08 January 2014

"Ibu, kenapa ibu selalu tidur dengan ayah?"

“Ibu, kenapa ibu selalu tidur dengan ayah?” terpacul soalan dari Khadijah yang baru berusia empat tahun itu sebaik keluar dari bilik air. Dengan wajah yang masih basah dan kesejukan dia datang menghala ke arah saya untuk saya pakaikannya pakaian.

Ada juga riak tidak puas hati yang terpancar kerana malam tadi saya minta dia masuk semula ke biliknya setelah kaki yang lenguh telah dipicit ayahnya seketika.

“Alahai pasal apa lah soalan yang sebegitu yang ditanya pagi-pagi begini, bagi la soalan yang senang sikit..” getus hati saya. Saya menggaru kepala yang tidak gatal, mencari jawapan yang sesuai.

Pada awalnya seperti mahu membuka topik yang lain, tetapi setelah difikirkan semula, mungkin inilah peluang untuk saya memberi kata-kata tarbiyah tentang pendidikan seks dan adab bergaul  di dalam rumahtangga Islam.

“Ibu, kenapa ibu selalu tidur dengan ayah?” Khadijah bertanya sekali lagi, kali ini dengan suara yang lebih kuat, lambat sangat ibu menjawab agaknya.

“Owh.. ibu boleh tidur dengan sebab ibu sudah berkahwin dengan ayah…” Terkeluar jawapan tersebut. Ringkas.

Khadijah memang selalu bertanya tentang gambar perkahwinan saya dan suami yang ada di dalam dompet saya setiap kali melihatnya. Jadi perkataan kahwin sudah biasa didengari, tambahan pula ramai dikalangan ‘acik’ yang dikenali juga sudah berkahwin. Entah apa yang difahami tentang perkahwinan saya tak pasti, mungkin dengan berpakaian cantik kemudian bergambar bersama itulah gambaran perkahwinan baginya.

“Tapi kenapa?” Tanya dia lagi, Khadijah memang tidak puas dengan satu soalan sahaja. Sama sikap dengan kakak Humaira, tetapi saya mendapati soalan dari Khadijah lain bentuknya dan tidak kurang cabaran untuk menjawabnya.

“Allah kata, orang lelaki dan perempuan, hanya boleh tidur bersama selepas berkahwin, kalau belum berkahwin tak boleh tidur sama-sama tau… Jadi, Khadijah tak bolehlah tidur dengan orang lelaki sebab Khadijah belum berkahwin” Saya menerangkan dengan cara yang paling mudah untuk kefahaman anak kecil sepertinya.

“Eiii mana ada orang lelaki la kat sini..” Dia mencebik, mungkin belum pernah terfikir tentang itu.

“Manalah tahu kalau Khadijah ada kawan lelaki, maka Khadijah tak boleh tidur dengan kawan lelaki tu tau..” Sengaja membuat ayat sebegitu supaya dia semakin faham tentang larangan tersebut.

“Bahkan, pegang atau sentuh lelaki pun tak boleh melainkan dengan ayah, adik lelaki atau abang, pakcik dan atuk. Kalau dengan kawan-kawan lelaki, Khadijah jangan pegang tangan tau...” Saya menambah lagi, biar dia faham bahawa hanya ada beberapa lelaki yang halal baginya untuk bergaul.

“Aaaaaarrrrgggghhhhh..  I don’t like boy!” Dia menjerit kegelian. Saya hanya tersenyum.

Perbualan itu berlalu setelah dia lari ke depan mencari ayahnya. Walaupun perbualan tadi ringkas, namun saya berharap agar ada sesuatu yang diperolehinya. Perbualan di atas berlaku antara saya dengan kanak-kanak berusia empat tahun, jika berinteraksi dengan anak-anak yang lebih dewasa mungkin lain pula caranya.

Namun apa yang penting, saya mahu dia tahu bahawa seorang wanita perlu menjaga kehormatan diri, tidak boleh ditiduri oleh sesiapa sesuka hati. Gejala social yang semakin teruk sekarang ini memang amat-amat membimbangkan saya. Kes rogol, zina dan kelahiran anak luar nikah yang semakin galak berlaku perlu diatasi dengan pendidikan.

Ia tidak akan selesai hanya dengan memberikan kondom percuma, tidak akan selesai dengan menyediakan pusat-pusat penjagaan anak luar nikah.

Anak muda sekarang mestilah didedahkan dengan perkara halal dan haram dalam pergaulan, mesti diajar tentang menjaga pandangan dan memelihara aurat. Adab sopan sebagai seorang muslim juga haruslah ditekankan kepada semua sejak kecil lagi.

Jika tidak diajar dan dididik, maka akan lahirlah remaja yang tidak tahu suruhan dan larangan di dalam agama. Islam hanya pada nama, dari segi tingkah laku dan akhlak jauh dari yang sepatutnya.

Jagalah anak-anak kita dengan ilmu dan iman supaya andai kita tidak berada di hadapan mereka, mereka masih merasai bahawa ada Allah yang sentiasa memerhati mereka.

Andai kita jauh dari mata, taqwa mereka kepada Allah akan memelihara mereka dari apa jua akhlak dan tingkahlaku yang melanggar batasan agama. Biar agama yang menjadi benteng kepada mereka.

Selain daripada itu, Jika kita ditanya dengan apa jua soalan, jawablah dengan jawapan yang membangun iman dan kefahaman mereka tentang agama ini kerana ia merupakan masa keemasan untuk kita membentuk keperibadian.

Soalan sebegitu mungkin akan hanya ditanya sekali seumur hidup. Oleh itu, gunakan peluang sebaiknya walau sesibuk mana pun kita. Mereka umpama kain putih bersih, kita jualah yang mencorak mereka menjadi sehelai kain yang indah atau sebaliknya.

Ingatlah bahawa, mereka akan menjadi indah hanya dengan agama…

1 comment:

mamapeduli said...

Assalamualaikum,

Puan, mohon keizinan untuk saya kongsikan artikel puan dalam blog mamapeduli.info..

Tips dan artikel puan amat bermanfaat.

Saya akan creditkan artikel puan kepada blog puan.

Terima kasih