12 June 2012

Setiap anak itu unik



“ Eh baiknya anak awak,makan senang, tak banyak ragam.. mmm.. Awak buat macam mana ya sampai dia jadi baik begini?”

“Ya Allah, kesian sungguh saya tengok anak Mira tu, asyik menangis sahaja. Nak kata lapar, dah diberi makan, nak kata perut kembung, tak pula.”

“Akak, anak saya ni susah betul nak bergaul dengan orang. Asyik nak berkepit dengan mak ayah dia saja. Macammana nak buat ya? Bimbang juga sebab tak lama lagi dia dah nak ke Tadika, kalau beginilah keadaannya, bimbang dia menangis sepanjang hari di Tadika nanti.”

Bila para ibu bertemu, dialog-dialog seperti di atas pasti biasa dibicarakan. Masing-masing berkongsi pengalaman. Bagi ibu yang mempunyai anak yang tidak banyak ragam, syukur pada ilahi. Namun bagi ibu yang mempunyai anak yang selalu meragam, pasti timbul sedikit sebanyak tekanan lantaran keletihan dalam menangani karenah anak-anak.

Kadang-kadang, sampai buntu memikirkan apa yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat sehingga anak-anak mereka baik sebegitu rupa dan apa yang tidak dilakukan oleh kita sehingga anak-anak bagaikan ada yang tidak kena.

Bagi ibubapa diluar sana, jika anak kita tidak serupa tabiat dan ragamnya dengan yang lain, janganlah risau kerana menurut satu kajian yang telah dibuat di New York selama sepuluh tahun berkenaan dengan perangai kanak-kanak, kanak-kanak secara umumnya terbahagi kepada empat kumpulan.

Kumpulan pertama ialah kanak-kanak yang mudah untuk diuruskan. Mereka mudah untuk makan dan bersedia untuk menerima perubahan. Mereka akan tidur sepanjang malam. Tidak cerewet memilih makanan dan tidak mempunyai masalah ketika membuang air sama ada kecil atau besar. Mereka juga mudah menerima permainan baru, persekitaran baru dan orang baru di sekeliling mereka. Kanak-kanak sebegini menjadikan pengalaman keibubapaan sesuatu yang menyenangkan dan menyeronokkan.

Kumpulan kedua ialah kanak-kanak yang lambat untuk menyesuaikan diri , malu atau terus menolak apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru. Mereka mungkin akan meluahkan makanan, sukar untuk tidur malam terutamanya di tempat yang baru dan akan rasa terganggu dengan perubahan. Namun, dalam jangka masa tertentu, mereka akan perlahan-lahan menerima perubahan tersebut. Masalah yang dialami oleh kanak-kanak di dalam kumpulan ini adalah berbentuk sementara sahaja, ibu bapa hanya perlu memahami tentang ketakutan dan perasaan malu mereka da mengatasinya. Ibu bapa perlu meningkatkan keyakinan diri kepada anak-anak seperti ini.

Kumpulan ketiga pula ialah kanak-kanak yang akan protes dan sukar menerima setiap perubahan yang menyalahi kebiasaan mereka. Mereka sukar untuk tidur, sukar menyesuaikan diri dengan pengasuh baru, makanan baru bahkan apa jua yang baru dalam hidup mereka. Mereka banyak menangis dan meragam. Mereka sangat cerewet memilih makanan dan sangat sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan. Kanak-kanak sebegini perlu dirawat dengan kasih sayang dan ketegasan.

Kumpulan yang keempat pula ialah mereka yang mempunyai sikap yang bercampur-campur antara ketiga-tiga kumpulan di atas. Kadang kala mudah dan kadang kala sukar untuk menerima perubahan. Sebagai contoh, mereka mudah tidur tetapi cerewet apabila menyentuh tentang soal makanan.

Setiap anak itu unik dan dilahirkan dengan tabiat dan karektor yang berbeza. Kita sebagai ibu bapa janganlah suka membanding-bandingkan anak-anak sendiri dengan anak orang lain kerana ia mungkin akan memberi tekanan kepada ibu bapa jika anak kita tidak seperti anak rakan-rakan kita.

Terimalah anak kita seadanya. Jika mudah diuruskan bersyukurlah kepada Allah. Jika sebalik banyakkan bersabar dan carilah penyelesaian untuk menghadapinya dengan berbincang dengan mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan. Jika perlukan bantuan, mintalah dari mereka yang sepatutnya seperti ahli keluarga dan rakan-rakan.

Pengalaman keibubapaan merupakan suatu yang indah jika kita bijak mengurusinya. Segalanya bermula dari cara kita berfikir, jika kita fikir ia sesuatu yang sukar dan membebankan, maka itulah yang akan kita rasakan. Namun, jika kita fikir bahawa menjadi ibubapa itu sesuatu yang menyeronokkan, walau apa jua yang datang melanda, kita pasti akan berusaha untuk menghadapinya dengan gembira.