29 January 2014

Memukul anak tidak solat itu tidak berhikmah?


Akhir-akhir ini, heboh diperkatakan tentang kes sepasang ibu bapa yang direman oleh kerajaan Sweden hanya kerana mereka memukul tangan salah seorang anak yang tidak mengerjakan solat. Simpati saya mendengarnya kerana mereka ditangkap kerana mengikut sunnah Rasulullah s.a.w dalam menegakkan agama dalam diri anak-anak tercinta.

Jika ditanya mereka yang berakal, sudah pastilah mereka akan menyatakan bahawa tindakan kerajaan sweden itu memang sangat tidak wajar. Bahkan bagi mereka yang mengerti bahawa itu adalah salah satu tindakan yang dituntut oleh agama, pasti tidak dapat mempercayai bahawa ada undang-undang yang begitu bebal yang dijalankan di sebuah negara yang dianggap maju dari segi material.

Namun di celah-celah mereka yang tidak menyetujui tindakan kerajaan sweden itu, apa yang saya tidak dapat terima ialah ada yang menyarankan supaya En Azizul yang ditangkap itu menggunakan kaedah yang lebih berhemah dalam mendidik anak-anak untuk mengerjakan solat. Katanya, gunakanlah kaedah nasihat ceramah atau motivasi untuk tujuan itu dan tidak perlulah memukul anak hanya kerana tidak solat.

Termangu seketika saya membaca komen di bawah berita tentang keluarga malang itu. Soalan yang timbul dibenak fikiran saya ialah adakah Rasulullah s.a.w. yang menyuruh ibubapa memukul anak yang tidak bersolat ketika berumur sepuluh tahun dan ke atas itu tidak hikmah?

Solat tiang agama

Firman Allah di dalam surah Thaha ayat 132 yang bermaksud:

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang  baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Jika kita membaca Al-Quran, banyak sekali ayat-ayat yang menyentuh tentang solat. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya solat dalam kehidupan seorang muslim, sehinggakan Allah menyuruh kita iaitu ibubapa perintahkan keluarga kita untuk solat dan bersabar dengannya.

Memang benar bukan mudah nak melahirkan keluarga yang meletakkan solat sebagai perkara yang penting lagi utama. Bahkan kita kadang kala memang terpaksa bersabar dalam melaksanakan perintah Allah ini.

Jika kita melihat di dalam keluarga kita, saudara mara kita, jiran tetangga kita, yakinkah kita bahawa semua orang di sekeliling kita menyempurnakan solat lima waktu mereka?

Jika anda seorang guru, tanyalah anak murid anda, berapa orang yang solat lima waktu sehari semalam? Jika anda berbuat demikian sudah pasti kekecewaanlah yang akan menguasai diri anda.

Saya pernah terbaca sebuah kajian mengatakan hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang solat lima waktu. Maklumat lanjut boleh baca di dalam link di bawah ini.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Oleh sebab itulah, pesanan Rasulullah supaya mengajar anak-anak solat ketika umur tujuh tahun dan memukul mereka ketika berumur sepuluh tahun perlu diambil perhatian oleh semua umat Islam terutama ibubapa masa kini.

Daripada ibnu Amru bin Al ash r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia kerana sembahyang pada usia sepuluh tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur.”

Jika dihitung tempoh latihan dari tujuh tahun hingga sepuluh tahun itu, kita akan mendapati bahawa anak-anak perlu dibiasakan sebanyak 5475 kali untuk solat sebelum boleh memukul mereka.

5 waktu sehari X 365 hari setahun X 3 tahun = 5475

5475 kali! Ia menunjukkan bahawa, solat bukanlah perkara yang mudah dan boleh diambil ringan oleh ibu bapa. Ia perlu latihan yang begitu banyak supaya solat menjadi darah daging dalam diri anak-anak.

Mungkin ada sesetengah dari kita merasakan ia akan membebankan anak-anak, tetapi sebenarnya masa kecil bukanlah masa untuk memikul beban kewajiban tetapi ia sebagai persiapan dan latihan untuk memikulnya apabila usia baligh. 

Mudah-mudahan, apabila mereka menginjak usia baligh terasa ringan bagi mereka untuk menjalankan kewajiban. Juga sebagai persediaan untuk mereka menghadapi kehidupan yang penuh rencam ini yang tidak pernah sunyi dari ujian dan cabaran.

Bukankah solat juga adalah amalan pertama yang akan ditanya? Maka, adakah kita masih mahu bermudah-mudah dalam urusan yang paling besar ini?

Segala saranan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh Rasulullah pasti ada kebaikannya kerana ia adalah wahyu dari Allah. Jangan sesekali kita merasakan bahawa itu tidak hikmah, ini tidak sesuai. Fahamilah bahawa ia sesuai pada setiap zaman dan tempat. Setiap masa dan ketika. Oleh itu, marilah sama-sama kita laksanakannya.

Usahlah kita merasakan kita lebih bijak dan hikmah dari Rasulullah s.a.w yang membawa risalah dari Allah.

Ikutilah dan laksanakanlah perintahNya dan tinggalkanlah segala larangan darinNya..

Ya Allah, jadikanlah kami orang yang mendirikan solat dan begitu juga denga zuriat keturunan kami. Wahai tuhan kami, perkenankanlah doa permintaan kami.. Amin ya Rabbal Alamin...


08 January 2014

"Ibu, kenapa ibu selalu tidur dengan ayah?"

“Ibu, kenapa ibu selalu tidur dengan ayah?” terpacul soalan dari Khadijah yang baru berusia empat tahun itu sebaik keluar dari bilik air. Dengan wajah yang masih basah dan kesejukan dia datang menghala ke arah saya untuk saya pakaikannya pakaian.

Ada juga riak tidak puas hati yang terpancar kerana malam tadi saya minta dia masuk semula ke biliknya setelah kaki yang lenguh telah dipicit ayahnya seketika.

“Alahai pasal apa lah soalan yang sebegitu yang ditanya pagi-pagi begini, bagi la soalan yang senang sikit..” getus hati saya. Saya menggaru kepala yang tidak gatal, mencari jawapan yang sesuai.

Pada awalnya seperti mahu membuka topik yang lain, tetapi setelah difikirkan semula, mungkin inilah peluang untuk saya memberi kata-kata tarbiyah tentang pendidikan seks dan adab bergaul  di dalam rumahtangga Islam.

“Ibu, kenapa ibu selalu tidur dengan ayah?” Khadijah bertanya sekali lagi, kali ini dengan suara yang lebih kuat, lambat sangat ibu menjawab agaknya.

“Owh.. ibu boleh tidur dengan sebab ibu sudah berkahwin dengan ayah…” Terkeluar jawapan tersebut. Ringkas.

Khadijah memang selalu bertanya tentang gambar perkahwinan saya dan suami yang ada di dalam dompet saya setiap kali melihatnya. Jadi perkataan kahwin sudah biasa didengari, tambahan pula ramai dikalangan ‘acik’ yang dikenali juga sudah berkahwin. Entah apa yang difahami tentang perkahwinan saya tak pasti, mungkin dengan berpakaian cantik kemudian bergambar bersama itulah gambaran perkahwinan baginya.

“Tapi kenapa?” Tanya dia lagi, Khadijah memang tidak puas dengan satu soalan sahaja. Sama sikap dengan kakak Humaira, tetapi saya mendapati soalan dari Khadijah lain bentuknya dan tidak kurang cabaran untuk menjawabnya.

“Allah kata, orang lelaki dan perempuan, hanya boleh tidur bersama selepas berkahwin, kalau belum berkahwin tak boleh tidur sama-sama tau… Jadi, Khadijah tak bolehlah tidur dengan orang lelaki sebab Khadijah belum berkahwin” Saya menerangkan dengan cara yang paling mudah untuk kefahaman anak kecil sepertinya.

“Eiii mana ada orang lelaki la kat sini..” Dia mencebik, mungkin belum pernah terfikir tentang itu.

“Manalah tahu kalau Khadijah ada kawan lelaki, maka Khadijah tak boleh tidur dengan kawan lelaki tu tau..” Sengaja membuat ayat sebegitu supaya dia semakin faham tentang larangan tersebut.

“Bahkan, pegang atau sentuh lelaki pun tak boleh melainkan dengan ayah, adik lelaki atau abang, pakcik dan atuk. Kalau dengan kawan-kawan lelaki, Khadijah jangan pegang tangan tau...” Saya menambah lagi, biar dia faham bahawa hanya ada beberapa lelaki yang halal baginya untuk bergaul.

“Aaaaaarrrrgggghhhhh..  I don’t like boy!” Dia menjerit kegelian. Saya hanya tersenyum.

Perbualan itu berlalu setelah dia lari ke depan mencari ayahnya. Walaupun perbualan tadi ringkas, namun saya berharap agar ada sesuatu yang diperolehinya. Perbualan di atas berlaku antara saya dengan kanak-kanak berusia empat tahun, jika berinteraksi dengan anak-anak yang lebih dewasa mungkin lain pula caranya.

Namun apa yang penting, saya mahu dia tahu bahawa seorang wanita perlu menjaga kehormatan diri, tidak boleh ditiduri oleh sesiapa sesuka hati. Gejala social yang semakin teruk sekarang ini memang amat-amat membimbangkan saya. Kes rogol, zina dan kelahiran anak luar nikah yang semakin galak berlaku perlu diatasi dengan pendidikan.

Ia tidak akan selesai hanya dengan memberikan kondom percuma, tidak akan selesai dengan menyediakan pusat-pusat penjagaan anak luar nikah.

Anak muda sekarang mestilah didedahkan dengan perkara halal dan haram dalam pergaulan, mesti diajar tentang menjaga pandangan dan memelihara aurat. Adab sopan sebagai seorang muslim juga haruslah ditekankan kepada semua sejak kecil lagi.

Jika tidak diajar dan dididik, maka akan lahirlah remaja yang tidak tahu suruhan dan larangan di dalam agama. Islam hanya pada nama, dari segi tingkah laku dan akhlak jauh dari yang sepatutnya.

Jagalah anak-anak kita dengan ilmu dan iman supaya andai kita tidak berada di hadapan mereka, mereka masih merasai bahawa ada Allah yang sentiasa memerhati mereka.

Andai kita jauh dari mata, taqwa mereka kepada Allah akan memelihara mereka dari apa jua akhlak dan tingkahlaku yang melanggar batasan agama. Biar agama yang menjadi benteng kepada mereka.

Selain daripada itu, Jika kita ditanya dengan apa jua soalan, jawablah dengan jawapan yang membangun iman dan kefahaman mereka tentang agama ini kerana ia merupakan masa keemasan untuk kita membentuk keperibadian.

Soalan sebegitu mungkin akan hanya ditanya sekali seumur hidup. Oleh itu, gunakan peluang sebaiknya walau sesibuk mana pun kita. Mereka umpama kain putih bersih, kita jualah yang mencorak mereka menjadi sehelai kain yang indah atau sebaliknya.

Ingatlah bahawa, mereka akan menjadi indah hanya dengan agama…