, kita disarankan mendidik mereka dengan kaedah nasihat dan menyuruh anak-anak secara baik, tanpa marah atau memukul. Sekiranya mereka tidak melakukan apa yang ibu bapa suruh, ibu bapa boleh mengambil salah satu dari langkah-langkah sekatan terhadap harga keseronokan yang akak sebut tadi.”

“Apa langkah-langkahnya?” tak sabar gayanya ingin mengetahui.

“Pertama, melarang mereka bertemu kawan-kawan. Kedua, menyekat mereka dari bermain dan yang ketiga menyekat mereka daripada mendapat perhatian ibu bapa, kita menyekat mereka dalam beberapa waktu yang tertentu dan tidak begitu lama.” Jelas saya panjang lebar

“Ooo… begitu rupanya. Mmm banyak sungguh kesilapan saya dalam mendidik anak-anak. Saya ingatkan dengan marah dan hukuman tu dapat mendisiplinkan mereka. Rupa-rupanya banyak lagi cara lain yang lebih baik. Nampak sangatlah, yang bermasalah bukan anak-anak, tetapi ibu bapa seperti saya ni. Insya Allah, lepas ni saya akan cuba laksanakan saranan-saranan akak tadi. Kak! Jom kita balik! Tak sabar rasanya saya nak peluk anak-anak saya tu!”

“Okey! Tapi ada satu lagi yang paling penting!”

“Eh! Ada lagi?”

“Ya laaa… selain daripada kita usaha, perkara yang paling penting ialah ibu bapa mesti doakan anak-anak. Jangan hanya berdoa “ Ya Allah, jadikanlah anak-anakku soleh dan solehah.” Tetapi kita perlu berdoa secara yang lebih spesifik seperti “Ya Allah, jadikanlah anakku Aiman orang yang rajin solat, jadikanlah dia orang yang rajin belajar, jadikanlah dia anak yang berbakti kepada ibu bapa dan jadikanlah dia penyejuk mata kami.” Bukankah doa ibu itu doa yang mustajab? Jadi mari kita serahkan anak-anak kita kepada Allah yang memegang hati-hati manusia. Kadang-kadang kita ni sombong dengan Allah, doa pun tak mahu. Jika ingin lebih baik, kita doa kuat-kuat selepas solat berjemaah bersama supaya anak-anak kita dengar, insya Allah lembut hati mereka ketika mendengar doa kita itu. Akak, kalau Humaira’ tu buat sesuatu yang akak tak suka, akak akan berdoa kuat-kuat supaya dia dengar, insya Allah lepas-lepas tu dia akan berubah dengan cepat.”

“Masya Allah kak! Saya rasa seperti sebiji batu besar yang menghempap dada saya sejak sekian lama sudah terlepas dari saya. Jom! Tak sabar saya nak jumpa anak-anak ni!” Dia berkata dengan penuh semangat. Ditariknya tangan saya menuju ke tempat parkir dengan wajah yang berseri-seri.

Moga ada sinar selepas ini, dan semoga anak-anak kami akan menjadi manusia yang hebat dan soleh, yang akan menjadi khalifah terbaik di muka bumi. Amin Ya Rabbal Alamin…

23 October 2010

Iktibar dari Taif

“Uwaaaaa… Uwaaaa… Ibuuuuuuu…” Raungan humaira’ bergema menerobos ke pendengaran saya yang sedang sibuk memasak di dapur. Lantas saya meluru ke pintu hadapan mendapatkannya. Hati saya berdegup kencang, sedang dalam fikiran sedang menepis tanggapan-tanggapan negatif yang berkunjung menyapa minda.


“Ya Allah! Kenapa ni sayang?” Saya terjerit kecil tatkala Humaira’ terhencut-hencut menghampiri saya. Kelihatan seluar panjang berwarna jingga yang dipakainya sudah terkoyak di lutut. Lututnya berdarah, ada kesan geseran dengan jalan tar. Rembesan airmata makin deras berguguran sepeti hujan lebat yang turun selepas kemarau panjang.

“Huuuu…Huuuu…Huuu… Sakiiiiit….” Dia menangis kesakitan. Ditunjukkan pula telapak tangan yang bercalar balar kerana terseret di atas jalan. Melekat juga pasir-pasir halus di celahan luka-luka tersebut.

“Astaghfirullah… Humaira’ jatuh di mana ni?” Tubuh kecilnya itu saya dakap penuh kasih sayang. Saya usap belakang badannya. Dia masih menangis kesakitan.

“Humaira’ jatuh basikal depan rumah Ayong… Huhuhu… Humaira’ nak pusing depan tu, tiba-tiba Humaira’ jatuh… Lutut Humaira’ sakit, tangan ni pun sakit… Huk… Huk…” Jelas Humaira’ dalam sendu yang masih ada. Mungkin sudah tenang sedikit selepas didakap saya tadi.

“Ooo begitu, Kasihan sungguh anak ibu… Jom kita masuk ke dalam, kita basuh luka ni, kita mandi dulu, kemudian ibu sapukan minyak gamat ya… Sebelum tu, Humaira’ minum air dulu, bagi lega sikit sakit tu.” Saya menariknya ke dapur dan menuangkan air kosong kepadanya. Menurut pakar perubatan, orang yang mengalami kemalangan akan terhidrasi. Jadi kita perlu memberi mangsa kemalangan air minuman bagi mengembalikan bendalir di dalam badan.

Humaira’ menangis dan meraung-raung ketika saya membersihkan lukanya. Humaira’ memang jenis yang tidak tahan sakit dan manja. Luka sikit pun dia akan menangis, inikan pula luka sebegini. Saya mencari-cari bicara-bicara tarbiyah untuk menjadikan dia lebih tabah mengharungi ujian kehidupan. Saya akan menunjukkan simpati, tetapi saya tidak mahu kemanjaannya itu akan menjadikan dia manusia yang lemah. Saya harus mengajarnya agar lebih tahan lasak. Sudah sunnah orang yang berjuang, pasti akan disakiti dan dilukai. Perkara ini mesti dipasakkan di dalam hati dan jiwanya sejak kecil lagi.

“Sakiiiit… Sakiiiit…” Humaira’ mengaduh ketika saya menyapukan ubat gamat di kawasan yang luka. Bila ditelek-telek, kecederaannya tidaklah teruk sangat.

“Ya sayang, ibu tahu Humaira’ sakit… Sabar ya, sikit saja ni…” Saya cuba memujuk

“Tapi sakit sangatlah ibu... Auch! Auch!” Terjerit dia apabila tangan saya menyentuh kulitnya kerana meratakan minyak gamat.

“Mmm memanglah sakit, tapi kalau kita sabar, Allah bagi banyak pahala tau!” saya memberi motivasi kepadanya agar tidak mengaduh lagi.

“Auch! Auch!” Dia mengaduh lagi

“Humaira’ nak dengar tak cerita berkenaan dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang sabar ketika ditimpa kesakitan?” Saya ingin mencuri tumpuannya yang sekarang ini memfokus kepada kesakitan yang sedang dialami. Mudah-mudahan dia dapat belajar sesuatu dari kisah Rasulullah s.a.w. ini.

“Masa dulu, Rasulullah pun pernah berdarah juga tau!” Ujar saya kepadanya yang masih menelek-nelek tapak tangan yang cedera itu.

“Hah? Rasulullah jatuh juga ke ibu?” Umpan saya nampaknya berjaya, dia memberi respon walaupun matanya masih tertancap pada luka yang masih berlumuran minyak gamat di lutut pula.

“Taaaak… Rasulullah berdarah bukan sebab jatuh, nak dengar cerita macammana Rasulullah baleh berdarah?”

“Nak! Nak!”

“Begini ceritanya, Pada suatu hari, Rasulullah pergi ke Taif. Taif tu nama satu tempat berhampiran kota Mekah. Rasulullah pergi ke Taif untuk mengajar manusia tentang islam. Masa tu, semua orang sembah patung. Boleh tak kita sembah patung?” saya bercerita diselang selikan dengan soalan-soalan mudah.

“Ish.,. mana boleh kan ibu. Kita kena sembah Allah.” Dia menyambut soalan saya

“Betul tu! Kita tak boleh sembah patung, mesti sembah Allah sahaja. Tetapi, pada zaman tu, ramai sangat orang yang sembah patung. Rasululullah pun pergilah ke Taif untuk mengajak manusia sembah Allah. Tiba-tiba! Sampai sahaja Rasulullah di Taif! Humaira’ tahu apa yang orang Taif buat kepada Nabi kita?”

“Dia buat apa ibu?” Dia semakin tertarik dengan cerita saya

“Orang-orang Taif tu, mereka membaling Rasulullah dengan batu. Dah la ramai! Semua baling batu kepada Rasulullah! Berdarah-darah kaki Nabi. Bukan sikit macam Humaira’ tadi, tapi darah tu banyaaak sangat sampai basah kasut Nabi dengan darah! Kasihan Rasulullah kan?” saya menarik simpatinya kepada Rasulullah s.a.w.

“Ya Allah… Kasihannya! Kenapa orang baling Nabi Muhammad dengan batu ibu?”

“Tu lah… Mereka tak suka kepada Nabi Muhammad sebab Nabi Muhammad tak bagi mereka sembah patung. Rasulullah suruh mereka sembah Allah sahaja. Mereka marah, sebab tu lah mereka baling Rasulullah dengan batu. Masa kaki Rasulullah berdarah-darah tu, Rasulullah SABAR sangat! Rasulullah tak mengaduh-aduh pun walaupun kaki Rasulullah sakit. Oleh sebab itu, kalau kita sakit, kita kena banyak sabar. Kita kena jadi orang yang kuat macam Rasulullah.” Saya mengaitkan dengan situasi Humaira’ tika ini yang sedang kesakitan agar dia tahu apa yang dialaminya itu tidaklah sebesar mana.

“Humaira’ nak jadi macam Rasulullah tak?” Saya bertanya lagi

“Nak…” Perlahan sahaja suaranya, seiring dengan matanya yang makin layu.

“Ok kalau Humaira’ nak jadi macam Rasulullah, Humaira’ kena sabar ketika sakit. Tak boleh merungut. Kalau sakit saja Humaira’ kena ingat Allah banyak-banyak dan berdoa, Ya Allah, sembuhkanlah Humaira’.” Saya mengaitkannya dengan pergantungan dengan Allah. Saya memandang wajah mulusnya itu. Dia mengangguk-angguk perlahan, matanya semakin layu dan layu, sedang menuju ke alam mimpi…

“Okey, okey nanti Humaira’ sabar ya…” Katanya dengan suara yang tenggelam timbul, entah sedar atau tidak, hanya Allah yang tahu.

“Tidurlah anakku sayang, moga hari esok menjadikanmu lebih kuat dan lebih tabah berbanding hari ini.” Bisik hati saya sambil mengucup dahi permata hati saya itu.

21 October 2010

Nasi beratur

“Ya Allah Humaira’, sayang nasi tu, makanlah sampai habis…” saya memujuk dia agar menghabiskan nasi lauk sotong masak kicap yang hanya berbaki sedikit.


“Humaira’ tak larat dah ni…” Dia cuba bernegosiasi dengan saya

“Ish kesian lah nasi tu, menangis lah dia nanti.” Saya cuba lagi memujuk. Suami saya yang duduk di sisi Humaira’ sedang khusyuk bersantap.

“Humaira’ takmau la ibu, nasi ni pedas! Haa! Haa!” Dia menekup mulut seperti orang kepedasan

“Eh mana ada pedasnya, sebiji lada pun ibu tak masuk dalam tu. Pedas datang mana pulak?” Saya sudah mula kurang sabar dengan karenahnya.

Humaira’ memang dari kecil lagi susah makan. Buat ini tak mahu, buat itu tak mahu. Kadang-kadang susah hati juga dibuatnya. Macam-macam menu telah dicuba, walau bagaimana sedap sekalipun hanya secubit dua yang sudi masuk ke mulutnya. Seringkali juga saya seperti berperang dengannya semata-mata untuk menghabiskan nasi atau bubur yang cuma suku mangkuk. Mengejarnya ke sana dan ke mari sewaktu makan memang sudah menjadi kebiasaan, Cuma semakin dia membesar kami ajar dia supaya makan di atas meja makan bersama kami, agar lebih mudah diurusi. Nasi yang saya hidangkan kepadanya tadi hanya setengah senduk, itupun mengambil masa yang begitu lama untuk dihabiskan.

“Kalau Humaira’ tak habiskan nasi tu, tak payah pergi main petang nanti.” Akhirnya saya terpaksa mengeluarkan kata-kata ugutan setelah pujukan saya tadi seperti mencurah air ke daun keladi. Wajahnya semakin kelat. Saya buat-buat tak nampak. Di dalam hati saya menahan geram.

“Okey Humaira, kita buat nasi ni beratur lah… Lalalala… Dia beratur nak masuk rumah diaaaa…” Tiba-tiba suami saya bersuara sambil jemarinya mengumpulkan nasi-nasi di dalam pinggan itu menjadi beberapa kumpulan kecil sesuai dengan mulut kecil si Humaira’

“Tolong! Tolong! Saya nak masuk rumah awak juga! Jangan tinggalkan saya!” Suami saya mencubit sesuap nasi yang telah dikumpulkan tadi lalu disuakan ke mulut Humaira’. Humaira yang seronok mendengar lakonan ayahnya yang bersuara halus ala-ala doremon tergelak kecil. Dinganga mulutnya luas-luas untuk menerima suapan dari ayahnya itu.

“Okey yang ni pula! Alamak dia tertinggal pula kawan dia yang nama Kak Tong ni. Cepat! Buka mulut besar-besar saya nak terbang masuk mulut awaaaaakk! Zrooom…” Satu lagi suapan masuk ke mulut Humaira. Humaira melayaninya dengan penuh kegirangan. Tersengih-sengih dia mengunyah nasi yang memenuhi mulutnya.

“Kreatif juga suami saya ni.” Bisik saya

“Baiklah! Sekarang tibalah masanya kumpulan terakhir untuk terbang masuk ke rumah dia… Saya nak jumpa kawan-kawan di dalam perut Humaira’! Aaauuum…” Humaira’ yang telah sedia ternganga menerima kumpulan nasi yang terakhir itu. Licin sudah nasi Humaira’, tanpa paksaan tetapi penuh kegembiraan dia habiskan nasi lauk sotong tengahhari itu.

12 October 2010

Nak tengok Allah, Boleh?

“Ibu, ibu, kenapa kita tidak boleh nampak Allah?” Humaira’ nak tengok Allah…” Suara Humaira menerobos ke pendengaran saya tatkala saya sedang khusyuk menghadam buku motivasi Rich Dad Poor Dad yang telah pernah saya khatamkan sebelum ini. Dia menopang dagunya menanti soalan tersebut dijawab.


Terkejut saya dibuatnya, tiba-tiba sahaja muncul, rasa-rasanya baru sebentar tadi saya mendengar dia sedang bergurau senda dengan suami tercinta. Adik yang sudah lama diulit mimpi, mengeliat kerana kakak tertindih sedikit tangannya. Saya membetulkan baring adiknya dan terus menutup buku yang sedang asyik dibaca. Ini persoalan penting, maka saya mesti melayani Humaira’ terlebih dahulu. Buku tersebut bila-bila masa saya boleh menyambungnya semula.

“Humaira’ nak tengok Allah?” Saya bertanya semula, dia hanya mengangguk dalam keadaan dagu yang masih ditopang.

“Kita tak boleh tengok Allah…” Saya memulakan penerangan

“Kenapa pulak?

“Sebaaaab… Allah itu saaaangat hebat! Manusia tak akan sanggup melihatnya. Humaira’ nak dengar cerita tentang Nabi Musa tak? Nabi Musa pun dulu-dulu nak tengok Allah juga.”

Teringat saya tentang kisah Nabi Musa yang dinukilkan di dalam Surah Al-A’raf ayat 147.

“Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau". Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihat-Ku". Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pingsan. Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertobat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman".

“Nak! Nak! Nak!” Humaira’ menjerit keseronokan.

“Pada satu zaman dahulu, ada seorang nabi, namanya Nabi Musa. Pada satu hari, Nabi Musa teringiiin sangat hendak berjumpa dengan Allah s.w.t. Lepas tu dia pun berdoalah kepada Allah. “Ya Allah, tunjukkanlah diri Engkau ya Allah supaya aku boleh melihatMu.” Begitulah doa Nabi Musa, dia minta nak tengok Allah s.w.t. Tapi… Humaira tahu tak apa yang terjadi selepas tu?” Saya bercerita siap dengan aksi orang yang sedang berdoa. Humaira’ mendengar dengan begitu khusyuk.

“Hah! Pastu macammana ibu?” tak sabar gayanya nak tahu apakah yang terjadi selepas itu.

“Haaa… Selepas Nabi Musa berdoa, Allah pun berkata-katalah kepada Nabi Musa “Wahai Musa, kamu tak akan sanggup melihatKu, cuba tengok gunung itu jika dia tetap sahaja begitu, maka dapatlah kamu melihatKu.” Humaira’ yang teruja, mendekatkan dirinya kepada ku

“Tiba-tiba! Pom! Hancur gunung itu kerana kehebatan Allah s.w.t. Nabi Musa pula pengsan.” Saya menguatkan kesan bunyi agar cerita tersebut lebih berkesan. Tangan saya juga menggayakan seperti sesuatu benda pecah

“Haaaaa!!! Sampai pecah gunung tu?” Ternganga-nganga mulut si kecil itu. Jika ada lalat yang lalu, mungkin sampai ke tekak perginya.

“Iya… Sudah la gunung tu pecah, Nabi Musa pun pengsan sebab tak sanggup melihat Allah yang sangat-sangat hebat itu. Masya Allah… Hebat sungguh Allah!”

“Tidak lama setelah itu, Nabi Musa pun tersedar dari pengsan, selepas itu, dia merasa sangat menyesal kerana memohon kepada Allah perkara sedemikian. Dan Nabi Musa pun bertaubat memohon ampun dari Allah dan dia pun berimanlah kepada Allah s.w.t” Saya menyudahkan cerita tentang nabi musa.

“Ooo… jadi kita tak boleh lah tengok Allah lah ya?” Humaira bertanya lagi

“Boleh! Tapi di syurga la… Masa di dunia ni memang tak boleh.” Saya memberi harapan kepadanya. Biar dia rasa rindu untuk bertemu dengan Allah yang Maha Kuasa.

“Sebab itulah kita kena buat baik banyak-banyak, kena jadi solehah… Selepas itu…” Saya membuat kesimpulan sebelum kami sama-sama masuk tidur, mata pun dah semakin melayu. Tetapi, belum sempat saya menghabiskan ayat-ayat tersebut, Humaira’ menyambungnya.

“Lepas tu, kita boleh masuk syurga dan boleh tengok Allah, Kan ibu?

“Betul tu sayang, kita doa moga kita sama-sama dapat masuk syurga dan boleh tengok Allah sama-sama.” Humaira’ tersenyum berseri-seri dengan harapan yang saya ungkapkan tersebut.

Di dalam hati, saya turut berharap agar kami akan ditempatkan dengan orang-orang mukmin selepas kematian kelak sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Qiyamah ayat 22-23.

“Wajah-wajah ornag mukmin pada hari itu berseri-seri, kepada Tuhannyalah mereka melihat”