15 January 2015

Remaja, K-Pop dan ibu bapa


K-Pop, kehadirannya sekitar 10-15 tahun yang lalu kini sudah menjadi barah dalam masyarakat. Dimulai dengan drama cinta yang dibintangi oleh pelakon-pelakon kacak ala baby face yang telah menjadi kegilaan anak muda zaman kini. Ditambah dengan adegan romantis yang melampau menyebabkan kegilaan mereka semakin menjadi-jadi.

Kesan kegilaan ini dapat dilihat daripada gambar latar di computer riba anak-anak kita, gambar profail telefon anak-anak remaja, butir perbicaraan yang berkisarkan watak-watak drama korea yang menghanyutkan jiwa dan raga.

Apabila tersebar gambar anak muda muslim dipeluk dan dicium oleh artis K-Pop baru-baru ini, serta merta kita terkejut separuh mati. Terasa bahawa betapa anak muda kita sudah jauh tersasar dari landasan agama, betapa murah harga diri.

Ada yang menyalahkan kerajaan, ada yang menyalahkan artis K-Pop, ada yang menyalahkan penganjur, ada yang menyalahkan ibu bapa, ada juga yang menyalahkan remaja itu sendiri. Namun, bagi saya semua kita mempunyai saham lantaran terjadinya perkara yang memalukan itu.

Seharusnya pengaruh K-Pop ini dihalang dari memasuki Negara, anak-anak dididik dengan agama kerana mencegah lebih baik dari mengubatinya.

Saya tidak ingin mengulas tentang tanggungjawab pemerintah dalam mencegah penularan budaya kuning ini, tetapi di sini saya ingin berkongsi tentang peranan ibubapa dalam menyekat kegilaan ini dari menular dalam diri anak remaja kita.

Di dalam Islam, pencegahan adalah cara yang dituntut dalam mengurus apa jua isu.

Dari mata jatuh ke hati

Maka perkara pertama yang mesti dijaga ialah mata. Anak-anak mestilah dijaga pandangannya daripada melihat sesuatu yang boleh merangsang naluri seks dan mengganggu naluri mereka.

Anak kita adalah apa yang mereka tonton. Oleh itu, sebagai ibubapa kita mestilah mengawasi apa yang ditonton oleh anak-anak. Drama cinta sama ada drama korea atau melayu yang hanyut dengan cinta berlandaskan nafsu, melanggar syariat dengan pergaulan yang tiada had haruslah disekat daripada menjadi tontonan rutin anak-anak.

Mungkin ada sebahagian kita yang mengatakan bahawa ia hanyalah lakonan, tetapi tanpa sedar kefahaman atau budaya yang dipertontonkan akan menjadi satu kepercayaan kepada anak-anak. Saban hari, kepercayaan itulah yang akan memandu perlakuan anak-anak kita.

Kisah-kisah yang ditunjukkan di dalam drama itu semuanya menarik fitnah kepada penonton. Jika kita selidiki, drama atau filem sebegitu adalah satu cara menunjukkan kelakuan sumbang, dan sebagai lapangan untuk bercumbu-cumbuan dan berkelakuan murah. Bahkan yang lebih mengerikan, ia menjadi saluran untuk mempamerkan adegan lucah dan tidak bermoral, apabila diselang selikan dengan kesudahan yang membahagiakan maka anak remaja kita terpedaya bahawa jika ingin bahagia itu sajalah caranya.

Selain daripada drama dan filem, apa yang mesti kita kawal ialah majalah atau buku yang dibaca oleh anak-anak. Sebelum membenarkan anak-anak membaca apa-apa majalah atau novel, selidikilah dahulu isi kandungannya. Ada atau tidak gambar-gambar menjolok mata, ada atau tidak adegan-adegan lucah yang boleh merangsang naluri seks mereka. Jika ada, jauhi segera. Sekali sekala, tengok juga apa yang ada di dalam beg sekolah mereka, lagu-lagu yang mereka dengar. Pendek kata, semua deria mereka mesti kita jaga sebelum ia diresapi racun-racun dosa.

Disamping itu, ajarilah mereka adab sebagai seorang muslim. Adab meminta izin, adab berpakaian di dalam dan di luar rumah, adab bergaul dan adab-adab yang boleh menjaga maruah kita dan anak-anak kita.

Kontang kasih sayang

Kasih sayang yang tidak dipupuk di dalam keluarga menyebabkan anak remaja mencari kasih sayang di luar rumah. Keringnya hubungan antara sesama ahli keluarga menyebabkan anak-anak rasa lebih disayangi apabila bersama orang lain.

Oleh itu, banyakkanlah memuji anak supaya anak tidak mudah termakan pujian lelaki buas di luar sana. Banyakkanlah memeluk anak-anak supaya mereka tidak lagi mendambakan pelukan orang lain di luar lingkungan keluarga.

Dengarkanlah luahan hati mereka dengan penuh prihatin supaya mereka rasa dihargai dan mempunyai tempat mendapatkan pandangan agar tidaklah mereka mencari sokongan dan mendapat nasihat daripada orang yang salah disekeliling mereka.

Isu K-Pop yang timbul mungkin peringatan kepada kita betapa kita sudah lama mengabaikan pendidikan agama di dalam jiwa anak-anak kita. Mungkin juga kerana kosongnya jiwa anak-anak lantaran ibubapa yang terlalu sibuk bekerja.

Berhentilah menuding jari ke sana dan ke sini. Renunglah diri, sudahkah kita bekerja untuk membina kembali jati diri anak muda kita pada hari ini.

Berhentilah dari maki dan caci saban hari, gerakkanlah diri untuk menyebarkan cinta kepada Allah Rabbul Izzati.

Apa yang berlaku memang terlalu pedih untuk kita tatapi, tetapi inilah masanya Allah mahu mengetuk hati kita supaya menyedari bahawa hidup ini adalah satu pertembungan antara yang hak dan batil yang perlu kita harungi. Mudah-mudahan anak-anak muslim kita akan menjadi pejuang agama sebagaimana sahabiah yang tinggi budi pekerti dan berakhlak suci.


Ya Allah peliharalah anak-anak kami dari apa jua fitnah yang keji…