31 December 2009

Kasihi mereka, mereka akan mengasihimu

"Mmm... Lama dah kita tak pegang tangan masa jalan-jalan kaaan..." Kata Mira tatkala tangannya dipegang Hafiz.

"Ye la... Biasanya kalau kita nak pegang tangan ada aje yang menyelit di tengah. Tak pun, abang pegang kak long, ayang pulak dukung si adik. Macammana nak pegang-pegang tangan? " Hafiz mengiyakan isterinya. Jemari isterinya digenggam erat.

Hari itu mereka ada urusan di bandar Ipoh, maka anak-anak diletakkan di nursery. Bukan tak mahu di bawa sekali, tetapi memandang cuaca yang panas terik, kesian pula anak kecil itu nanti.

Mira mengangguk-anguk kecil. Teringat buah hati yang ditinggalkan. Anak-anak yang menjadi penghibur di kala sunyi.

"Sayang... Abang risau tengok Mira sekarang ni..." Luah Hafiz

"Eh! Risau apa pulak?" Mira membalas sambil memandang wajah suaminya

"Abang risau tengok cara Mira melayan anak-anak. Kak Long pergi mandi sekarang! Kak Long makan! Kak Long itu! Kak Long ini! Semuanya arahan..."

"Sayang, anak-anak kita masih kecil. Tidak semua arahan dan suruhan kita akan dibuat serta merta. Dia sedang belajar tentang kehidupan. Dia sedang belajar mengutip pengalaman."

Mira menundukkan wajahnya ke bawah. Memang benar, sejak akhir-akhir ni mudah sangat darahnya naik. Tambahan pula bila anak-anak tak ikut apa yang dikata. Mulalah suara nak meninggi.

Dia sedar dia tak patut buat begitu, tetapi keletihan dengan kerjaya yang sedang membina, sedikit sebanyak mengganggu emosi.

"Abang risau sebab anak-anak kita sekarang ni sedang membina perasaan, jika kita sebagai ibu bapa hanya suruh itu, suruh ini, bila tak buat dimarah-marahi, takut-takut nanti kasihnya bukan lagi pada kita. Tapi kepada orang yang lebih prihatin padanya."

"Masa kecil ni mungkin dia akan mengadu pada kita. Tapi cuba bayangkan bila dia dah semakin meningkat remaja. Ada rakan taulan yang lebih kasih dan mudah berkongsi rasa, pasti jiwa mereka lebih cenderung kepadanya."

"Pada masa itu, ibu bapa hanyalah dilihat sebagai orang asing. Bukan tempat berbahagi masalah, bukan lapangan menenangkan hati yang resah."

"Jika dilanda masalah, akan diadu kepada orang lain yang dianggap lebih mengasihi dan memahami. Masa itu, sukar untuk kita mendekati mereka."

Nasihat Hafiz kepada permaisuri hatinya itu. Bukan mudah membetulkan tulang yang bengkok. Jika salah cara boleh patah pula. Hafiz menyusun kalam penuh hikmah. Dia tahu hati isterinya lembut. Dia perlu bijak mengatur kata.

"Mmm... Akhir-akhir ni Mira penat sangat la bang. Banyak urusan di pejabat. Bila balik rumah anak pulak tak dengar kata. Itu yang jadi macam tu. Mira minta maaf..." Wajahnya sugul, menyesali perbuatannya.

"Abang tahu Mira penat, abang tahu Mira letih. Tetapi anak-anak tak tahu yang ibu dan ayahnya letih. Yang mereka tahu, mereka nakkan perhatian kita."

"Sebagai ibu bapa kita kena banyak sabar. Anak-anak perlukan kita sebagai rakannya. Jika kita dapat membina kepercayaan mereka kepada kita, Insya Allah kita akan dijadikan tempat rujukan. Apa jua yang melanda diri mereka, kita adalah orang pertama tempat meminta nasihat."

Genggaman Hafiz makin erat. Di hati memohon agar Allah mengurniakan taufik dan hidayahNya kepada mereka berdua dalam mengharungi hidup berumah tangga.

Betapa berat menggalas amanah ini. Dia akan dipertanggungjawabkan tentang keluarganya. Tentang anak-anak, tentang isterinya. Bukankah Allah memerintahkan 'Jagalah dirimu dan keluargamu dari azab api neraka'?

Tidak mudah melayari bahtera kehidupan. Menongkah ombak dan badai yang tak pernah berhenti. Dia perlu menjadi nakhoda yang bijak dan penuh pergantungan kepada Tuhannya, nakhoda yang tahu ke mana arah nak di bawa anak kapalnya. Agar kapalnya sampai ke destinasi dengan selamat dan penuh berkat.

Di mata Mira terbayang wajah-wajah mungil permata hatinya. Maafkan ibu sayang! Insya Allah. Ibu akan memperbaiki diri ibu. Ibu akan berusaha menjadi ibu yang solehah buat kalian.

Ya Allah Ampunkan dosa-dosaku... Tunjukilah daku dalam mendidik anak-anakku. Ya Allah, ampunkanlah kelemahan ku. Ampunkanlah.. Ampunkanlah...

Langkahnya diatur pantas. Dia ingin cepat-cepat menyudahkan urusannya. Tidak sabar menunggu lama untuk bertemu si buah hati. Dia ingin mendakap anak-anaknya. Dia ingin mencium anak-anak kecil itu. Ya... Dia ingin membuktikan kasih dan cintanya kepada anak-anaknya...

20 December 2009

Keria tak jadi


Pada satu petang, adik saya yang bercuti di rumah saya meminta saya membelikan ubi keledek kepadanya. Bila ditanya nak buat apa, nak buat kuih katanya. Memandangkan sudah lama benar saya tak berkesempatan nak membuat kuih muih, hajatnya itu saya penuhi dengan penuh besar hati.


Seronok bila ada orang sudi membuat kuih, berbesar hati kerana dia ingin belajar membuat kuih. Saya memang tak berapa pandai nak buat kuih keria dan kuih cik mek molek tu. Cuma pernah buat sekali semasa pergi berbuka puasa di rumah kawan ketika masih belajar di UUM dulu.


Petang itu bermulalah percubaan kami membuat kuih keria dan cik mek molek. Saya yang ingat-ingat lupa cara membuat kuih itu mengarahkan Syafinas merebus keledek yang saya beli itu.


Setelah empuk, saya minta dia lenyekkan dan campur dengan tepung gandum. Sedang dia menggaul-gaul keledek dengan tepung gandum tu, saya memandai-mandai masukkan sesudu demi sesudu air rebusan keledek tadi. Hehe...


Dah banyak tepung gandum yang dicampur ngan adunan. Malangnya ia masih lembik. Lalu saya masukkan lagi, lagi dan lagi. Akhirnya, adunan pun boleh la diuli. Gembira saya!


Setelah menguli beberapa biji. Saya panaskan minyak untuk menggoreng. Nak cuba sebiji dua dulu.


Wah! Kuih dah siap! Tunggu kuih tu sejuk sikit, dan saya pun rasa lah...


"Eh! Pinas! Kenapa kuih ni keras sangat ek?" Tanya saya dengan dahi yang berkerut-kerut.


"Mmm... Manalah saya tahu... Kan Kak Pah yang punya resepi ni..." Tukas dia


"Memang la... Tapi dah lama tak buat, ingat-ingat lupa..." Balas saya sambil tersengih-sengih.


Saya cuba pulak yang lain. Manalah tahu kot-kot yang satu lagi lembut sikit. Tapi memang mustahil lah dari adunan yang sama boleh dapat satu keras satu lembut. Sengih saya masih tidak berakhir.


"Hah! Cuba bagi kat abang rasa, apa komen dia agaknya..." Bisik saya dalam hati.


Dalam langkah penuh keraguan, saya bawakan juga dua tiga biji untuk suami saya rasa.


Suami saya makan, lalu memandang saya dengan senyuman di bibir. Saya mengangkat kening.


"Mmm... Keras sikit laaa... Macam terlebih tepung." Komen ikhlas dari suami saya.


"Ooo ye ke... Mmm mungkin salah masa buh air tadi kot. Takpe lah lain kali cuba lagi" Balas saya kemudian berlalu ke dapur.


"Pinas, takyah la uli dah... Keras ketung kuih kita ni... Memang tak boleh makan la..." Bicara saya dengan nada sedih kerana percubaan kali ini gagal.


"Ya Allah... Sayangnya... Tak membazir ke?" Tanya dia.


"Membazir? Mmm mungkin inilah harga yang terpaksa dibayar untuk sebuah pembelajaran..." jawap saya ringkas.


Belajar dari pengalaman.


Dulu antara ramai adik-beradik saya, saya antara yang paling suka memasak. Saya suka mencuba. Ada yang menjadi, banyak juga yang tak jadi. Ada yang sedap, ada yang tak sedap. Tapi dari situ saya banyak belajar.


Kalau dulu jemput bilis saya selalu saja tak sedap, ada yang masin, ada yang liat, ada yang lembik macam-macam versi. Tetapi setelah melalui semua pengalaman yang tak sedap tu. saya belajar sikit-sikit. Belajar dari kesilapan.


Alhamdulillah sekarang, kalau balik kampung jemput bilis yang saya buat mesti licin... malah selalu juga tak cukup. Itulah hasil dari pembelajaran saya dengan periuk belanga.


Terlalu banyak perkara yang saya belajar dari pengalaman dan kehidupan. Pengalaman yang mengajar saya menjadi lebih baik. Pengalaman yang mengajar saya lebih berdikari. Pengalaman yang mengajar saya jadi lebih tabah. Banyak lagi pengajaran yang saya dapat dari kehidupan ini.


Setiap orang akan menghadapi jalan hidup yang mungkin berbeza. Apa yang penting, bagaimana kita mengambilnya sebagai iktibar bagi memandu perjalanan hingga ke hujungnya. Jika positif, maka positiflah ia. Jika sebaliknya, kita tidak mungkin akan ke mana-mana...



18 December 2009

Salam Maal Hijrah


Harapanku

Cukuplah doa akhir tahun dan doa awal Muharram ini yang menjadi gambaran kepada harapan saya bagi menghadapi tahun yang mendatang...

DOA AKHIR TAHUN

Bismillahirrahmanirrahim...


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.


Ya Allah, telah berlalu setahun dalam hidup kami. Sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kami nikmat-Mu yang tidak dapat kami menjangkau kehebatannya. Engkau telah memelihara kami daripada keburukan yang tidak mampu kami menolaknya. Kami telah melakukan dalam tahun tersebut perbuatan dan amalan yang Engkau Maha mengetahui baik dan buruknya.


Ya Allah, sekiranya amalan tersebut bersesuaian dengan ketetapan-Mu, terimalah dan catatkannya sebagai amalan soleh kami di sisi-Mu. Dan sekiranya amalan tersebut berbaur dengan sifat riya', ujub, dan menunjuk-nunjuk atau kami lakukan perilaku dosa, kesalahan dan keinginan yang buruk, maka kami pohon pengampunan-Mu dan tutupilah segala keaiban dan kesalahan. Kurniakanlah ke atas kami kelebihan dan keluasan sifat pemurah-Mu. Itulah kemuncak permintaan dan doa kami.


Ya Allah, sesungguhnya telah datang kepada kami tahun baru setelah kami meninggalkan tahun ini sebentar nanti, kami tidak tahu apakah yang terkandung dalam pengetahuan-Mu mengenai diri kami. Kami jahil ke mana arahnya penghidupan kami di alam maya ini. Harapan kami agar Engkau membuka lembaran tahun baru ini pintu taubat yang jujur dan tulus untuk kami, yang tidak berakhir dengan kekufuran dan kesesatan. Dan Engkau kurniakan taufiq kepada kami pada tahun ini untuk melakukan amalan-amalan soleh yang Engkau redai, kehidupan yang murni yang Engkau rahmati.


Ya Allah, peliharalah anggota kami agar melakukan ketaatan kepada-Mu. Peliharalah hati kami agar dipenuhi dengan kecintaan. Lapangkan hati kami agar dapat kami mendekati-Mu seperti mana Engkau telah lapangkan hati hamba-hamba-Mu yang soleh. Jadikan kami di antara orang-orang yang menepati janji dalam menjalankan hak. Jadikan kehidupan kami sebagai saksi yang benar terhadap setiap amalan seperti mana yang Engkau syariatkan kepada kami, Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penganugerah

DOA AWAL TAHUN


Bismillahirrahmanirrahim


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga, dan sahabat-sahabatnya.


Ya Allah, kami menadah tangan kepada-Mu pada waktu malam dan siang dalam keadaan kami bertawassul dengan nama-nama Mu, dalam keadaan kami mengharapkan gedung rahmat yang sarat di samping Mu. Dan dalam keadaan kami cinta sesungguhnya kepada-Mu dan cinta apa yang menghiasi kebesaran-Mu.


Ya Allah, Ya Rabbul Jalil. Dengan sunnah-Mu menjelang kini tahun baru yang telah Engkau tentukan mengikut qada dan qadar di Loh Mahfuz-Mu. Kami meredahnya di bawah Iradah dan Qudrat-Mu. Sebagai makhluk-Mu yang sentiasa mencari keredaan-Mu.

Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon rahman-Mu, kami pertautkan permohonan kami sekental-kentalnya kepada Mu. Kami mengharap perdampingan taufik dan hidayah-Mu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami.

Engkau sempurnakan perlindungan dan pemberian-Mu yang begitu melimpah kepada kami. Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh anggota badan kami jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan pemikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama, dan kebaikan untuk diri kami dan orang-orang sekitar kami.


Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami.

Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindung kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan.

Ya Allah, rahmatilah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepada-Mu, Wahai Penolong hamba yang meminta pertolongan, tolonglah kami. Wahai Pencegah kemusnahan, hindarilah kami dari kemusnahan dan keporak-perandaan.

Ya Rahman Ya Rahim! Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama-Mu.

Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat-Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerunsingan.

Ya Allah, kekalkanlah tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami kenikmatan yang ada padanya.

Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang, semulia-mulia tahun yang Engkau berkati ke atas kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersama-Mu.

Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami. Wassallalahu Ala Sayyidina Muhammad wa Ala Aalihi wa Sahbihi Wassalam....

16 December 2009

Maaf


"Humaira', Humaira dah maafkan semua orang hari ni?" Suami saya bertanya sebelum dia masuk tidur. Biasanya soalan itulah yang ditanya tatkala menemankan Humaira'tidur.

Humaira' hanya tunduk membisu. Geleng tidak mengangguk pun tidak.

Suami saya bertanya lagi beberapa kali. Namun jawapannya hanyala bicara sepi.

"Mmm... Humaira' nak marah kat siapa ni?" Tanya suami saya lagi sambil merangkul anak kecil itu.

Masih membisu. Sepi...

"Humaira' marah kat adik Khadijah ye..." Suami saya cuba meneka, biasanya begitulah caranya nak membuka mulut si anak kecil.

Perlahan-lahan Humaira' mengangguk. Mmm... mesti ada yang tak kena ni...

"Kenapa Humaira' marah kat adik Khadijah? Adik buat apa kat kakak?" Soal ayahnya lagi, ingin memecahkan kemarahan dan kebuntuan.

"Adik tu! Dia kacau kakak buat buku aulad!" Terang Humaira dalam amarah yang masih berbaki.

Memang petang tu, adiknya yang baru pandai meniarap tertepis tangannya yang sedang mewarna. Al-hasil, gambar yang diwarna comot sedikit. Tak sangka pula perkara itu masih disimpan dalam hati.

"Ooowh ye ke... Takpe, nanti ayah cakap kat adik supaya jangan kacau kakak buat kerja ye! Tapi kakak maafkanlah adik dulu sebelum tidur ni, adik tak sengaja tadi tuuu...." Pujuk ayahnya

Bukan mudah ingin meredakan marahnya. Nak menangkan adiknya yang belum tahu apa-apa itu bukanlah satu jalan yang terbaik. Namun sifat memaafkan orang itu harus dibiasakan dari kecil, walaupun dalam perkara-perkara kecil. Kami harap ia akan menjadi darah dagingnya.

"Tak boleh..." Tiba-tiba Humaira' bersuara sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Eh! Kenapa pulak?" Berkerut dahi suami saya.

"Sebaaab... adik dah tidur..." Humaira' tersengih-sengih.

"Ok lah... kalau macam tu, Humaira pi cium adik je la..."

"Okeh..." Humaira berlalu dengan senyum yang tidak lekang. Lantas mencium adiknya yang nyenyak tidur.

Memaafkan satu amal soleh

Banyak ayat-ayat Allah yang menerangkan tentang sifat memaafkan. Bukan sahaja ia satu amal soleh. Bahkan ia adalah satu sifat yang amat disukai Allah.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 134 :

"(Yaitu) orang-orang yang menafkahkan hartanya, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."

"Jika kamu menyatakan sesuatu kkebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa (4:149)

Ia juga satu amalan yang diutamakan

"Tetapi orang-orang yang sabar dan memaafkan sesungguhnya perbuatan yang sedemikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan." 42:43

"Perkataan yang baik dan memberi maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun" 2:263

Bukan mudah menjadi orang yang pemaaf. Perlu ditarbiyah, perlu diasuh. Ia takkan datang sendiri.

"Abang kenapa abang suruh Humaira maafkan semua orang setiap malam?" Tanya saya sebelum melelapkan mata.

"Mmm... Sebaaaab.... Itu amalan ahli syurga..."

Ya! Amalan ahli syurga! Jom kita amalkan., moga kita juga tergolong dalam golongan ahli syurga.

Maafkan orang, hatimu senang, jiwamu lapang!

13 December 2009

Cut n paste

Saya telah menulis beberapa entry dua tiga hari lepas. Malangnya ia tidak boleh di 'copy & paste' ke dalam blog ini.

Kecewa sungguh saya.

Saya terpakasa menyalin semula entry tersebut, tetapi saya tak tahu bila masanya.

Huhu...

02 December 2009

yang mana satu?


Yang mana humaira? Yang mana Khadijah Hanan?

01 December 2009

Bagilah dia 3 titik...

“Ibu! Humaira dah pandai tulis Ja, Ha ngan Kho!” Humaira membaritahu saya dengan penuh excited

“Oh! Ye Ke! Cuba Humaira’ tulis, ibu nak tengok!” Balas saya teruja.

Banyak betul perkara yang dipelajarinya di sekolah. Kalau nak harapkan saya mengajarnya… Mmm tak tahu la jadi macam mana.

Humaira menulis huruf jim dan kho. Penuh tertib, cantik!

“Wah! Pandainya Humaira’ tulis… Tapi mana ha?” Puji saya sambil mengangkat kening

Si dia tersengih-sengih… “Haaah… Tulis la ja ngan kho dulu…”

“Ja ngan Kho ada titik, ha tak dak titik.” Dia menunjukkan saya titik yang ada pada huruf jim dan Kho itu.

Huruf ha pun ditulis…

“Ibuuu… Kenapa huruf ha takde titik? Dia bertanya sambil memandang ke wajah saya.

Gulp! Nak jawab apa ni? Bisik saya dalam hati. Payah betul soalannya. Otak saya ligat mencari jawapan.

“Ooo sebab ja ngan kho dah ambik titik dia kot...” Jawab saya dalam tidak yakin. Itu aje lah jawapan yang mampu saya berikan. Saya tersengih-sengih bagai kerang busuk.

“Laaaa…kalau gitu… bagilah dia tiga titik!” Humaira berkata penuh yakin. Dia memandang saya.

Saya yang tak sangka dengan jawapannya tergelak besar. Keras perut saya dibuatnya. Macammana lah dia boleh fikir sampai camtu. Hah hah hah…

“Mmmmh! Ibu ni! Suka gelak kat merro’” Bentak Humaira tak puas hati dengan tindakan saya itu.

“Humaira tak suka la ibu gelak kat humaira’!” Raut wajahnya barganti masam

“Ooppss… Sori… Sori… Ibu bukan gelak kat humaira’..” Saya menekup mulut menahan tawa.

“Dah tu?”

“Ibu gelak kat ibu la… Sebab tak tau nak jawab soalan humaira tadi…” Humaira memandang saya yang terus ketawa. Memang tak boleh tahan lagi… Saya terus ketawa…

Dalam hati saya, lepas ni kalau saya tak tahu jawapannya. Saya akan jawab ‘Wallahu a’laaaam’.
Selesai masalah!

Sesiapa yang ada idea nak jawab apa kat anak kecil ini. Tolonglah berkongsi dengan saya ye…

23 November 2009

Bicara Ukhwah

Bicara ukhwah itu
Bukan pada mewahnya harta
Bukan pada manisnya bicara
Bukan pada indahnya paras rupa

Tetapi ukhwah itu
Sahabatmu lebih penting dari dirimu

Biar diri gundah gulana
Asalkan sahabatmu riang gembira
Biar diri berlapar dahaga
Asalkan sahabatmu menjamah rasa

Namun
Sudahkan kita berbaik sangka
kerana itulah selemah-lemah ikatan jiwa

Jika engkau cintakan sahabatmu
perkukuhkanlah cinta dengan Tuhanmu
Agar Dia mengikatmu
Dalam simpulan akidah yang satu

Jika sahabatmu engkau kasihkan
Terimalah segala kelebihan dan kelemahan
Kerana dia hanya seorang insan
Yang butuh kasih penuh keikhlasan

Wahai ukhti
Andai dirimu kurang ku kenali
Akan ku cuba untuk mengasihi
Kerana kita di atas jalan ini
Dakwah dan tarbiyah yang kita cintai
Susah senang kan kita lalui
Agar bertemu di Syurga nan abadi

09 November 2009

Kesian, terima kasih!

Aksi Humaira' ketika membuat persembahan nasyid di Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah, Tadika Nursyifa pada 7 November yang lalu.
"Ibu, nak yuyu!" Suara humaira menyentuh gegendang telinga saya meminta susu. Ketika itu dia baru setahun setengah. Baru dapat mulut, kata orang tua-tua.


"Eh... Bukan yuyu la sayang, suusu..." Saya betulkan bahasanya.


Suatu hari, ketika kami melewati tasik, kelihatan beberapa ekor penunggang kuda sedang bersiar-siar di sekitar kawasan itu.


"Humaira! Humaira! Cuba tengok tu! Apa tu?" Jerit suami saya, menarik perhatian si anak kecil. Humaira' yang terkejut, terus melihat ke arah yang ditunjukkan ayahnya.


"Hah tuda, tuda!" Jawab si anak.


"Mmm kuda tu ada dua ekor la..." Saya menambah.


Setelah kuda itu hilang dari pandangan maka bermula lagi sesi pembelajaran bahasa di dalam kereta yang sering kami lakukan secara santai dengan humaira, anak kesayangan kami itu.


"Mmmm... tadi humaira nampak apa ye?" Saya mula bertanya semula


"Tadi kan ibuuuu... merro' nampak tudaaa..."


"Aiiik... Bukan tuda... Kudaaaaaa!" Suami saya membetulkan sebutan kudanya itu.


Begitulah rutin kami, jika dia tersalah sebut, kami akan betulkannya serta merta. Lalu Humaira' belajar setiap masa. Belajar mengenal benda, belajar menyebutnya.


Alhamdulillah, dengan kebijakan yang Allah kurniakan dan dengan kelas kehidupan yang dilaluinya saban hari, seawal dua tahun lebih, Humaira' boleh berbicara dan bercerita dengan bahasa yang yang cantik tanpa pelat yang mengelirukan.


Bahkan ketika kami pulang ke kampung, ramai yang mengatakan Humaira' bercakap seperti budak 5 tahun, sedangkan umurnya masih setahun jagung. Alhamdulillah...


Otey!


Saya kasihan melihat anak-anak yang sudah seusia humaira', tapi bicaranya pelat. Bukan kerana anak itu tidak pandai, tetapi kerana seisi keluarga melayani pelatnya sehingga dia beranggapan bahawa bahasa yang digunakan itu betul dan sempurna.


"Abah! amik tuti... amik tuti..." Anak kecil itu menjerit ke arah ayahnya


Saya yang berada di situ mengangkat kening, tak faham apa yang dikata, lantas bertanya kepada ibunya apa yang diperkata.


"Ooooh... dia suruh abah dia ambil kerusi" Jelas ibunya. Anak itu seusia humaira', tetapi banyak bicaranya yang tak berbutir. Kalau dia bercakap dengan saya, pasti saya terpaksa meminta terjemahan dari kakak atau abang-abangnya.


"Nina tolang kakpah ambil beg baby boleh?" Saya sengaja meminta dia membantu saya. Harapan saya dia memahami bilah perkataan saya.


Dia merenung wajah saya, lalu saya tunjukkan beg khadijah hanan kepadanya.


"Oooooo Otey!" Lantas dia berlari-lari mengambil beg itu dan memberi kepada saya.


"Terima kasih" Ujar saya berbahasa.


"Tama-tama..." Balasnya pula.


Saya tertanya-tanya kenapa lah anak ini sangat pelat butir bicaranya. Banyak yang tidak difahami. Ramai yang tercengang-cengang bila dia berkata-kata. Banyak juga perkara yang tak sampai kerana ketidak fasihannya itu. Kesian saya melihatnya.


Ibubapa main peranan


Anak-anak dilahirkan dengan potensi yang berbeza-beza. Sama ada potensi itu akan bersinar atau tidak, ibubapa punya peranannya. Jika anak-anak kecil ini dilayan pelatnya. "Time tayeh" dibalas "Tame-tame" bagaimana anak-anak ini boleh belajar memperbaiki percakapannya.


Memang pelat dibalas pelat itu didengar comel, tetapi saya bimbang jika ia akan memadam atau menggelapkan potensi anak itu. Jika umur empat tahun masih pelat yang berat, bagaimana kita nak kenalkannya dengan huruf-huruf a,b, c atau alif, ba, ta? Hasilnya anak-anak kecil yang tak tahu apa-apa ini akan ketinggalan berbanding anak-anak lain.


Sebenarnya, cukup sukar mengajar anak yang yang pelat ini membaca. Apakan tidak, jika 'sa' itu dibunyikan seperti 'ta', 'ka' juga dibunyikan 'ta'... Memang peninglah guru-guru dibuatnya.


Begitu juga ketika mengajar Iqra. ta, ka, tsa tidak dapat dibunyikan dengan baik, semuanya dengar seperti sama, maka anak itu akan mengambil masa yang lama untuk mengkhatam muka surat yang mengajar huruf 'tha'...


Memang sukar, memang payah. Dek kerana layanan manja ibubapa terhadap bahasa comelnya itu (pelat). Akhirnya anak-anak ini lambat perkembangannya.


Lambat membaca, sukar menghafal, dan yang paling ketara ialah komunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru juga banyak terganggu kerana masing-masing tidak memahami kata-katanya.


Jika perkara ini berterusan, bagaimana anak-anak ini ingin meluahkan perasaannya? Semasa dia meluahkan perasaannya, bukan perasaannya yang dilayan tetapi bahasanya terpaksa dibuat terjemahan. Orang yang menjadi pendengar terpaksa memerah otak memahami bilah katanya, sehingga emosi dan perasaan terbiar begitu sahaja.


Aduhai, ibu dan bapa... Betulkan lidah anakmu sewaktu masih kecil, kerana bila mereka meningkat usia, bahasa pelat sudah terbiasa, bukan mudah nak dibetulkannya.


Aduhai guru-guru, bersabarlah menghadapinya.


"Ibu, tadi kaaan.. Ahla dia bersajak, pastu dia kata 'kesian, terima kasih!'" Humaira bercerita dengan saya sambil menundukkan kepalanya meniru perbuatan rakannya.


"Bukan kesianlah sayang... Sekian.... Sekian, Terima Kasih" Terang ayahnya


Kah kah kah... Saya dah tak dapat menahan tawa. Akhirnya tawa kami pecah jua...


Begitulah humaira' sentiasa belajar tak kira tempat, tak kira masa. Moga terus maju jaya!





03 November 2009

Hargai kelebihan, perbaiki kelemahan

Anak-anak ini lahir dengan kelebihan masing-masing. Hargai mereka, pasti mereka akan menggembirakan kita semua


Sesungguhnya sejak saya berkecimpung di dalam bidang pendidikan kanak-kanak, terlalu banyak yang saya pelajari. Perangai dan karenah anak-anak yang pelbagai, kelemahan dan kelebihan yang bermacam-macam dan juga tabiat dan kebiasaan yang berwarna warni.


Ia cukup unik antara satu sama lain. Amat sukar untuk mencari dua orang pelajar yang sama dari segala segi dan saya pasti saya tidak mungkin akan menemuinya.


Selain daripada itu saya juga belajar untuk menghargai setiap kelebihan setiap pelajar dan bersabar dengan kelemahannya. Apa yang pasti, saya perlu gunakan kelebihannya dan tidak membesar-besarkan apa jua kelemahan seseorang itu, kerasa saya tahu dia hanyalah seorang manusia.


Ada pelajar cepat membaca, lambat pula mengira. Ada yang pandai matematik tapi kurang mahir pula dalam bab hafal-menghafal. Ada yang suka menghafal, tapi kurang mengenal. Jadi anak-anak ini ada perbezaan, jadi kita sebagai ibu bapa harus positif menghadapinya.


Saya rasa sangat gusar dengan trend ibu bapa sekarang yang hanya menilai anak-anak dari segi pencapaian akademik. Bukan saya bermaksud bahawa akademik itu tidak penting, tetapi selain kebijakan akademik, sebenarnya anak-anak masih banyak kemahiran dan kepintaran dalam bidang yang lain.


Bila ibu bapa mula membanding-banding


Saya juga sangat risau bila melihat ibu bapa mula membanding-bandingkan anak mereka dengan anak-anak orang lain. Kenapa anak dia boleh membaca, kenapa anak saya tak boleh? Kenapa anak saya baru baca buku 2, tapi anak dia baca buku 8? Inilah soalan yang selalu diajukan kepada saya.


Di tadika menggunakan konsep yang sama kepada semua pelajar. Kenapa yang ini dah dapat, yang itu tak dapat lagi? Ia sekali lagi bertitik tolak pada perbezaan setiap pelajar. Ada yang IQ tinggi, dan ada pula yang agak rendah. Jadi, bila kita mula membanding-bandingkan, kita akan mula stress dan bila kita stress kita akan mula memaksa anak-anak kita belajar lebih masa. Bila kita menekan anak kita, dan dia rasa tidak selesa. Maka perkembangan anak-anak ini akan jadi semakin lambat.


Saya kasihan dengan seorang pelajar yang duduk di tadika saya. Pada satu hari, dia datang ke tadika dengan badan lebam-lebam. Terkejut saya melihatnya dan bertanya apa yang terjadi. Rupa-rupanya, dia dipukul bapa kerana belum dapat membaca buku dengan lancar.


Saya beristighfar panjang mendengarnya. Saya simpati dengannya. Betulkah tindakan itu? Memukul anak supaya anak lebih rajin belajar. Masya Allah... Saya tidak fikir anak itu akan lebih mudah belajar, bahkan dia akan jadi makin 'bebal' kerana dia tertekan ketika belajar dan takut jika dipukul lagi. Sudah pasti jika dia belajar dalam keadaan begini, prestasinya akan semakin menurun.


Oleh itu, usahlah kita membandingkan anak kita dengan anak orang lain. Carilah sisi positif dalam diri anak kita, lalu gilaplah ia menjadi mutiara. Jika ada sisi negatif, usahlah berputus asa. Asahlah yang negatif itu supaya ia akan menjadi positif.


Ingatlah! Jika anda hendak anak anda menjadi seperti anak orang lain, maka anda perlu menjadi orang lain terlebih dahulu. Adakah itu yang anda mahu???




Cadangan ibu bapa

Setelah saya meneliti semua borang soal selidik kepuasan pelanggan Tadika Nursyifa saya dapat rumuskan beberapa perkara yang dicadangkan oleh para waris. Kebanyakkan mereka meminta saya laksanakan 3 perkara:

1. Memberikan kerja rumah kepada pelajar agar ibu bapa dapat mengetahui apa yang dipelajari oleh anak-anak.

2. Menyediakan dan memberikan laporan prestasi pelajar secara berkala sejak awal tahun lagi

3. Meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar-pelajar. Setelah berbincang dengan guru-guru dan pengelola tadika, kami telah membuat beberapa keputusan bagi memenuhi permintaan ibu bapa dan ianya mestilah bersesuaian dengan pelajar-pelajar.

1. Kerja rumah akan diberikan hanya seminggu sekali iaitu pada hari khamis. Kenapa hanya sekali seminggu? ini jawapannya:

a. Anak-anak secara fitrahnya tidak suka ditekan-tekan. Jadi pihak tadika tidak mahu
memberi tekanan yang melampau dengan kerja-kerja rumah yang banyak. Jika terlampau
banyak kami bimbang jika anak-anak mudah bosan dan mula tidak mahu ke sekolah.

b. Jika ibu bapa rasa ia masih belum cukup, kami memohon jasa baik dan kerjasama dari ibu
bapa untuk membeli buku latihan tambahan kepada anak-anak.

2. Kertas laporan prestasi pelajar-pelajar akan diberikan pada setiap hujung bulan.

3. Sebenarnya apa yang kami berikan adalah level kanak-kanak tadika. Mengikut pengalaman saya, anak-anak di bawah 7 tahun hanya perlu di dedahkan dengan perbendaharaan kata yang banyak. Jadi penekanan kami di tadika adalah menjurus ke arah itu.

Setakat ini, perkara-perkara itu akan kami usahakan dengan bersungguh. Mudah-mudahan ia akan memberikan sedikit kelegaan kepada ibu bapa. Wallahua'lam

01 November 2009

Report Day - Tadika Nursyifa

Alhamdulillah saya rafa'kan ke hadrat Allah Rabbul Jalil atas kurnianya memudahkan Hari Laporan Prestasi Pelajar Tadika Nursyifa pada Jumaat yang lalu. Dengan kehadiran ibu bapa yang responsif, saya amat berterima kasih atas kerjasama semua waris.

Saya juga rasa sangat gembira bila ramai ibu bapa yang begitu teruja dengan perkembangan yang telah ditunjukkan oleh anak masing-masing.

Anak-anak kecil yang datang ke Tadika dengan minda yang kosong kini menjadi seorang kanak-kanak boleh membaca, menulis dan mengira. Mereka juga boleh membaca doa-doa dan surah-surah pendek. Bukan ibu bapa sahaja yang teruja sebenarnya, saya lebih lagi.

Saya bersyukur kerana dengan usaha guru-guru dan kesungguhan anak-anak itu, sekarang ia telah menunjukkan hasil. Well done!

Terima kasih juga saya ucapkan kepada ibu bapa yang telah memberi komen serta cadangan di dalam Borang soal selidik yang telah diedarkan. Saya amat-amat menghargainya, dan Insya Allah segala cadangan dan komen akan saya ambil tindakan.

Sekali lagi, terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada kami. Semoga usaha ini akan terus berjalan dan kami dapat terus melahirkan anak-anak yang cemerlang dan gemilang. Amiiin...


25 October 2009

Kepada siapakah kita bergantung?

Baru-baru ini saya berpeluang ke Langkawi kerana diminta memberikan taklimat berkenaan dengan Tadika Nursyifa kepada Jabatan agama Islam Negeri Sembilan. Peluang itu saya jadikan satu percutian dengan anak-anak. Sudah lama juga saya dan suami tidak membawa anak-anak berjalan lantaran urusan yang pelbagai.

Feri bergerak perlahan meninggalkan jeti Kuala Kedah. Humaira yang pada mulanya sangat teruja, tiba-tiba memandang ke arah saya dengan muka yang cuak.

"Ibu, hati humaira rasa takut la..." Sambil menekup dadanya dengan kedua belah tangan. Saya tahu dia memang seram melihat feri dilambung ombak.

Saya memeluknya.

"Humaira doalah moga Allah selamatkan kita." Kata saya bagi menenangkan hatinya yang gundah itu

"Tak reti..." Dia mebalas lagi

"Mudah aje, Ya Allah selamatkanlah humaira."

"Ya Allah, selamatkanlah humaira', ibu, ayah dan adik khadijah" Panjang doanya. Sangat tulus permohonannya. Dan saya mengaminkan doanya itu.

Dalam ketakutan itu dia tetap menadah wajah ke tingkap melihat laut yang luas terbentang. Dengan keadaan feri yang dilambung ombak, bukan dia sahaja yang gerun, malah hati saya juga.

Dalam hati, saya tidak henti-henti berdoa agar kami selamat sampai ke daratan.

"Dialah Tuhan yang menjadikan Kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira karenanya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahwa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): "Sesungguhnya jika engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur".


Wajah cuak Humaira masa mula-mula duduk atas kerusi dalam kereta kabel.


Pergantungan diri dengan Allah s.w.t, itulah yang cuba saya dan suami terapkan dalam diri anak kecil itu. Mungkin dia akan rasa selamat bila dia berada dalam dakapan kami. Tetapi apa yang lebih penting ialah dia memohon keselamatan dari yang Maha Kuasa.



Masa ni dah cool sikit... Hehe...


Begitu jugalah apa yang berlaku tika kami menaiki kereta kabel. Humaira tidak berani memandang ke bawah. Pelukannya erat sekali, seolah-olah tidak mahu melepaskan tengkuk ayahnya.

"Humaira, berdoalah kepada Allah supaya kita selamat" Saya mengulangi ayat yang sama ketika kami berada di dalam feri semalam.

"Ya Allah, selamaatlah!" doa dia ringkas. Mungkin tak sanggup melepaskan tengkuk ayahnya lebih lama jika berdoa panjang.Saya hanya tersenyum.

"Insya Allah, Moga Allah selamatkan kita semua" Bisik hati saya tika kereta kabel itu sedikit berhayun kerana angin yang bertiup.

Semakin anak saya membesar, semakin saya gusar memikirkan masa depan iman dan aqidahnya. Jika sekarang keadaan anak muda sudah cukup membimbangkan bagaimana pula keadaannya nanti 10-20 tahun akan datang.

Saya dan suami tidak mungkin dapat melindunginya sepanjang waktu dan ketika. Hanya kepada Allah saya pinta. Humaira juga perlu saya didik agar pergantungannya hanya kepada Allah. Tidak kepada saya, tidak kepada ayahnya dan tidak juga kepada apa jua makhluk di bumi ini.

Saya ingin dia hidup bergantung hanya kepada Allah sahaja...

12 October 2009

Baru

"Kak Syifa, saya nak berhenti kerja hujung tahun ni. Kenduri saya bulan 12 nanti... So nak buat persiapan la." Terang Imah tentang pemberhentiannya.

Dia antara pekerja yang paling lama bekerja dengan saya. Bekerja sejak 2006, bermakna sudah 3 tahun dia bersama saya. Saya pun sudah sangat selesa dengan dia. Sayang mahu melepaskannya, tapi apakan daya, dia bukan milik saya.

Tahun ini merupakan tahun yang agak mencabar bagi saya. Di awal tahun saya mengalami alahan, pertengahan tahun pergi mengerjakan umrah, tiga suku tahun saya cuti bersalin, hujung tahun pula ada beberapa guru yang berhenti kerana pelbagai sebab.

Pembantu setia

Walaubagaimanapun saya sangat bersyukur kerana punya seorang pembantu setia. Cikgu Nor yang sangat setia. Membantu saya tak kira masa. Biarpun tugas yang saya lambakkan padanya agak banyak, namun dia menerima dengan penuh tanggungjawab. Dia juga melunaskan segala amanah itu dengan cukup baik.

Oleh sebab itu, saya memberi kepercayaan yang tak berbelah bahagi kepadanya untuk membuka cawangan kami yang ke empat di Kuala Lumpur menjelang 2010. Lantaran dia masih duduk berasingan dengan suami kerana bekerja di Kuala Lumpur, dia menerima tawaran saya dengan hati terbuka.

Saya harap peluang ini dapat dipergunakan sebaiknya. Sampai bila nak bekerja dengan orang lain, sudah tiba masanya dia harus berdiri di atas kaki sendiri.

Guru baru

Oleh kerana ada guru yang berhenti, maka tahun depan saya akan bertemu guru baru. Saya perlu melatih mereka agar mereka dapat memberi khidmat terbaik kepada pelajar-pelajar lama dan baru. Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan orang baru.

Banyak yang baru dalam hidup saya tahun depan. Apa yang selalu saya pesankan dalam diri saya, usah bandingkan yang baru dan yang lama. Terima seadanya. Hargai kelebihannya dan perbaiki kelemahannya.

Jika terus membanding-banding, kita bukan memperelokkannya malah mungkin merosakkannya.

09 September 2009

Kakak Humaira & Adik Khadihah Hanan

Inilah gambar Humaira dan Khadijah Hanan

Kakak Humaira' yang penyayang, sedang memangku adiknya.

Hah! Senget-senget kepala adik.. Hi hi...





07 September 2009

Lalat


"Ibu... lalat ni geletek Humaira' laaa..." Rungut humaira tatkala ada seekor lalat hinggap ke tubuhnya. Saya yang mendengarnya tergelak kecil lantaran istilah geletek yang digunakan.


"Ibu... Lalat ni kacau Humaira' tidur la!" Begitulah pula aduan Humaira' pada pagi itu. Senyum... Itulah saja yang mampu saya lakukan lalu saya berkata kepadanya "Sabar ye Humaira'..."


Entah dari mana lalat-lalat itu datang saya pun tak tahu. Rimas juga jadinya. Nak kata sampah banyak, suami saya membuang sampah setiap pagi sebelum pergi ke Pejabat. Maka memang tak ada sampah dalam rumah.


Buntu memikirkan dari mana lalat itu datang. Saya buat keputusan untuk tidak lagi memikirkan soalan itu. Apa yang saya fikirkan sekarang ialah bagaimana untuk menghapuskan/ menghalau lalat-lalat itu. Ya... saya mesti lakukan sesuatu.


Ia bukan saja mengganggu Humaira', malah Khadijah Hanan juga selalu menjerit kerana lalat yang hinggap di wajah kecilnya. Dan ia juga mengganggu ketenteraman saya. Bunyi dengungan lalat itu turut menyebabkan hati saya 'menggerutu'. Mmmh geram betul dengan lalat tu...


Bila bercerita tentang lalat, teringat saya tentang ayat Allah tentang makhluk yang satu ini.



"Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah." (22:73)


Ayat yang menyatakan tentang lemahnya kita dan apa yang berada disekeliling kita. Apakan tidak, betapa sakitnya hati kita tatkala lalat hinggap di tubuh kita. Bukan mudah nak dihalau, jika dilibas pun jarang-jarang mengena. Bila dihalau, belum sempat kita menyambung kerja dia datang lagi dan hinggap lagi.


Dengan lalat pun kita sudah tewas. Inikan pula nak melawan Pencipta lalat?


Lalat hanyalah sejenis haiwan yang kecil. Jika berkumpul para cendikiawan untuk mencipta lalat sudah pasti akan gagal. Tidak mungkin manusia memberinya nyawa. Begitulah dhaifnya manusia. Tetapi jarang sekali kita mengambil pengajaran.


Bila dibaca lagi ayat ini, kita akan dapati bahawa bukan saja kita tidak mampu mencipta lalat. Bahkan merampas kembali apa yang telah diambil lalat semasa ia hinggap pada makanan kita pun kita di sanggup.


Lalat yang hinggap bukan sahaja mengambil apa yang ada pada kita, tetapi kadang-kadang meninggalkan pula penyakit-penyakit bahaya kepada manusia. Sehinggakan pakar-pakar perubatan terpaksa bermesyuarat bagi mengurangkan bahaya lalat.


Bertambah-tambah lah bukti kelemahan manusia. Justeru, untuk apa kita mendongak muka, mendabik dada? Untuk apa kita merasa sombong dan bongkak dengan apa yang kita ada? Kita hanyalah hamba yang sangat dhaif lagi hina.


Tundukkan diri kita di pangkuan Ilah yang Maha Mulia. Sesungguhnya kita tidak punya apa-apa melainkan apa yang dikurniakanNya...





Pastikah???

Hampir tiga minggu saya tidak memasukkan apa-apa entry dalam blog ini. Kesempatan masa yang ada hanya mengizinkan saya untuk menjengah sebentar ke blog ini. Itu pun kadang-kadang hanya seminggu sekali.

Usahkan nak menulis, nak mengasah pena pun selalu saja separuh jalan. Saya masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan baby baru, di tambah pula terpaksa berulang alik ke Kedah Medical Centre saban hari untuk cuci luka. Ia memang sangat menyempitkan masa saya.

Ramadhan terasa pantas benar ia berlalu. Kini kita sudah berada di hujung fasa kedua. Malangnya, saya masih tidak dapat beribadah lantaran masih berada dalam pantang. Kosong sungguh jiwa bila Ramadhan kali ini saya tidak dapat bertadarus Al-Quran. Sayu hati saya mendengar laungan takbir solat tarawih dari surau berdekatan. Aduhai hati... Bersabarlah menempuhi saat-saat sepi ini.

Saya harap Allah akan memberi juga peluang kepada saya untuk berpuasa dan beribadah pada Ramadhan ini, tidak kiralah berapa hari. Saya tetap mengharapkannya, kerana belum tentu saya akan bertemu Ramadhan yang akan datang.

Bagi mereka yang dikurnia Allah dengan kesihatan dan kelapangan di bulan mulia ini. Tingkatkanlah usaha menggandakan amal. Hiaskanlah malam dengan munajat kepada Allah. Dampingilah Al-Quran seolah-olah ia kekasihmu. Moga tidak hampa tika perginya Ramadhan, kerana belum tentu keadaanmu tika Ramadhan bertandang nanti.

Pastikah tubuhmu akan terus kuat? Pastikah akalmu akan terus waras? Pastikah masamu akan terus lapang? Pastikah usiamu akan terus panjang?

Fikir dan zikir… Moga Ramadhan ini adalah yang terbaik dalam hidupmu…

12 August 2009

Wajah desa, Teratak cinta


Lama benar kami sekeluarga tak pulang ke Pahang. Sejak kenduri kahwin pada bulan Mac yang lalu, kami belum berkesempatan untuk menjengah desa yang tercinta. Bukan tak rindu, tapi terlalu banyak perkara yang mengikat kami di sini.


Wajah desa itu tak pernah saya lupakan kerana di situlah berseminya cinta. Tersemai kasih kepada alam seiring cinta kepada Yang Maha Pencipta. Bukit bukau yang memasak, ladang-ladang yang menghijau bukti kebesaran dan kekuasaan tuhan.


Di desa itu juga, berdirinya teratak cinta. Kisah cinta ayah kepada anak-anaknya. Teratak itu juga yang menyimpan sejuta peristiwa yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Teratak yang menyaksikan kepahitan dan keperitan demi sebuah kehidupan. Teratak yang menyaksikan kesabaran menjadi tunggak kejayaan.


Hujan yang menyimbah kadang-kadang menembusi atap yang uzur. Menghidangkan irama pilu tika ia menitis ke lantai. Lebat hujan di luar, lebat lagi hujan dalam hati abah mengenang nasib anak-anak.


Tetapi sudah lumrah cinta, akan dikorbankan segalanya demi kelangsungan hidup insan yang tercinta. Dan... teratak cinta itu tidak jemu-jemu merakam episod cinta yang penuh duka lara. Pengorbanan orang tua kepada anak-anak. Biar diri terluka, tetap digagahi jua.


Itulah yang menyebabkan saya sangat merindukan teratak cinta itu. Ia terlalu banyak menyimpan kenangan pahit manis kami sekeluarga dalam menempuh liku-liku kehidupan. Di situlah khabar gembira diterima, disitu jua ditadah khabar yang bersulam air mata.


Wajah desa dan teratak cinta itu tidak mungkin dapat dipisahkan. Kerinduan kepada tempat tumpah darah pasti akan wujud dalam setiap manusia. Walau sejauh mana ia pergi. Walau setinggi mana ia terbang. Ia pasti akan merindui asal usulnya. Itulah hakikat perasaan.


Seharusnya disamping kita merindui kampung halaman. Ciptalah kerinduan kepada kampung abadi kita. Kampung akhirat yang sentiasa menanti kehadiran kita. Jika perjalanan ke desa permai memaksa kita menyediakan bekalan, bagaimana pula bekal ke desa abadi kita. Sudah cukup atau belum? Bersediakah kita jika dipanggil bila-bila masa?


Jika ustaz Asri (Rabbani) kembali hari ini, kita pasti akan menyusul nanti... Persoalannya, cukupkah sudah persiapan kita untuk perjalanan bertemu ilahi? Tepuk dada, tanyalah iman di hati...

08 August 2009

Bernafas dalam jiwa hamba

Melalui pengalaman melahirkan anak kedua baru-baru ini memang amat memeritkan. Kesakitan ditanggung beberapa hari, dengan emosi yang semakin tidak stabil, sudah pasti menambah keruh keadaan.

Sejak awal kehamilan lagi saya memang mengharapkan agar anak kedua ini dapat dilahirkan secara normal. Moga dimudahkan. Begitulah doa saya setiap kali usai solat. Namun ketentuan yang telah termaktub tidaklah semestinya mengikut harapan kita. Bahkan Allah lah yang lebih mengetahui dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Setelah bertarung sekian lama, akhirnya saya terpaksa jua dibedah untuk kali kedua. Itu hakiakt yang perlu saya terima.

."..Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Perasaan hampa memang wujud dalam diri saya. Mustahil untuk saya nafikan. Asbabnya, saya hanya berpeluang untuk hamil hanya 2 kali saja lagi. Dan sudah pastinya perlu dibedah lagi.

Saya sebenarnya mengimpikan anak-anak yang ramai untuk menghiasi kehidupan saya. Maklumlah saya dari keluarga yang besar, 12 adik beradik. Maka saya juga pinginkan anak-anak yang ramai juga (tapi tidaklah sampai 12 orang).

Saya cuba memujuk hati dengan menyelak buku "La Tahzan". Mencari mutiara bagi menghiasi jiwa saya yang lara. Mencari cahaya bagi menerangi jalan untuk berlapang dada...



Ganti Itu dari Allah (Petikan dari buku La Tahzan)

Allah tidak akan mencabut sesuatu dari anda kecuali akan menggantikannya dengan yang lebih baik dengan syarat anda harus bersabar dan mengharap keredhaanNya.

"Barang siapa yang Aku ambil kedua kekasihnya (matanya) kemudian dia bersabar maka Aku akan ganti kedua (mata)nya dengan syurga" (Al-Hadith)

Oleh itu janganlah terlalu resah dengan musibah yang menimpa sebab Dzat yang menentukan itu semua mempunyai syurga, pahala, pengganti dan ganjaran yang besar.

Pada mukasurat yang lain, Dr. Aidh Al-Qarni menyebut "Bercerminlah kepada orang yang mendapat cubaan"

Kita perlu melihat orang sekeliling yang mendapat ujian. Mungkin ujian mereka lebih hebat dari dugaan yang menimpa kita. Sungguh banyak penderitaan yang menimpa, namun banyak pula orang-orang yang bersabar.


Setelah membaca beberapa halaman dari buku tersebut, jiwa saya seolah-olah disirami dengan titis-titis kepasrahan. Salju yang mengalir serta merta menyejukkan hati saya.. Ya Allah... Saya rasa damai sekali...

Bernafaslah dalam jiwa hamba. Agar segala ketentuan menjadi manis dalam jiwa...

19 July 2009

Dari tangisan hiba ke ketawa ria

Petang semalam kami keluar ke Alor Setar mengambil banner Program MaBIT (Malam Bina Iman dan Taqwa) yang bakal berlangsung pada 23 Julai ini. Tanpa perancangan yang kami akan balik lewat, maka saya pun hanya pergi sehelai sepinggang. Tanpa membawa persalinan humaira'. Padahal humaira belum mandi lagi petang itu.

Biasanya jika keluar dari rumah, saya akan membawa bekal baju sepasang untuk humaira sebagai persalinan jika berlaku perkara yang tidak diingini. Perut dah berkeroncong, nak memasak... saya rasa seperti tidak berdaya pula hari itu lantaran kaki saya yang semakin hari semakin kuat lenguhnya lantaran terlebih muatan.

Suami mengajak makan di luar sahaja hari itu kebetulan sudah lama benar kami tidak makan di luar. (Saya memang tak lalu nak makan di luar sejak mengandung kali ini.) Tambahan pula jika makan di luar, banyak masa yang terpaksa diambil. Masa nak ke tempat makan, masa nak menunggu makanan sampai, masa nak makan dan masa perjalanan balik ke rumah. Semuanya memakan masa yang panjang. Faktor-faktor ini jugalah yang menyebabkan saya tak suka makan di luar.

Disebabkan humaira belum mandi lagi. Di dalam perjalanan pulang saya telah berpesan dengan humaira' bahawa sampai sahaja di rumah dia mesti mandi. Jika dia tak mandi, tak tidur la jawabnya. Mesti badan gatal-gatal kerana dia hanya mandi pagi sahaja. Ditambah pula dengan baunya... MasyaAllah... Harum semerbak... Hehe...

Sampai di rumah sekitar jam 10.30 malam. Si dia yang dah tertidur dalam kereta tadi sudah memulakan 'nyanyian' nya apabila saya meminta dia agar segera mandi. Saya buka bajunya dan menariknya ke bilik air. Tangisannya makin kuat, saya kira air mandiannya boleh jadi suam kerana lebatnya airmata.

Saya cuba tenangkan dia dengan susu. Namun cubaan saya gagal. Ayahnya memberi isyarat supaya saya tinggalkan dia bersama humaira'. Saya pun akur dan masuk ke kamar mandi untuk membersihkan diri.

Tiba-tiba, kedengaran ketawa riang anak saya. Dia ketawa terkikih-kikih... "Aik! Peliknya... Tadi nangis, cemana boleh tiba-tiba ketawa? Apa yang ayah dia buat?" Saya tertanya-tanya dalam hati. Keluar dari bilik air terus saya menjenguk dia, dia dengan gembira sedang memeluk 'baby'nya sambil menghisap susu.

"Kenapa Humaira tiba-tiba gelak tadi?" Tanya saya penuh kehairanan.

"Ayah tu... Ayah cite pasal kucing..." Dia menjawab ringkas. Agaknya sayang nak lepaskan botol susu yang menyumbat mulut comelnya itu.

"Kenapa dengan kucing tu? Kucing tu buat apa." Sengaja saya memanjangkan soalan kerana nak tahu juga kisah kucing yang berjaya membuatkan anak saya itu ketawa ria.

"Ayah cite kucing tu dia menangis masa mandi." Sekali lagi dia menjawab ringkas tetapi dengan wajah seperti ingin ketawa. Mungkin masih teringat cerita ayahnya tadi.

"Mmm mesti ayahnya cerita dengan sound track yang menggelikan hati. Di samping tangan yang menggeletek tubuh si kecil sehingga mampu menceriakan hati yang gundah gelana." Bisik hati saya

Begitulah suami saya, ayahnya Humaira'. Cukup bijak mengambil hati anak-anak kecil. Ceritanya ringkas, tetapi banyak memberi kesan. Ceritanya pendek dan mudah difahami serta menarik hati. Kadang-kadang saya pun tak pasti bagaimana dia bercerita sehingga anak saya boleh ketawa mengekek-ngekek.

Itu memang satu kelebihan yang amat anak saya cintai. Setiap malam, pasti dipinta supaya ayahnya bercerita sebelum melelapkan mata. Walaupun ceritanya sama, cuma ditukar karektornya. Tapi anak saya tak pernah jemu.

Sebenarnya, apa yang ingin saya kongsikan bukanlah tentang kelebihan ayah humaira yang pandai bercerita, tetapi tentang kelebihan cerita itu sendiri. Terlalu banyak manfaat dari aktiviti bercerita.

Antaranya ialah dengan bercerita :

1. Kita dapat membentuk sakhsiah anak-anak. Jika anak tidak suka mandi sebagai contoh, rekalah cerita tentang sang monyet yang tak suka mandi, dan dia tak disukai oleh rakan taulan. Dengan wajah yang comot, dengan bau yang busuk (sambil kita menutup hidung) sudah pasti tiada siapa yang ingin bersahabat, apatah lagi yang ingin bermain bersama.

Kemudian ujilah kefahaman dia tentang cerita itu dengan soalan mudah : "Kalau humaira busuk ada tak orang nak kawan dengan humaira'?" Pasti jawapannya tidak. Akhir sekali kita pun bagitau dia moral of the story : "Jadi Humaira' kenalah rajin mandi, kalau dah mandi kita jadi wangi, kawan-kawan pun suka nak main dengan kita... Betul tak?" Biasanya dia akan mengangguk tanda faham. Lama-lama, dia akan jadi orang yang suka mandi... Kalau tak percaya, cubalah!

Ubah perangai anak anda dengan bercerita, cuma jangan tergesa-gesa, ia akan mengambil masa, tapi cara ini sangat berkesan.

"Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman."
(11:120")


2. Dengan bercerita sebelum tidur, anak-anak akan bangun pagi dengan ceria dan bersemangat. Saya pernah terbaca fakta ini dalam buku dan majalah. (Tapi saya tak ingat buku dan majalah apa). Setelah dipraktikkan kepada anak saya. Memang benar kenyataan itu, humaira' jarang benar menangis ketika bangun tidur. Biasanya dia akan bangkit dengan wajah yang tersenyum dan sangat ceria.

3. Bercerita dapat menambah perbendaharaan kata anak-anak. Walaupun kadang-kadang dia tak faham dengan satu-satu perkataan dan istilah, namun dia akan mengutipnya untuk di simpan di dalam otaknya. Jika anak kita dah pandai bertanya, pasti dia tanya makna perkataan tersebut. Bukankah ia jalan mudah untuk dia menambah perbendaharaan kata yang ada dalam dirinya?

4. Meningkatkan kemahiran anak-anak. Selain mendengar cerita, sebenarnya banyak kemahiran lain yang sedang dipelajari semasa kita bercerita. Kemahiran membuat ayat, kemahiran membuat intonasi berbeza untuk situasi yang berbeza, kemahiran menjawab soalan, kemahiran bertanya soalan, kemahiran berfikir tentang kesudahan cerita, kemahiran mencari teladan dan pelbagai kemahiran lagi.

5. Ia juga dapat meningkatkan kemahiran bertutur anak-anak. Jika kita bercerita dengan anak-anak tanpa menggunakan bahasa "pelat" maka peratusan anak-anak menjadi pelat akan menjadi lebih kecil.

6. Meningkatkan pengetahuan si kecil. Banyakkan bercerita tentang Sirah Para Nabi dan Sahabat. Pasti dia sangat teruja.

7. Jika inginkan anak yang cemerlang, berceritalah tentang orang yang cemerlang

8. Menjadikan anak lebih sensitif dengan apa yang berlaku di kelilingnya. Mudah saja, ceritakan tentang anak kucing yang kehilangan ibu sebagai contoh. Cuba lahirkan rasa simpati dia kepada kucing tersebut. Lama kelamaan dia akan menjadi orang yang sensitif dengan apa jua yang ditemui dan dilihat.

Banyak lagi kelebihan-kelebihan bercerita sebenarnya... Bagi saya aktiviti bercerita adalah satu aktiviti yang sangat penting dalam perkembangan anak-anak.

Berceritalah kepada anak-anak anda. Usah malu jika anda tak tau nak bunyikan bunyi binatang atau tak pandai nak buat 'sound effect'. Ala... anda bukan bercerita dikhalayak ramai. Audien anda hanyalah anak kecil anda iaitu permata hati anda, jadi atau tidak bunyinya pasti ia akan menggembirakan anak anda.

Cuba wujudkan kemesraan ketika bercerita, pasti hubungan anda dan anak-anak makin erat. Hilangkan rasa malu, buanglah rasa segan... Anda dan anak anda pasti akan mendapat manfaatnya.

SELAMAT MENCUBA!

17 July 2009

Penantian satu penyiksaan

Seusai solat Maghrib bersama humaira pada senja itu, kedengaran sebuah doa tulus dari bibir mungil anak saya.

"Ya Allah, keluarlah baby..." Saya dan suami yang antara dengar dan tidak lantaran halus dan perlahannya suara dia, saling berpandangan. Lalu pandangan kami jatuh kepada anak kesayangan kami itu.

"Humaira' doakan baby cepat keluar ke?" Saya bertanya, dan dia terus sahaja tertunduk malu. Walaupun dia hanya diam seribu bahasa, tapi saya yakin itulah yang didoakan si kecil itu sebentar tadi.

Saya rasa cukup terharu dengan doa tulus Humaira'. Tanpa dipinta saya merangkul dia. Berterima kasih kepadanya kerana sudi mendoakan ibu yang sedang sarat dan sentiasa berdebar-debar menanti kelahiran adik Humaira' ini.

Sudah lama dia kesepian di rumah. Teman mainnya hanyalah ayah. Ayahlah yang menjadi kuda, dengan ayahlah dia bermain kejar-kejar, dan ayahlah yang diajak bermain masak-masak. Ibunya jarang-jarang dapat melayaninya kerana sibuk memasak atau melunaskan urusan-urusan rumahtangga yang lain.

Ketika dikhabarkan kepada humaira' bahawa dia akan mendapat adik ketika saya mula-mula hamil dulu. Humaira' amat seronok dan sangat teruja. Tak henti-henti bertanya itu dan ini tentang adiknya itu. Seingat-ingat saya, semenjak kandungan berusia enam bulan lagi, dia sudah bertanya bila baby nak keluar dan dia dah boring nak tunggu.

Penantian itu dirasakannya sangat panjang. Tak sabar sungguh dia nak menunggu kehadiran seorang adik agar di rumah dia ada teman untuk diajak bermain, punya teman untuk diajak bersembang.

Jika saya duduk di atas sofa, dia akan datang menghadap perut saya dan bercerita dengan berbagai-bagai cerita kepada adiknya.

"Adik, hari ni kakak pergi sekolah"
"Adik, tadi kakak main basikal ngan kawan-kawan kat luar, pastu kakak jatuh."
"Adik, adik suka tak makan dadih kaler hijau? Kakak suka tau..."

Adik itu, adik ini... begitulah laporan yang dibuat kepada adiknya tatkala saya beristirehat di ruang tamu. Kerap juga dia mencium perut saya dengan bersungguh-sungguh lantas menyebut "Mmmm... comel!"

Pernah juga dia main kejar-kejar dengan adiknya yang masih berada dalam perut. Dia lari sana sini dan menjerit "Adik tak dapat ligan". Ia mengundang pelbagai perasaan dalam diri saya. Kesian kerana dia tak punya teman, lucu kerana boleh main kejar-kejar dengan baby dalam perut, terkejut kerana imaginasi yang cukup tinggi dan macam-macam lagi.



Kini kandungan telah mencecah 37 minggu. Daktor kata, saya boleh bersalin pada bila-bila masa bermula minggu ini. Saya makin tak senang duduk. Bimbangkan macam-macam perkara. Bila nak bersalin, apa tandanya, sihat ke tak baby dan 1001 lagi persoalan yang menjengah benak saya dan kadang kala membuatkan saya sesak.

Kalau boleh disuruh keluar, nak aje saya suruh baby keluar time saya dah bersedia. Tapi itu semua bukan atas kehendak saya, semuanya atas ketentuan Tuhan Yang Maha Kuasa. Apa yang perlu saya lakukan hanyalah doa dan terus berdoa tanpa jemu.

Penantian memang satu penyiksaan. Menanti saat penuh debaran dan cabaran kerana ia adalah saat pertarungan antara hidup dan mati. Adakah saya akan terus di sini atau kembali ke hadrat ilahi? Ya Allah... Tenangkanlah hati yang gundah gelana ini...

12 July 2009

Bersediakah saya?

"Kak, saya nak buat lesen motor boleh? sekarang ada diskaun sampai hujung bulan lapan nanti." itulah mesej yang terpampang di skrin telefon saya pagi tadi.

"Ada duit ke?" tanya saya kembali. Dalam hati saya, saya gusar andai jawapan saya terhadap persoalannya akan menimbulkan ketidakpuasan dalam hati adik saya yang sedang meningkat remaja itu.

Bukan mudah berinteraksi dengan remaja, jika salah cara, terkasar bahasa, pasti mengundang ketidakselesaan dalam jiwa. Dia tak suka kat kita, kita pulak sentiasa rasa ada yang tak kena. Akhirnya yang timbul hanyalah sengketa... Aduhai... bisa pening dibuatnya

"takde pun.... hehe guna duit kak pah dulu..." Sudah saya agak jawapannya itu. Tapi dalam hati terdetik juga... Mudah benar anak muda sekarang, nak apa-apa minta aje...

"Kalau takde, biar dulu lah... Tengok lepas SPM nanti, baru kita bincang lain." Saya cuba berbahasa supaya takde hati yang terluka. Adik saya ni memang sensitif, kemahuannya perlu ditolak secara halus, kalau ditentang terus... Mencukalah jawabnya.

"Lutfi fikir camtu jugak tapi kalau amik lepas SPM mahal RM400, kalau amik sekarang RM250." dia masih cuba untuk ber'nego' dengan saya. Masih belum putus asa.

"Takpe... Nanti kalau kak pah ada duit, awak buat lesen kete sekali." Saya membalas kembali dengan tawaran yang lebih lumayan.

Ops... nampaknya saya perlu menyimpan dari sekarang untuk memenuhi janji saya. Maklumlah buat lesen kereta dan motor sekarang ni mencecah RM 1000.

"Okey..." Akhirnya proses nego kami berakhir dengan aman dan damai. Alhamdulillah

Dia baru tingkatan empat. Sebelum ini ada juga permintaannya yang saya tolak. Namun ada juga yang saya penuhi. Bukan saya taknak bagi, tapi saya tak mahu dia rasa bebas meminta dan saya mahu dia berusaha untuk mendapatkan apa yang diimpikan.

Saya juga tidak mahu dia menjadi manusia yang hanya tahu meminta, nak itu minta dengan orang ni, nak ini minta dengan orang tu... Dia dibawah tanggungan saya, maka saya perlu mendidik dia sebaiknya.

Saya mahu dia lebih berdikari. Saya mahu dia jadi orang yang ada maruah diri.

Ketika dia mula tinggal bersama saya, terlalu banyak konflik yang terpaksa saya lalui. Tiba-tiba saya perlu menjaga seorang remaja sedangkan anak sendiri baru berusia dua tahun. Susah betul saya nak memahami jiwa dia. Cakap sikit tak kena, cakap banyak lagi banyak yang terasa, kalau tak cakap kita pulak yang menjeruk rasa.

Waktu itu, saya memang selalu stress. Serba salah. Tegur salah, tak tegur salah. Sampaikan saya terpaksa berdiskusi dengan rakan-rakan yang mempunyai anak remaja. Hanya untuk mengetahui bagaimana berinteraksi dengan seorang remaja.

Alhamdulillah setelah dua tahun berhadapan dengan karenah dia, akhirnya saya dapat juga menyesuaikan diri. Saya perlu menjadi kawan kepadanya. Jika dia buat salah, berbincang dari hati ke hati. Apa yang dia mahu, dan apa pula yang saya mahu. Kemudian cari jalan tengah supaya masalah dapat diselesaikan.

Seperti menarik rambut dalam tepung, tepung tak berselerak, rambut pun tak putus.

Susah memang susah. Cuma yang selalu saya fikirkan, layani dia sebagai seorang remaja, bukan orang dewasa seperti kita, dan bukan juga seperti anak kecil seperti anak saya. Fuh! Kadang-kadang berpeluh jugak la...

Jika ada pendapat dia yang kurang rasional, rasionalkan secara perlahan-lahan. Jangan ditolak mentah-mentah. Mungkin ia takkan berjaya dalam masa sehari dua, tapi jika selalu dijelaskan, Insya Allah lama-lama dia akan faham juga.

Jika ada apa-apa masalah, kerap juga saya pergi berjumpa dengan guru-guru dia. Minta guru-guru sentuh masalah itu dalam kelas atau sesi tazkirah. Alhamdulillah, banyak yang dia berubah dari usaha guru-guru di sekolah.

Saya bukan pakar kaunseling remaja, cuma berkongsi sedikit pengalaman dalam menghadapi seorang remaja. Walaupun kadang-kadang saya rasa susah melayani dia, tapi saya bersyukur kerana Allah memberi saya latihan awal bagaimana berhadapan dengan remaja, kerana usia anak-anak saya pun sentiasa bertambah.

Anak-anak saya akan menjadi remaja seperti dia... Aargh... Bersediakah saya?

03 July 2009

Jawapan tu belum mantap...

Saya bercerita kepada suami tentang bicara saya dengan Humaira' berkaitan dengan persoalan solat yang telah saya ceritakan dalam entry sebelum ini.

"Apa pendapat abang dengan jawapan dia?" Tanya saya.

"Mmm... Belum mantap lagi jawapan dia tu..." Balas suami saya.

"Dah tu jawapan yang macammana lebih mantap?" Sambil mengerutkan dahi saya bertanya lagi untuk mendapatkan jawapan yang lebih jelas.

"Abang kalau boleh, nak dia solat dengan kesedaran dia sendiri" Terang suami saya

"Kesedaran? Kesedaran yang bagaimana?" Perbincangan kami makin rancak, dan otak saya semakin ligat berfikir

"Kesedaran yang lahir dari rasa keagungan, keagungan terhadap Rabbnya. Taknak dia jadi macam abang, abang diajar solat kerana tuhan suruh. Akibatnya, abang solat bukan kerana syukur atau kerana takut atau kerana cinta." Dia cuba memahamkan saya tentang apa yang sebenarnya yang dia mahukan.

Saya mula dapat menangkap maksud sebenar dia.

"Apa salahnya jika dalam usia yang masih mentah sekarang ni, dia menjawab solat itu satu tuntutan dari tuhan?" saya cuba memprovokasi untuk menghangatkan lagi sembang-sembang manfaat kami.

"Memang tak salah, tapi peringkat ni kalau boleh kita tanamkan bahawa Allahlah segalanya untuk dia. Dia solat kerana dia perlu solat. Kalau diajar solat sekadar tuhan suruh maka akal dia akan mati disitu. Lalu dia akan membesar dan akhirnya solat itu hanya sekadar kain buruk." Jelas dia dengan panjang lebar

"Macam kebanyakan dari solat abang. Kadang-kadang kurang rasa bertuhan. Solat hanya untuk melepaskan kewajipan."

"Rasa diri hamba tu tak ada. Kadang-kadang rasa macam robot." Kini ada nada keluhan dalam bicaranya

Saya juga tertunduk mengiyakan suara hatinya. Memang benar kata-katanya.

"Takpe bang, Humaira' masih boleh ditarbiyah. Jawapan dia tempoh hari bukanlah satu penghujung." Saya mula berbahasa supaya persoalan kami tidak mati begitu saja.

Saya inginkan satu penyelesaian, bukan sekadar satu perbincangan

"Masih belum terlambat untuk kita tarbiyah dia. Persoalan ini masih boleh dijelaskan kepada dia." Kata saya penuh semangat

"Agar mekar sifat dan rasa kehambaan dia."

Saya pun mula merasai bahawa betapa saya selama ini solat hanyalah kerana ia satu suruhan. Bukan kerana kecintaan kepada Tuhan. Bukan kerana rasa kehambaan kita kepadaNya. Bukan juga kerana kita memerlukan kasih sayang Rabb kita. Oohh... Teruk juga saya ni...

"Kita bertanggungjawab memberi kesedaran kepada dia. Jangan biarkan anak-anak kita menerima nasib yang sama dengan kita." Saya menambah lagi agar bicara kami petang itu lebih berperisa.

"Abang cukup tertarik dengan cara saifulislam ajar anak dia berdoa. Itulah yg abang cari selama ni dalam doa. Ketulusan dalam permintaan, rasa kekurangan dan kelemahan diri yg lahir dari hati yg tulus." Dia cuba mengaitkan isu perbincangan kami dengan artikel yang dibacanya

"Macam tu jugak dengan dakwah. Apabila kita berdakwah takde tujuan atau untuk memuaskan hati sesetengah pihak je. Atau kerana suruhan sahaja. Maka dakwah itu akan jadi beku."

"Bagi abang, Islam itu indah, dan keindahan itu adalah sesuatu yg abang ingin kongsikan dengan semua. Itulah dakwah bagi abang"

"Dakwah itu lahir atas rasa ingin berkongsi, dan dari situ baru datangnya sifat mas'uliah kerana perkongsian itu adalah satu kewajipan sebenarnya. Tapi kalau diri sendiri tidak ada apa-apa yang ingin dikongsi, macammana nak berkongsi." Penjelasannya berakhir dengan pertanyaan yang memaksa saya berfikir dan terus berfikir. Tajuk perbualan kami nampaknya semakin luas.

Topik kami kali ini membawa kepada perkara yang lebih besar iaitu dakwah. Saya rasa bualan kami petang itu telah membuka dimensi baru tentang pandangan saya terhadap banyak perkara.

"Jadi kita kena mantapkan diri kita denga jiwa kehambaan la dulu, kalau nak anak-anak kita merasa mereka itu hamba tuhan. Yang wajib mensyukuri setiap kurniaan." Saya cuba-cuba membuat kesimpulan

"Satu perbahasan yang menarik." Getus hati saya

Mungkin kita ni agak tertutup pemikiran, yang kita nampak cuma lahiriah. Batiniah kurang jelas." Sambung saya lagi

"Cuba ayang fikir, kenapa zaman sahabat dulu, bila mengucap je terus sanggup mati untuk islam? Kita la ni, mengucap hari-hari pun serupa tu jek." Dia bertanya lagi dan belum sempat saya menjawab dia sudah sedia dengan hujah-hujahnya.

"Sebabnya akidah mereka dah strong. Bila mengucap, mereka sudah tahu tuntutan syahadah itu."

"Kenapa kita tak camtu ek? Di mana silapnya?" Saya bersoal lagi

"Silapnya adalah pada syahadah. Syahadah kita tak membawa makna apa-apa..." Keluh dia

"Betul tu. Maknanya sekarang ni kita kena mantapkan akidah kita dan anak-anak. Berat tugas ni, tapi kita kena buat juga supaya anak-anak nanti akan faham kenapa dia perlu mematuhi suruhan tuhan. Kita juga perlu berusaha sungguh-sungguh untuk membentuk jiwa hamba dalam diri kita dan anak-anak."

Sembang-sembang petang itu telah mengocak kolam hati saya bahawa masih terlalu banyak yang perlu saya dan suami lakukan untuk anak-anak.

Bukan sekadar menyediakan makan minum dan tempat tinggal. Bukan sekadar ajar solat, menghafaz Al-Quran dan sebagainya. Tetapi kami bertanggungjawab membentuk anak-anak yang faham tujuan kehidupan. Mendidik mereka menjadi hamba Tuhan yang sentiasa mengejar keredhaan Rabbnya.

Dihujung bicara itu, jauh disudut hati saya, saya benar-benar memohon kepada Allah supaya dikurniakan hidayah dan inayah dalam usaha kami mendidik anak-anak. Bukan sekadar anak-anak di rumah, tetapi anak-anak di tadika saya juga.

Bicara petang itu juga menyedarkan saya bahawa terlalu banyak perkara yang kita terlepas pandang. Kadang-kadang apa yang terlepas itu adalah tunjangnya. Lalu kita mengambil ranting-ranting untuk menjadi asas kehidupan. Aduhai, malangnya kita jika terus selesa dalam lena. Kita harus bangkit demi kelestarian Islam dalam jiwa kita dan generasi akan datang.

Wahai insan, sekarang waktu untuk bekerja! Jerit hati saya...

02 July 2009

Kenapa kita solat?


"Ibu, satgi solat berapa kali?" Begitulah pertanyaan humaira setiap kali melihat saya mengenakan telekung. Sebenarnya 'kali' yang dimaksudkan ialah bilangan rakaat.


" Empat rakaat..." Jawab saya tanpa jemu kerana dia akan bertanya soalan yang sama tiap kali nak solat.


"Mmm... empat rakaat tak penat puuun..." Humaira berkata dengan tersengih-sengih sambil meliuk lentokkan tubuhnya. Hehe... Itu hanya di mulut, melihat gelagatnya pun saya tahu yang dia nak kata empat rakaat tu penat.


"Humaira, kenapa kita solat?" Tanya saya ingin menguji. Dalam fikiran, saya merangka beberapa kemungkinan jawapan yang diberikan.


1. Sebab ayah suruh

2. Sebab nanti ayah bagi coklat

3. Sebab cikgu suruh

4. Sebab nanti boleh masuk syurga


"Sebab Allah suruh laa..." Dia memberi jawapan tanpa ragu-ragu dan penuh yakin.


"Oh ye ke... Kalau kita buat apa yang Allah suruh kita dapat apa?" Tanya saya lagi untuk mengukuhkan kefahamannya tentang kewajipan melaksanakan suruhan Allah


"kalau kita buat, kita dapat pahala, nanti boleh masuk syurga." Dia menjawab sambil mengangkat-angkat tangannya seperti orang berceramah. Lega sungguh saya mendengar jawapannya.


Dia laksanakan solat kerana tahu ia satu tuntutan bagi setiap muslim. Bukan kerana takut dimarahi oleh ayah atau ibu. Bukan kerana ganjaran semata-mata, dan bukan kerana takut ditanya oleh cikgu-cikgu di tadika.


Saya sangat bersyukur dengan kefahaman yang dia ada sekarang. Dia hanyalah kanak-kanak yang berusia tiga tahun sepuluh bulan. Dan dia pasti akan solat bersama saya setiap kali waktu solat. Dia juga akan menangis sekiranya saya solat dulu tanpa menunggu dia. Tiada paksaan, bahkan dia lakukannya dengan penuh rela.


Jika saya solat lambat pula dia akan bersungguh-sungguh menyuruh saya pergi solat.


Alhamdulillah kerana dalam usia yang masih muda dia sudah merasai tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Memang solatnya tidaklah setertib mana, malahan dipertengahan solat dia akan mengira-ngira jarinya untuk memastikan berapa rakaat yang tinggal.


Tapi saya tak kisah semua itu, apa yang saya mahu pada peringkat usia dia sekarang ialah dia biasa dengan kefardhuan itu, dan apabila sampai masa ia menjadi kewajipan, dia akan seronok memperhambakan diri kepada tuhan.


Biasakan anak-anak dengan amal soleh


Al-Imam Al-Ghazali berkata: Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika dia terbiasa dengan benda baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti binatang, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggung jawabkan itu.


Pada peringkat umur dua hingga lima tahun. Ibu bapa seharusnya mengambil peranan menerangkan kepada anak-anak tentang kebenaran dan kesalahan tanpa mengira masa dan keadaan.


Usah biarkan sahaja kesalahan yang dilakukan semata-mata menganggap anak itu masih kecil. Pada usia begini juga, Islam menyeru ibu bapa menekankan:


1. Pendidikan iman kerana anak-anak sentiasa tertanya-tanya tentang tuhan dan gambaran kewujudannya.


2. Mengasuh mereka mencintai Al-Quran


3. Mengasuh mereka mencintai Nabi dan Para sahabat.


Selain daripada itu, kita perlu membiasakan anak-anak kecil dengan solat sepertimana yang disebut oleh Al-Qobisi:


Mengajar anak-anak bersolat dan berwudhuk dan membiasakan mereka membuatnya akan meringankan kesusahan bersolat atas mereka apabila sampai usia wajib melaksanakan solat, Apabila mengajar anak bersolat, mereka juga perlu diajar membaca Al-Quran untuk dibaca dalam solat itu sendiri.


Jika kita mempunyai anak, maka mereka adalah amanah yang akan ditanya. Usah biarkan usia kanak-kanak mereka terbuang begitu sahaja tanpa didikan. Semakin awal kita mentarbiyah mereka dengan agama, semakin mudah mereka untuk melaksanakan segala suruhan tatkala usia menjengah remaja.


Bentengi mereka dengan keimanan dan akhlak mulia sejak dari dalam pelukan kita, kerana sampai suatu masa, kita akan sukar mendakap mereka lantaran peredaran masa dan usia.







Plastik kecil vs Plastik besar


Sejak akhir-akhir ini rezeki kami melimpah ruah. Entah dari mana datangnya, saya pun tak pasti. Rezeki baby agaknya, itu aje lah yang telintas di hati saya. Lalu kepada siapa lagi lah yang harus saya panjatkan kesyukuran selain kepada Tuhan yang Maha Pemurah.


Macam-macam makanan-makanan kering yang berada di dapur saya. Saya dan suami memang jarang-jarang sempat menjamahnya, kadang-kadang hanya mampu memandang. Paling tidak, kami akan titipkan juadah pemberian rakan taulan, saudara mara itu kepada adik saya yang duduk di asrama.


Belum sempat saya bersenang hati kerana plastik-plastik berisi makanan yang selalu terdampar di dapur saya itu sudah hilang dari pandangan. Datang pula, makanan-makanan lain yang biasanya pemberian orang.


Bukan saya tidak mahu bersyukur, tetapi saya rasa sayalah orang yang tidak bersyukur kerana tak makan semua yang datang itu. Bahkan seringkali makanan-makanan itu rosak kerana kealpaan saya.


Satu petang, Nor datang ke rumah. Melihat ada sebungkus plastik di atas kerusi di tepi dinding, dia bertanyakan saya apa yang ada di dalamnya. Saya dengan berbesar hati meminta dia membukanya.


Plastik itu kami bawa balik dari kampung. Dibungkus oleh bonda yang dikasihi, lalu dimasukkan ke dalam kereta. Kami yang kesibukan setelah bercuti tempoh hari belum sempat membukanya.


Setelah Nor membelek-belek isi plastik itu, barulah saya sedar bahawa di dalamnya terdapat pelbagai jenis makanan yang masih elok untuk dimakan. "Mmm... dah kebetulan awak buka, ambil plastik ni dan bawa balik makan di rumah. Kami kat rumah ni memang jarang makan kerepek-kerepek ni. Lagipun awakkan suka mengunyah..." Kata saya kepadanya.


"Eh banyaknya... Tinggal la sikit kat sini, kot-kot abang sham nak makan." Dia berbahasa.


"Tinggalkan satu je, yang lain awak bawak balik." Balas saya semula.


Petang itu, sambil menjinjing satu plastik yang sederhana besar dia pulang dengan senyuman terukir. Agaknya seronok kerana ada benda nak mengunyah tika duduk menonton tv pada malam-malam yang akan datang.


Sebelum dia melangkah keluar dia mengunjukkan plastik itu kepada saya lalu berseloroh " Kalau macam ni la... gemuk la saya..." "Mmm... memang dah bulatpun..." Dalam senyum, saya rasa lega kerana ada orang yang membantu saya menghabiskan makanan-makanan itu. Maka terhindarlah saya dari menjadi kawan syaitan yang suka membazir. Na'uzubillah.


Keesokan harinya, saya diberitahu suami bahawa pelajar-pelajarnya akan datang ke rumah untuk submit laporan praktikum. Kedatangan mereka saya sambut dengan mi goreng special.


Di samping membawa laporan praktikum, rupa-rupanya mereka turut mengjinjingkan satu plastik besar berisi keropok, budu dan macam-macam lagi sebagai buah tangan buat kami.

Masya Allah, plastik kecil saya beri kepada Nor semalam, hari ini satu plastik besar pula yang dikurniakan Allah kepada kami.


Kami hanya mampu mengucapkan syukur atas pemberian Tuhan ini. Benarlah seperti yang saya yakini, jika kita memberi sedikit, Allah akan membalasnya dengan lebih banyak. Walaupun tanpa dipinta.


Jika tidak dengan benda yang sama, mungkin juga dengan bentuk kurniaan yang berbeza. Usah diharap jika kita memberi wang ringgit, maka akan dibalas wang ringgit juga. Mungkin juga akan dikurniakan dengan ketenangan jiwa, keberkatan harta atau apa jua. Yang pasti Allah akan membalasnya, kalaupun tidak dunia, Insya Allah di akhirat sana.


Sama-sama kita memberi kerana pemberian itulah yang akan menjadi milik kita.



24 June 2009

Semua itu bukan milikmu

" Nak, adikmu akan melangkah ke universiti tidak lama lagi. Boleh kamu bantu sikit-sikit untuk yuran pendaftarannya? Ujar si ayah tersekat-sekat.

Kalau diikutkan hati, memang dia tak mahu menyusahkan anaknya itu. Tetapi dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, ditambah pula pendapatan yang memang tak menentu, di manalah mahu dicekaunya duit beribu untuk kemasukan anaknya itu ke IPT.

" Mmm... tengoklah dulu... Saya bukan tak nak bagi... tapi...mmm... nantilah saya fikir dulu... " Balas si anak tanpa memandang wajah tua si ayah. Jawapan yang diberi digantung tidak bertali.

Si ayah hanya tertunduk. Apa yang terlintas di hati cuma perkara baik-baik sahaja terhadap anaknya. "Oh, mungkin anakku ini perlukan duit bulan ni, dan tak dapat membantu adiknya, takpe lah nanti aku usaha cara lain."

Cinta dunia, pasti akan menjerat ihsan kita. Bila dunia itu menjadi tujuan, maka matlamat akhirat dibutakan. Memang sukar menghulurkan hasil dari susah payah kita, bekerja siang malam, akhirnya nak diberi kepada orang? Oooh... Tidak...

Begitulah manusia, sering kali kikir. Bahkan termaktub dalam Al-Quran mengatakan bahawa manusia itu memang bersifat kikir. Bagi kita yang kikir, fikirkanlah:

  • Jika kita meninggalkan alam yang fana ini, apa yang akan kita bawa? Wang berjuta atau pahala sedeqah kita?

  • Bukankah jika kita sudah tiada nanti semua harta kita akan difaraidkan, menjadi manfaat kepada orang lain. Lalu apa nasib kita di bawah sana?

  • Adakah kita nak menunggu saat ibu dan ayah kita sudah tiada baru nak menyesal kerana tidak memberi sepenuh kasih dan cinta kita semasa mereka masih di depan mata? Yang pergi tidak mungkin akan kembali.

  • Berbaktilah sementara kita masih ada upaya dan dimurahkan rezeki, putaran kehidupan ini sering kali bertukar ganti. Mungkin sekarang kita senang, masa depan belum tentu lagi.

  • Kita tidak akan miskin kerana menginfaqkan harta kita, malahan kita akan rasa lebih kaya. Kaya dengan kasih dan rahmat dari Yang Maha Pencipta.

  • Sebenarnya, orang yang memberi lebih bahagia dari orang yang menerima. Contoh : siapa yang lebih bahagia, ibu yang memberi anak hadiah atau anak yang menerima hadiah? Dua-dua gembira, tetapi yang lebih gembira ialah ibu kerana dia memberi dengan sepenuh rasa cinta.

  • Harta yang ada pada kita, bukan milik kita sepenuhnya. Ada hak orang lain di dalamnya. Ia adalah tanggung jawab dan amanah yang akan ditanya oleh Allah suatu hari kelak.

  • Harta itu juga adalah ujian buat kita. Allah sedang menguji sama ada kita bersyukur atau tidak di atas segala nikmat yang dikurniakan. Jika bersyukur akan ditambah lagi. Jika tidak, maka azab Allah itu sangatlah pedih.

Allah lah pemilik harta itu, jika ingin diambil semula, bila-bila masa, tak kira dimana. Oleh itu, sama-sama kita latih diri untuk bermurah hati, sifat bakhil dihalau pergi. Moga hidup kita akan diberkati, dikasihi penduduk langit dan bumi. Ya Allah... Lindungilah aku dari sifat kikir...

18 June 2009

Proposal oh proposal


Minggu lalu ketika bercuti di Kelantan, saya menerima panggilan telefon yang memang tidak pernah saya nantikan. Panggilan yang menambah kerja saya, panggilan yang menyesakkan nafas saya.

Panggilan itu menyuruh saya menghantar proposal tadika untuk cawangan-cawangan Tadika Nursyifa. Sebenarnya ia merupakan satu prosedur yang sungguh "renyah" bak kata orang kedah.

Apa tidaknya, walaupun saya telah mendapat permit tadika untuk Tadika Nursyifa di Taman Suria, saya mesti membuat perkara yang sama untuk mendapatkan permit untuk cawangan-cawangan yang lain.

Jika sepuluh cawangan, maka 10 proposal terpaksa saya hantar ke Jabatan Pendidikan Negeri. Aduhai... Jika anda melihat apa yang perlu ada dalam proposal tersebut, pasti anda juga akan menggelengkan kepala.

Macam-macam borang yang perlu diisi dan macam-macam suratcara yang perlu saya penuhi. Belum lagi ditambah dengan dokumen-dokumen yang perlu saya sertakan sekali. Memang mengambil banyak masa saya, malahan saya terpaksa memperuntukan masa yang agak lama untuk memenuhi permintaan-permintaan dalam permohonan tersebut.

Kadang-kadang terlintas difikiran saya, siapalah yang akan menyemak dokumen yang bertimbun-timbun ini? Bukan saya seorang yang menghantarnya, kalau ada 1000 tadika di kedah, maka ada 1000 proposal yang mesti disemak.

Berapa banyak kertas yang akan dibazirkan? Tapi saya tak ada pilihan lain selain mengikut saja kehendak jabatan. Jika tidak mungkin tadika saya akan diarahkan ditutup.

Saya rela + terpaksa mengadap borang-borang itu dan 'membuang masa' membuat proposal-proposal itu, demi penerusan pendidikan anak-anak di tadika Nursyifa.

Nak atau tidak saya terpaksa juga buat benda yang saya tidak suka itu...

Proposal oh proposal...

08 June 2009

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Beberapa minggu lalu, suami saya dan Humaira' pergi ke supermarket mencari baju untuk puterinya yang seorang tu. Malangnya setelah sekian lama membelek-belek baju yang dijual di situ, tak ada yang menepati citarasa.

Bukan kerana corak dan warnanya, tetapi kerana fesyen dan potongannya. Banyak yang berlengan panjang, tetapi singkat dan sendat. Puas mencari tapi tak jumpa-jumpa, suami dan humaira' pulang ke rumah dengan perasaan kecewa dan hampa.

"Ibu... tadi ayah nak beli baju humaira', tapi takde la ibu." Begitulah luahan si kecil sebaik saja bertemu saya. Saya memandang ayahnya meminta penjelasan.

"Mmm... memang takde yang betul-betul tutup aurat, semuanya ketat dan sendat. Baju pulak singkat, nampak punggung." Terang suami saya.

"Oh ye ke... takpe la... nanti ibu buatkan baju humaira ye." Saya berkata kepada humaira sambil memeluknya. Dia yang tadi agak monyok, bersemangat semula dan membalas pelukan saya.

Makin besar, makin susah nak mencari baju yang sesuai untuk dia. Melihat perkembangan fesyen zaman sekarang, ia benar-benar merunsingkan saya. Pakai tudung, tapi baju ketat, seluar sendat. Pakai tudung, tapi skirt pulak singkat. Pakai tudung, tapi lengan jarang. Pakai tudung tapi... macam-macam lagi masalahnya...

Aduh... memang dilema nak membeli pakaian anak-anak sekarang. Terutama pakaian untuk anak-anak perempuan.



Lantaran kesukaran mendapatkan baju yang memuaskan hati, maka terpaksalah saya buka semula buku Seni Jahitan pakaian kanak-kanak yang sudah lama tak disentuh itu. Melihat fesyen-fesyen yang sesuai dan buat semula blok baju untuk humaira yang dah besar tu.



Akhirnya setelah bertungkus lumus selama seminggu, saya berjaya menyiapkan dua jubah seluar dan satu gaun labuh buat puteri saya. Dia pun sangat teruja untuk memakainya kerana saya buat baju-baju tersebut menggunakan kain yang sama dengan baju saya.



Bukan mudah sebenarnya nak mengajar Humaira untuk memakai baju yang menutup aurat. Dulu kalau saya bagi dia baju lengan panjang, dia tak berapa suka. Panas katanya. Tapi setiap kali dia nak keluar dengan baju lengan pendek, ayahnya akan tarik tangan dia dan bersembang berdua-duaan. Bercerita tentang kenapa dia mesti pakai pakaian tutup aurat. Apa ganjarannya dan macam-macam lagi.



Lama juga proses itu berlaku, bukan sekali dua, tapi banyak kali. Alhamdulillah, sekarang dia dengan rela hati dan suka hati memakai pakaian yang menutup aurat ketika keluar rumah.



Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat: 31

"Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka....."

Merenung kembali firman Allah ini menyedarkan saya bahawa betapa ramai yang telah mengabaikannya.

Kalau kita ke supermarket, cuba kira berapa orang yang menutup aurat dengan sempurna. Lihat pula fesyen pakaian anak remaja, aduhai... memang menyakitkan mata dan menyesakkan dada.

Menyedari hakikat ini, menjadi tanggungjawab kita mendidik anak-anak perempuan kita menutup aurat sedari kecil. Biarlah mereka biasa dengan baju yang longgar. Biasakan juga mereka memakai pakaian berlengan panjang. Didiklah mereka memakai tudung.

Mungkin awalnya mereka akan merungut kepanasan. Mungkin juga akan memberi pelbagai alasan. Tetapi ibu bapa perlu pandai mengambil hati disamping memberi penjelasan tentang perintah Allah tersebut. Lama-lama insya Allah, memakai pakaian yang menutup aurat akan menjadi kesukaan mereka dan kebiasaan.

Bak kata pepatah, alah biasa tegal biasa.

Kalau melentur buluh biarlah dari rebungnya. Wallahu A'lam

25 May 2009

Sukarnya menjadi bos!


Sesetengah orang mungkin merasakan manjadi seorang bos adalah sesuatu yang menyeronokkan. Boleh suruh orang buat itu dan ini, bos hanya goyang kaki.

Sesetengah orang mungkin juga beranggapan bila dah jadi bos kita boleh hidup senang dan tenang. Duduk dalam pejabat, kemudian melayari internet.

Sesetengah orang mungkin akan kata :"alahai bos kita tu, duduk hanya di atas bangku, gaji masuk berdesup-desup!"

Sesetengah orang mungkin pernah terfikir, bahawa pekerja kena dengar cakap bos aje... yang teruknya siapa lagi kalau bukan orang bawahannye...

Tapi bagi saya yang menjadi bos di tadika, jadi pengurus dan pengetua, ia bukanlah seperti anggapan seperti di atas. Bagi saya menjadi pemimpin adalah satu perkara yang sangat sukar, bahkan bisa memeningkan kepala.

Bila ada masalah, walaupun kita akan meminta pekerja kita lakukan sesuatu untuk menyelesaikannya, tetapi "sesuatu itu" boslah yang perlu fikirkan dahulu. Bos juga yang perlu memerah otak mencari "sesuatu itu" dan pastikan ia adalah langkah terbaik bagi satu-satu masalah.

Bila pekerja buat salah, bukan mudah bos nak menegur. Bimbang teguran bukan mengelokkan, tapi memburukkan lagi keadaan. Saya kalau ada pekerja yang buat sesuatu yang melanggar etika kerja, kadang-kadang malam pun susah nak tidur kerana mencari ayat yang sesuai untuk diungkapkan untuk membetulkan kesilapan.

Jika susah menerima teguran, susah lagi memberi teguran. Kalau susah nak tegur secara 'face to face', kerap kali juga saya tegur melalui sms. Cara teguran pula perlulah secara berhikmah, kalau ditegur sembarangan, saya bimbang pelajar-pelajar yang akan menerima tempiasnya. Aduhai... susah sungguh menjadi bos!

Yang paling menggerunkan saya ialah setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas setiap tanggungannya. Tak kira kecil atau besar, semua akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Bila direnung-renung pesan Rasulullah ini, saya jadi kecut perut. Lagi besar tadika saya, makin ramai student saya dan semakin bertambah pekerja saya, maka makin banyaklah perkara yang akan dipersoal dan akan diperhitungkan. Makin rumitlah penghisabannya. Ya Allah... ampunilah hambamu ini.

Itulah realiti menjadi bos, orang nampak senang, tapi sebenarnya susah. Orang nampak seronok tapi sebenarnya... Hanya Allah yang tahu...

Aduhai... sukarnya menjadi bos!