25 March 2011

Teruslah berdoa...

Foto dari islamiclearnings.com

Alhamdulillah, selesai sudah kelas iqra’ dan fardhu ain buat minggu ini. Walaupun kelas tersebut pelajarnya tidak ramai seperti di Malaysia, tetapi saya sangat bersyukur kerana dapat mengajarkan syiar agama Allah kepada anak-anak yang datang itu di bumi yang umat Islam hanyalah golongan minoriti.


Seusai solat asar, Humaira’ merapati saya sambil memegang telefon di tangannya.

“Ibu, tolong buka Al-Quran. Humaira’ nak dengar macam yang ayah pasang semalam la…” Dia mengunjukkan telefon tersebut kepada saya, mudah sungguh zaman sekarang ini, cukup dengan sebuah telefon, macam-macam perkara boleh dilakukan, mendengar dan membaca Al-Quran, menelefon, ber ‘sms’, mendengar radio, mencapai internet dan berbagai-bagai lagi fungsi. Apa pun boleh dilihat dan didengar hanya dengan sebuah mesin di telapak tangan, bergantung kepada individu untuk menggunakannya bagi mendapat redha Allah atau sebaliknya.

“Humaira’ nak dengar surah apa? Surah Al-Mulk ke?” Saya bertanya Humaira’ yang sudah melabuhkan punggungnya ke atas ribaan saya. Terasa beratnya, tetapi saya biarkan saja. Sedangkan Khadijah sedang melompat-lompat kegembiraan, agaknya kerana kenyang makan beberapa keping biskut tadi.

“Taknak, taknak… Humaira’ nak dengar surah Mariam.” Gemar sungguh dia dengan Surah Mariam, mungkin masih ingat dengan cerita ayahnya malam tadi tentang Ibu Nabi Isa a.s ini. Jarinya pula sibuk ingin menyentuh skrin telefon tersebut.

“Sabarlah, biar ibu cari surah yang Humaira’ nak tu ye…” Saya menahan tangannya. Kalau dibiarkan entah apa yang akan ditekannya.

Bacaan Surah Mariam mula berkumandang dari mesin kecil itu, mata saya melekat pada skrin terpaku membaca terjemahannya. Awal surah tersebut bercerita tentang Nabi Zakaria yang berdoa memohon zuriat daripada Allah.

“Mmm bagus juga jika dapat dikongsikan dengan Humaira’ tentang kisah ini.” Getus hati saya

“Humaira nak tahu tak apa yang allah ceritakan pada awal surah Mariam ni?” saya bertanya untuk menarik perhatiannya.

Humaira’ yang mula leka dengan permainan di hadapannya, memandang saya dengan penuh minat. “Cerita apa ibu? Pasal Nabi Isa ke?” Benarlah telahan saya tadi, dia masih ingatkan kisah Nabi Isa dari surah Mariam ini

“Tak, bukan kisah Nabi Isa, tetapi kisah Nabi Zakaria. Humaira’ nak tahu tak macammana ceritanya?”

“Nak! Nak!” Dia turun dari ribaan saya dan duduk di depan saya, baru saya ingin meluruskan kaki yang kebas dek menampung lebih muatan, kini si adik pula mengambil tempatnya.

“Dalam surah ni, Allah cerita tentang Nabi Zakaria.” Saya memulakan pengkisahan, Humaira’ memang sejak kecil sangat sukakan cerita-cerita Nabi.

“Oooo… kenapa dengan Nabi Zakaria?” Dia bertanya tidak sabar.

“Nabi Zakaria pada masa itu sudah tua, dah lemah, rambut dia pun banyak beruban tetapi dia belum ada anak, kesian Nabi Zakaria kan?.”

Humaira’ hanya mengangguk.

“Disebabkan Nabi Zakaria belum juga dapat anak walaupun sudah tua, Nabi Zakaria pun berdoa kepada Allah. Ya tuhanku, aku ini telah lemah, dah tak kuat, uban dikepala pun sudah putih tetapi aku tetap tidak pernah jemu berdoa kepadaMu ya Allah…” saya mengangkat tangan seperti orang berdoa

“Jemu tu apa ibu?” Tanya Humaira

“Jemu tu maksudnya bosan, maknanya Nabi Zakaria tak pernah bosan berdoa kepada Allah, dah banyak kali Nabi Zakaria berdoa kepada Allah untuk mendapat anak, tetapi belum juga dimakbulkan oleh Allah. Tetapi Nabi Zakaria tak putus asa, dia terus sahaja berdoa dan terus berdoa kepada Allah.” Saya menjawab ringkas kerana saya ingin menyambung lagi doa yang dibacakan oleh Nabi zakaria

“kemudian Nabi zakaria sambung lagi berdoa, Ya Allah, aku bimbang kalau cucu cicit ku tidak tidak lagi mengikut perintahmu setelah aku meninggal dunia. Tetapi Ya Allah, isteriku tidak boleh meranak… Ya Allah kurniakanlah kami anak ya Allah..” Saya cuba menggunakan perkataan mudah yang boleh difahami oleh Humaira’

“Haaa… Humaira’ rasa Allah bagi tak Nabi Zakaria anak?” Saya cuba menduganya, lebih baik jika saya meminta respon darinya agar dia tidak hilang focus

“Mmm… bagi kot…” Dia menjawab teragak-agak

“Betul tu, setelah berdoa dengan bersungguh-sungguh, Allah pun beritahu Nabi Zakaria bahawa dia akan mendapat seorang anak lelaki yang bernama Yahya. Kemudian Nabi Zakaria bertanya semula kepada Allah “Macammana aku boleh dapat anak, sedangkan isteriku telah tua?” Nabi Zakaria seperti tidak percaya, namun Allah kan Maha berkuasa, jika Allah nak sesuatu itu terjadi maka ia pasti akan terjadi.” Kisah Nabi Zakaria panjang lagi sebenarnya, tetapi saya menghabiskannya sampai setakat itu sahaja kerana saya ingin menerapkan kepada satu sikap sahaja. Kalau terlampau panjang, jenuh pula saya nanti.

“Begitulah cerita Nabi Zakaria, dia tak putus asa dalam berdoa kepada Allah. Jadi kalau kita minta dengan Allah, boleh ke nak Allah kabulkan cepat-cepat? Saya bertanya kepada Humaira

“Tak boleh.” Jawabnya ringkas

“kemudian jika Allah tak bagi lagi, boleh tak kita berhenti berdoa?” Saya bertanya satu lagi soalan tentang pengajaran penting di dalam kisah ini

“Mmm mana boleh, kan ibu cakap tadi, kita tak boleh bosan la minta tolong dengan Allah…” Kini jawapannya lebih panjang refleksi dari cerita saya tadi.

“Okey, bagus! Jadi, kita sebagai manusia mesti sabar dalam meminta apa jua dari Allah, jika Allah belum beri doa lagi dan terus berdoa sehingga Allah tunaikan doa kita. Dan jika Allah tak beri pun, kita janganlah bersedih, sebab pasti ada sebab kenapa Allah tak bagi apa yang kita nak…” Saya menghabiskan bicara petang itu.

Humaira’ berlari ke pintu belakang sejurus sahaja terdengar anak jiran sebelah memanggil mengajaknya bermain basikal. Saya menghantarnya dengan pandangan dan pesanan agar berhati-hati sedangkan hati saya berdoa moga Allah menjadikan anak ini seorang anak yang solehah yang dapat menghadiahkan saya doa tatkala saya telah berada di alam barzakh nanti…

12 March 2011

Bukan sekadar bencana...

Bungkam. Itulah yang terjadi kepada saya tatkala melihat rakaman kejadian tsunami yang berlaku di jepun melalui internet.


Melihat bangunan yang ranap dihempas badai, kereta-kereta hanyut dibawa arus deras yang tidak berbelas ehsan, air hitam pekat yang menenggelamkan kebun, ladang dan sawah padi dan menyapu bersih segala yang ada di laluannya,serta bumi yang terbelah. Istighfar tidak putus dari lidah dan jiwa saya.

Terasa betapa kerdilnya insan ketika Allah menunjukkan kekuasaannya. Terasa betapa lemahnya manusia ketika Tuhannya menunjukkan peringatanNya.

Pada waktu bencana ini, harta dunia seperti bangkai, tiada harga dan dan tidak dipedulikan lagi. Yang diharap hanyalah belas ihsan dari Allah s.w.t.

Jika menusia biasa melihat apa yang berlaku sebagai bencana alam, bagi seorang mukmin ia bukan lah sekadar itu. Terlalu banyak iktibar yang perlu diambil dan pelajari.

Sesungguhnya, apa yang kita ada, boleh sahaja dilenyapkan Allah dalam sekelip mata.

Sesungguhnya, Allah sahaja tempat pergantungan kita, maka ingatlah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengingatimu ketika dalam kesusahan.

Sesungguhnya, semua yang ada dimuka bumi ini adalah dibawah penguasaan yang Maha Agung, oleh itu janganlah ada sedikit jua rasa sombong di dalam diri kita

Walau bagaimana hebat teknologi yang dicipta oleh manusia, ia pasti tidak dapat menandingi kuasa dan kekuatan tentera Allah yang berupa gelombang dan sebagainya

Ya Allah terlalu banyak iktibar yang boleh dan perlu diambil dari ketentuanMu ini. Seseungguhnya kepadaMu lah segalanya dan kepadaMu lah kami akan kembali….

Kepada yang terlibat dengan bencana ini, moga ia menjadikan kita hamba yang lebih dekat kepadanya…

Bagi yang tidak terlibat, ia juga adalah bahan tarbiayh buat kita agar kita kembali kepadaNya...