23 September 2010

Di mana Allah?


Tasik Darul Aman yang begitu mendamaikan. Bertambah damai bila dapat bersama keluarga...

Kereta Myvi berwarna perak yang sudah banyak calar balarnya saya pandu perlahan-lahan menelusuri laluan di hadapan tasik Darul Aman yang indah. Bagi warga jitra, tasik ini akan menjadi tempat rekreasi yang paling menyenangkan. Tasik yang begitu tenang, ikan-ikan yang berjuang berhabis-habisan tika kami mencampakkan biskut atau roti ke dada tasik, pokok-pokok nan hijau yang memagari di sekelilingnya. Burung-burung yang berterbangan melintasinya. Benar-benar bisa memberi ketenangan dan kedamaian.


Tasik ini juga seringkali mengingatkan kami tentang kehebatan dan kebesaran Allah s.w.t. Ia menjadi kitab yang terbuka untuk ditadabburi. Menjadi bukti akan kebijaksanaan Rabbul Izzati. Namun jika ada pertandingan memancing di Tasik ini, segala pemandangan indah akan direnggut oleh sampah sarap yang bertaburan di bibir tasik. Pedih hati melihat, perit jiwa mengenang manusia yang tidak menghargai alam ini.

Lama sudah kami sekeluarga tidak menjejak ke tasik ini untuk beriadah. Tugasan yang pelbagai mengikat kami dari bersenang-senang menghirup udara yang menyuntik kesegaran ke minda yang berserabut dek beban-beban duniawi.

Sedang saya asyik mengelamun.

“Ibu, Allah duduk di mana?” Suara Humaira menyentuh gegendang telinga saya ketika fikiran saya masih melayang-layang menjelajahi kesempurnaan ciptaan Allah. Ketika jiwa saya meneroka kenangan-kenangan berjogging bersama anak dan suami. Lantas saya menoleh ke wajahnya yang mulus.

Kepala saya yang tadi sedang santai kini terpaksa dipusingkan ke liputan yang lebih serius. Bukan mudah menerangkan konsep aqidah kepada anak kecil sepertinya. Perlukan ketelitian dan kehalusan agar kefahaman yang tertanam dalam jiwa dan akalnya adalah kefahaman yang benar dan mantap.

“Allah ada di mana-mana sahaja sayang.” Saya menjawab ringkas kerana saya tahu akan ada soalan-soalan seterusnya yang akan diutarakan. Tambahan pula otak saya belum ketemu gelombang yang betul untuk membicarakan soal besar ini.

“Allah ada rumah tak ibu?” Seperti yang saya jangkakan, dia tak akan berpuas hati dengan jawapan pendek saya tadi. Matanya terkedip-kedip sambil anak matanya memandang ke atas, meminta diberi pencerahan. Saya diam seketika, menyusun-nyusun ayat agar butir-butir penerangan saya nanti dapat dihadam dengan baik.

Mana mungkin saya bercerita tentang Arasy Allah seperti dalam ayat 59 Surah Al-Furqan ini.

“Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.” 25:59



“Allah tak ada rumah. Allah ada dekat dengan kita sebenarnya.”

Mukanya berkerut-kerut seperti tak berpuas hati dengan jawapan saya itu.



“Dah tuuuu… Kaabah tu kan Rumah Allah. Allah tak duduk kat situ ke?” Dia mengeluarkan pula dalil yang dapat difikirkan oleh kanak-kanak seusia tadika sepertinya.

“Kaabah itu pusat kesatuan umat… Tapi bagaimana nak cerita kepada anakku yang kecil ini ya?” Detik hati saya.

“Memang betul kaabah tu dipanggil sebagai rumah Allah, tetapi Allah kan hebat, Allah tak perlukan rumah macam kita. Kaabah itu arah kita solat. Jadi bila semua orang Islam solat, semua akan menghadap kaabah. Mudah la sikit kaaaan…”Saya mulakan penerangan agar dia lebih faham dengan konsep Kaabah sebagai pusat kesatuan umat.

Si kecil itu memandang ke siling kereta. Hehe tak faham lagi la tu…

“Ok,sekarang cuba humaira bayangkan. Kalau ibu solat menghadap sana, ayah menghadap sini, Humaira pulak menghadap ke belakang… mesti pening! Betul tak?” Terang saya lagi sambil tangan menunjukkan arah-arah yang bertentangan.

“Mmm memang la pening… Boleh ke solat macam tu?” Dia mengiyakan kata-kata saya dan bertanya lagi untuk kepastian.

“Mana boleh solat macam tu, sebab tu Allah perintahkan kita solat menghadap kiblat, jadi tak ada siapa akan gaduh nak menghadap ke mana. Humaira faham tak sekarang ni kenapa adanya Kaabah tu? Kaabah bukan rumah tempat Allah duduk, tapi tempat orang Islam menghadap semasa buat ibadat.”

“Oooo macam tuuuu… Dah tu Allah kat mana?” Dia bertanya lagi, mungkin masih kurang jelas lagi tentang keberadaan Allah.

“Allah ada di mana-mana saja sayang. Dia sangat dekat dengan kita, sebab tu la bila kita berdoa Allah dengar. Bila kita susah, Allah tolong. Bila kita sakit, Allah sembuhkan. Betul tak?” Kereta sudah diparkir dan saya rasa ini ayat penyudah bagi sesi kali ini.

Humaira mengangguk-angguk, lalu menuruti saya membeli belah barang keperluan dapur. Dalam hati saya, saya mengakui bahawa mendidik anak ini sungguh ia satu tugas yang mencabar dan berat. Kadang-kadang saya sendiri terkelu bila disoal dengan pertanyaan yang bertalu-talu. Selalu juga terpaksa saya balas pertanyaannya dengan jawapan ibu tak tahu.

Jika susah ingin melahirkan anak, namun tugas mendidik mereka beribu kali ganda kesukarannya. Tambahan pula, anak yang kita impikan bukan anak yang biasa-biasa tetapi anak yang dapat berbakti kepada dunia dan seluruhnya.

Apa yang pasti, amanah Allah ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti. Hakikat inilah lebih menggetarkan jiwa.

21 September 2010

Tanda syukur

Humaira’ berlari ke sana ke mari mencari-cari permainan yang ingin dimilikinya. Matanya liar memerhati kotak-kotak permainan yang tersusun di atas rak-rak jualan di Toys R Us.




Sekejap-sekejap dia memanggil ibu, bertanya pendapat sesuai tak permainan yang ingin dibelinya. Sekejap-sekejap dia memanggil pula si ayah untuk bertanya perkara yang sama.



Dia sudah mula rambang mata. Bila tengok telefon yang bila ditekan-tekan mengeluarkan bunyi, dia rasa nak beli yang itu. Bila dia melihat meja kanak-kanak, dia rasa nak beli yang itu pula.



“Kakak jangan terburu-buru, tengok perlahan-perlahan, pilih betul-betul...” Saya cuba menenangkan gejolak hatinya. Melihat gelagatnya, seolah-olah satu kedai ingin diangkut balik ke rumah.



“Bang, nak beli mainan apa kat budak-budak ni?” Saya bertanya suami yang juga leka meninjau-ninjau kedai permainan itu.



“Mmm biarlah dia tengok-tengok dulu, bagi dia yang pilih mainan apa yang berkenan di hati.”



Humaira’ terus melilau-lilau di dalam kedai. Sekajap ke depan, sekejap ke belakang. Habis semua rak diteliti, habis semua penjuru dijelajahi.



“Ibu! Ibu! Mai sini sat!” Dia melaung memanggil saya dalam loghat kedah yang agak pekat.



“Ye Humaira’, Kenapa?” Saya pantas ke arahnya kerana malu juga bila dipanggil kuat sebegitu di tempat awam.



“Humaira suka la mainan ni... Humaira nak beli yang ni boleh?” Dia menunjukkan satu kota permainan ‘playdoh’ yang agak besar dan mahal.



“Mahal jugak yang ni, cuba kita tanya ayah, boleh tak Humaira beli mainan ni.” Saya cuba berunding dengannya kerana sebelum ditunjukkan yang ini sudah beberapa cadangannya saya tolak kerana harga yang mencecah ratusan ringgit.



“Ayah... Boleh tak Humaira nak mainan ni... Humaira nak buat burger macam dalam gambar ni. Humaira tak ada lagi mainan macam ni...” Si kecil mula mengeluarkan ayat-ayat ‘cinta’ agar ayahnya sudi memenuhi hajat di hati. Suaranya yang mendayu-dayu memang bisa mencairkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya



“Oooo... Humaira nak yang ni ke.. Apa kata kalau Humaira ambil yang kotak satu lagi ni, yang ni murah sikit, lagipun Humaira’ boleh buat aiskrim kalau beli yang ni.” Melihat harga yang agak mahal itu, ayahnya mengalih perhatian kepada satu lagi kotak disebelah yang lebih kecil dan murah. Masih jenis permainan yang sama.



“Ha! Boleh! Boleh!” Humaira’ melompat-lompat gembira kerana permainan yang diidam-idamkan sekian lama bakal menjadi miliknya sebentar lagi. Dipeluknya mainan itu dan terus sahaja ke kaunter bayaran.



Selesai membayar, kami segera ke kereta untuk terus ke rumah Kak Nani kerana perut yang sudah mula berkeroncong.



“Kakak seronok tak dapat mainan tu?” Saya menoleh ke arahnya sambil memuncungkan mulut ke arah mainan yang masih dipeluknya.



“Seronok! Seronooooook sangaaaaaaaaat!” Teruja benar dia dengan mainan tersebut



“Mmm... Kalau macam tu, kakak kena banyak bersyukur pada Allah. Allah dah bagi kakak mainan ‘playdoh’ tu. Mainan tu cantik, elok, sebab tu la kakak kena banyak syukur kepada Allah” Saya memulakan bicara-bicara tarbiyah buat anak tercinta.



Humaira’ membulatkan matanya, tanda dia kurang faham tentang apa yang saya katakan.



“Kakak tahu tak macammana nak bersyukur?”



“Macammana ibu? Humaira tak tahu la...” Jawab dia sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.



“Senang je. Kalau nak bersyukur, kakak kena solehah la. Kakak kena rajin solat, dengar cakap ibu dan ayah, kalau main kongsi dengan kawan-kawan.” Saya cuba menjelaskan konsep bersyukur dengan bahasa mudah sesuai dengan usianya yang baru lima tahun.



“Oooo macam tuuuuu... Boleh! Boleh! Nanti Humaira jadi solehah. Balik rumah nanti Humaira main sama-sama dengan Anis, Alia, Ayong dan Ome.” Humaira tersenyum menyebut satu-persatu sahabat-sahabat baiknya yang juga jiran kami itu. Mungkin dia sedang membayangkan saat-saat manis yang bakal dilalui tatkala membuat asikrim menggunakan permainan yang baru dibelinya tadi.



“Humaira’... Humaira tahu tak...?” saya sekali lagi memancing perhatiannya.



“Tahu apa ibu?”



“Budak-budak kat palestin tu takde pun mainan macam Humaira’ tu?”



“Kesian kat dia orang, tak ada makanan, tak ada mainan, kesian kat dia orang kan?” Saya cuba merangsang pemikirannya agar berfikir tentang kesusahan orang lain juga. Semoga dia tidak tenggelam dalam keseronokan dan kesenangan yang sedang dikecapi olehnya.



“Ha’ah... kesian kat depa kan ibu? Tak ada makanan, tak ada mainan, baju pun tak ada...” Humaira menjawab dengan wajah yang sedih sambil menundukkan kepalanya. Masih dalam pelat kedah.



“Mmm itulah sebabnya kita kena banyak bersyukur. Tak boleh sombong, tak boleh kedekut, kalau kita ada kena kongsi-kongsi dengan orang lain. Allah bagi kat kita bukan untuk kita seorang je, tapi mesti diberi juga kepada orang lain.” Saya menyudahkan sesi tarbiyah saya dengan kesimpulan supaya dia sentiasa berfikir.



Humaira’ mendengar dengan penuh perhatian, kepala diangguk-angguk tanda faham. Moga dia menjadi orang yang sentiasa bersyukur.

Doa dapat bilik

Hari sudah menjelang maghrib. Anak-anak sudah mula meragam dan gelisah lantaran keletihan. Perjalanan yang kami lalui dari Marang, Terengganu ke Tanah Merah di Kelantan cukup perlahan kerana banyaknya lori-lori yang melambatkan pergerakan.


“Ada lagi ke bilik hotel untuk kita ni ye... Maklumlah, sekarangkan musim cuti sekolah, bimbang juga kalau hotel dah penuh, kat mana pulak kita nak duduk ye…” Saya meluahkan kebimbangan hati kepada suami di sebelah.

“Macammana ye Humaira’, kalau kita tak ada bilik? Kita tidur dalam kereta je boleh?” Sengaja saya menujukan soalan itu kepadanya supaya ada tarbiayah yang dapat saya sampaikan kepadanya waktu-waktu senggang begini.

“Haaa! Tidur dalam kereta? Nanti adik nangis macammana?” Dia memang sangat prihatin kepada adik Khadijah. Apa pun masalah yang timbul, pertama yang difikirkan ialah adiknya

“Mmmm kalau begitu, Humaira doa la… Moga-moga Allah bagi kita bilik malam ni. Ni dah nak malam, takut-takut hotel dah penuh. Ibu bimbang la… Humaira doakan ye…” Saya cuba menanamkan rasa pergantungan anak kecil itu kepada Allah s.w.t. Kebimbangan yang saya kongsikan bersamanya disulami dengan mengaharapkan bantuan Allah s.w.t

Walaupun isunya hanyalah mengenai bilik hotel, tetapi saya ingin dalam apa jua keadaan dan situasi, hanya Allah lah yang akan diingati dan diharapkan. Bukan saya, bukan ayahnya atau bukan orang lain selain zat yang Maha Agung.

“Humaira’ dah doa dah!” tiba-tiba suara halusnya memecah gegendang telinga.

“Humaira’ doa macammana? Cuba kakak ulang, ibu nak dengar boleh?” Saya menoleh ke arahnya yang masih menekup jari-jemari ke mulutnya.

“Hi hi hi… Ada laa…” Dia tersengih-sengih. Mungkin malu.

“Macammana Humaira doa kat Allah… Cepat laaa, ibu nak tahu ni…” Saya memujuk. Bukan memaksa tapi saya ingin tahu bagaimanakah bunyinya doa yang dipanjatkan kepada Allah s.w.t.

Setelah beberapa kali memujuk, nyata dia masih malu untuk memberitahu kami. Mungkin perlu guna cara lain.

“Ya Allah… Ada lah bilik hotel untuk kami malam ni…” Saya berdoa dengan suara yang agak kuat agar dia yang duduk dibelakang mendengarnya. Mudah-mudahan dengan itu dia akan memberitahu kami doa yang dimintanya tadi.



“Haaa! Macam tu la Humaira doa tadi!” Nampaknya strategi saya berjaya memancingnya untuk bercerita. Saya tersenyum

“Oooo iye? Humaira doa macam ibu doa ke?”

“Tak la… Humaira doa lain sikit…”

“Lain macammana pulak? Humaira’ doa macammana ek?” Saya tak jemu-jemu ‘menyucuk’ dia

“Humaira doa… Ya Allah, bagilah bilik untuk ayah, untuk ibu, untuk adik dan untuk maira malam ni…” Tulus dan mulus suaranya berdoa kepada Rabbnya. Ikhlas sungguh pengharapan kepada Tuhannya.

Mendengarkan doa yang begitu ikhlas, kami spontan meng ‘amin’kan doanya. Kami terharu.

Kereta terus bergerak laju membelah malam, masing-masing tenggelam dalam keheningan senja. Sekitar jam lapan malam kami sampai ke Tanah Merah dengan harapan yang sama, suami saya singgah di sebuah hotel dan Alhamdulillah doa Humaira’ dimakbulkan Allah.

Ada bilik untuk ayah, ibu, adik Khadijah dan Humaira.

“Humaira’, Alhamdulillah… Berkat doa Humaira’ Allah bagi bilik untuk kita semua. Syukur pada Allah sebab kita tak payah tidur dalam kereta malam ni.” Saya mengingatkan dia untuk terus-terusan bersyukur atas nikmat Allah.

“Alhamdulillaaaaahh…” Humaira’ mengucapkan tahmid dengan wajah yang bercahaya. Senyuman terukir dibibirnya yang indah sambil jari kecilnya meraup wajah…