20 May 2013

Kisah Fatimah, di situ ada ibrah!



Surirumahtangga… Ada masa bahagia, ada masa duka, ada masa serabut, ada masa letih. Di situ terbeban berbagai tanggungjawab, terpikul berbagai amanah dalam usaha menggapai jannah.

Bila waktu bahagia, alangkah indah dunia ini terasa, maka perbanyakkanlah tahmid kepada yang mengurniakan cinta.

Namun apabila datang ujian dan dugaan, penuhkanlah relung jiwa kita dengan redha dan sabar. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kekuatan dalam menempuh perjuangan.

Ketika diulit keletihan menguruskan segala urusan rumahtangga yang tidak akan pernah lekang hingga ke hujung usia, ingatlah kita kepada Saidatina Fatimah anakanda Rasulullah tercinta yang meminta pembantu daripada Ayahanda bagi mengurangkan beban yang dirasa.

Kasihnya Rasulullah kepada puteri tercinta tidak mampu kita mendustainya, tetapi jawapan kepada Fatimah hanyalah saranan untuk berzikir dengan Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali.

Saya jadi terpana memikirkannya.  Kenapa Rasulullah menyuruh Fatimah, puteri yang paling dikasihinya untuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir untuk meringankan bebanan mengurus rumahtangga?

Dahulu pernah saya terfikir, adakah dengan berzikir, makanan akan masak dengan sendiri? Atau rumah akan menjadi kemas sekelip mata? Atau ada malaikat yang akan membantu membuat itu dan ini? Adakah dengan berzikir akan berlaku berbagai perkara magis?

Rupa-rupanya dangkal sungguh pemikiran saya itu. Seharusnya saya mentertawakan diri sendiri atas ketidakmatangan saya dahulu.

Semalam saya tiba-tiba merasai hikmahnya, tatkala rumah bagaikan tongkang pecah, anak-anak tidak mampu lagi dikawal, dengan tubuh badan yang sudah hampir kehilangan tenaga. Akhirnya, ketika saya berhadapan situasi itu, Allah mengingatkan saya tentang kisah Saidatina Fatimah itu.

Lalu segera saya melaksanakan saranan rasulullah itu, lantas seperti ada semangat dan kekuatan baru hadir ke dalam jiwa saya. Ketenangan meresap ke seluruh urat nadi. Masya Allah!

Sungguh, kepenatan dan kelelahan itu rupa-rupanya mampu sirna dengan banyaknya kita mengingati Allah. Bukankah kekuatan itu datangnya dari jiwa?

Jika jiwa kuat, tubuh badan akan bertenaga. Andainya dalaman kita sihat, tubuh yang sakit pun akan mampu bersilat.

Jiwa yang tenang dengan mengingati Allah akan membuatkan kita dapat menghadapi hari-hari sukar dengan lebih mudah.

Subhanallah, ketiadaan suami dirumah beberapa kali sejak akhir-akhir ini rupa-rupanya ada tarbiyah yang ingin disampaikan olehNya buat saya yang kerdil ini.

Buat para ibu dan isteri, mari sama-sama kita sentiasa basahkan lidah dan hati dengan zikir-zikir ini. Mungkin pun sudah lupa dengan kisah Saidatina Fatimah ini. Namun, percayalah, di sana ada sumber kekuatan dalam kita mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini…

03 May 2013

Melepaskan suami pergi berbakti



“Kalau abang nak balik ke Malaysia boleh ke?” Suami saya membuka bicara ketika kami memulakan sarapan suatu pagi.

“Mmm balik Malaysia? Nak buat apa?” Saya sengaja bertanya sedangkan di dalam hati sudah tahu bahawa dia ingin pulang untuk menemui ibubapanya yang tercinta bagi meringankan beban pengajian PhD yang berliku itu.

“Nak mengundi, sambil menjenguk orang tua, hendak meninjau sekolah Humaira yang bakal kita hantar dia nanti dan abang nak beli buku silibus humaira dan khadijah supaya kita boleh mengajar mereka agar nanti mudah untuk mereka masuk ke sekolah agama.” Jawab suami saya dengan wajah seribu makna. Namun di matanya saya lihat ada harapan agar pulangnya dia ke pangkuan ibubapa akan meredakan sedikit resah gelisah.

“Boleh saja, abang nak balik bila?” Saya menjawab. Senyum.

“Betul ke? Macam tak ikhlas saja…” Dia membalas lagi, mengecilkan mata seolah tidak percaya dengan jawapan bersahaja saya.

“Hehe.. Ada rupa tak ikhlas ke?” Saya tersengih lagi.

“Kalau abang nak balik hujung bulan ni apa pendapat syifa?” Dia bertanya soalan yang sama. Walaupun dia telah mendapat jawapannya, namun dia bertanya lagi, mungkin inginkan kepastian dan ‘keikhlasan’ dari saya.

“Mmm.. Kalau abang rasa perlu balik dan ada manfaatnya, balik sahaja. Lagi pun bagus juga, boleh abang jenguk mak ayah kita. Mereka pasti rindukan abang.  Abang boleh belikan buku-buku humaira. Buku Khadijah pun dah habis.” Saya membalas soalannya walaupun di dalam fikiran terbayang situasi saya akan ‘berperang’ dengan anak-anak selama ketiadaannya. Namun cepat-cepat saya tepis bayangan itu.


Melepaskan suami pergi berbakti kepada ibu dan bapa, kadang kala menghadirkan cemburu juga di sudut hati. Manusia biasa pasti akan terasa ingin memiliki sepenuhnya, ingin dicintai sepenuh jiwa raga. Jika boleh biarlah cinta dan layanannya hanya tertumpah hanya kepada kita dan anak-anak.

Namun,  neraca Allah tidak sebegitu dan neraca bahagia juga bukan sebegitu rupanya.

Setelah perkahwinan kami menjengah tahun yang ke sembilan, saya semakin yakin bahawa sekiranya kita iaitu para isteri memberi laluan dan peluang untuk para suami berbakti kepada kedua ibubapanya, kasih dan cinta yang dicurahkan kepada ibubapa akan tertumpah jua kepada kita.

Jangan sekali-kali menghalang mereka untuk menjenguk atau menziarahi orang tua mereka, kerana andai ibubapa mereka senang hati dan gembira dengan kemunculan wajah dan tubuh badan anak mereka, Insya Allah keluarga kita akan turut merasai kesan doa penuh kasih sayang dari ibubapa yang tercinta.

Ketenangan hati seorang suami apabila dapat melangsaikan tanggungjawab mereka kepada orang tua, akan membekas di dalam rumahtangga dengan belas ihsan mereka melayan kita dan anak-anak.

Jika kita tinggal berjauhan dengan keluarga mertua yang mungkin memerlukan pengorbanan dari segi wang, perasaan dan mungkin tenaga yang lebih untuk melayani karenah anak-anak sementara sang suami pulang berbakti kepada ibubapa, usah bimbang kerana setiap satunya akan dibalas oleh Allah s.w.t. dengan syurga andai kita ikhlas melepaskan mereka.

Jika kita melebihkan keluarga suami untuk kita hargai dan berbakti, Insya Allah mereka tidak akan pernah mempersiakan kita dan keluarga kita.

Wanita memang terkenal dengan perasaan cemburu, namun bimbinglah cemburu itu untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Cemburu yang membuta tuli bukan sahaja akan merosakkan bahkan mungkin menyebabkan keluarga kita berantakan.

Selain daripada itu, kita perlu melihat tingkahlaku suami berbakti kepada ibubapanya akan menjadi qudwah dan contoh buat anak-anak. Sekiranya, kita melayani ibubapa dengan cara yang terbaik, Insya Allah anak-anak juga akan berperilaku demikian kepada kita nanti.

Wahai para isteri semua, mari sama-sama kita menjadi isteri yang mendorong suami untuk berbakti, Insya Allah andai mereka mendapat pahala, kita juga menerimanya. Kita tidak akan rugi malah untung kerana kasih ilahi akan sentiasa mengiringi.