23 September 2010

Di mana Allah?


Tasik Darul Aman yang begitu mendamaikan. Bertambah damai bila dapat bersama keluarga...

Kereta Myvi berwarna perak yang sudah banyak calar balarnya saya pandu perlahan-lahan menelusuri laluan di hadapan tasik Darul Aman yang indah. Bagi warga jitra, tasik ini akan menjadi tempat rekreasi yang paling menyenangkan. Tasik yang begitu tenang, ikan-ikan yang berjuang berhabis-habisan tika kami mencampakkan biskut atau roti ke dada tasik, pokok-pokok nan hijau yang memagari di sekelilingnya. Burung-burung yang berterbangan melintasinya. Benar-benar bisa memberi ketenangan dan kedamaian.


Tasik ini juga seringkali mengingatkan kami tentang kehebatan dan kebesaran Allah s.w.t. Ia menjadi kitab yang terbuka untuk ditadabburi. Menjadi bukti akan kebijaksanaan Rabbul Izzati. Namun jika ada pertandingan memancing di Tasik ini, segala pemandangan indah akan direnggut oleh sampah sarap yang bertaburan di bibir tasik. Pedih hati melihat, perit jiwa mengenang manusia yang tidak menghargai alam ini.

Lama sudah kami sekeluarga tidak menjejak ke tasik ini untuk beriadah. Tugasan yang pelbagai mengikat kami dari bersenang-senang menghirup udara yang menyuntik kesegaran ke minda yang berserabut dek beban-beban duniawi.

Sedang saya asyik mengelamun.

“Ibu, Allah duduk di mana?” Suara Humaira menyentuh gegendang telinga saya ketika fikiran saya masih melayang-layang menjelajahi kesempurnaan ciptaan Allah. Ketika jiwa saya meneroka kenangan-kenangan berjogging bersama anak dan suami. Lantas saya menoleh ke wajahnya yang mulus.

Kepala saya yang tadi sedang santai kini terpaksa dipusingkan ke liputan yang lebih serius. Bukan mudah menerangkan konsep aqidah kepada anak kecil sepertinya. Perlukan ketelitian dan kehalusan agar kefahaman yang tertanam dalam jiwa dan akalnya adalah kefahaman yang benar dan mantap.

“Allah ada di mana-mana sahaja sayang.” Saya menjawab ringkas kerana saya tahu akan ada soalan-soalan seterusnya yang akan diutarakan. Tambahan pula otak saya belum ketemu gelombang yang betul untuk membicarakan soal besar ini.

“Allah ada rumah tak ibu?” Seperti yang saya jangkakan, dia tak akan berpuas hati dengan jawapan pendek saya tadi. Matanya terkedip-kedip sambil anak matanya memandang ke atas, meminta diberi pencerahan. Saya diam seketika, menyusun-nyusun ayat agar butir-butir penerangan saya nanti dapat dihadam dengan baik.

Mana mungkin saya bercerita tentang Arasy Allah seperti dalam ayat 59 Surah Al-Furqan ini.

“Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.” 25:59



“Allah tak ada rumah. Allah ada dekat dengan kita sebenarnya.”

Mukanya berkerut-kerut seperti tak berpuas hati dengan jawapan saya itu.



“Dah tuuuu… Kaabah tu kan Rumah Allah. Allah tak duduk kat situ ke?” Dia mengeluarkan pula dalil yang dapat difikirkan oleh kanak-kanak seusia tadika sepertinya.

“Kaabah itu pusat kesatuan umat… Tapi bagaimana nak cerita kepada anakku yang kecil ini ya?” Detik hati saya.

“Memang betul kaabah tu dipanggil sebagai rumah Allah, tetapi Allah kan hebat, Allah tak perlukan rumah macam kita. Kaabah itu arah kita solat. Jadi bila semua orang Islam solat, semua akan menghadap kaabah. Mudah la sikit kaaaan…”Saya mulakan penerangan agar dia lebih faham dengan konsep Kaabah sebagai pusat kesatuan umat.

Si kecil itu memandang ke siling kereta. Hehe tak faham lagi la tu…

“Ok,sekarang cuba humaira bayangkan. Kalau ibu solat menghadap sana, ayah menghadap sini, Humaira pulak menghadap ke belakang… mesti pening! Betul tak?” Terang saya lagi sambil tangan menunjukkan arah-arah yang bertentangan.

“Mmm memang la pening… Boleh ke solat macam tu?” Dia mengiyakan kata-kata saya dan bertanya lagi untuk kepastian.

“Mana boleh solat macam tu, sebab tu Allah perintahkan kita solat menghadap kiblat, jadi tak ada siapa akan gaduh nak menghadap ke mana. Humaira faham tak sekarang ni kenapa adanya Kaabah tu? Kaabah bukan rumah tempat Allah duduk, tapi tempat orang Islam menghadap semasa buat ibadat.”

“Oooo macam tuuuu… Dah tu Allah kat mana?” Dia bertanya lagi, mungkin masih kurang jelas lagi tentang keberadaan Allah.

“Allah ada di mana-mana saja sayang. Dia sangat dekat dengan kita, sebab tu la bila kita berdoa Allah dengar. Bila kita susah, Allah tolong. Bila kita sakit, Allah sembuhkan. Betul tak?” Kereta sudah diparkir dan saya rasa ini ayat penyudah bagi sesi kali ini.

Humaira mengangguk-angguk, lalu menuruti saya membeli belah barang keperluan dapur. Dalam hati saya, saya mengakui bahawa mendidik anak ini sungguh ia satu tugas yang mencabar dan berat. Kadang-kadang saya sendiri terkelu bila disoal dengan pertanyaan yang bertalu-talu. Selalu juga terpaksa saya balas pertanyaannya dengan jawapan ibu tak tahu.

Jika susah ingin melahirkan anak, namun tugas mendidik mereka beribu kali ganda kesukarannya. Tambahan pula, anak yang kita impikan bukan anak yang biasa-biasa tetapi anak yang dapat berbakti kepada dunia dan seluruhnya.

Apa yang pasti, amanah Allah ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti. Hakikat inilah lebih menggetarkan jiwa.

No comments: