29 April 2009

Ku titip anakku ke dalam pemeliharaanMU











Ayah sedang memberi kata-kata perangsang kepada Humaira'

Perjalanan dari rumah mentua di Taman Permata ke KLIA mengambil masa lebih kurang satu jam. Di sepanjang perjalanan itu, wajah humaira sudah sedia kelat. Merebahkan diri di atas pangkuan saya dan saya memeluknya. Saya pasti dia sudah mula sayu kerana akan ditinggalkan oleh ayah dan ibunya selama dua minggu. Hati saya tak henti berdoa agar Allah memberi ketenangan kepada Humaira dan juga ibunya.

Saya dan suami memang belum pernah tinggalkan dia dengan orang lain kecuali pada hari kerja. Maka, nak meninggalkan dia untuk 2 minggu bukanlah satu perkara yang mudah. Sebulan sebelum pergi pun kami berdua dah mula memberi gambaran kepadanya bahawa dia akan ditinggalkan dengan 'mama' (ibu saudaranya) kerana kami akan ke Mekah.

Puas juga nak menjawab soalan si kecil ini, kenapa dia tak boleh ikut bersama. Macam-macam yang disoal. Kami cuba menjawab sebaik mungkin dan alhamdulillah saya dapat rasakan bahawa sedikit-sebanyak Humaira bersedia secara mental untuk ditinggalkan.

Pernah juga suami bertanya, "kita nak p umrah ni, Humaira' macammana?" Saya hanya katakan kepadanya "Kita pergi untuk beribadah kepada Allah, maka kita tinggalkanlah dia dengan Penciptanya." Walaupun dalam hati, hanya tuhan yang tahu, betapa sayunya saya, dan betapa gundah gulananya jiwa saya nak meninggalkan anak kesayangan saya itu.

Jam 9.30 pagi kami sudah terpacak di KLIA untuk urusan 'check in'. Ramai sungguh manusia pada pagi itu. Tak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan di KLIA ketika musim haji pasti penuh sesak dengan jemaah yang pelbagai ragam.

Menunggu urusan check in selesai, hati saya tidak lekang memohon kepada Allah agar dimudahkan perjalanan dan mengurniakan kesabaran dalam menempuh apa jua dugaan.

Tiba masa untuk kami check in, saya memeluk Humaira. Ya Allah... Empangan air mata saya seperti ingin pecah, tapi saya tahan. Saya melepaskan pelukan. Suami pula mengambil humaira dari saya, humaira sudah mula tersedu-sedan menahan tangis, saya menarik tangan suami agar dia juga melepaskan Humaira. Saya terlebih dahulu menuruni anak tangga. Menoleh ke arah Humaira yang mula menangis melaungkan ayah dan ibu... Kali ini air mata saya tidak dapat lagi dibendung, ia mengalir mencurah-curah. Sedih bukan kepalang, meninggalkan anak kesayangan. Saya beristighfar bagi menenangkan hati saya.

Di balai berlepas ingatan saya masih kepada Humaira', saya telefon 'mama' bertanya khabar dan alhamdulillah Humaira' dah berhenti menangis. Kini saya cuba menumpukan sepenuh perhatian dan tumpuan saya kepada ibadah umrah yang bakal saya kerjakan. Saya berdoa kepada Allah agar Allah menghilangkan rasa riyak dan sombong yang ada dalam jiwa saya. Saya memohon juga Allah akan kurniakan hidayahnya sepanjang hidup saya. Saya memohon juga moga saya akan mendapat Umrah yang mabrur kali ini.

28 April 2009

Kembara Umrah : Menjejak Sejarah di Lantai Sirah...

Alhamdulillah, sungguh kembara umrah yang kami lalui bermula 11 April hingga 25 April 2009 yang lalu benar-benar memahat pelbagai kenangan suka dan duka.

Mengutip iktibar di halaman nubuwwah, kadang-kadang mengundang kesayuan dan keharuan. Betapa besar pengorbanan Rasulullah dan para sahabat. Betapa sukar perjalanan dakwah dalam meninggikan kalimah Allah. Jika perjalanan yang kami lalui dengan bas berhawa dingin, di atas jalan yang berturap sudah dirasakan kelelahannya. Bagaimana pula Rasulullah yang meredah gurun pasir nan gersang. Di hiasi batu-batuan tajam menikam. Betapa perit jalan yang dilalui, betapa banyak kesulitan yang perlu dihadapi.

Pengalaman ini benar-benar mengubah dimensi kami ketika menatap buku sirah. Walaupun bumi haramain telah bertukar wajah dek kemodenan, namun aura jihad fisabilillah oleh Rasulullah dan para sahabat masih basah dalam dakapan sejarah perjuangan. Walaupun pelbagai bangunan tegak berdiri, namun Jabal Uhud tetap megah memasak bumi.

Ya Allah, kami bersyukur kerana hambaMu yang kerdil ini diberi peluang untuk menelusuri perjalanan sejarah di lantai sirah, akan kami kutip segala hikmah nubuwwah buat bekalan di sepanjang perjalanan dakwah...

Insya Allah akan saya kongsikan pengalaman sepanjang kembara ini, yang sebenarnya kembara mencari diri... Kembara mencari yang hakiki... Kembara untuk membasahkan sekeping hati...

10 April 2009

Selamat Tinggal...

Esok seawal jam 8.00 pagi saya dan suami akan bergerak ke KLIA dan akan 'check in' jam 9.30 pagi.

Doakan kami:

  1. Dimudahkan perjalanan
  2. Diberi kekuatan untuk beribadah sebanyak-banyaknya
  3. Dikurniakan rezeki untuk berdoa dan beribadah di tempat-tempat yang mustajab
  4. Dikurniakan kesabaran dalam apa jua dugaan
  5. Selamat pergi dan balik
  6. PALING PENTING: Mendapat umrah yang mabrurah

Selamat tinggal malaysia

Selamat tinggal anakku yang tersayang Humaira'. Duduk ngan Mama (Mak Sedara dia) elok-elok ye...

Selamat tinggal blog

-untuk dua minggu yang akan datang. Insya Allah...

Mak... Abah... Restuilah perjalanan ini...

Perjalanan jauh kami ke Baitullah bermula pada subuh Rabu, 8 April 2009. Diiringi laungan azan Subuh dari corong radio IKIM. FM benar-benar mengundang kesyahduan di hati kami. Hampir-hampir air mata berguguran, namun kami bendung ia agar bertahan, tetapi akhirnya ia gugur jua seusai solat subuh pagi itu.

Dalam keheningan pagi yang amat mendamaikan itu, hati saya tidak henti-henti berdoa agar Allah menyampaikan kami ke Tanah Suci, memudahkan perjalanan dan memberkati perjalanan ini.

Pagi Rabu itu, kami akan pulang ke Pahang bertemu dengan abah dan mak untuk memohon ampun dan restu. Kalau ikutkan hati, memang rasa terlalu jauh nak balik ke Pahang dalam masa yang begitu suntuk ini, kerana perlu kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari khamis. Boleh bayangkan betapa penat bermusafir dari kedah ke Pahang dan berpatah balik semula ke Kuala Lumpur dalam masa 2 hari. tetapi bila memikirkan restu dan keampunan dari ayahanda dan bonda amat penting sebelum mengerjakan umrah, kami harungi jua musafir panjang ini.

Kebetulan pula pada pagi itu Kuliah Ustaz Zahazan menyentuh berkenaan dengan Birrul Walidain (berbuat baik kepada ibu bapa). Beliau mentafsirkan ayat 14 dari surah Luqman. Bertambah-tambah lagi keinginan saya untuk bertemu ayah bonda untuk memohon restu dari mereka.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu."

Di dalam kuliah tersebut, beliau telah mengisahkan tentang Abdullah ibnu Umar.

Pada suatu ketika, Abdullah ibnu Umar bertemu dengan seorang anak afrika, lalu beliau memakaikan serban yang dipakainya ke kepala anak itu. Lalu menaikkan anak itu ke atas kudanya, dari tingkah lakunya menunjukkan beliau sangat memuliakan anak itu. Seorang sahabat yang melihat keadaan itu merasa amat pelik dengan kelakuannya lalu bertanya kepada Abdullah ibnu Umar. "Kenapa engkau melakukan sedemikian rupa terhadap budak afrika itu? Dia hanyalah seorang budak afrika yang jika Engkau tidak melayani dia sebegitu pun tidak mengapa. Dia hanyalah seorang dari golongan hamba." Mendengar soalan sahabatnya itu, dia menjawab, "Bapa anak ini ialah orang yang dimuliakan oleh bapaku, maka aku ingin terus memuliakannya kerana ayahku sangat memuliakan ayahnya."

Begitulah hebatnya Abdullah ibnu Umar memuliakan bapanya sehinggakan dia memuliakan anak kepada orang yang dimuliakan oleh bapanya. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita telah berbakti kepada kedua orang tua kita yang banyak berkorban demi membesarkan kita? Sudahkah kita memuliakan ibu bapa kita sebagaimana yang sepatutnya?

Sebenarnya persoalan berbakti kepada ibu bapa semakin menghilang dalam masyarakat kita. Lihat saja disekeliling kita, bagaimana anak-anak melayani ibu bapa mereka? Usahkan nak memuliakan ibu bapa, bahkan ibu bapa pun ditengking herdik sesuka hati. Bila ibu bapa meminta bantuan, ramai yang buat tak tahu. Bila ibu bapa sakit berapa ramai yang sanggup meluangkan masa menziarahi mereka?

Dan sama-sama kita tanya pada diri kita, dalam sebulan berapa kali kita menghubungi ibu bapa untuk bertanya khabar mereka? Berapa kali kita bertanya sihatkah mereka? Sudah makankah mereka? Kadang-kadang ada dikalangan anak-anak hanya bertemu ibu bapa atau balik ke kampung pada hari Raya sahaja. Itupun kerana semua orang balik kampung, maka dia pun terpaksa balik kampung.

Adakah ini tanda-tanda kiamat makin hampir? Tiada lagi penghormatan kepada ibu bapa, tiada lagi istilah memuliakan mereka. Bila menyebut hal ini, saya sendiri merasa gerun. Mampukah saya menjadi anak yang solehah? Mampukah saya menjadi anak yang menjadi penyejuk hati buat ibu bapa saya.

Ketika saya merenung ke wajah anak saya, saya sentiasa berdoa agar anak ini akan berbakti kepada ayah dan ibunya tika kami sudah tidak berdaya kelak. Ketika itu juga saya terfikir bahawa mungkin dulu semasa saya kecil, itulah juga harapan ibu bapa saya kepada anak-anaknya.

Ibu bapa tidak pernah berkira-kira tentang kasih sayang yang dicurahkan kepada kita. Tetapi kita sering menghitung-hitung pemberian kita kepada mereka. Cinta dan kasih mereka curahkan demi kebaikan kita, tetapi cinta dan kasih kita hanya kerana terpaksa.

Ya Allah... Jadikanlah kami anak yang berbuat baik kepada ibu bapa. Berilah kami kesabaran dan kekuatan untuk memuliakan mereka... Ya Allah, tanpa hidayah dan inayahMu kami bimbang jika kami dimurkaiMu lantaran kederhakaan kami kepada ibu dan bapa kami... Ya Allah ampunilah kami...

06 April 2009

Abah


Pada satu petang, ketika saya pulang dari asrama. Saya sangat terkejut melihat keadaan rumah yang lintang pukang. Bagaikan tongkang pecah malah lebih teruk lagi! Ruang tamu takde rupa, pinggan mangkuk tak berbasuh, kain baju tak tahu yang mana yang bersih yang mana yang kotor dan macam-macam lagi pemandangan yang amat menyakitkan mata. Ya Allah! Apa dah jadi ni?


Dengan penuh kehibaan saya bertanya kepada abah “ Apa dah jadi ni abah? Kenapa jadi macam ni?” Sambil tertunduk, abah berkata “ Minta maaf la pah… Abah tak sihat, abah tak larat nak buat semua tu.”


“Abah dah makan?” saya bertanya lagi. “Abah makan biskut je hari ni (sedangkan waktu itu dah menjelang maghrib), abah tak boleh nak memasak, kaki abah sakit.” Abah menjawab dengan mata yang berkaca-kaca. “Ya Allah… kesiannya…” Itu sahaja yang mampu saya luahkan.


Abah. Kehidupan yang dilaluinya sejak berpisah dengan mak memang sungguh mencabar dan penuh dugaan. Menjadi bapa tunggal kepada 11 orang anak bukanlah satu perkara mudah. Apa yang saya ceritakan di atas hanyalah sekelumit peristiwa-peristiwa sukarnya. Banyak lagi yang dilaluinya, yang jika nak saya ceritakan di sini sudah pasti saya tidak mampu.


Jika saya ingat-ingat kembali kisah duka dia dalam membesarkan kami, terdetik dalam hati saya jika saya berada di tempatnya mungkin saya tidak setabah abah. Mungkin juga saya akan tewas dalam lautan kesukaran. Terlalu banyak kesulitan yang dilaluinya. Berjalan berbatu-batu hanya untuk membeli makanan untuk anak-anak telah menjadi kebiasaannya. Ia terjadi bila abah terpaksa menjual semua kenderaan yang dia ada untuk membiayai pendidikan anak-anak.
Besar sungguh pengorbanan seorang ayah dalam mendidik anak-anak.


Abah tak pernah mengeluh atas segala kesusahan itu. Abah tak pernah merungut atas ketentuan Allah itu. Yang biasa dia sebut-sebut ialah dia mesti berusaha sedaya upaya untuk membesarkan anak-anak.


Ada juga adik-adik abah yang ingin mengambil kami untuk dijadikan anak angkat, tapi abah tak nak, dia tak nak berpisah dengan anak-anak. Walau apapun yang terjadi, anak-anak mesti berada di bawah penjagaannya. Begitulah abah, ketabahannya, kecekalannya, kesabarannya amat tinggi.


Walaupun pelbagai kesulitan yang dialami, saya amat kagum dengan semangat juang abah. Dalam kesusahan itu dia tidak pernah berputus asa untuk memastikan anak-anaknya berjaya. Berkat kesungguhan abah, lapan anak-anaknya berjaya ke menara gading. Berkat kecekalan abah juga, kami semua mendapat pendidikan yang baik. Jika bukan kerana kekuatan yang Allah kurniakan kepada abah tak tahulah apa yang terjadi kepada kami.


Sehingga kini, kenangan bersama abah dalam menempuh kesulitan-kesulitan hidup masih segar dalam ingatan. Walaupun hidupnya susah, tetapi dia tak pernah menyerah kalah. Walaupun dia tak mempunyai wang untuk diberi kepada anak-anak yang berada di asrama. Namun, bila anak-anak meminta, dia akan cuba sedaya upaya mencari wang yang diperlukan.


Abah memang cukup istimewa di hati saya, semasa saya di asrama, dia akan datang berjumpa saya untuk berbual-bual tentang pelajaran, masalah yang dihadapi dan macam-macam lagi. Walaupun jarang sekali dia membawa buah tangan kepada saya, tapi saya amat terharu dengan kehadirannya. Duduk di bawah pokok besar dihujung padang, sembang-sembang tentang pelbagai isu. Mmm saya amat merindukan suasana itu. Tak tahu dengan perkataan apa boleh saya ucapkan terima kasih atas kasih sayangnya kepada kami. Yang pasti saya sangat mengasihi abah. Saya sangat menyayangi abah.


Saya suka dengar lagu inteam di bawah ni, sebab ia menggambarkan keteguhan abah dalam mengharungi hidup ini. Saya ingin dedikasikan lagu ini kepadanya, tapi saya tak tahu nak buat macammana. Mmm lemahnya saya dalam menunjukkan kasih sayang kepada abah, sedangkan kasih sayang abah menggunung tinggi. Maafkan anakmu ini…

SEGENGGAM TABAH

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak air mata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai dipipi
Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian
Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti
Segenggam tamar dipertahankan
Buat bekalan diperjalanan
Kau ubat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar
Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu
Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya

Rajin

Anak : Ibu, nak basuh pinggan jugak! Boleh?
Ibu : Ala tak payah la… nanti kotor pulak baju adik nanti
Anak : Ayah… nak tolong ayah mop lantai boleh?
Ayah : Eh jangan la kacau ayah ni, kat sini licin… pergi main kat sana!

Pernahkah dialog seperti ini terjadi antara kita dan anak-anak- kita? Saya pasti ia kerap berlaku dan selalunya apabila anak-anak ingin turut serta melakukan kerja-kerja rumah, tentu kita tanpa sedar menghalaunya supaya si kecil itu tidak mengganggu kita.

Semasa humaira dalam usia dua tahun lebih, selalu juga dia nak tolong saya buat kerja. Bila saya menyapu, dia pun sibuk nak menyapu. Bila saya basuh pinggan dia pun sibuk nak memanjat ke sinki dan segala apa yang saya nak buat semua dia nak buat.

Ada satu ketika, semasa saya menyapu sampah, dia pun berebut lah penyapu dengan saya, disebabkan malas nak mendengar pujuk rayunya agar saya menyerahkan penyapu tersebut kepada dia, saya pun bagi dia penyapu tu dan berlalu ke dapur untuk mencari aktiviti lain. Beberapa ketika selepas itu, Humaira menjerit “ibu! dah bersih dah.” Saya pun terus ke ruang tamu dan melihat hasilnya… Wah… Bersihnya! Mmm memang dah takde sampah, tapi mana pergi sampah-sampah tu?

Jeng… Jeng… Jeng… Rupanya Humaira menolak semua sampah dan habuk-habuk tu ke bawah sofa… Bila saya menunduk dan meninjau ke bawah sofa tersebut… “Hehehe… Bertambah la kerja ibu, terpaksa alih sofa ni dan sapu keluar sampah-sampah tu” Bisik saya dalam hati. Namun apa yang mampu saya katakan padanya hanyalah “Alhamdulillah… Bersihnya humaira sapu ruang tamu ni…” tetapi saya pasti senyuman yang lahir dari wajah saya adalah senyuman yang kelat kerana gara-gara kerajinan anak saya, saya perlu buat kerja ‘extra’ pada hari itu.

Dulu jika anak saya nak tolong saya buat kerja pasti saya suruh dia pergi tempat lain, saya akan bagi macam-macam alasan supaya dia tidak membantutkan kerja saya, tidak melambatkan kerja saya, dan tidak mengganggu konsentrasi saya. Kadang-kadang saya beritahu dia macam-macam benda yang tak elok kalau dia bantu saya. Nanti baju basah la, nanti tangan kotor la, nanti berhabuk la… dan macam-macam lagi. Paling tidak pun saya akan memanggil ayahnya untuk bawa dia bermain di tempat lain.

Sehinggalah pada satu hari ketika dia ingin membantu saya membasuh pinggan dan saya melarangnya dengan macam-macam sebab, suami saya katakan kepada saya “Syifa, biarlah dia nak tolong ibu dia, kalau masa kecik-kecik ni kita tanamkan perkara-perkara negatif dalam kepala dia, macammana dia nak tolong kita masa dia besar? Kita yang tanamkan perasaan tak suka kepada kerja-kerja rumah, mecammana dia nak jadi rajin? Abang bimbang, nanti bila kita minta dia basuh pinggan, dijawabnya tak nak la, nanti bajunya basah. Bila kita minta dia sapu sampah diberi alasan takmau kena habuk. Bila kita minta dia buang sampah, pasti dia tak nak kerana benda tu busuk.”

Saya yang mendengar kata-katanya terdiam seketika dan akhirnya mengiyakan hakikat itu. Jika apa yang ditanam negatif bagaimana nak tumbuh pohon yang positif? Begitulah besarnya perkara yang kita anggap kecil. Saya tidak nafikan, bila si kecil kita membantu kita, sebenarnya ia akan membanyakkan kerja kita dan melambatkan urusan kita. Bila dia membantu kita, mungkin juga kita terpaksa buat benda yang sepatutnya tak perlu kita buat, tetapi sebenarnya waktu-waktu itulah dia sedang belajar untuk melakukan sesuatu dan disitulah kita perlu berperanan mendidik mereka bagaimana untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan betul. Jika kita bersabar, kesan baiknya Insya Allah akan kita lihat semasa mereka dewasa kelak.

Bila saya renung-renungkan semula, tak hairanlah ramai dikalangan remaja kita lebih selesa melepak depan tv sedangkan ibunya bersusah payah membersihkan dapur selepas makan malam. Mereka lebih suka bersembang daripada membantu ibu mereka yang terbongkok-bongkok mengemop lantai. Kenapa mereka jadi begitu? Usah tanya mereka, tapi tanyalah diri kita, bagaimana kita mendidik mereka dalam merasakan tanggungjawab mereka dalam meniti kehidupan ini… Bukan mudah untuk melahirkan anak, tetapi sukar lagi tugas mentarbiyah mereka menjadi manusia yang boleh memberi manfaat kepada apa jua yang berada disekelilingnya...

Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah agar Allah memberi taufiq dan hidayahnya dalam usaha kita menbesarkan anak-anak...