26 April 2011

Bagaikan biji benih

foto : qriuz.blogspot.com


“Kak, kenapa kita mesti kena ikut usrah?” Tiba-tiba terbit soalan itu dari bibir manisnya, Saya memandang wajahnya sambil tersenyum. Dia memandang saya. Dari sinar matanya saya pasti soalan itu telus dari hatinya.

“Kenapa Hana bertanya begitu?” Saya membiarkan soalannya tidak berjawab, bahkan saya pula yang mengajukan soalan kepadanya. Seingat saya, ini bukanlah soalan pertama seumpamanya yang pernah saya terima, banyak kali.

“Ye la kenapa kita kena pergi usrah setiap minggu, kalau kita dengar ceramah, baca Al-Quran di rumah dan dengar perkara-perkara baik sahaja tak boleh ke kak? Usrah ni susah, sudahlah setiap minggu, kena tunggu orang lain berkumpul, pergi ke satu-satu tempat, ambil masa lama pula tu. Kadang-kadang terpaksa tangguhkan buat assignment sebab kena pergi usrah.” Hana cuba meluahkan rasa hatinya.

Saya hanya mengangguk.

“Kadang-kadang apa yang dibincangkan dalam usrah tu perkara yang kita dah tahu, tentang sabar, tentang kiamat, tentang syurga dan neraka, tentang mati, benda-benda tu kalau kita dengar ceramah dalam You Tube pun ada.” Hana meneruskan omelannya tentang usrah. Saya disisi masih setia mendengar. Hana menarik nafas panjang seolah sedang memikul beban yang tersangat berat.

“Jadi Hana rasa usrah itu tidak penting?” saya bertanya lagi.

“Eh bukan begitu…” Dia menidakkan soalan saya

“Atau hana rasa tak larat nak pergi usrah yang tiap-tiap minggu itu?” saya terus mengujinya

“Mmm tak juga, tapi kadang kala tika dihimpit tugasan-tugasan yang banyak ada juga rasa begitu.” Dia menjawab ikhlas.

“Atau, Hana rasa usrah itu sama seperti kita pergi ceramah atau program-program kerohanian yang lain?” Saya terus mengorek perasaannya tentang usrah yang nampaknya agak berat untuk dia berkomitmen kepadanya.

“Mmm betul tu, pada saya sama sahaja, usrah untuk kerohanian, ceramah pun menyentuh masalah kerohanian juga kan?” Dia meminta pendapat saya.

“Mmmm bagini Hana, Hana tahu biji benih?” Saya memulakan analogi agar dia akan lebih faham tentang hakikat tarbiyah itu sendiri.

Hana menjawab pertanyaan saya dengan anggukan kecil sahaja.

“Biji benih, jika kita hendak melihatnya tumbuh dengan baik dan akhirnya menjadi pokok yang menghasilkan buah yang elok, mesti memerlukan usaha yang banyak. Sejak ia kecil, kita perlu menjaganya dengan baik, disirami dengan air secukupnya, di letakkan di tempat yang sesuai yang ada cahaya matahari, diberikan baja kepadanya. Kemudian, setelah ia semakin membesar, kita akan mencantas dahan-dahan tertentu supaya ia mengeluarkan pucuk yang lebih banyak. Sekiranya ada serangan serangga atau penyakit, pokok tersebut perlu dirawat dengan kaedah yang sesuai. Setelah itu, ia akan terus kita jaga sehinggalah ia tumbuh subur dan mengeluarkan buah-buah yang elok. Semuanya perlu dilakukan dalam jangka masa yang tertentu dan panjang bukan?”

Hana mengangguk.

“Dan sekiranya kita tidak menjaganya dengan baik, ia akan layu dan tidak mustahil anak-anak pokok itu akan mati. Betul tak?”

Kepalanya terus mengangguk-angguk.

“Begitu jugalah hakikat iman, ia perlu dibaja dan disuburkan, usrah itu bukan sekadar urusan kita menuntut ilmu agama, tetapi ia adalah medan untuk kita mentarbiyah diri menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya. Seperti benih yang akak ceitakan tadi, iman juga perlu dijaga dengan rapi secara berterusan. Diluar sana, banyak gangguan-gangguan yang boleh merosakkan iman sebagaimana serangga menyerang tanaman, namun dengan penjagaan yang istiqamah, maka penyakit-penyakit yang disebabkan oleh serangga itu dapat diatasi.”

“Di dalam usrah, ahli-ahlinya perlulah seperti keluarga. Sentiasa bantu membantu dalam memperbaiki diri, bila sahabat kita melakukan kebaikan maka kita akan sama-sama suburkan. Jika ada kelemahan, kita akan sama-sama memperbaikinya. Amatlah sukar untuk kita memperbaiki diri andai kita berseorangan. Tambahan pula, di dalam usrah, pentarbiyahan akan dibuat secara tersusun, tidak seperti ceramah yang biasanya tiada kesinambungan.” Saya terus menjelaskan kepadanya tentang apa yang tersirat di sebalik usrah.

“Tapi akak, susah betul saya nak istiqamah dengan usrah, kadang-kadang saya tak kuatlah akak…”
“Memang begitu dik, bila kita nak buat baik memang syaitan akan cuba menghalangnya, maka akan diilhamkanlah dengan pelbagai-bagai alasan. Sebab itu di dalam kita nak mentarbiyah diri kita ini kita terpaksa bermujahadah. Dan mujahadah itu sangatlah pahit kerana buah yang ingin kita petik bukan di dunia tetapi di syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…”

“Hana, umat Islam kita sekarang ini sedang menghadapi sakit yang amat tenat, dengan masalah-masalah sosial dan sebagainya, ia hanya boleh diubati dengan tarbiyah, tiada cara lain kerana inilah cara yang diajarkan oleh Rasul kita dahulu. Rasulullah diutuskan di dalam jahiliah yang pekat, lalu ditarbiyah para sahabat seterusnya para sahabat mentarbiyah manusia-manusia disekelilingnya. Begitulah juga kita, di dalam dunia jahiliyah sekarang, kita perlu merawat manusia dengan jalan yang sama.”

“Layakkah saya untuk merawat orang sedangkan saya sendiri banyak penyakitnya kak?” hana bertanya dengan mata yang bergenang.

“Sekiranya kita rasa kita tidak layak, maka kita perlu berusaha untuk menjadi orang yang layak, dan adakah kita akan memberi alasan tidak layak kepada Allah nanti? Selagi Islam tidak tertegak di atas muka bumi ini, maka kita mesti bertanggungjawab untuk mengembalikan Islam ke tempat asalnya. Dan ia hanya boleh dilakukan dengan jalan tarbiyah, biarpun hasilnya tidak dapat kita lihat, namun apa yang pasti kita mahu menjadi hamba Allah yang menyumbang kepada terbinanya bangunan Islam itu. Usah memberi apa jua alasan, kerana alasan-alasan itu tidak akan dapat membantu kita nanti. Sekarang kuatkan semangat, tarbiyah ini mesti kita lalui! Insya Allah Allah akan memberi kekuatan kepada kita.” Saya menepuk-nepuk belakangnya. Memberi semangat kepadanya dan juga kepada diri saya sendiri.

Saya membalas genggaman tangannya yang erat. Ya! Kita akan sama-sama di atas jalan ini sehinggalah kita menang atau syahid!

19 April 2011

Jalan yang kita lalui ini

Bila ditanya kepadamu kenapa engkau berada di atas jalan dakwah ini, katakanlah kepadanya bahawa inilah seruan yang telah dipelopori oleh Rasulullah s.aw.

Hala tujunya adalah yang setinggi-tingginya iaitu Allah s.w.t. Lantaran itu, Allah adalah tujuan kita walau apapun yang kita lakukan. Kita hanya mengharapkan keredhaanNya dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya.

Tugas ini bukanlah tugas yang hanya mengejar matlamat-matlamat kecil, bahkan tugas ini menuju kepada membahagiakan umat sejagat dengan kerahmatan Islam.

Walaupun ia tugas sukar dan meletihkan, namun demi balasan syurga yang seluas langit dan bumi, kita harungi jua. Kerana ingin bersama dengan para anbiya, siddiqin, syuhada dan salihin kita tempuhi jua susah dan peritnya jalan ini. Mudah-mudahan kita akan terselamat dari azab neraka yang bahan bakarnya adalah batu dan manusia.

Jalan dakwah ini, tidak akan pernah ditaburi dengan bunga-bunga yang harum, tetapi ia penuh duri yang tajam. Bahkan ia satu jalan yang amat sukar dan panjang. Kita tidak akan pernah berasa tenang dari tentangan para pendokong kebatilan. Kita akan sentiasa dilemparkan dengan segala tuduhan dusta dan hina.

Namun bagi mereka yang berada di atas jalan ini, semua itu tidak akan melamahkan semangatnya. Kita akan terus sabar dan memohon pertolongan dari yang Maha Kuasa kerana Allah telah menjanjikan bahawa bumi ini akan dipusakakan kepada hamba-hambanya yang bertaqwa.

Wahai insan yang berada di atas jalan dakwah ini, bersama-samalah kita beristiqamah dengannya. Impian kita bukan dunia yang sementara ini, tetapi saat kita akan dibangkitkan di akhirat sana.

Biar apapun yang akan membentenginya, kita akan terus bergerak hinggalah kita menang atau syahid kerananya…