20 May 2013

Kisah Fatimah, di situ ada ibrah!



Surirumahtangga… Ada masa bahagia, ada masa duka, ada masa serabut, ada masa letih. Di situ terbeban berbagai tanggungjawab, terpikul berbagai amanah dalam usaha menggapai jannah.

Bila waktu bahagia, alangkah indah dunia ini terasa, maka perbanyakkanlah tahmid kepada yang mengurniakan cinta.

Namun apabila datang ujian dan dugaan, penuhkanlah relung jiwa kita dengan redha dan sabar. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kekuatan dalam menempuh perjuangan.

Ketika diulit keletihan menguruskan segala urusan rumahtangga yang tidak akan pernah lekang hingga ke hujung usia, ingatlah kita kepada Saidatina Fatimah anakanda Rasulullah tercinta yang meminta pembantu daripada Ayahanda bagi mengurangkan beban yang dirasa.

Kasihnya Rasulullah kepada puteri tercinta tidak mampu kita mendustainya, tetapi jawapan kepada Fatimah hanyalah saranan untuk berzikir dengan Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali.

Saya jadi terpana memikirkannya.  Kenapa Rasulullah menyuruh Fatimah, puteri yang paling dikasihinya untuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir untuk meringankan bebanan mengurus rumahtangga?

Dahulu pernah saya terfikir, adakah dengan berzikir, makanan akan masak dengan sendiri? Atau rumah akan menjadi kemas sekelip mata? Atau ada malaikat yang akan membantu membuat itu dan ini? Adakah dengan berzikir akan berlaku berbagai perkara magis?

Rupa-rupanya dangkal sungguh pemikiran saya itu. Seharusnya saya mentertawakan diri sendiri atas ketidakmatangan saya dahulu.

Semalam saya tiba-tiba merasai hikmahnya, tatkala rumah bagaikan tongkang pecah, anak-anak tidak mampu lagi dikawal, dengan tubuh badan yang sudah hampir kehilangan tenaga. Akhirnya, ketika saya berhadapan situasi itu, Allah mengingatkan saya tentang kisah Saidatina Fatimah itu.

Lalu segera saya melaksanakan saranan rasulullah itu, lantas seperti ada semangat dan kekuatan baru hadir ke dalam jiwa saya. Ketenangan meresap ke seluruh urat nadi. Masya Allah!

Sungguh, kepenatan dan kelelahan itu rupa-rupanya mampu sirna dengan banyaknya kita mengingati Allah. Bukankah kekuatan itu datangnya dari jiwa?

Jika jiwa kuat, tubuh badan akan bertenaga. Andainya dalaman kita sihat, tubuh yang sakit pun akan mampu bersilat.

Jiwa yang tenang dengan mengingati Allah akan membuatkan kita dapat menghadapi hari-hari sukar dengan lebih mudah.

Subhanallah, ketiadaan suami dirumah beberapa kali sejak akhir-akhir ini rupa-rupanya ada tarbiyah yang ingin disampaikan olehNya buat saya yang kerdil ini.

Buat para ibu dan isteri, mari sama-sama kita sentiasa basahkan lidah dan hati dengan zikir-zikir ini. Mungkin pun sudah lupa dengan kisah Saidatina Fatimah ini. Namun, percayalah, di sana ada sumber kekuatan dalam kita mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini…

03 May 2013

Melepaskan suami pergi berbakti



“Kalau abang nak balik ke Malaysia boleh ke?” Suami saya membuka bicara ketika kami memulakan sarapan suatu pagi.

“Mmm balik Malaysia? Nak buat apa?” Saya sengaja bertanya sedangkan di dalam hati sudah tahu bahawa dia ingin pulang untuk menemui ibubapanya yang tercinta bagi meringankan beban pengajian PhD yang berliku itu.

“Nak mengundi, sambil menjenguk orang tua, hendak meninjau sekolah Humaira yang bakal kita hantar dia nanti dan abang nak beli buku silibus humaira dan khadijah supaya kita boleh mengajar mereka agar nanti mudah untuk mereka masuk ke sekolah agama.” Jawab suami saya dengan wajah seribu makna. Namun di matanya saya lihat ada harapan agar pulangnya dia ke pangkuan ibubapa akan meredakan sedikit resah gelisah.

“Boleh saja, abang nak balik bila?” Saya menjawab. Senyum.

“Betul ke? Macam tak ikhlas saja…” Dia membalas lagi, mengecilkan mata seolah tidak percaya dengan jawapan bersahaja saya.

“Hehe.. Ada rupa tak ikhlas ke?” Saya tersengih lagi.

“Kalau abang nak balik hujung bulan ni apa pendapat syifa?” Dia bertanya soalan yang sama. Walaupun dia telah mendapat jawapannya, namun dia bertanya lagi, mungkin inginkan kepastian dan ‘keikhlasan’ dari saya.

“Mmm.. Kalau abang rasa perlu balik dan ada manfaatnya, balik sahaja. Lagi pun bagus juga, boleh abang jenguk mak ayah kita. Mereka pasti rindukan abang.  Abang boleh belikan buku-buku humaira. Buku Khadijah pun dah habis.” Saya membalas soalannya walaupun di dalam fikiran terbayang situasi saya akan ‘berperang’ dengan anak-anak selama ketiadaannya. Namun cepat-cepat saya tepis bayangan itu.


Melepaskan suami pergi berbakti kepada ibu dan bapa, kadang kala menghadirkan cemburu juga di sudut hati. Manusia biasa pasti akan terasa ingin memiliki sepenuhnya, ingin dicintai sepenuh jiwa raga. Jika boleh biarlah cinta dan layanannya hanya tertumpah hanya kepada kita dan anak-anak.

Namun,  neraca Allah tidak sebegitu dan neraca bahagia juga bukan sebegitu rupanya.

Setelah perkahwinan kami menjengah tahun yang ke sembilan, saya semakin yakin bahawa sekiranya kita iaitu para isteri memberi laluan dan peluang untuk para suami berbakti kepada kedua ibubapanya, kasih dan cinta yang dicurahkan kepada ibubapa akan tertumpah jua kepada kita.

Jangan sekali-kali menghalang mereka untuk menjenguk atau menziarahi orang tua mereka, kerana andai ibubapa mereka senang hati dan gembira dengan kemunculan wajah dan tubuh badan anak mereka, Insya Allah keluarga kita akan turut merasai kesan doa penuh kasih sayang dari ibubapa yang tercinta.

Ketenangan hati seorang suami apabila dapat melangsaikan tanggungjawab mereka kepada orang tua, akan membekas di dalam rumahtangga dengan belas ihsan mereka melayan kita dan anak-anak.

Jika kita tinggal berjauhan dengan keluarga mertua yang mungkin memerlukan pengorbanan dari segi wang, perasaan dan mungkin tenaga yang lebih untuk melayani karenah anak-anak sementara sang suami pulang berbakti kepada ibubapa, usah bimbang kerana setiap satunya akan dibalas oleh Allah s.w.t. dengan syurga andai kita ikhlas melepaskan mereka.

Jika kita melebihkan keluarga suami untuk kita hargai dan berbakti, Insya Allah mereka tidak akan pernah mempersiakan kita dan keluarga kita.

Wanita memang terkenal dengan perasaan cemburu, namun bimbinglah cemburu itu untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Cemburu yang membuta tuli bukan sahaja akan merosakkan bahkan mungkin menyebabkan keluarga kita berantakan.

Selain daripada itu, kita perlu melihat tingkahlaku suami berbakti kepada ibubapanya akan menjadi qudwah dan contoh buat anak-anak. Sekiranya, kita melayani ibubapa dengan cara yang terbaik, Insya Allah anak-anak juga akan berperilaku demikian kepada kita nanti.

Wahai para isteri semua, mari sama-sama kita menjadi isteri yang mendorong suami untuk berbakti, Insya Allah andai mereka mendapat pahala, kita juga menerimanya. Kita tidak akan rugi malah untung kerana kasih ilahi akan sentiasa mengiringi.

13 January 2013

Isu Kalimah Allah : Resah gelisah seorang ibu

"Katakanlah wahai Muhammad, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya." Surah Al-Ikhlas


Awal tahun 2013, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dihangatkan kembali oleh seorang ahli politik. Saya mengikuti isu ini dengan penuh kebimbangan. Jiwa saya sesak memikirkannya.

Kalimah Allah yang kita gunakan sejak kecil merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan Maha berkuasa itu, mahu dikongsikan dengan orang lain? Kalimah Allah yang merujuk kepada Allah yang Maha Agung lagi Maha esa hendak digunakan oleh orang kristian untuk tuhan yang berkonsepkan trinity? Kalimah Allah yang termaktub di dalam al-quran untuk satu dzat yang tiada tandingan itu, diminta untuk digunakan bg menterjemahkan perkataan god di dalam terjemahan bible berbahasa melayu?  Ini kerja gila, memang tidak masuk akal.

Sungguh, saya tidak dapat menerimanya.

Memikirkankan soal ini, saya sebagai seorang ibu dan juga guru merasa sangat bimbang dengan nasib generasi akan datang.

Andai ia benar-benar dibenarkan (kalimah Allah digunakan oleh pihak kristian), saya tidak tahu bagaimana seandainya pada satu masa nanti mungkin akan terkeluar dialog seperti ini:

Anak: Ibu, Allah itu apa?

Ibu:  Allah itu Tuhan yang esa, yang mentadbir alam ini, sayang.

Anak: Tapi ada orang kata Allah tu ada tiga, betulkah ibu?

Ibu: Tidak sayang, Allah dalam Islam hanya satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Anak: Mmm pelik juga,  tapi mereka ada Allah dan kita pun ada Allah, nama sama, kiranya kita dan mereka  sama sahaja bukan??

Betapa sukarnya kita sebagai ibu bapa waktu itu untuk menerangkan tentang Allah Yang Maha Agung kerana ada pihak lain menggunakan nama yang sama merujuk kepada benda yang berbeza.

Ketika saya mengikuti perkembangan isu ini, ada dikalangan umat Islam yang mengatakan bahwa kita tidak perlu bimbang kepada perkara yang belum tentu terjadi. Jangan takut kepada bayang-bayang sendiri katanya.

Aduhai…

Saya ingin bertanya kepada yang berkata begitu beberapa soalan.

Adakah anda mengunci pintu rumah setiap malam sebelum tidur atau sebelum keluar daripada rumah?

Adakah anda akan memastikan kereta anda selamat sebelum meninggalkannya di tempat parkir kereta?

Saya yakin, setiap daripada kita pasti akan melakukannya. Setiap malam, kita akan periksa setiap pintu dan tingkap supaya ia tertutup dan berkunci agar lebih selamat dari kejadian pecah rumah. Malah ada yang memasang penggera keselamatan untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku.

Kita juga akan pastikan kereta kita berkunci,dan kita juga akan memarkir kereta di tempat yang kita rasa paling selamat.

Jadi, jika kita berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencegah sesuatu yang buruk berlaku kepada harta kita. Adakah kita tidak perlu melakukan apa-apa untuk menjaga aqidah anak keturunan kita?

Seandainya kita berbuat berbagai-bagai cara untuk memastikan rumah dan kereta kita selamat. Wajarkah apabila disebut berkenaan dengan menjaga aqidah, kita mengatakan bahawa tidak perlu takut kepada bayang-bayang sendiri?

Isu penggunaan kalimah Allah ini bukan soal kecil, ia soal besar yang tidak boleh dijual beli!

Saya tidak kisah andai orang katakan saya bimbangkan perkara yang belum tentu berlaku, tetapi hal ini memang benar-benar merunsingkan saya.

Saya bukan pakar dalam bidang agama, dan saya tidak mampu menghurai segala dalil-dalail dan hujah-hujah agama. Tetapi, saya sangat-sangat bimbangkan tentang akidah anak keturunan saya nanti. Kesan dari isu ini mungkin kita tidak nampak secara terus, tapi kesannya akan jelas setelah sepuluh tahun atau dua puluh tahun akan datang.

Lihat sahaja apa yang berlaku di negara jiran Indonesia, bila kalimah Allah boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, maka diletakkan papan tanda ‘Allah Kasih’ di hadapan gereja. Apabila kalimah Allah digunakan oleh orang kristian, maka Allah yang Maha Esa itu disandarkan kepada Jesus yang berkonsepkan trinity .

Tidakkah ia sangat mengelirukan?

Maha Suci Allah dari kemungkaran ini.. Allahu Akbar.

Moga bumi bertuah Malaysia tidak akan menjadi seperti itu.

######

Hari ini, belum sempat saya menghabiskan penulisan saya berkenaan isu ini, didalam perjalanan pulang mengambil humaira dari Hifz School. Telah berlaku perbualan yang menyentap jantung saya, meningkatkan lagi kebimbangan saya berkenaan isu kalimah Allah ini.

Sedang suami memandu, Humaira bercerita berbagai-bagai cerita dan kami melayannya dengan gembira.

Sehinggalah dia berkata : "Ibu, tadi semasa humaira bermain deangan kawan-kawan, datang seorang wanita. Dia dah tua, kemudian tiba-tiba wanita itu berkata kepada kami bahawa tuhan dia telah menciptakan Allah." sambil dia menggelengkan kepala tanda tidak setuju dengan kata-kata wanita tersebut

"Apa? Dia kata apa?" saya bertanya semula, bukan kerana saya tidak mendengar apa yang dikatakan tadi, cuma saya rasa terkejut dan mahu dia ulang dan saya berharap apa yang saya dengar adalah tidak benar.

"Dia berkata kepada kami, tuhan dia telah mencipta Allah... Mmmm..." sekali lagi humaira menunjukkan muka tidak puas hati

"Siapakah orang itu?" saya bertanya

"Entahlah ibu, humaira pun tak kenal." dia menjawab

"Mmm... Humaira rasa, betulkah apa yang dikatakan oleh wanita itu?" dalam resah, saya bertanya mendapatkan kepastian berkenaan dengan kefahaman tentang tauhid yang pernah kami terangkan kepadanya sebelum ini.

"Mestilah tidak betul ibu." humaira menjawab ringkas

"Bolehkah Allah s.w.t. diciptakan oleh tuhan yang lain?" saya bertanya lagi

"Tak boleh." sekali lagi dia menjawab ringkas

"Betul tu humaira, Allah itu satu sahaja, Allah tidak mungkin diciptakan oleh makhluk lain dan Allah tidak ada anak. Humaira ingat ya.." saya menjelaskan buat kali yang entah ke berapa asas tauhid itu.

Kami suami isteri berpandangan, walaupun tiada kata-kata yang terluah, tetapi saya dapat merasakan keresahan yang juga bersarang di dalam hatinya. Hati saya juga tidak tenteram memikirkannya.

Jika dialog ini berlaku ketika saya berada di sebuah negara yang majoriti bukan muslim pun ia menimbulkan kebimbangan terhadap aqidah anak saya. Bagaimanakah andai ia berlaku di negara malaysia yang disebut sebagai negara Islam?

Pada pendapat saya, soal akidah bukanlah satu perkara yang boleh kita bertolak ansur. Toleransi yang melampau hanya akan menjadi racun yang akan membunuh jiwa anak bangsa kita. Cukuplah dialog ini hanya berlaku di negara kangaroo ini dan saya tidak sanggup andai cerita dan dialog yang sama berlaku lagi kepada cucu cicit saya di Malaysia nanti.

Wahai umat islam semua yang amat saya kasihi. Isu kalimah allah ini bukan sekadar berkisar kepada hukum halal atau haram, boleh atau tidak boleh. Tetapi renung-renungkanlah tentang kesan dan natijahnya untuk generasi akan datang.

Kesannya bukan calang-calang tetapi ia pasti akan menimbulkan kecelaruan aqidah di dalam umat Islam.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jika kita akan berikhtiar berbagai cara untuk menjaga keselamatan harta dan anak-anak kita, maka untuk menjaga akidah usahanya mestilah berlipat kali ganda.

Sama-sama kita menyatakan bantahan berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim kerana saya yakin disebalik tuntutan ini, ada agenda kristianisasi yang sedang dilaksanakan.

Janganlah kita hanya melihat perkara ini secara luaran sahaja, tenung dan renunglah juga perancangan jahat kuffar ke atas umat islam.

Jika ketika ini, ketika kalimah Allah masih eksklusif buat umat islam pun ramai sudah murtad, cubalah bayangkan jika ia diberi kebenaran digunakan di dalam bible, apakah nasib aqidah generasi kita.

Ya Allah, bantulah kami untuk terus mentauhidkanMu. Peliharalah zuriat kami dari fitnah ini.

Kepada yang berkenaan, isu ini adalah isu besar, usahlah kita gadaikan hanya untuk dunia yang sementara ini. Saya tidak redha kalimah suci ini dipermainkan sebegini rupa.

Saya juga tidak akan pernah redha jika mimpi ngeri ini berlaku hanya kerana ada pihak yang mahu menjaga kepentingan selain dari kepentingan agama yang mulia ini..

Ya Allah peliharalah kami dan zuriat keturunan dari kesesatan ini, dan tetapkanlah kami di dalam Islam sehingga hujung usia kami..

07 January 2013

Lollipop syurga


“Nasihah, nasihah nak masuk syurga tak? Dalam syurga ada lollipop banyaaaakkk…” kedengaran suara khadijah bercakap dengan nasihah, sambil memaling ke arah nasihah, khadijah begitu serius berbicara tentangnya. Sambil tangan mereka berpegangan, khadijah bertanya seperti hendak ke taman permainan esok lusa.

Ketika itu, saya, ummi nasihah dan babah nasihah sedang sibuk memetik buah ceri di Kebun Stella Creek. Aktiviti memetik buah ceri merupakan aktiviti kegemaran di musim panas kerana pada musim ini sahaja ladang-ladang ceri akan dibuka untuk aktiviti ‘pick your own’ oleh para pengunjung. Di dalam ladang pengunjung boleh makan sebanyak-banyaknya, dan akan dibekalkan dengan baldi untuk mengisi buah yang hendak dibeli dan dibawa pulang.

Mendengar perbualan khadijah dan nasihah, babah nasihah menyampuk : “Mmm kalau nak masuk syurga, kita kena buat apa?”

“Kita kena solat.” jawab khadijah

“Haa.. Khadijah suruhlah nasihah tu solat ya.. Boleh masuk syurga sama-sama..” sambung babah nasihah lagi.

Saya dan ummi nasihah yang duduk berdekatan ketawa mendengar perbualan mereka. Terasa indah apabila bual bicara mereka adalah tentang pahala dan syurga.

“Hihi, tak pasal-pasal nasihah jadi mad’u (orang yang didakwah) khadijah hari ni. Lawak-lawak.” Saya mengomel.

“Tak mengapa la kak, bagus lah tu…” Ummi Nasihah membalas

Syurga dan neraka, pahala dan dosa merupakan sebahagian daripada asas-asas keiman yang perlu ditanamkan di dalam diri anak-anak. Kecintaan kepada syurga dan kebencian kepada neraka akan membantu mereka untuk beribadah dengan lebih bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan ganjara-ganjaran dunia semata-mata.

Tidak salah jika hendak menjinakkan mereka dengan hadiah-hadiah, tetapi adalah lebih baik lagi andainya ganjaran syurga lebih diwar-warkan kepada mereka agar segala tingkah laku dan apa jua yang dilakukan adalah kerana ketaatan kepada Allah.

Sampaikanlah khabar gembira (syurga dan keindahannya) kepada mereka terlebih dahulu sebelum kita menakutkan mereka dengan siksa api neraka.

Ceritakan kepada mereka tentang pahala yang melimpah ruah buat mereka yang berbuat baik, sebelum kita menekan mereka dengan kengerian dosa dan syaitan yang menyesatkan.

Tanamlah di dalam jiwa mereka bahawa hidup beragama itu bakal membuahkan kemanisan buat mereka.

Biar mereka rasa bahawa betapa penting agama di dalam kehidupan mereka dan mereka perlu kepadanya.

Biar mereka merasakan betapa indah hidup mengikut syariat kerana ganjaran yang Allah sediakan lebih hebat daripada dunia dan seisinya.

Andainya mereka telah memahami hakikat tentang syurga dan neraka, maka segala kesusahan dalam metaati perintah Allah akan sabar diharungi. Segala kesukaran meninggalkan laranganNya akan tabah dilalui semata-mata mengejar syurga yang dirindui.

Bersahabat hingga ke syurga! Insya Allah...
Tidak kisah jika semasa kecil mereka membayangkan bahawa syurga itu penuh dengan lollipop dan aiskrim yang berbagai warna. Transformer yang hebat-hebat belaka. Mereka mengimpikan berpakaian seperti puteri kayangan dan bermacam-macam angan-angan.

Biarkan mereka berimaginasikan mengikut kemampuan akal mereka kerana semakin mereka dewasa dan menekuni kitab Allah s.w.t, mereka akan mengetahui bahawa syurga itu adalah tempat yang tidak dapat dibayangkan dengan fikiran, tidak dapat digambarkan dengan mata dan tidak pernah didengar oleh telinga.

Oleh itu, banyakkanlah menyebut tentang syurga dan pahala dalam kehidupan seharian kita bersama mereka. Panggillah mereka dengan gelaran ‘ahli syurga’ dek kerana bersihnya mereka dari dosa dan noda.

Mari kita bersama menanamkan rasa cinta kepada syurga, agar ia menjadi buruan mereka.

Wallahua'lam

29 December 2012

Ayahku, Boyfriend ku


 “Ayah, kakak malulah dengan kawan-kawan.” Zulaikha meluahkan perasaannya ketika mereka berdua menikmati ais kacang di kedai Kak Pah. Petang itu, sengaja si ayah membawa anaknya ke situ setelah mengambil zulaikha dari latihan bola jaring. Kebetulan hari panas, maka menikmati ais kacang memang satu nikmat besar.

“Malu? Malu kenapa?” Terangkat kening si ayah, bertanya sambil merenung wajah anak tercinta.

“Kawan-kawan semua tanya sama ada kakak ada boyfriend atau tidak. Bila kakak kata tak ada, semua ketawakan kakak… Arggghhh geram betul!” beritahu Zulaikha telus. Memang sejak kecil, dia sudah biasa bercerita dengan ayah apa jua yang berlaku di sekolah.

Si bapa terdiam seketika, Hashim membetulkan duduknya. Berfikir-fikir apa respon terbaik yang perlu diberikan kepada anak sulungnya itu. Belum sempat dia bersuara…

“Mmm… kalau kakak nak ada boyfriend boleh?” Tanya Zulaikha

Hampir-hampir tersedak si ayah mendengar, tidak sangka itu pemintaan si anak. “Oh, dah besar anakku ini.” Getus di dalam hati.

Hashim seorang yang berpegang kepada agama. Sejak kecil si ayah selalu menerangkan tentang halal dan haram kepada anaknya. Termasuklah tentang batasan pergaulan lelaki dan perempuan. Tidak sangka bahawa persoalan ini akan timbul juga daripada anak sulung kesayangnnya itu. Menjadi bapa kepada tiga anak perempuan yang semakin meningkat remaja, ia bukan tugas mudah.

“Jadi kakak nak ada boyfriend?” si ayah bertanya meminta perngukuhan. Menguji.

“Mmm bukan begitu maksud kakak, kakak tahu yang muslimah tidak boleh berpacaran selagi belum akad nikah, tapi…” terhenti seketika, merenung wajah ayah tercinta, wajahnya penuh serba salah. Mungkin zulaikha pun tahu yang permintaan itu adalah sesuatu yang tidak wajar.

“ tapi apa sayang?” tanya si ayah apabila lama suasana menyepi

“macam yang kakak cerita pada ayah masa mula-mula tadi lah.. supaya bila ada orang tanya kakak, kakak boleh kata yang kakak pun ada boyfriend. Itu sahaja.” Wajah zulaikha tunduk sambil tangannya menggaul-gaul ais kacang di dalam mangkuk.

Di benak zulaikha, memang terasa bahawa permintaan itu tidak masuk akal. Dia pun tahu bahawa ayahnya sangat mementingkan soal dosa dan pahala. Namun, desakan sekeliling kadang-kadang menyesakkan kepala. Ketika berpacaran menjadi kebiasaan, ketiadaan teman lelaki menjadi suatu kepelikan.

“Mmm… Kalau ayah bagi satu cadangan boleh?” Terlintas idea di benak Hashim.

“Mmm Cadangan apa?” segera si anak memandang wajah ayahnya

“Biar ayah yang menjadi boyfriend kamu.” Kata Hashim dengan penuh yakin. Ya biar dia yang menjadi teman lelaki anak-anak perempuannya.

Terbeliak mata si anak.

“Ayah, jangan main-main, kakak serius ni…!” Zulaikha bersuara minta penjelasan.

“Begini anakku, di dalam dunia ini, ayah adalah lelaki yang paling sayangkan kakak. Ayah melidungi kakak dari kecil sampai besar. Ayah cuba usahakan apa yang kakak inginkan. Ayah rawat kakak ketika kakak sakit. Ayah hiburkan kakak bila kakak sedih. Ayah cari nafkah yang halal demi kakak dan adik-adik. Ayah sanggup buat apa sahaja untuk kakak supaya kita dapat bersama hingga ke syurga yang tertinggi. Ayah cinta dan sayangkan kakak kerana kakak adalah zuriat pertama ayah. Ayah cinta dan sayangkan kakak kerana kakak bukti pertama kasih sayang ibu dan ayah.”

“Jadi, ayah tidak sanggup melihat ada lelaki lain beraja di mata dan hati kakak selain ayah. Kecuali… seorang lelaki yang betul-betul halal buat kakak. Lelaki yang akan mengucapkan akad perjanjian menjaga kamu dengan menjabat tangan ayah. Lelaki yang sanggup memikul amanah untuk menjaga kakak dunia dan akhirat. Jika sekadar untuk berpacaran, maaf ayah tidak akan benarkan.” Kata hashim tegas.

Si ayah menjelaskan dengan panjang lebar. Tidak sanggup rasanya melihat anak yang dikasihi itu diusung ke hulu ke hilir oleh lelaki bukan mahram. Tidak sanggup membiarkan anak yang dikasihi dan dibelai sejak kecil itu diselubungi maksiat kepada Allash s.w.t. Dayus namanya itu!

Pada seorang ayah, keselamatan anak-anak adalah yang paling utama, keselamatan dunia dan akhirat. Kalau boleh ke mana sahaja anak pergi hendak diikut, namun mustahil boleh buat begitu.

“Jadi, jika kawan-kawan tanya kakak ada boyfriend atau tidak, katakan kepada mereka bahawa ayah yang kacak dan macho ini adalah boyfriend kakak sebab ayah sayang kakak kerana Allah s.w.t. Ayah akan jaga kakak, ayah akan lindungi kakak dari apa jua mara bahaya. Ayah akan temankan kakak di kala susah dan senang. Setuju?” Hashim mebisikkan kata-kata keramat itu ke telinga zulaikha sambil memeluk bahu anaknya itu.

Zulaikha terkedu, hampir-hampir air matanya jatuh kerana terasa resapan kasih sayang sejati dari batang tubuh ayahnya itu. Kasih sayang yang ikhlas, telus dan mulus. Bersyukur dia dikurniakan ayah yang sebegitu. Di dalam hati, dia bertahmid dan berzikir memuji Allah.

“Okay, setuju!” Tercalit senyuman puas di hati Zulaikha. Sebelum ini tidak pernah terfikir tentang perkara itu. Ya, ayah adalah boyfriend pertama dalam hidupnya sebelum datang putera berkuda yang akan menjawab ijab dan qabul dari ayah.

Memang benar kata ayah, cinta ayah kepadanya lebih ikhlas dari lelaki-lelaki di luar sana yang hanya mahu bersuka ria. Jika benar inginkannya, sila datang bertemu dengan ayah terlebih dahulu. Biar ayah selidik orang yang bakal mendidiknya hingga ke syurga. 


21 December 2012

Siapakah yang terlebih dahulu menderhaka?


“Apa yang Tadika Nursyifa buat bila ada ibu bapa yang sering mengambil anak mereka terlalu lewat?” Tanya sahabat saya di dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menghadiri sebuah program anjuran ISMA. Jenuh merenung jalan, kami berbual-bual menghilangkan jemu dalam perjalanan hampir enam jam itu.

“Mmm kenapa? Ramaikah yang mengambil anak lambat, biasanya pukul berapa?” Saya tidak menjawab terus, tetapi bertanya semula.

“Tidaklah ramai, ada beberapa orang yang begitu. Kadang-kadang kesian dengan anaknya. Termenung menunggu ibu bapa datang menjemput, kadang-kadang jam tujuh setengah malam pun belum nampak batang hidung. Anak-anak dah kegelisahan menyelak langsir meninjau-ninjau andai ibubapa sudah sampai… Haih.. Kasihan…” Keluh Hasra, kawan saya sejak di Universiti Utara Malaysia dulu dan pernah bekerja di Tadika Tasneem untuk beberapa tahun.

“Ada sekali tu, bila ditanya kepada ibu kenapa lewat, rupa-rupanya si ibu dan bapa singgah ke kenduri terlebih dahulu sebelum menjemput anak. Sedangkan si anak bercerita dari pagi hingga ke petang tentang keseronokkannya untuk pergi ke kenduri petang itu bersama ibu dan ayah. Tengok-tengok ibubapa sudah kenyang sedangkan anak-anak kelaparan menanti ibu bapa untuk dibawa ke kenduri. Saya mendengarnya pun sedih, inikan pula anak kecil itu.” Hasra menyambung cerita.

“Ya Allah kasihan sungguh anak itu ya? Mungkin bagi ibubapa, tindakan itu biasa-biasa sahaja itu tetapi bagi anak kecil ia adalah suatu perkara besar. Memungkiri janji dan mementingkan diri bagi saya”

Sindrom menjemput anak lewat dari tempat asuhan saya lihat ia makin menjadi kebiasaan. Semasa saya bekerja di Shah Alam, ada bapa yang mengambil anak dari tadika pada pukul 9.30 malam hingga 10 malam hampir setiap hari. Anak-anak menanti dengan penuh harapan, mengadu tentang perut yang kelaparan, akhirnya tertidur dengan wajah hampa dan kelesuan.

Allahu akbar!

Sedih!

Jika di Kuala Lumpur atau di tempat yang mengalami kesesakan lalulintas, tidaklah menjadi keraguan, tetapi jika bekerja sekitar alor star atau jitra, saya tidak tahu apakah alas an munasabah yang boleh diberikan untuk mengambil anak lewat. Tiada kesesakan, tempat kerja yang biasanya dekat. Mmm saya semakin tidak faham dengan tindakan sebahagian ibu bapa yang selalu menjemput anak lewat dari tadika.

Jika sekali sekala, boleh lah diterima, tetapi jika setiap hari, saya pun tak tahu nak kata apa. Memang ada kes di tadika, ibu yang balik kerja, pulang dahulu ke rumah menyiapkan kerja-kerja rumah, memasak, mengemas dan sebagainya. Lalu kerana ralit dengan tugasan, tengok-tengok jam sudah menghampiri jam lapan malam, barulah terkejar-kejar ke tadika untuk mengambil anak-anak sedangkan anak-anak sudah terlalu letih.

Sehinggakan sampai satu tahap, saya sudah tidak tahan melihat anak-anak dilakukan sebegitu saya menulis surat kepada ibubapa mereka. Saya menyatakan kepada mereka bahawa anak-anak mereka memerlukan kasih sayang mereka. Mereka memerlukan perhatian dari ibu dan bapa. Janganlah membiarkan mereka terlalu lama duduk di tadika.

Jika anak yang diambil sudah keletihan, bilakah masanya mereka dapat  bermanja dengan ibubapa?
Jika anak dihantar awal pagi dan diambil lewat petang, maka bilakah mereka dapat merasai belaian kasih sayang dari ibu dan bapa?

Jika guru-guru di tadika yang lebih banyak memberi pelukan dan setia mendengar keluhan rasa dari anak-anak kecil ini, apakah kita yakin bahawa mereka akan bercerita dengan kita masalah mereka apabila mereka remaja nanti?

Jika ibubapa seringkali meninggalkan anak-anak di tadika saban hari dan waktu, tanpa masa berkualiti yang dapat mengikat hati antara ibubapa dan anak-anak, adakah kita yakin bahawa mereka akan melayani kita sebaiknya sewaktu kita sudah tidak berupaya nanti?

Melihat situasi-situasi sebegini, saya tidak pelik andai ada anak-anak yang meninggalkan ibubapa di rumah-rumah orang tua kerana kesibukan.

Saya tidak pelik jika ada ibu bapa yang sudah tua ditinggalkan kelaparan di rumah.

Saya tidak pelik jika ada anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa.

Sebelum kita mengatakan si anak itu menderhaka, mungkin juga ibu bapa yang terlebih dahulu menderhaka kepada mereka. Sibuk dengan urusan dunia, tanggungjawab mendidik dilambakkan semuanya kepada tadika atau tempat-tempat asuhan.

Akhirnya, anak-anak rasa tidak dihargai dan pada masa yang sama mereka tidak akan pandai untuk menghargai ibu bapa mereka.

Saya menulis untuk memberi peringatan kepada diri sendiri agar melunaskan hak kepada anak-anak dan ahli keluarga kita. Apa yang kita tanam, hasilnya akan pasti kita tuai. Andai kasih sayang yang kita beri, maka kasih sayang jugalah yang akan diterima.

Pengalaman berjauhan dengan anak-anak dan suami, menyedarkan saya bahawa mereka sebenarnya terlalu berharga. Sementara mereka ada di sisi, penuhilah hak mereka yang ada pada kita. Jangan sampai bila mereka sudah hilang dari sisi kita (sama ada hidup atau mati) barulah kita meraba-raba menagih kembali kasih sayang yang telah hilang ditelan masa.

Ya Allah, izinkan kami bercinta sampai syurga…

Hanya yang terbaik untuk kita...


“Kak, orang yang janji dengan saya nak buka tadika tu dah memungkiri janji dia. Buat tak tahu bila saya tanya. Telefon tak angkat, mesej tak berjawab. Kecewa betul!” Adu Nor dengan wajah sugul.

“Ya Allah, kenapa jadi macam tu?” Saya bertanya kerana sebelum ini bersungguh benar kawannya itu untuk sama-sama mengusahakan tadika.

Nor bekerja lama dengan saya. Sejak tahun 2004. Walaupun hanya berbekalkan sijil SPM, dia merupakan pekerja yang amat dedikasi dan bersungguh-sungguh. Dia bekerja dengan baik dan akhirnya saya melantiknya sebagai pengurus kerana saya dan suami akan berkelana ke bumi Australia kerana suami menyambung pengajian ke peringkat PhD.

Gajinya saat itu agak lumayan jika dibandingkan dengan kelulusan yang dia ada, saya tidak kisah untuk membayarnya kerana saya percaya dan yakin dengan kebolehan beliau menguruskan tadika yang akan saya tinggalkan selama 4 tahun.

Pada tahun 2009 beliau berkahwin, tetapi terus bekerja dengan saya di Jitra Kedah walaupun terpaksa berjauhan dengan suami yang bekerja di Kuala Lumpur. Setiap dua minggu dia akan pulang ke Kuala Lumpur, begitulah dia berulang alik sehinggalah anaknya yang dilahirkan pada 2010 berumur dua tahun.

Awal November 2012, Nor menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kerana ada seorang kawan mengajaknya untuk mengusahakan tadika mereka bersama di Serdang. Nor menerima tawaran tersebut dengan senang hati kerana beliau juga sudah penat untuk berulang alik dari kuala lumpur ke Kedah. Sungguh perkahwinan jarak jauh ini memang cukup memenatkan.

Kawan beliau itu datang ke rumah Nor berbincang tentang pembukaan tadika baru tersebut, berjanji untuk berkongsi modal, menggunakan rumah yang sedang diduduki dan berjanji akan berpindah secepat mungkin. Ingin menggunakan pengalaman Nor yang telah bekerja lebih dari sepuluh tahun di beberapa tadika, mereka berbincang tentang banyak perkara dan Nor dengan bersungguh melakukan berbagai perkara seperti flash card, alat bantu mengajar dan macam-macam lagi

Tiba-tiba, setelah banyak persedian yang telah dibuat, kawan beliau itu makin sukar dihubungi, telefeon tidak berjawab, mesej tidak dibalas. Nor semakin panas punggung. Bingung. Dia sudah berhenti kerja dengan saya pada awal November,  andai impian untuk membuka tadika ini tidak dapat dilaksanakan, pasti dia akan mengalami kesukaran untuk melunaskan perbelanjaan hidup seperti membayar ansuran kereta, takaful dan bermacam-macam lagi.

Nor semakin buntu, sudah banyak kali dia mencuba untuk menghubungi kawan beliau tersebut dan akhirnya dia pergi sahaja ke rumah mereka dan benarlah seperti sangkaannya bahawa mereka tidak lagi berminat untuk mengusahakan tadika tersebut.

Luluh hati Nor mendengarnya. Bercerita dengan saya dengan rasa penuh kecewa dan terselit juga kemarahan atas ketidak jujuran kawannya itu.

 Menurut cerita Nor, suami kawannya itu orangnya kaya, banyak duit, jadi jika tidak buka tadika pun tidaklah punya masalah untuk menguruskan kewangan keluarga. Namun bagi Nor, ia suatu yang memeritkan, gaji suaminya tidaklah sebesar mana. Tambahan pula dia hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia, bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman sekarang ini.

Hiba hati saya mendengar luahan hatinya, masih terngiang-ngiang kegembiraannya ketika bercerita tentang hasrat membuka tadika baru dan tidak lagi perlu berjauhan dengan suaminya. Namun kegembiraannya hanya sementara, Allah sedang mengujinya.

“Nor, akak faham perasaan Nor. Akak pun tak tahu bagaimana nak membantu Nor sebab akak dah ambil pekerja baru untuk menggantikan Nor. Mmm bagaimana ya?” Saya pun buntu dibuatnya.

Saya memang sayangkan dia, saya suka cara dia bekerja. Ketika dia menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dengan saya, memang berat untuk melepaskannya, namun saya memahami kesusahannya berulang alik bertahun-tahun. Oleh sebab itu, saya terpaksa juga menerima keputusannya untuk berhenti kerja.

“Mmm saya faham kak, saya cerita ni bukan saya minta akak ambil saya bekerja semula tetapi sekadar meluahkan perasaan kecewa saya. Tak tahulah bagaimana nak bayar kereta, takaful dan lain-lain nanti.” Termenung juga dia memikirkan semua itu. Kesian!

“Begini Nor, yakinlah bahawa semua yang berlaku ada hikmahnya. Allah sedang menyusun yang terbaik untuk Nor sekeluarga. Jika nor bekerja dengan akak lagi, sampai bila Nor nak PJJ dengan suami? Kesian kepada Syaurah yang tidak mendapat kasih saying seorang ayah. Insya Allah, yakinlah jika niat Nor berhenti adalah untuk berbakti kepada suami, pasti Allah akan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. 

Allah akan melapangkan rezekinya kepada Nor, dan Allah akan kurniakan yang lebih baik dari yang kita sangkakan.”

“Betul tu kak, itulah yang saya doakan siang malam. Saya sendiri pun dah tak larat lagi nak berulang alik mengusung si syaurah ni saban minggu. Akak doakan saya ya?”

“Insya Allah, sama-sama kita doakan. Berkenaan dengan kawan Nor tu, maafkan sahaja. Tidak guna menyimpan dendam. Simpan dendam, hati kita tenang.”

“Mmmm ya la.. saya pun malas dah ingat perkara tu..”


Selang beberapa minggu, saya menghadiri sebuah program di Kuala Lumpur, dan bertemu dengan seorang kawan yang juga mengusahakan sebuah tadika di Gombak. Sesekali berjumpa, kami bercerita panjang. Saling bertanya khabar dan bertukar cerita tentang tadika masing-masing.

“Akak, saya pening dengan masalah cikgu-cikgu saya. Kerja sekejap berhenti, aduh letih nak mencari pengganti.” Luah Pijah kepada saya, sebenarnya berkongsi masalah yang sama dengan saya.

Memang bukan mudah nak mendapat guru yang boleh bekerja secara tetap dengan tadika. Dengan gaji yang tidaklah sebanyak mana, sudah pasti anak-anak muda sekarang lebih cenderung untuk bekerja di sector lain seperti bekerja di pasaraya besar atau kilang.

Ditambah pula perlu berurusan dengan kanak-kanak kecil, tidak semua orang yang sanggup melayani karenah mereka. Walaubagaimana pun, saya bersyukur kerana walaupun ada guru yang berhenti tahun ini, tetapi masih ada tujuh lapan orang guru saya yang masih setia. Yang paling lama, hampir lima tahun.

“Oh ye ke, jadi pijah sedang mencari pekerja sekarang ni?” Saya bertanya kembali. Di dalam benak terlintas wajah Nor.

“Ya kak, puas mencari, tetapi belum ada yang betul-betul sesuai.” Keluh pijah

“Mmm Kak Nor adik akak tu, sekarang tengah cari kerja, dia dah berhenti dengan akak awal November hari tu, kalau pijah nak, boleh lah tanya dia sebab dia memang sedang mencari kerja sekitar rumah dia. Lagipun rumah dia dengan tadika pijah tu tak jauh mana rasanya.” Saya memberi cadangan.

“Ya Allah betul ke akak? Alhamdulillah… Harap-harap dia nak bekerja di tadika saya!” Pijah meluahkan harapnnya.

Setelah dihubungi, syukur Nor juga bersetuju untuk bekerja di Tadika rakan saya itu.

Begitulah perancangan Allah. Kadang-kadang Allah sedang menyediakan sesuatu untuk kita. Pada saya, rezeki Allah itu amat luas. Jika tidak diberi sebagaimana yang kita bayangkan, maka akan disalurkan dengan cara lain.

Apa yang penting ialah keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Keyakinan bahawa Allah akan mengurniakan rezekinya andai kita berniat untuk buat kebaikan. Allah akan memberi kita rezeki yang tidak disangka-sangka jika kita bertaqwa kepadanya. Kita hanya perlu berusaha, Allah akan melorongkannya kepada kita.

Tarbiyyah buat saya kali ini,

1.        Apabila niat kita adalah untuk mentaati suami dan berbakti kepada keluarga, Allah akan memudahkan urusan kita.

2.       Rezeki Allah itu sangat luas, akan diberikan kepada siapa yang dikehendaki.

3.       Jika berjanji usah dimungkiri kerana andai ia tidak menyusahkan diri sendiri mungkin ia akan memberi kesukaran kepada orang lain. Andai belum pasti dapat menepati, lebih baik jangan sesekali berjanji.

4.       Allah mengetahui yang terbaik buat kita. Mungkin bagi kita ia tidak baik, tetapi ia adalah yang terbaik buat kita. Mungkin juga bagi kita ia adalah yang terbaik, tetapi bagi Allah mungkin sebaliknya. Maka sentiasa bersangka baik dengan Allah s.w.t, Allah akan mengurniakan ketenangan buat kita.