24 February 2010

Jadilah sang cicak pekak!

Ini sambungan cicak si Juara.

Setelah diasak dengan pelbagai pertanyaan, sang cicak tetap jua diam membisu. Maka dapat lah diketahui bahawa dia adalah seekor cicak yang pekak dan bisu. Dia tidak memdengar apa jua kata-kata penonton pertandingan tersebut.

Begitulah hidup kita di dunia ini. Dalam kita berusaha mencapai kejayaan. Ada yang menyokong, ada yang membela, ada yang mengeji malah ada juga yang bersungguh-sungguh menjatuhkan kita.

Hidup ini adalah laman untuk bercucuk tanam. Hasilnya nanti akan kita kutip di sana nanti. Oleh itu, akan ada banyak halangan dan ancaman tatkala kita berusaha mengumpul amal.

Dalam kita mencorak kejayaan, kadang kala kita perlu menjadi seperti cicak pekak. Usah terkesan dengan apa yang orang kata. Jika benar tujuan kita itu suci dan murni, maka teruskanlah usaha. Usah mengalah dengan rintangan yang menghalang. Usah goyah dengan ujian yang merentang.

Kita hanya perlu berusaha. Kerana orang yang bertawakkal itu adalah orang yang tidak berhenti usahanya.

19 February 2010

Cicak si Juara!

Cerita ini saya dengar dalam motivasi pagi di TV3. Ingin berkongsi dengan pembaca. Moga mendapat manfaat.

Ceritanya begini:

Pada suatu hari, satu pertandingan memanjat pokok pinang telah diadakan di sebuah kampung. Banyaklah penyertaan diterima. Pelbagai jenis binatang sama ada yang kecil atau besar telah mendaftarkan diri untuk beradu di dalam pertandingan ini.

Setelah wisel ditiup, semua binatang berusaha memanjat pokok pinang tersebut. Berbagai cara digunakan, berbagai kemahiran diaplikasikan. Orang-orang kampung juga tidak kurang hebatnya dalam memberi motivasi.

"Ok Monyet! Teruskan usaha!"

"Panjat! Panjat! Engkau boleh tupai!"

"Cepat! Cepat! Kera!"

Suasana begitu bingit dengan laungan penyokong-penyokong. Setelah para peserta bertungkus lumus, tiba di pertengahan pokok ramai yang tewas. Ramai yang menyerah kalah kerana cabaran yang diberikan terlampau sengit.

Bukan mudah memanjat pokok pinang! Ramai juga yang terjatuh ke bawah.

Melihat perkara itu terjadi. Orang kampung telah menukar sorakan mereka dengan mengatakan kepada para peserta

" Eh sudah la tuuuu... Payah panjat pokok pinang ni... Balik je la..."

"Kau takkan berjaya!"

"Hentikan aje la usaha kau tu! Kau mesti kalah punya!"

Lantaran sorakan yang begitu membunuh jiwa, bertambah ramailah yang kecundang di pertengahan perlawanan.

Setelah berhempas pulas berusaha. Akhirnya, ada seekor binatang sahaja yang berjaya tiba di puncak pokok pinang itu.

Sang juara adalah seekor cicak!

Melihatkan keajaiban itu, ramailah yang meng'interview'.

Bila ditanya apakah rahsia kemenangan, cicak itu hanya diam membisu.

Bila ditanya  lagi, dia tetap diam menyepi.

Agak-agaknya macammana sang cicak boleh menang ye?

Nak tahu apa sebabnya... Tunggu entry akan datang!

18 February 2010

Berpesan-pesanlah dengan kebaikan

“Abang, nanti pi sekolah soleh-soleh ye..”



“Alia, belajar rajin-rajin ye...”



“Along bawak motor pelan-pelan ye...”



Begitulah pesanan-pesanan yang biasa kita ucapkan atau yang biasa kita dengar. Pesanan yang baik. Tetapi ada sedikit yang perlu diperbaiki.



“Jangan panjat!” Begitu tegahan kita tatkala melihat anak kecil memanjat pagar.



“Jangan pukul adik!” Begini pula larangan kita ketika si abang menunjukkan kegeramannya kepada adik yang tersangatlah comel.



Tetapi apa yang kita dapati hanyalah...



Yang dilarang memanjat, semakin tinggi dakiannya.



Yang dilarang memukul, makin tangkas pula tindakannya kepada si adik kecil.



Kita pun bila jadi macam tu mulalah naik darah.



“Ish budak ni! Makin kita larang, makin dibuat. Degil betul!”



Jika kita berhadapan situasi begini... Tenang sebentar, sebenarnya bukan anak itu yang taknak mendengar kata, tetapi kitalah yang sepatutnya membetulkan bicara.



Anak-anak, terutama anak kecil lebih terkesan dengan apa yang dilihat berbanding dengan apa yang didengar.



Jika larangan kita berbunyi “Jangan panjat!”



Yang dibayangkan bukan jangan , tetapi panjat. Maka tidak hairanlah dia akan terus memanjat.



Jika tegahan kita itu berbunyi “Jangan pukul!”



Yang terbayang dimata bukanlah jangan pukul tetapi pukul. Ini kerana mereka tidak dapat menggambarkan perkataan jangan, tetapi yang dapat mereka gambarkan ialah perbuatan pukul.



Begitu juga jika kita berpesan kepada anak-anak kita dengan perkataan soleh atau solehah. Bagus pesanan begitu tetapi ia kurang berkesan kerana mereka tidak dapat membayangkan soleh atau solehah itu bagaimana.



Oleh itu, jika kita inginkan anak yang solehah, maka pesanlah dengan perkara-perkara yang mereka boleh gambarkan.



Sebagai contoh:



“Kakak, pergi sekolah nanti dengar cakap cikgu.”



“Kalau kawan-kawan minta tolong, tolonglah kawan-kawan.”



“Buat latihan sampai habis baru lah boleh sembang-sembang.”



Kita boleh pesan dengan pesanan yang macam-macam lagi. Bagaimana bentuk yang kita inginkan, maka pesanlah berulang kali. Insya Allah walaupun lambat tapi ia akan menjadi.



"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beramal soleh, dan orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."



Jangan disalahkan anak-anak jika mereka tidak mendengar kata. Mungkin ianya berpunca dari kita yang tidak memahami bahasa mereka.



Mungkin juga kita tidak bertindak sebagaimana apa yang kita minta dari mereka. Ingatlah bahawa anak-anak kita adalah cerminan diri kita. Jika cantik peribadi kita, insya Allah indahlah budi bicara mereka.



Jika ada yang tidak kena dengan mereka, usah menuding jari kepada sesiapa. Pandanglah dan lihatlah ke dalam diri, mungkin ada sesuatu yang perlu diperbaiki...

07 February 2010

Kisah Ustaz Hasan Al-Banna dengan sepatu

Seorang tua renta mempunyai seorang putera yang pergi bertempur bersama ikhwan melawan yahudi di Palestin. Lalu ia pergi ke pejabat Ikhwanul Muslimin di Cairo untuk menemui ustaz Hasan Al-Banna. Ia memohon agar ustaz Hasan Al-Banna memberi keringan kepada puteranya agar tidak ikut serta ke medan pertempuran.

Hasan Al-Banna menyambutnya dengan baik. Sebelum orang tua itu masuk ke ruangan, ia menanggalkan kasutnya di pintu. Setelah Ustaz Hasan Al-Banna berbincang-bincang dengannya, meredalah rasa takut dalam jiwanya.

Setelah itu, beliau pun berdiri untuk menghantar orang tua tersebut ke muka pintu. Orang tua itu kelihatan kekok untuk mendapatkan kasutnya. Nampaknya, penglihatannya agak lemah, cepat-cepat Hasan Al-Banna mengambilkan kasutnya dan memakaikannya.

Orang tua itu sangat terkesan dengan sikap Ustaz Hasan Al-Banna dan ia merasa menyesal. Sebahagian ikhwah melihat kejadian itu, mereka merasa malu terhadap diri mereka sendiri, dan mereka mendapat pengajaran bagaimana seharusnya seorang dai bersikap terhadap orang tua.

Dipetik dari Ikhwanul Muslimin dalam kenangan (Abbas As-Sisiy)