21 January 2012

Bukan milik kita

Esakan humaira’ semakin kuat, saya tidak pasti kenapa dia menangis, di dalam fikiran saya mungkin dia rasa sedih selepas dibebel  oleh saya kerana banyak sangat bermain ketika sesi menghafal surah Al-Lail hari ini, sudah hampir dua jam berlalu tetapi dia masih belum menghabiskan tugasnya yang biasanya dilaksanakan hanya dalam masa empat puluh lima minit hingga ke sejam. Hari ini sudah luar biasa kerana sudah dua jam lebih masih juga tak selesai-selesai. Tidak fokus langsung!

Akhirnya, saya terpaksa menghafal bersama ayat sebelas hingga ayat lima belas surah Al-Lail itu, jika tidak, tak tahu bila akan habis. Kemudian, saya meninggalkan dia dan bergerak ke ruang tamu untuk membaca buku dan saya tinggalkan dia untuk mengulang lima kali lagi ayat satu hingga lima belas.

Saya memanggil Humaira ke ruang depan yang lebih sejuk dek kerana penghawa dingin yang terpasang dari tadi. Humaira’ datang dengan mata yang merah, tangisannya semakin kuat tatkala memandang wajah saya.

“Eh! Kenapa Humaira menangis ni? Dah siap hafal?” Saya bertanya sambil mengerutkan dahi, selama ini belum pernah dia menangis kerana saya minta dia menghafal dengan lebih serius. Saya  memangilnya untuk duduk bersama saya.

Tanpa lengah dia terus menekap wajahnya ke dada saya, tangisan makin kuat, air mata makin laju bagaikan empangan pecah. Saya terpinga-pinga, di dalam fikiran mencari-cari apakah punca kesedihannya itu.

“Kenapa humaira’ menangis ni sayang?” saya bertanya lagi, meminta kepastian, namun hanya esakan pilu yang kedengaran. Saya biarkan seketika.

“Cuba Humaira’ beritahu ibu, apa sebabnya Humaira menangis ni?” Saya bertanya lagi bila saya melihat tangisannya tidak ada tanda untuk reda segera. Jari jemari saya terus mengelus rambutnya yang semakin panjang itu.

“Humaira nak ikut ayah balik Malaysia.” Jawab dia dalam sendu yang amat, kemudian menyambung kembali tangisan. Pilu.

“Mmm Humaira nak ikut ayah balik Malaysia?” Saya bertanya sekadar ingin menyatakan keprihatinan saya. Dia mengangguk, wajahnya masih terperosok ke dada saya.

“Humaira’ rindukan atuk dan nenek ya?” Saya bertanya lagi.

“Tapi ayah pergi Kedah juga kan? Humaira’ rindu kat Ome, Ayong, Alia, Anis dan syaurah…” Tiba-tiba Humaira bersuara  sebelum sempat dia menjawab soalan saya tadi, barulah saya tahu bahawa dia menangis kerana kerinduan yang amat kepada rakan-rakan sepermainan di Tadika Nursyifa, jiran-jiran teman bermain pondok-pondok dan syaurah si kecil sepupunya yang tinggal bersama kami dulu.

“Ooo…  Humaira nak jumpa dengan kawan-kawan ya? Mesti Humaira’ rindu sangat kepada mereka semua kan?” Saya cuba menyelami hati kecilnya itu. Memang sejak mula kami sampai di Adelaide, Humaira selalu sahaja menyebut satu persatu sahabat-sahabat karibnya, bahkan selalu juga air matanya gugur lantaran kerinduan itu.

“Mmm mesti seronok kalau kita boleh balik sekali dengan ayah, boleh jumpa kawan-kawan Humaira’, boleh jumpa aki, tok, nenek, atuk, ummi, mama, uncle-uncle dan juga syaurah kan?” Saya cuba memancing perhatian Humaira’ kerana ada sesuatu yang ingin saya sampaikan kepadanya. Dia memandang saya seketika, kemudian mengangguk-angguk kecil. Tangisannya mereda sedikit.

“Tetapi Humaira kan, ayah bukan balik sebab suka-suka tau. Ayah balik sebab atuk tak sihat. Kalau ikutkan hati ayah, dia nak bawa kita semua balik sekali, tapi buat masa sekarang duit kita belum cukup lagi untuk beli tiket, tambahan pula cuti ayah sekejap sahaja, kalau kita balik sekarang mesti Humaira tak sempat nak main puas-puas dengan kawan-kawan.  Insya Allah kalau ada rezeki dan Allah cukupkan duit kita, kita baliklah hari raya nanti…”

“Ibu tahu, Humaira juga sedih sebab ayah tinggalkan kita di sini sedangkan Humaira teringin sangat nak balik Malaysia, tapi Humaira mesti ingat bahawa ayah tu bukan Ayah Humaira sahaja, dan bukan juga suami ibu sahaja, tetapi ayah adalah anak kepada atuk dan nenek juga. Jadi, bila atuk atau nenek tak sihat ayah mestilah balik untuk jaga mereka berdua.” Saya memulakan bicara tarbiyah kepadanya, biar dalam hidupnya jangan hanya fikir tentang diri sendiri dan perasaannya semata-mata. Dia perlu sedar bahawa di dalam hidupnya ada hak orang lain yang perlu ditunaikan. Dan semua yang ada pada dia bukan miliknya semata-mata.

“Humaira nak tahu? Kalau ayah balik ni ikhlas kerana nak jaga atuk yang kena bedah tak lama lagi, ayah akan dapat banyaaaak pahala, dan kalau anak ayah ni sabar, Humaira pun akan dapat banyak pahala tau! Bila dapat banyak pahala, mudah-mudahan Allah berilah kita masuk syurga sama-sama!” Saya terus memberi kata-kata perangsang dengan janji-janji syurga. Moga jinak hatinya untuk melakukan sesuatu atau meredhakan sesuatu dalam hidupnya untuk mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

Wajahnya saya angkat agar saya dapat merenung matanya, esakannya masih ada, saya berikan senyuman kepadanya dan lama kelamaan dia membalas jua senyuman saya itu. Lalu saya hapuskan airmata dari pipi mulusnya itu.

Tiba-tiba terdengar derapan kaki adik Khadijah yang masih mamai berjalan menuju ke arah kami. Saya alih Humaira ke tepi dan mendakap erat mereka berdua dengan air mata yang juga berlinangan.

“Baiklah Humaira’, sekarang dah masuk waktu asar, jom kita solat sama-sama, lepas solat nanti kita doakan moga Allah mudahkan ayah balik Malaysia dan datang sini semula. Kemudian, kita doakan juga moga Allah murahkan rezeki kita untuk balik Malaysia Hari Raya nanti dan Humaira boleh jumpa semua orang yang Humaira’ rindui. Pergi ambil wudhuk  dulu sementara ibu buatkan susu untuk adik ya…”

Wahai anak-anakku, perjalanan hidup ini masih lagi panjang. Belum tahu apa yang bakal merintang dihadapan. Ibu harap apa jua yang melanda kita, biarlah neracanya hanyalah keredhaan dari Tuhan. Walaupun ia perit dan menyiksakan…

1 comment:

anafauziana said...

Semoga akak n family diberi kekuatan olehNya. rindu sungguh pada humaira' dan khadijah!ya Allah, moga rindu ini jadi ibadah buatMu.