16 March 2012

Solat itu untuk kebaikanmu

“Humaira, bangun solat subuh…” Saya mengejutkan Humaira yang sedang tidur lena, kelihatan riak kepenatan di wajahnya. Tiba-tiba hadir perasaan kasihan kepadanya, namun saya halau perasaan tersebut jauh-jauh. Ini perintah Allah, sayangkan anak biar pada tempatnya, dan melatih anak solat dari kecil juga adalah tanda kasih sayang kita kepada mereka

Humaira masih tidak bergerak, saya panggil berulang kali dan dia telah sedar dari tidurnya tetapi dia tidak mahu bangun. Hampir sepuluh minit saya mengejutkannya dan menanti respon Humaira’, akhirnya saya tewas dan saya perlu lakukan ‘sesuatu’ petang nanti. Saya mahu dia bangkit dari lenanya bukan kerana terpaksa, tetapi dengan kerelaannya sendiri.

Humaira ke sekolah seperti biasa. Pulang dari sekolah,  tatkala saya menemaninya makan tengahhari saya memulakan bicara tarbiyah. Mmm… sedangkan orang yang dewasa pun perlu sentiasa diingatkan, inikan pula anak yang baru berusia tujuh tahun. Tambahan pula, kefardhuan solat lima kali sehari ini baru kami tekankan sejak januari tahun ini, bermakna latihan ini baru berjalan, dan belum sampai tiga bulan, mana mungkin saya mengharapkan kesempurnaan.

“Humaira, ibu nak tanya satu soalan boleh?” Saya bertanya untuk mengetuk pintu hatinya

“Mmmm…” Dia mengangguk-angguk kepalanya sambil mengunyah sotong masak kicap yang saya masak istimewa untuknya.

“Humaira’ rasa, humaira solat setiap hari tu sebab apa?” Saya memandang wajahnya yang sedang asyik menikmati juadah. Mendengar soalan saya, serta merta dia mendongak kea rah saya lalu menunduk semula.

 Tiada jawapan, tidak mengangguk dan tidak menggeleng.

“Humaira’ solat sebab ibu suruh ke?”

Dia menggeleng

“Sebab ayah suruh?”

Dia menggeleng lagi

“Sebab Allah suruh?”

Kali ini dia mengangguk, dan sebenarnya saya telah mengagaknya. Walau bagaimanapun, saya tidak mahu dia solat hanya semata-mata dengan kefahaman yang satu ini.

“Mmm memang benar Allah suruh kita solat, tetapi Humaira nak tahu tak kenapa kita solat?”

“Sebenarnya, kita solat untuk kebaikan kita sendiri. Solat tu adalah bekas untuk Allah letakkan kebaikan kepada kita. Jika Humaira’ tak solat, Allah tak rugi, ibu dan ayah pun tak rugi, yang rugi ialah diri Humaira sendiri.”

“Dengan solat, Allah akan jaga kita dari kejahatan dan kemungkaran. Dengan solat Allah akan jaga kita dari hasutan syaitan. Dengan solat, Allah akan beri kita kebaikan-kebaikan yang sangat banyak!”

“Humaira’ nak tak Allah jaga Humaira dari pagi sampai petang dan dari petang sampai malam dan dari malam sampai pagi?” Saya bertanya Humaira’ yang tekun mendengar kata-kata saya.

“Nak…” Perlahan sahaja jawapannya, antara dengar dan tidak.

“Baguslah kalau Humaira nak Allah jaga, tapi Humaira mesti solat lima waktu. Kalau ibu kejutkan subuh, Humaira mestilah bangun.”

“Ibu tahu Humaira’ penat dan mengantuk, tetapi Humaira mesti lawan perasaan tu sebab kalau Humaira tak bangkit solat subuh, bagaimana Allah nak bagi Humaira kebaikan-kebaikan yang banyak?”

“Bahkan syaitan akan melompat kegembiraan bila Humaira tak solat, dia suka sebab Humaira dengar cakap dia. Syaitan yang suruh Humaira tak payah solat, dia yang tepuk-tepuk humaira supaya tidur semula... Humaira kena kuat untuk lawan hasutan syaitan. Humaira kena kuat untuk bangun solat. Kalau kita kuat, Allah sangat suka pada kita.  Bila Allah suka, Allah akan bantu bila kita susah. Allah akan sentiasa menjaga kita dari perkara-perkara yang buruk.”

“Satu lagi, kita kena solat sebab Allah dah bagi kita macam-macam benda. Allah bagi Humaira’ ibu yang boleh masak sotong masak kicap ni, Allah bagi Humaira ayah yang baik yang suka main dengan Humaira. Allah bagi Humaira rumah yang selesa, Allah bagi Humaira adik khadijah yang boleh main dengan kakak. Allah bagi kereta kepada kita untuk kita pergi jalan. Banyak sangat benda yang Allah beri pada kita, jadi untuk kita tunjukkan kita berterima kasih kepada Allah, kita mesti ikut apa yang Allah suruh dan tak buat apa yang Allah larang.”

“Jadi mulai hari ni, kita solat elok-elok ya… Esok Humaira bangun solat subuh boleh? Bila ibu atau ayah kejut, Humaira bangun dengan gembira, kita solat sama-sama okey?”

“Insya Allah ibu…” dia mengangguk dengan senyuman terukir dibibir.

“Baiklah, sekarang dah kenyang, Humaira solat zohor kemudian tukar pakaian. Selepas tu boleh kita lumba hafal Quran pula sementara adik khadijah tidur.” Saya menutup makanan dan berlalu ke ruang tamu.

***

Alhamdulillah, setelah sesi sembang-sembang saya dengannya petang itu, proses mengejutkannya untuk solat subuh hari-hari berikutnya menjadi lebih mudah. Jika sebelumnya dia seringkali ‘mengelat’, tetapi Alhamdulillah banyak perubahan yang ditunjukkan.

Mendidik anak untuk solat lima waktu dengan baik dan tertib memang satu perkara yang sukar. Ibu bapa perlu mengambil pendekatan yang berbagai agar solat mereka bukan sekadar satu rutin yang ‘terpaksa’ dilakukan. Kita mahu mereka solat kerana mereka merasa PERLU kepadanya dan kerana kecintaan mereka kepadanya.

Ya Allah tunjuki kami, dan kurniakan hidayah dan inayahMu kepada kami di dalam mendidik anak-anak kami… Jadikanlah kami orang yang solat dan mencintainya.. Amin ya Rabbal Alamin…