31 January 2012

Cemburu kepada adik baru? Tangani dengan bijaksana!



Sifat cemburu di kalangan kanak –kanak sering ditonjolkan apabila seseorang menerima kehadiran adik baru. Kadang-kadang ibu bapa boleh naik angin ketika berhadapan dengan karenah mereka.

Tambahan pula, dalam keadaan ibu yang baru melalui proses kelahiran dan masih di dalam pantang serta masih lemah. Sang bapa pula yang masih kelam kabut menguruskan kehadiran orang baru di dalam keluarga, keadaan ini sering menimbulkan ketegangan sesama ahli keluarga.

Walau bagaimanapun, di dalam situasi yang kurang selesa ini, kita sebagai ibu bapa perlulah meletakkan diri di tempat anak kerana jika kita memahami perasaan mereka, kita akan dapat menanganinya dengan lebih baik.

Jangan hanya memikirkan tentang apa yang kita rasai, tetapi selamilah perasaan si kakak atau si abang ‘baru’ yang pasti menerima kejutan kerana perhatian yang selama ini tertumpu seratus peratus kepadanya kini telah beralih arah kepada si kecil.

Bukan mudah untuk dia menerima situasi itu, maka bagi menarik sebanyak mungkin perhatian dari ibu bapa, dia akan melakukan apa sahaja demi survival diri sebagai orang yang disayangi oleh kedua orang tuanya.

Di samping itu, kanak-kanak yang berumur antara dua hingga lima tahun biasanya sangat mementingkan diri (egocentric), jadi mereka akan hanya memfokus pada diri sendiri dan tidak dapat memahami perasaan orang lain dan belum pandai untuk berkongsi.

Oleh itu, kecemburuan itu mungkin akan menegangkan urat kita dan mungkin juga memeningkan kepala kita, tetapi sabar dulu, cuba tips-tips di bawah, mudah-mudahan  ia akan membantu kita mengatasi anak yang baru menjadi kakak atau abang itu. Selamat mencuba dan moga berjaya!

Sepanjang kehamilan

Bawa anak ke hospital semasa temujanji dengan doctor, beri peluang kepada mereka untuk melihat adik baru mereka yang ada di dalam rahim anda. Ibu boleh juga bercerita tentang adik yang bakal hadir itu dengan menunjukkan gambar ultrasaound scan yang boleh di dapati dari klinik atau hospital. Jika bayi sudah mula menendang-nendang, letakkan tangannya di perut anda supaya dia merasakan kewujudan adiknya itu. Biarkan dia bermain-main seketika.

Lawatan pertama

Ketika si kakak atau abang melawat anda dan bayi untuk kali pertama di hospital, tunjukkan bayi kepadanya. Katakan : “Ini adik kakak/abang.” Berbanding “Ini bayi baru kita.” Berikan peluang kepadanya sama ada ingin menyentuh atau meriba bayi (dengan sokongan anda). Jika dia hanya melihat dan terus bermain, jangan memaksa, berilah dia masa untuk menerima kehadiran orang baru di dalam hidupnya itu.

Tunjukkan cara yang betul untuk melayani si kecil

Kadang-kadang ada dikalangan anak-anak terlampau cemburu kepada adiknya sehingga sanggup memukul, menggigit atau menyakiti adiknya. Jika ini berlaku, jangan sesekali ibu atau bapa memukul mereka kerana jika anda memukul, ia akan meningkatkan lagi rasa dendam mereka kepada si kecil.

Jauhkan kakak/abang dari adiknya dan terangkan kepadanya bahawa perbuatan tersebut salah,     kemudian
ibubapa perlu menunjukkan cara yang betul melayani bayi seperti ajar anak mencium, membelai rambut bayi, mengusap-usap pipi bayi atau sebagainya. 

Setiap kali kita dapati mereka ingin mengasari bayi, tarik tangannya dan ciumlah pipinya, bisikkan kata-kata sayang kepadanya. Kemudia katakan kepada si kakak atau abang : "Cuba cium adik macam ibu cium kakak/abang... Mmmuuaah.. Sayang adik!” Ulangi ayat-ayat sebegini sehingga dia terbiasa dengannya dan tahu cara yang sepatutnya dilakukan kepada si kecil.

Selain daripada mencium, lakukan juga aksi-aksi lain seperti memeluk, mengusap tangan atau kaki bayi, membelai pipi dan rambut dan mungkin boleh meletakkan bayi di atas riba mereka (dengan sokongan ibubapa). 


Membantu

Beri peluang si kakak atau abang untuk membantu anda untuk mengurus bayi supaya dia dapat merasakan bahawa dia adalah sebahagian daripada proses tersebut.

Biarkan dia menggosok-gosok bayi ketika mandi, melekatkan lampin pakai buang, mencari permainan untuk bayi atau apa sahaja yang sesuai. Ia sangat membantu untuk si kakak atau abang merasakan kebersamaan dengan adik baru mereka.

Ketika menyusukan bayi

Waktu menyusukan bayi mungkin menyebabkan tahap cemburu meningkat di kalangan anak yang lebih besar kerana mereka melihat bayi dipangku dan dipeluk oleh ibu. 

Jadi, ajaklah si kakak atau abang duduk berhampiran dengan anda, biarkan dia mengusap-usap kaki bayi dan bacakanlah buku kepada mereka. Jika sukar untuk membaca buku, tonton bersama rancangan televisyen yang sesuai dan berbual berkaitan rancangan tersebut. Usaha ini akan menyebabkan anak yang lebih besar tidak merasa dipinggirkan oleh ibu mereka.

Mengimbangkan perhatian

Pastikan perhatian anda tidak hanya tertumpah kepada bayi semata-mata.  Adalah sangat baik andai anda dapat melayani si kakak atau abang sementara bayi diserahkan kepada suami, ibu bapa anda atau orang lain yang berada di sekeliling anda.

Mungkin anda boleh menyuapkan makanan kepada mereka, membacakan buku atau melakukan aktiviti yang sesuai dengan keadaan anda. Perbuatan anda akan menyebabkan anak-anak merasakan mereka tetap disayangi walaupun adik kecil mereka hadir dalam hidup mereka.

Perkenalkan rakan sepermainan yang lain

Sebelum kelahiran lagi, biasakan anak untuk bermain dengan orang lain seperti nenek, datuk , ibu saudara atau bapa saudara mereka. Jadi, setelah melahirkan, sekiranya anda belum sembuh atau sibuk menguruskan bayi, si kakak atau abang boleh mencari orang-orang di sekeliling untuk bermain bersamanya.

Memegang dan menyanyi

Beri peluang kepada si kakak atau abang untuk meriba atau memegang adiknya. Minta dia nyanyikan lagu-lagu kanak-kanak kepada bayi. Dia pasti sangat gembira apabila bayi tersenyum atau bertindak balas dengan nyanyiannya. 

Luangkan masa bersama

Perhatian ibu kepada si kecil sedikit sebanyak akan mengganggu perasaan si kakak atau abang, jadi ketika bayi sudah tidur, peluklah anak yang lebih besar sekerap yang mungkin, anda boleh juga mengajak mereka untuk baring bersama di atas katil anda dan bercerita tentang berbagai perkara dengannya.

Perbuatan ini sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan gusar dan bimbang akan kehilangan perhatian dari anda.

***

Di dalam menangani kecemburuan di kalangan kakak atau abang baru ini, jangan sesekali memarahi mereka kerana tindakan ini akan lebih memburukkan keadaan. Cuba tunjukkan bahawa kasih sayang anda tidak pernah hilang kepadanya. 

Ketika berhadapan dengan keadaan sebegini, peranan seorang bapa sangat penting untuk mengambil hati mereka. Si bapa mungkin boleh bermain bersama mereka, berbual-bual dengan mereka tentang perasaan mereka, makan aiskrim bersama atau buatlah apa sahaja untuk menunjukkan kecintaan ibubapa kepadanya.  Perbuatan seperti itu mungkin nampak remeh tetapi ia sangat memberi kesan kepada anak-anak.

Kecemburuan ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin, jika tidak, dibimbangi perasaan cemburu yang tidak terkawal mungkin menolak mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada si adik kecil.

21 January 2012

Bukan milik kita

Esakan humaira’ semakin kuat, saya tidak pasti kenapa dia menangis, di dalam fikiran saya mungkin dia rasa sedih selepas dibebel  oleh saya kerana banyak sangat bermain ketika sesi menghafal surah Al-Lail hari ini, sudah hampir dua jam berlalu tetapi dia masih belum menghabiskan tugasnya yang biasanya dilaksanakan hanya dalam masa empat puluh lima minit hingga ke sejam. Hari ini sudah luar biasa kerana sudah dua jam lebih masih juga tak selesai-selesai. Tidak fokus langsung!

Akhirnya, saya terpaksa menghafal bersama ayat sebelas hingga ayat lima belas surah Al-Lail itu, jika tidak, tak tahu bila akan habis. Kemudian, saya meninggalkan dia dan bergerak ke ruang tamu untuk membaca buku dan saya tinggalkan dia untuk mengulang lima kali lagi ayat satu hingga lima belas.

Saya memanggil Humaira ke ruang depan yang lebih sejuk dek kerana penghawa dingin yang terpasang dari tadi. Humaira’ datang dengan mata yang merah, tangisannya semakin kuat tatkala memandang wajah saya.

“Eh! Kenapa Humaira menangis ni? Dah siap hafal?” Saya bertanya sambil mengerutkan dahi, selama ini belum pernah dia menangis kerana saya minta dia menghafal dengan lebih serius. Saya  memangilnya untuk duduk bersama saya.

Tanpa lengah dia terus menekap wajahnya ke dada saya, tangisan makin kuat, air mata makin laju bagaikan empangan pecah. Saya terpinga-pinga, di dalam fikiran mencari-cari apakah punca kesedihannya itu.

“Kenapa humaira’ menangis ni sayang?” saya bertanya lagi, meminta kepastian, namun hanya esakan pilu yang kedengaran. Saya biarkan seketika.

“Cuba Humaira’ beritahu ibu, apa sebabnya Humaira menangis ni?” Saya bertanya lagi bila saya melihat tangisannya tidak ada tanda untuk reda segera. Jari jemari saya terus mengelus rambutnya yang semakin panjang itu.

“Humaira nak ikut ayah balik Malaysia.” Jawab dia dalam sendu yang amat, kemudian menyambung kembali tangisan. Pilu.

“Mmm Humaira nak ikut ayah balik Malaysia?” Saya bertanya sekadar ingin menyatakan keprihatinan saya. Dia mengangguk, wajahnya masih terperosok ke dada saya.

“Humaira’ rindukan atuk dan nenek ya?” Saya bertanya lagi.

“Tapi ayah pergi Kedah juga kan? Humaira’ rindu kat Ome, Ayong, Alia, Anis dan syaurah…” Tiba-tiba Humaira bersuara  sebelum sempat dia menjawab soalan saya tadi, barulah saya tahu bahawa dia menangis kerana kerinduan yang amat kepada rakan-rakan sepermainan di Tadika Nursyifa, jiran-jiran teman bermain pondok-pondok dan syaurah si kecil sepupunya yang tinggal bersama kami dulu.

“Ooo…  Humaira nak jumpa dengan kawan-kawan ya? Mesti Humaira’ rindu sangat kepada mereka semua kan?” Saya cuba menyelami hati kecilnya itu. Memang sejak mula kami sampai di Adelaide, Humaira selalu sahaja menyebut satu persatu sahabat-sahabat karibnya, bahkan selalu juga air matanya gugur lantaran kerinduan itu.

“Mmm mesti seronok kalau kita boleh balik sekali dengan ayah, boleh jumpa kawan-kawan Humaira’, boleh jumpa aki, tok, nenek, atuk, ummi, mama, uncle-uncle dan juga syaurah kan?” Saya cuba memancing perhatian Humaira’ kerana ada sesuatu yang ingin saya sampaikan kepadanya. Dia memandang saya seketika, kemudian mengangguk-angguk kecil. Tangisannya mereda sedikit.

“Tetapi Humaira kan, ayah bukan balik sebab suka-suka tau. Ayah balik sebab atuk tak sihat. Kalau ikutkan hati ayah, dia nak bawa kita semua balik sekali, tapi buat masa sekarang duit kita belum cukup lagi untuk beli tiket, tambahan pula cuti ayah sekejap sahaja, kalau kita balik sekarang mesti Humaira tak sempat nak main puas-puas dengan kawan-kawan.  Insya Allah kalau ada rezeki dan Allah cukupkan duit kita, kita baliklah hari raya nanti…”

“Ibu tahu, Humaira juga sedih sebab ayah tinggalkan kita di sini sedangkan Humaira teringin sangat nak balik Malaysia, tapi Humaira mesti ingat bahawa ayah tu bukan Ayah Humaira sahaja, dan bukan juga suami ibu sahaja, tetapi ayah adalah anak kepada atuk dan nenek juga. Jadi, bila atuk atau nenek tak sihat ayah mestilah balik untuk jaga mereka berdua.” Saya memulakan bicara tarbiyah kepadanya, biar dalam hidupnya jangan hanya fikir tentang diri sendiri dan perasaannya semata-mata. Dia perlu sedar bahawa di dalam hidupnya ada hak orang lain yang perlu ditunaikan. Dan semua yang ada pada dia bukan miliknya semata-mata.

“Humaira nak tahu? Kalau ayah balik ni ikhlas kerana nak jaga atuk yang kena bedah tak lama lagi, ayah akan dapat banyaaaak pahala, dan kalau anak ayah ni sabar, Humaira pun akan dapat banyak pahala tau! Bila dapat banyak pahala, mudah-mudahan Allah berilah kita masuk syurga sama-sama!” Saya terus memberi kata-kata perangsang dengan janji-janji syurga. Moga jinak hatinya untuk melakukan sesuatu atau meredhakan sesuatu dalam hidupnya untuk mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

Wajahnya saya angkat agar saya dapat merenung matanya, esakannya masih ada, saya berikan senyuman kepadanya dan lama kelamaan dia membalas jua senyuman saya itu. Lalu saya hapuskan airmata dari pipi mulusnya itu.

Tiba-tiba terdengar derapan kaki adik Khadijah yang masih mamai berjalan menuju ke arah kami. Saya alih Humaira ke tepi dan mendakap erat mereka berdua dengan air mata yang juga berlinangan.

“Baiklah Humaira’, sekarang dah masuk waktu asar, jom kita solat sama-sama, lepas solat nanti kita doakan moga Allah mudahkan ayah balik Malaysia dan datang sini semula. Kemudian, kita doakan juga moga Allah murahkan rezeki kita untuk balik Malaysia Hari Raya nanti dan Humaira boleh jumpa semua orang yang Humaira’ rindui. Pergi ambil wudhuk  dulu sementara ibu buatkan susu untuk adik ya…”

Wahai anak-anakku, perjalanan hidup ini masih lagi panjang. Belum tahu apa yang bakal merintang dihadapan. Ibu harap apa jua yang melanda kita, biarlah neracanya hanyalah keredhaan dari Tuhan. Walaupun ia perit dan menyiksakan…

15 January 2012

Tips mengajar anak solat

Usaha mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Ibu bapa perlulah sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat menjadi darah daging anak-anak. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak masih kecil bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya. 


Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya berbanding pencapaian-pencapaian lain di dalam hidup anak-anak. Kita mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat, bilakah masanya mereka akan mendoakan kita.


Di sini dikongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, moga bermanfaat!


Berdoa

Sesungguhnya doa itu senjata orang-orang mukmin, maka untuk mendapat anak yang sentiasa melaksanakan solat , jadikanlah doa-doa sebagai  kebiasaan kita. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :

 "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

Bacakan doa ini sentiasa dan biarkan mereka mendengarnya, berdoalah sejak mereka belum lahir sehinggalah mereka sudah dewasa. Moga-moga mereka akan terus istiqamah dengan solat sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Membiasakan anak-anak dengan solat

Umur 0-2 tahun

  • Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil 

  • Katakan kepadanya : “Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar”




umur 2-4 tahun

  • Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : “Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!” Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita. 

  • Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya “Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat.” Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat

  • Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : “Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!”

  • Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut. 

  • Jangan sesekali berkata kepada anak : “Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat.” Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.



Mengajar anak solat

Umur 5-6 tahun

·         Ajarkan mereka bacaan dan pergerakan solat yang betul. Jika ibu bapa tidak mampu, hantarlah mereka ke Tadika/tempat pengajian yang mengajar anak-anak solat. Solat secara praktikal di sekolah sangat membantu anak-anak belajar solat dengan lebih bersemangat dan gembira.





Praktikal solat yang dibuat di Tadika Nursyifa, sangat membantu anak-anak belajar solat. Yang paling melucukan, anak-anak ini akan berebut untuk menjadi imam, bukti keyakinan mereka untuk menjadi ketua!

·         Sesekali ajaklah mereka ke masjid  atau surau untuk solat berjemaah, namun ingatkan mereka selalu untuk menjaga adab-adab di rumah Allah.

·         Terangkan kepada mereka tentang kefardhuan dan kepentingan  solat bagi setiap orang Islam supaya dia solat bukan hanya ikut-ikutan tetapi kerana kefahaman yang betul.

·         Ceritakan juga kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang solat.

·         Boleh galakkan mereka solat dengan menonton video-video yang bersesuaian.

·         Sediakan carta solat, dan berikan mereka sticker setiap kali mereka berjaya melaksanakan solat. Sentiasa galakkan mereka untuk solat pada setiap waktu.




Contoh carta solat yang boleh dibuat untuk anak-anak, stiker-stiker comel diberikan setiap kali anak-anak berjaya solat.


Kad ucapan tahniah yang pernah saya berikan kepada anak kerana bangun solat subuh di pagi yang dingin.

·         Sekali sekala, kejutlah mereka untuk solat subuh, walaupun mungkin mereka akan sujud dan terus tertidur, tidak mengapa, bukankah ini hanya masa untuk mendidik mereka. 

·         Jika mereka tidak mampu solat subuh pada waktunya, suruhlah mereka solat sebaik sahaja bangun tidur, tidak kisahlah jam berapa, yang penting solat.

·         Bagi ibubapa yang bekerja, biasakan bertanya anak : “Adik dah solat?” selain dari pertanyaan kita berkenaan dengan makan, kerja sekolah dan sebagainya sebaik sahaja kita pulang ke rumah. Biar mereka biasa dengan soalan itu dan mereka dapat merasakan betapa pentingnya solat dalam diari kehidupan seorang muslim.

·         Jika ibubapa menelefon anak, selain bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.

Bersama memupuk istiqamah

Umur 7-10 tahun
  • Sebaik sahaja anak menginjak usia tujuh tahun, katakan kepadanya : "Bermula tahun ini, adik sudah tujuh tahun, jadi adik mestilah solat lima kali sehari. Tidak boleh tinggalkan solat lagi, tujuh tahun hingga sembilan tahun merupakan tahun latihan solat untuk adik. Jika adik meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun nanti, ayah dah boleh rotan adik. Jadi adik kena berlatih bersungguh-sungguh ok?"

  • Pastikan anak-anak solat 5 waktu sehari semalam walau apa jua masalah yang melanda. Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat.

  • Nyatakan kepada mereka tentang realiti masyarakat sekarang yang meringan-ringankan solat, tetapi kita tak mahu jadi seperti mereka. Ceritakan tentang kisah-kisah para sahabat dan orang-orang yang hebat kerana menjaga solat mereka.

  • Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat

  • Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!

  • Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakana kepadanya anda sakit perut. Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat.. Haru dibuatnya!

  • Mantapkan solat anak-anak dengan mengajar hukum-hukum berkaitan dengan solat seperti rukun-rukun solat, syarat sah solat dan sebagainya, termasuk juga hukum bersuci
Solat tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama. Sama-sama kita mendidik anak-anak dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.

Wallauhua'lam




06 January 2012

Engkau pakaian terindah buatku





Suamiku,
Engkau pakaian yang terindah buatku
Melindungi aibku 
Melindungi maruahku


Tatkala aku kedinginan 
Engkau hangatkanku dengan ayat-ayat cinta dari Tuhan
Tatkala aku kehangatan
Engkau sejukkan daku dengan siraman keimanan
Tatkala aku keresahan
Engkau menyelimutiku dengan ketenangan tutur hikmah berbaur ketaqwaan


Engkau pakaian yang terindah buatku
Mendorong aku untuk menjadi  indah dengan akhlak Rasulullah
Mendorongku untuk menjadi indah dengan sifat-sifat mahmudah


Kadangkala terbuka jua keburukan dan kejelekan dalam tingkah laku dan pertuturanku
Engkau tidak pernah jemu untuk terus menampal koyak-koyak mazmumah itu


Suamiku, 
Engkau pakaian kecintaanku demi menggapai redha dari Rabbul Izzati
terasa dihargai bila engkau menyaluti jiwa ku dengan kasih insani
Menyempurnakan fitrah ciptaan ilahi


Suamiku,
Engkau pakaian terindah buatku
Aku juga akan cuba untuk menjadi pakaian tercantik buatmu
Biarpun hujan akan membasahi kita
Biarpun terik mentari akan memeritkan kita
Moga kita terus setia 
Moga kita akan terus bersama
Di bawah lembayung kasih sayang dariNya


Selamat Hari Lahir yang ke 33
Dan selamat hari lahir yang ke 8 yang kita sambut bersama walaupun diriku selalu lupa...

05 January 2012

Ajarlah anakmu solat


Ceria di dalam telekung solatnya!


Ketika berusia tiga tahun setengah...


Sepohon kayu daunnya rimbun
Lebat buahnya serta bunganya
 walaupun hidup seribu tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya

Pagi itu, saya menggunakan waktu cuti persekolahan musim panas  bersama anak-anak dengan mendengar nasyid lama yang penuh nostalgia ini. Memandangkan anak sulung sudah menjejak umur tujuh tahun, maka kami suami isteri perlu memastikan tahun 2012 ini merupakan tahun transformsi solatnya.

Sebelum ini dia tidaklah begitu konsisten, solat subuh yang selalu kalah dengan kantuknya, isya yang juga selalu ketinggalan lantaran keletihan bermain seharian, asar yang juga culas untuk dilaksanakan kerana sibuk bermain, namun Alhamdulillah zohor dan maghrib yang banyak tertunai.

Lantaran perintah Rasulullah berbunyi:

“Suruhlah anak-anakmu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun.”

Saya merasakan tahun ini kami perlu lebih serius di dalam memastikan saranan Rasulullah ini terlaksana.

Sehari sebelum tahun baru 2012, saya telah berpesan kepadanya: “Esok Humaira sudah masuk tujuh tahun, jadi mulai esok Humaira mestilah solat lima waktu, subuh mesti bangun dan sebelum tidur mestilah solat isya terlebih dahulu. Begitu juga dengan solat-solat yang lain, tidak boleh ditinggalkan lagi ya. Pendek kata, humaira mestilah menunaikan solat lima waktu sehari semalam.”

“Kenapa kalau tujuh tahun mesti solat lima waktu, ibu?” Dia bertanya sambil membulatkan matanya, mungkin terasa berat untuk melaksanakannya

“Sebab Rasulullah perintahkan supaya  ibu dan ayah menyuruh anak-anak solat lima waktu sejak berumur tujuh tahun lagi…” Saya menjelaskan asbab arahan saya tadi, belum sempat saya menghabiskan penjelasan suami pula menambah : “Dan jika semasa umur sepuluh tahun Humaira meninggalkan solat, ayah akan rotan Humaira tau.” Tekan suami saya lagi.

Melopong mulut anak kecil itu, mungkin kerana kami jarang merotannya, maka apabila diancam dengan rotan kerana tidak solat, mungkin dia merasakan kami tidak bermain-main.

“Jadi, Humaira mestilah berlatih daripada sekarang!” Saya bangun dari tempat duduk menuju ke sinki untuk membasuh tangan.

Bait-bait nasihat sebegitu selalu kami ucapkan sejak dia masih kecil lagi, walaupun mungkin kata-kata yang berbeza, tetapi maksud dan matlamat tetap sama iaitu supaya dia istiqamah dengan solatnya.

Bukan mudah menancapkan kefarduan saolat dalam diri anak kecil, berbagai teknik terpaksa kami laksanakan, beri sticker, carta solat, my solehah book, peluk dan puji dan berbagai-bagai cara lagi.

Alhamdulillah, bermula 1 januari 2012, anak sulung kami itu telah berjaya melaksanakan solat lima waktu sehari semalam dalam usia yang yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun begitu, perjuangan ini belum selesai, bahkan bagi kami ia barulah permulaan kerana kami perlu terus berusaha dan berdoa agar solat yang menjadi tiang agama ini sebati di dalam dirinya sepanjang kehidupannya di dunia ini.


Menurut kajian yang telah dibuat oleh seorang tokoh motivasi, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah,sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari semalam.
Peratusan ini diperolehi melalui tinjauan beliau menerusi program-progran ceramah dan motivasi yang telah dijalankan seluruh Negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga.

Statistik ini amatlah menyedihkan kita, dan tidak dapat dinafikan bahawa masalah solat ini merupakan  salah satu daripada punca runtuhnya akhlak anak muda pada zaman ini. Bukankah solat itu tiang agama, jika tidak ditunaikan maka akan robohlah juga agama di dalam diri individu muslim itu. Apabila agama sudah longgar, tidak hairanlah jika anak-anak mudah terjebak di dalam gejala-gejala negatif yang tidak bermaruah dan merosakkan.

Menyedari tentang perkara ini, saya merasakan bahawa setiap ibu bapa muslim mestilah menjadikan saranan Rasulullah supaya mengajar anak-anak solat sejak berusia tujuh tahun  satu perkara yang perlu diberi perhatian khusus kerana solat merupakan benteng umat Islam dari perkara mungkar.

Janganlah sekadar mengimpikan anak-anak yang cemerlang dari sudut akademik, tetapi persoalan solat dikesampingkan begitu sahaja. Ingatlah kepada perintah Allah di dalam surah Thaha ayat 132 :

“dan hendaklah engkau menyuruh keluargamu mengerjakan sembahyang, dan bersabarlah terhadap perintah itu…”

Penyataan sabar di dalam ayat ini  menggambarkan bahawa proses mendarah dagingkan solat dalam kehidupan anak-anak merupakan satu proses yang panjang dan sukar. Perlu kepada usaha yang bersungguh-sungguh dan keyakinan yang benar-benar mantap.

Proses ini juga perlulah digembeleng pertamanya oleh ibu bapa itu sendiri kerana sesungguhnya  setiap anak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah dan suci, kedua-dua ibu bapalah yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.

Bahkan pendidikan berkenaan solat ini mestilah diambil berat oleh ibu bapa kerana ia merupakan amalan pertama yang dihitung oleh Allah pada hari kiamat nanti. Sekiranya elok solat seseorang itu maka eloklah segala amalannya. Sekiranya rosak solatnya maka rosaklah segala amalannya.

Penekanan tentang ibadah fardhu ini perlulah dibuat sejak anak-anak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Memandangkan kefardhuan solat ini merupakan satu kefardhuan yang berat, maka kita perlulah berusaha agar urusan solat ini mengalir bersama aliran darah mereka, bergerak selari dengan helaan nafas mereka dan mendarah daging di dalam tubuh anak-anak kita.

Letakkanlah solat sebagai ukuran kejayaan anak-anak selain daripada pencapaian akademik dan pencapaian duaniawi yang lain. Jadikanlah solat sebagai satu urusan yang tiada kompromi dalam diri kita dan anak-anak kerana solat itulah yang akan menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”

Oleh itu, sama-samalah kita memandang solat sebagai satu perkara penting di dalam melakar kecemerlangan anak-anak, dan marilah sama-sama kita berdoa dengan doa Nabi Ibrahim ini:

“Ya Tuhanku, jadikanlahlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat, ya tuhan kami, perkenankanlah doaku” (surah Ibrahim 14:40)

Amin, amin ya Rabbal alamin…

Insya Allah, akan menyusul tidak lama lagi, tips-tips mengajar anak-anak solat semenjak kecil supaya anak-anak mampu untuk mula istiqamah dengan solat lima waktu di usia 7 tahun. Ikutilah Al-Quran dan sunnah Rasulullah, Insya Allah hidup kita akan terpimpin hingga ke akhirnya…


03 January 2012

Asingkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa? Kenapa?


Walaupun anak-anak ini kelihatan begitu lena, namun kita tidak dapat menjamin bahawa mereka tidak akan tersedar sehingga ke pagi. Maka berwaspadalah sentiasa!
gambar dari medjournalwatch.blogspot.com


Pendidikan seks, apa yang anda fikirkan apabila disebut perkataan ini? Ramai yang rasa ia adalah satu perkara yang lucah dan memalukan. Namun, ketika saya ingin menulis tentang mengasingkan anak tidur dari ibu bapa, saya menyelak buku Pendidikan Anak-Anak Islam tulisan Dr Nasih Ulwan. Saya dapati, Dr Nasih Ulwan telah menerangkan tentang perkara terbut di dalam satu bab yang panjang iaitu bab pendidikan seks. 

Setelah diteliti, ternyata bahawa pendidikan seks di dalam keluarga islam sangat-sangat dipentingkan untuk menjaga anak-anak dari terdedah kepada gejala sosial yang amat membimbangkan sebagaimana yang berlaku di dalam masyarakat pada masa kini.

Melihat kepada gejala sosial yang berlaku kini seperti penzinaan,  pembuangan anak,  seks di luar tabii dan banyak lagi jenayah yang berlaku di kalangan remaja Islam, saya merasakan bahawa pendidikan seks di dalam Islam yang banyak berkisar kepada penjagaan aurat dan adab-adab sesama ahli keluarga dan individu lain perlulah ditekankan oleh ibu bapa sejak anak-anak masih kecil

Memetik sebuah ayat alquran dari surah An-Nur ayat 58

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) yaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar) mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya. (Itulah) tiga 'aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”


Daripada ayat di atas, Allah telah membimbing tentang asas pendidikan di dalam rumah.  Maka sejak kecil lagi, anak-anak mestilah dibiasakan untuk meminta izin, pada masa-masa dimana seorang lelaki dan seorang perempuan sedang duduk bersama-sama, supaya anak-anak kecil ini tidak terserempak dengan sesuatu keadaan yang dia tidak sepatut melihatnya.

Adab ini mestilah diajar kepada anak-anak sebelum umur baligh mereka dan mereka mestilah mememinta izin dalam tiga keadaan iaitu

I.        Di waktu sebelum sembahyang subuh kerana pada ketika itu manusia sedang tidur di atas tempat peraduan mereka
II.        Di waktu tengah hari, kerana manusia mungkin sedang menanggalkan pakaiannya ketika itu, dan sedang duduk bersama-sama isterinya
III.        Di waktu sesudah sembahyang isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur dan waktu berehat

Sekiranya anak-anak sudah baligh dan cukup akal, maka wajiblah kepada para ibu bapa dan  pendidik untuk mengajar mereka meminta izin pada ketiga-tiga waktu tersebut sesuai dengan firman Allah yang bermaksud

Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Anak-anak kecil sebelum baligh lagi sudah diarahkan untuk meminta izin untuk memasuki bilik tidur, jadi bagi ibu bapa, peraturan ini perlulah dilaksanakan di dalam rumahtangga. Maka, pengasingan bilik tidur antara anak-anak dan ibu bapa perlulah dibuat sejak anak-anak kecil. Jika masih tidur sebilik, bagaimanakah kita dapat mengajar anak-anak tentang adab meminta izin ini?

Melalui pengamatan saya, setelah berkecimpung di dalam arena pendidikan anak-anak selama hampir sepuluh tahun, saya dapati ramai di kalangan ibu bapa yang melihat proses mengasingkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa sebagai satu perkara yang remeh.

Saya mendapati ramai ibu bapa yang masih tidur sebilik dengan anak-anak walaupun anak-anak telah menjangkau usia lima dan enam tahun, bahkan saya juga pernah bertemu dengan anak yang masih tidur di bilik ibu bapa walaupun sudah berumur tujuh atau lapan tahun.

Saya ingin menarik perhatian ibu bapa diluar sana tentang satu peristiwa yang saya lalui sendiri.

Pada suatu hari, seorang guru datang menemui saya.

“Kak syifa, ada seorang pelajar lelaki lima tahun dari kelas saya selalu berkelakuan yang tidak sopan terhadap rakan-rakan perempuannya. Saya dah cuba untuk menasihatinya, tetapi ia tidak memberi kesan. Dia tetap melakukan perkara yang sama berulang kali, dan ia sangat membimbangkan saya.” Cikgu Ida memulakan cerita dengan wajah penuh kebimbangan. Saya mendengar dengan teliti.

“Kelakuan yang tidak sopan? Dia buat macammana?” Hati saya sudah berdetap kencang, namun saya cuba mengawal perasaan agar kebimbangan saya itu tidak menambah kerisauan yang bersarang di dalam diri Cikgu Ida. Cikgu Ida merupakan seorang guru yang sangat prihatin, apa jua masalah yang berlaku di tadika, pasti akan dibawa berbincang untuk menyelesaikannya.

“Dia buat benda-benda yang tak senonoh la kak, saya nak cerita pun rasa malu.” Cikgu Ida cuba berbahasa dengan saya, wajahnya tertunduk mungkin tidak sanggup hendak menceritakan perihal anak muridnya itu.

“Dia buat macamana Ida? Akak tak boleh nak tangkap apa yang Ida cakap ni. Demi kebaikan anak-anak di tadika kita ni, cuba Ida ceritakan apa yang berlaku sebenarnya.” Saya memujuk Cikgu Ida untuk bercerita dengan lebih jelas. Perkataan ‘tidak senonoh itu terlalu umum untuk saya terjemahkan.

“Mmm… Mmm… Dia suka cium dan pegang-pegang budak perempuan la kak…  Pelajar-pelajar perempuan selalu mengadu dengan cikgu-cikgu, saya bimbang jika perkara ini berlarutan ibu bapa akan membuat aduan, dan saya bimbang jika pelajar perempuan yang diganggu itu tidak mahu lagi ke sekolah.”

Saya mengangguk-angguk sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada aduan beliau.
“Baru-baru ini, dia bermain dengan kawan-kawan di bawah meja, kemudian tidak semena-mena dia mencium pipi seorang budak perempuan ni, pelajar-pelajar lain yang melihat kejadian ini menjerit-jerit memberitahu cikgu-cikgu manakala pelajar perempuan tadi sudah menangis, mungkin terasa malu dan tidak selesa dengan kelakuan rakannya itu tadi.”

“Bila cikgu-cikgu bertanya kenapa dia buat begitu, dia hanya terkulat-kulat memandang cikgu dan hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu bercakap, cikgu –cikgu sudah menasihatinya dan berpesan kepada pelajar-pelajar lain agar tidak melakukan perkara yang sama. Namun, ia berulang lagi tengahhari tadi. Nampaknya kita perlu melakukan sesuatu untuk membendung perkara sebegini.” Panjang lebar Cikgu Ida menjelaskan kepada saya. Saya menelan air liur yang terasa pahit.

“Oh begiitu, ada apa-apa lagi kelakuan yang tidak menyenangkan?” Saya bertanya lagi

“Mmm… Dia juga selalu menyebut-nyebut perkatan “cium mulut”.. Ish akak, saya nak sebut pun malu rasanya.” Merona warna kemerahan di wajah Cikgu Ida, malu. Tersirap juga darah saya dibuatnya. Tidak menyangka anak sekecil lima tahun sudah tahu perkataan-perkataan sebegitu. Saya beristighfar berulang kali.

“Berat juga masalah ni, tapi Insya Allah masih boleh diubati dan diselesaikan. Insya Allah, sama-sama kita hadapi masalah ini dengan berhikmah dan bijaksana.”  Saya menutup perbincangan dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah ini secara serius.

Selepas perbincangan saya dengan Cikgu Ida hari itu, saya banyak meluangkan masa untuk melihat sendiri apa yang dilakukan oleh pelajar tersebut tanpa dia menyedari dia sedang diperhati. 

Setelah beberapa waktu menyiasat perkara tersebut, terkejut saya apabila saya bertanya : “Kamu tengok siapa buat macam ni? Kamu tengok di televisyen?”

Anak kecil itu menggeleng lalu berkata: “Ibu dan ayah.” Terkedu saya sebentar lalu  beristighfar panjang.

“Kamu tidur di bilik kamu atau di bilik ibu ayah kamu?” Saya bertanya lagi

“Bilik ibu ayah.” Pendek sahaja jawapannya

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya tiada cara lain selain memanggil ibu bapa berkenaan untuk berbincang, dan ternyata ibu bapa itu sendiri terkejut kerana mereka membayangkan bahawa anak-anak sudah tidur sewaktu mereka ‘bersama’.

Kisah-kisah sebegini sebenarnya banyak saya dengar dari rakan taulan pengusaha tadika yang lain. Bahkan satu kisah yang lebih teruk saya dengar, seorang pelajar lelaki telah duduk di atas perut seorang pelajar perempuan ketika pelajar itu tidur kerana melihat bapanya berbuat begitu terhadap ibunya. Na’uzubillah.

Perkara sebeginilah yang perlu kita elakkan, jangan biar sudah berlaku sedemikian, baru lah kita ingin mengambil tindakan. Pada saya, bukan mudah untuk membaiki keadaan, kerana anak itu berkelakuan sedemikian diatas faktor pernah melihatnya sendiri. Malah, ia dilakukan oleh orang yang paling mereka percayai iaitu ibu bapa mereka sendiri! Bagi mereka apa yang dibuat oleh ibu bapa bukanlah perkara yang salah.

Yang lebih membimbangkan, anak kita bukanlah seperti komputer yang boleh kita hapuskan sahaja maklumat yang tidak kita ingini lagi dengan menekan butang ‘delete’. Sekali ia tersimpan di dalam memori mereka, apakah caranya untuk memadamkannya?

Oleh itu wahai ibu bapa yang budiman, asingkanlah anak-anak dari bilik tidur kalian seawal mungkin, iaitu apabila anak sudah pandai meniru kata-kata dan tingkah laku kita. Walaupun ia proses yang agak sukar, namun kita mestilah serius untuk menjayakannya.

Jangan biarkan nasi menjadi bubur,  kerana kita tidak tahu mungkin anak kita tersedar dari tidur dan terlihat perkara yang tidak sepatutnya. Berjaga-jagalah dari awal lagi.

Oleh itu, bagi kita umat Islam yang meyakini bahawa Al-Quran adalah manual kehidupan yang paling lengkap dan terbaik, kita perlulah meyakini bahawa Islam amat mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak dari sejak mereka mula mengenal sifat malu, dan akhlak pergaulan yang baik serta budiperketi Islam yang mulia. 

Sehingga, apabila anak mencapai usia remaja, dia akan menjadi satu contoh teladan yang mulia dalam kelakuan dan akhlaknya.

Betapa kerap berlaku sesuatu yang memalukan, apabila si anak masuk ke dalam bilik tidur, dan terserempak melihat kedua ibu bapanya sedang asyik dalam perhubungan seks. Kemudian si anak itu keluar dari situ seraya bercerita sesama teman-temannya yang kecil. Dan berapa banyak pula yang mengkhayalkan lakonan itu di dalam lintasan fikirannya ketika gambaran itu berulang di dalam otaknya

Dan betapa banyak pula anak yang menyeleweng disebabkan dari kecil telah merasa keinginan kepada seks dan telah melihat bagaimana caranya berhubungan seks serta merasa kelazatannya.

Lantaran itu, maka wajiblah atas ibu bapa dan para pendidik teguh dengan adab Al-Quran Al-Karim dalam hal mengajar anak meminta izin sejak dia mula berakal. Mudah-mudahan anak-anak akan mempunyai akhlak yang mulia, mempunyai peribadi Islam yang berbeza dengan yang lain serta menjadi penyejuk mata kita di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam