24 December 2013

Sebelum Subuh, Tengahhari dan Selepas Isyak

Sudah beberapa malam anak saya yang kedua (khadijah) menyelinap ke dalam bilik tidur saya di tengah malam dengan berbagai alasan..

Sakit perut, lenguh kaki, nak air, dan berbagai lagi alasan.. Jika pada mulanya hanya khadijah yang masuk n tidur bersama di atas katil hingga ke pagi, yang terkini anak saya yang pertama pun mengikut jejak langkah adiknya.. maka beberapa malam juga katil kami dihuni oleh 5 orang dari yang paling besar (ayah) hingga yang paling kecil iaitu insyirah.

Saya bukan tidak selesa kerana dihimpit2 tetapi saya tidak selesa kerana mengenangkan suruhan Allah di dalam Al-Quran yang menyuruh kita mendidik anak2 untuk meminta izin untuk memasuki bilik tidur ibubapa dalam tiga waktu iaitu sebelum subuh, tengahhari dan selepas isya'.

Maka selepas solat zohor semalam, saya memanggil humaira dan khadijah untuk berbincang perkara ini.

"Humaira dan Khadijah, ibu nak cakap sikit boleh?" saya memulakan bicara selepas kami membaca doa seusai solat zohor

Humaira hanya mengangguk kecil, mungkin sudah mengetahui bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakannya kerana sudah biasa menerima teguran selepas solat

"Begini, di dalam Al-Quran, Allah ada mengatakan bahawa jika anak-anak ingin masuk ke bilik ibu bapa dalam 3 waktu ni, anak-anak mesti meminta izin sebelum masuk." saya memulakan nasihat saya dengan menyebut ia adalah ketetapan yang Allah tentukan di dalam Al-Quran. Bukan kerana ketidakselesaan saya atau faktor yang menyentuh diri saya dan suami.

Bagi saya, biar dia memahami larangan ini sebagai satu larangan yang mesti dipatuhi dan kerana ketaatan kepada Yang Maha Tinggi.

Humaira memandang saya dengan wajah bersalah seperti kucing yang memohon simpati. Saya hanya tersenyum memandangnya.

"Tiga waktu itu ialah wantu sebelum subuh, waktu tengahhari dan waktu selepas isya'. Jadi, jika humaira dan khadijah nak masuk bilik ibu pada tiga waktu ni, Humaira dan khadijah mesti ketuk pintu bilik dulu, kalau ibu atau ayah benarkan, barulah boleh masuk." saya menerangkan peraturannya.

"Ok khadijah? kalau nak masuk kena ketuk duuuluuuu..." saya mengulangi 'point' penting itu kepada khadijah yang duduk di pangkuan saya. Khadijah mengangguk sahaja.

"Kalau ibu atau ayah kata tak boleh masuk, khadijah dan humaira boleh masuk tak?" Saya bertanya lagi sebagai pengukuhan kepada pelajaran akhlak hari ini.

"Tak boleh!" mereka menyambut soalan saya dengan jawapan serentak.

"Okay! Bagus! Jadi kena minta izin pada waktu bila?" Saya bertanya lagi, lumrah mengajar anak-anak, perlu diulang-ulang supaya mesej dapat dihadam.

"Sebelum subuh, tengahhari dan mmmm.." humaira memandang siling, belum betu-betul ingat lagi agaknya.

"Selepas isya..." saya menyambung..

Lalu pelajaran yang sama saya ulang sehingga khadijah dan humaira boleh menyebut ketiga-tiga waktu itu.

***

Pada tengah malam itu, saya mendengar lompatan khadijah membuka pintu biliknya. Tombol pintu di rumah ini agak tinggi, tidak seperti malaysia. Mungkin orang putih di sini tinggi-tinggi agaknya. Oleh itu, untuk membuka pintu, khadijah yang baru berusia empat tahun terpaksa melompat-lompat untuk membuka pintu.

Saya hanya mendiamkan diri, dalam hati mahu menguji sama ada dia akan mengikuti atau tidak nasihat saya tengahhari tadi.

Kebiasaannya, setelah dia dapat keluar dari biliknya, dia akan melompat lagi untuk membuka pintu bilik saya. Pintu bilik di sini juga tidak ada kunci menyebabkan bilik boleh dimasuki bila-bila masa, tapi alhamdulillah khadijah tidak buat sepertimana biasa. Kali ini dia mengetuk-ngetuk pintu bilik kami sambil menjerit memanggil ibu.

Pada mulanya ketukannya perlahan sahaja, tetapi setelah tidak mendapat respon daripada kami, dia mengetuk dengan lebih ganas lagi sambil menjerit : "Ibu! adik nak masuk boleh tak!!!??"

"Khadijah tidur dengan kakak ye!" saya menjerit ke arah pintu kerana sedang menyusukan insyirah. Lama juga adegan mengetuk pintu itu dan akhirnya khadijah menangis meminta simpati. Suami di sisi mungkin tidak sedar kebingitan yang berlaku, tidurnya lena sekali. Manakala saya masih diamkan diri, ingin menguji sama ada khadijah masih ingat atau tidak pelajaran siang tadi.

Setelah puas mengetuk pintu dan kebenaran tidak diperolehi, khadijah akhirnya masuk semula ke biliknya. Sayup-sayup kedengaran dia meminta kakak memeluknya. Tidak lama kemudian, tiada lagi kedengaran tangisan. Malam sunyi kembali dan yang kedengaran hanyalah sela nafas suami di sebelah.

Alhamdulillah, pelajaran adab meminta izin telah berjaya dipraktikkan oleh anak-anak dan semenjak itu mereka akan mengetuk pintu terdahulu sebelum memasuki bilik kami.

Tuntutan meminta izin ini merupakan satu tuntutan penting di dalam pergaulan sesama isi rumah. Rumahtangga muslim seharusnya mengambil perhatian yang sewajarnya tentang perkara ini kerana setiap suruhan dan larangan Allah di sana terdapat hikmah besar untuk menjaga mata anak-anak dari melihat perkara yang tidak sepatutnya.

Mencegah lebih baik dari mengubati, mencegah anak-anak melihat aurat kita suami isteri akan dapat menjaga mereka daripada rangsangan nafsu yang mampu membawa kepada perbuatan yang tidak sepatutnya. Usah dipandang enteng perkara sebegini kerana apa yang dilihat oleh anak akan kekal di dalam ingatan mereka.

Rumahtangga muslim mestilah mengamalkan adab-adab yang telah diajarkan Islam agar keharmonian dapat diperlihara, bukan sahaja keharmonian dari sudut hubungan kekeluargaan. Malahan, yang lebih penting adalah keharmonian di dalam akhlak dan perlakuan.







22 June 2013

Siapa kita di mata mereka?

Pada suatu hari, suami saya bercerita.. Ketika dia mengajar mengaji seorang anak sepasang warga india, dia meminta supaya anak tersebut menyambung hafalan di waktu yang lain.

Begini lebih kurang perbualan mereka (sepatutnya dalam bhs inggeris)

Suami: Baiklah, nanti kamu sambung hafalan pada waktu yang lain ya?

Pelajar: Tak nak!

Suami: kenapa pula?

Pelajar: tiada siapa yang ingin menemani saya untuk menghafal.

Suami: mintalah ibubapa kamu temankan..

Pelajar: aaarrrgghhh.. mana mungkin! ibu saya sibuk dengan kain baju, masak, kemas rumah dan macam-macam kerja lagi.

Suami: mungkin ayah kamu boleh membantu?

Pelajar: Mmmmhhh ayah saya pula sibuk bekerja, selepas balik ke rumah dia akan menonton tv di atas sofa, membaca surat khabar. Tiada siapa yang hiraukan saya.

Suami saya hanya mampu memandang anak muridnya itu dengan penuh sayu.

Mendengar cerita suami saya, saya terkedu seketika... Adakah saya juga begitu terhadap anak2 saya?

Anak tidak memahami kesibukan kita, apa yang mereka mahukan hanyalah layanan ibubapa kepada mereka...

Sekali sekala bertanyalah kepada guru anak-anak kita, apa gambaran yang diberikan oleh anak-anak kita tentang ibubapanya apabila ditanya oleh guru2.

Adakah kita ni orang yang terlalu mementingkan kerjaya hingga meminggirkan mereka dalam kehidupan seharian kita.

Atau, kita adalah tukang masak yang hebat buat mereka? atau kita adalah teman permainan yang paling 'best' dalam hidup mereka? atau.. atau.. atau yang bagaimana?

Saya harap dialog di atas tidak akan diucapkan oleh anak-anak kita di hadapan guru mereka.. ingatlah bahawa mereka ada hak ke atas masa dan diri kita..

Anak kecil tidak pernah menipu tentang apa yang mereka rasa.. Mari sama-sama kita muhasabah diri dan hidup kita, adakah anak-anak kita telah mendapatkan hak mereka daripada kita?

20 May 2013

Kisah Fatimah, di situ ada ibrah!



Surirumahtangga… Ada masa bahagia, ada masa duka, ada masa serabut, ada masa letih. Di situ terbeban berbagai tanggungjawab, terpikul berbagai amanah dalam usaha menggapai jannah.

Bila waktu bahagia, alangkah indah dunia ini terasa, maka perbanyakkanlah tahmid kepada yang mengurniakan cinta.

Namun apabila datang ujian dan dugaan, penuhkanlah relung jiwa kita dengan redha dan sabar. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kekuatan dalam menempuh perjuangan.

Ketika diulit keletihan menguruskan segala urusan rumahtangga yang tidak akan pernah lekang hingga ke hujung usia, ingatlah kita kepada Saidatina Fatimah anakanda Rasulullah tercinta yang meminta pembantu daripada Ayahanda bagi mengurangkan beban yang dirasa.

Kasihnya Rasulullah kepada puteri tercinta tidak mampu kita mendustainya, tetapi jawapan kepada Fatimah hanyalah saranan untuk berzikir dengan Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali.

Saya jadi terpana memikirkannya.  Kenapa Rasulullah menyuruh Fatimah, puteri yang paling dikasihinya untuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir untuk meringankan bebanan mengurus rumahtangga?

Dahulu pernah saya terfikir, adakah dengan berzikir, makanan akan masak dengan sendiri? Atau rumah akan menjadi kemas sekelip mata? Atau ada malaikat yang akan membantu membuat itu dan ini? Adakah dengan berzikir akan berlaku berbagai perkara magis?

Rupa-rupanya dangkal sungguh pemikiran saya itu. Seharusnya saya mentertawakan diri sendiri atas ketidakmatangan saya dahulu.

Semalam saya tiba-tiba merasai hikmahnya, tatkala rumah bagaikan tongkang pecah, anak-anak tidak mampu lagi dikawal, dengan tubuh badan yang sudah hampir kehilangan tenaga. Akhirnya, ketika saya berhadapan situasi itu, Allah mengingatkan saya tentang kisah Saidatina Fatimah itu.

Lalu segera saya melaksanakan saranan rasulullah itu, lantas seperti ada semangat dan kekuatan baru hadir ke dalam jiwa saya. Ketenangan meresap ke seluruh urat nadi. Masya Allah!

Sungguh, kepenatan dan kelelahan itu rupa-rupanya mampu sirna dengan banyaknya kita mengingati Allah. Bukankah kekuatan itu datangnya dari jiwa?

Jika jiwa kuat, tubuh badan akan bertenaga. Andainya dalaman kita sihat, tubuh yang sakit pun akan mampu bersilat.

Jiwa yang tenang dengan mengingati Allah akan membuatkan kita dapat menghadapi hari-hari sukar dengan lebih mudah.

Subhanallah, ketiadaan suami dirumah beberapa kali sejak akhir-akhir ini rupa-rupanya ada tarbiyah yang ingin disampaikan olehNya buat saya yang kerdil ini.

Buat para ibu dan isteri, mari sama-sama kita sentiasa basahkan lidah dan hati dengan zikir-zikir ini. Mungkin pun sudah lupa dengan kisah Saidatina Fatimah ini. Namun, percayalah, di sana ada sumber kekuatan dalam kita mengharungi dunia yang penuh pancaroba ini…

03 May 2013

Melepaskan suami pergi berbakti



“Kalau abang nak balik ke Malaysia boleh ke?” Suami saya membuka bicara ketika kami memulakan sarapan suatu pagi.

“Mmm balik Malaysia? Nak buat apa?” Saya sengaja bertanya sedangkan di dalam hati sudah tahu bahawa dia ingin pulang untuk menemui ibubapanya yang tercinta bagi meringankan beban pengajian PhD yang berliku itu.

“Nak mengundi, sambil menjenguk orang tua, hendak meninjau sekolah Humaira yang bakal kita hantar dia nanti dan abang nak beli buku silibus humaira dan khadijah supaya kita boleh mengajar mereka agar nanti mudah untuk mereka masuk ke sekolah agama.” Jawab suami saya dengan wajah seribu makna. Namun di matanya saya lihat ada harapan agar pulangnya dia ke pangkuan ibubapa akan meredakan sedikit resah gelisah.

“Boleh saja, abang nak balik bila?” Saya menjawab. Senyum.

“Betul ke? Macam tak ikhlas saja…” Dia membalas lagi, mengecilkan mata seolah tidak percaya dengan jawapan bersahaja saya.

“Hehe.. Ada rupa tak ikhlas ke?” Saya tersengih lagi.

“Kalau abang nak balik hujung bulan ni apa pendapat syifa?” Dia bertanya soalan yang sama. Walaupun dia telah mendapat jawapannya, namun dia bertanya lagi, mungkin inginkan kepastian dan ‘keikhlasan’ dari saya.

“Mmm.. Kalau abang rasa perlu balik dan ada manfaatnya, balik sahaja. Lagi pun bagus juga, boleh abang jenguk mak ayah kita. Mereka pasti rindukan abang.  Abang boleh belikan buku-buku humaira. Buku Khadijah pun dah habis.” Saya membalas soalannya walaupun di dalam fikiran terbayang situasi saya akan ‘berperang’ dengan anak-anak selama ketiadaannya. Namun cepat-cepat saya tepis bayangan itu.


Melepaskan suami pergi berbakti kepada ibu dan bapa, kadang kala menghadirkan cemburu juga di sudut hati. Manusia biasa pasti akan terasa ingin memiliki sepenuhnya, ingin dicintai sepenuh jiwa raga. Jika boleh biarlah cinta dan layanannya hanya tertumpah hanya kepada kita dan anak-anak.

Namun,  neraca Allah tidak sebegitu dan neraca bahagia juga bukan sebegitu rupanya.

Setelah perkahwinan kami menjengah tahun yang ke sembilan, saya semakin yakin bahawa sekiranya kita iaitu para isteri memberi laluan dan peluang untuk para suami berbakti kepada kedua ibubapanya, kasih dan cinta yang dicurahkan kepada ibubapa akan tertumpah jua kepada kita.

Jangan sekali-kali menghalang mereka untuk menjenguk atau menziarahi orang tua mereka, kerana andai ibubapa mereka senang hati dan gembira dengan kemunculan wajah dan tubuh badan anak mereka, Insya Allah keluarga kita akan turut merasai kesan doa penuh kasih sayang dari ibubapa yang tercinta.

Ketenangan hati seorang suami apabila dapat melangsaikan tanggungjawab mereka kepada orang tua, akan membekas di dalam rumahtangga dengan belas ihsan mereka melayan kita dan anak-anak.

Jika kita tinggal berjauhan dengan keluarga mertua yang mungkin memerlukan pengorbanan dari segi wang, perasaan dan mungkin tenaga yang lebih untuk melayani karenah anak-anak sementara sang suami pulang berbakti kepada ibubapa, usah bimbang kerana setiap satunya akan dibalas oleh Allah s.w.t. dengan syurga andai kita ikhlas melepaskan mereka.

Jika kita melebihkan keluarga suami untuk kita hargai dan berbakti, Insya Allah mereka tidak akan pernah mempersiakan kita dan keluarga kita.

Wanita memang terkenal dengan perasaan cemburu, namun bimbinglah cemburu itu untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Cemburu yang membuta tuli bukan sahaja akan merosakkan bahkan mungkin menyebabkan keluarga kita berantakan.

Selain daripada itu, kita perlu melihat tingkahlaku suami berbakti kepada ibubapanya akan menjadi qudwah dan contoh buat anak-anak. Sekiranya, kita melayani ibubapa dengan cara yang terbaik, Insya Allah anak-anak juga akan berperilaku demikian kepada kita nanti.

Wahai para isteri semua, mari sama-sama kita menjadi isteri yang mendorong suami untuk berbakti, Insya Allah andai mereka mendapat pahala, kita juga menerimanya. Kita tidak akan rugi malah untung kerana kasih ilahi akan sentiasa mengiringi.

13 January 2013

Isu Kalimah Allah : Resah gelisah seorang ibu

"Katakanlah wahai Muhammad, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya." Surah Al-Ikhlas


Awal tahun 2013, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dihangatkan kembali oleh seorang ahli politik. Saya mengikuti isu ini dengan penuh kebimbangan. Jiwa saya sesak memikirkannya.

Kalimah Allah yang kita gunakan sejak kecil merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan Maha berkuasa itu, mahu dikongsikan dengan orang lain? Kalimah Allah yang merujuk kepada Allah yang Maha Agung lagi Maha esa hendak digunakan oleh orang kristian untuk tuhan yang berkonsepkan trinity? Kalimah Allah yang termaktub di dalam al-quran untuk satu dzat yang tiada tandingan itu, diminta untuk digunakan bg menterjemahkan perkataan god di dalam terjemahan bible berbahasa melayu?  Ini kerja gila, memang tidak masuk akal.

Sungguh, saya tidak dapat menerimanya.

Memikirkankan soal ini, saya sebagai seorang ibu dan juga guru merasa sangat bimbang dengan nasib generasi akan datang.

Andai ia benar-benar dibenarkan (kalimah Allah digunakan oleh pihak kristian), saya tidak tahu bagaimana seandainya pada satu masa nanti mungkin akan terkeluar dialog seperti ini:

Anak: Ibu, Allah itu apa?

Ibu:  Allah itu Tuhan yang esa, yang mentadbir alam ini, sayang.

Anak: Tapi ada orang kata Allah tu ada tiga, betulkah ibu?

Ibu: Tidak sayang, Allah dalam Islam hanya satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Anak: Mmm pelik juga,  tapi mereka ada Allah dan kita pun ada Allah, nama sama, kiranya kita dan mereka  sama sahaja bukan??

Betapa sukarnya kita sebagai ibu bapa waktu itu untuk menerangkan tentang Allah Yang Maha Agung kerana ada pihak lain menggunakan nama yang sama merujuk kepada benda yang berbeza.

Ketika saya mengikuti perkembangan isu ini, ada dikalangan umat Islam yang mengatakan bahwa kita tidak perlu bimbang kepada perkara yang belum tentu terjadi. Jangan takut kepada bayang-bayang sendiri katanya.

Aduhai…

Saya ingin bertanya kepada yang berkata begitu beberapa soalan.

Adakah anda mengunci pintu rumah setiap malam sebelum tidur atau sebelum keluar daripada rumah?

Adakah anda akan memastikan kereta anda selamat sebelum meninggalkannya di tempat parkir kereta?

Saya yakin, setiap daripada kita pasti akan melakukannya. Setiap malam, kita akan periksa setiap pintu dan tingkap supaya ia tertutup dan berkunci agar lebih selamat dari kejadian pecah rumah. Malah ada yang memasang penggera keselamatan untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku.

Kita juga akan pastikan kereta kita berkunci,dan kita juga akan memarkir kereta di tempat yang kita rasa paling selamat.

Jadi, jika kita berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencegah sesuatu yang buruk berlaku kepada harta kita. Adakah kita tidak perlu melakukan apa-apa untuk menjaga aqidah anak keturunan kita?

Seandainya kita berbuat berbagai-bagai cara untuk memastikan rumah dan kereta kita selamat. Wajarkah apabila disebut berkenaan dengan menjaga aqidah, kita mengatakan bahawa tidak perlu takut kepada bayang-bayang sendiri?

Isu penggunaan kalimah Allah ini bukan soal kecil, ia soal besar yang tidak boleh dijual beli!

Saya tidak kisah andai orang katakan saya bimbangkan perkara yang belum tentu berlaku, tetapi hal ini memang benar-benar merunsingkan saya.

Saya bukan pakar dalam bidang agama, dan saya tidak mampu menghurai segala dalil-dalail dan hujah-hujah agama. Tetapi, saya sangat-sangat bimbangkan tentang akidah anak keturunan saya nanti. Kesan dari isu ini mungkin kita tidak nampak secara terus, tapi kesannya akan jelas setelah sepuluh tahun atau dua puluh tahun akan datang.

Lihat sahaja apa yang berlaku di negara jiran Indonesia, bila kalimah Allah boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, maka diletakkan papan tanda ‘Allah Kasih’ di hadapan gereja. Apabila kalimah Allah digunakan oleh orang kristian, maka Allah yang Maha Esa itu disandarkan kepada Jesus yang berkonsepkan trinity .

Tidakkah ia sangat mengelirukan?

Maha Suci Allah dari kemungkaran ini.. Allahu Akbar.

Moga bumi bertuah Malaysia tidak akan menjadi seperti itu.

######

Hari ini, belum sempat saya menghabiskan penulisan saya berkenaan isu ini, didalam perjalanan pulang mengambil humaira dari Hifz School. Telah berlaku perbualan yang menyentap jantung saya, meningkatkan lagi kebimbangan saya berkenaan isu kalimah Allah ini.

Sedang suami memandu, Humaira bercerita berbagai-bagai cerita dan kami melayannya dengan gembira.

Sehinggalah dia berkata : "Ibu, tadi semasa humaira bermain deangan kawan-kawan, datang seorang wanita. Dia dah tua, kemudian tiba-tiba wanita itu berkata kepada kami bahawa tuhan dia telah menciptakan Allah." sambil dia menggelengkan kepala tanda tidak setuju dengan kata-kata wanita tersebut

"Apa? Dia kata apa?" saya bertanya semula, bukan kerana saya tidak mendengar apa yang dikatakan tadi, cuma saya rasa terkejut dan mahu dia ulang dan saya berharap apa yang saya dengar adalah tidak benar.

"Dia berkata kepada kami, tuhan dia telah mencipta Allah... Mmmm..." sekali lagi humaira menunjukkan muka tidak puas hati

"Siapakah orang itu?" saya bertanya

"Entahlah ibu, humaira pun tak kenal." dia menjawab

"Mmm... Humaira rasa, betulkah apa yang dikatakan oleh wanita itu?" dalam resah, saya bertanya mendapatkan kepastian berkenaan dengan kefahaman tentang tauhid yang pernah kami terangkan kepadanya sebelum ini.

"Mestilah tidak betul ibu." humaira menjawab ringkas

"Bolehkah Allah s.w.t. diciptakan oleh tuhan yang lain?" saya bertanya lagi

"Tak boleh." sekali lagi dia menjawab ringkas

"Betul tu humaira, Allah itu satu sahaja, Allah tidak mungkin diciptakan oleh makhluk lain dan Allah tidak ada anak. Humaira ingat ya.." saya menjelaskan buat kali yang entah ke berapa asas tauhid itu.

Kami suami isteri berpandangan, walaupun tiada kata-kata yang terluah, tetapi saya dapat merasakan keresahan yang juga bersarang di dalam hatinya. Hati saya juga tidak tenteram memikirkannya.

Jika dialog ini berlaku ketika saya berada di sebuah negara yang majoriti bukan muslim pun ia menimbulkan kebimbangan terhadap aqidah anak saya. Bagaimanakah andai ia berlaku di negara malaysia yang disebut sebagai negara Islam?

Pada pendapat saya, soal akidah bukanlah satu perkara yang boleh kita bertolak ansur. Toleransi yang melampau hanya akan menjadi racun yang akan membunuh jiwa anak bangsa kita. Cukuplah dialog ini hanya berlaku di negara kangaroo ini dan saya tidak sanggup andai cerita dan dialog yang sama berlaku lagi kepada cucu cicit saya di Malaysia nanti.

Wahai umat islam semua yang amat saya kasihi. Isu kalimah allah ini bukan sekadar berkisar kepada hukum halal atau haram, boleh atau tidak boleh. Tetapi renung-renungkanlah tentang kesan dan natijahnya untuk generasi akan datang.

Kesannya bukan calang-calang tetapi ia pasti akan menimbulkan kecelaruan aqidah di dalam umat Islam.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jika kita akan berikhtiar berbagai cara untuk menjaga keselamatan harta dan anak-anak kita, maka untuk menjaga akidah usahanya mestilah berlipat kali ganda.

Sama-sama kita menyatakan bantahan berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim kerana saya yakin disebalik tuntutan ini, ada agenda kristianisasi yang sedang dilaksanakan.

Janganlah kita hanya melihat perkara ini secara luaran sahaja, tenung dan renunglah juga perancangan jahat kuffar ke atas umat islam.

Jika ketika ini, ketika kalimah Allah masih eksklusif buat umat islam pun ramai sudah murtad, cubalah bayangkan jika ia diberi kebenaran digunakan di dalam bible, apakah nasib aqidah generasi kita.

Ya Allah, bantulah kami untuk terus mentauhidkanMu. Peliharalah zuriat kami dari fitnah ini.

Kepada yang berkenaan, isu ini adalah isu besar, usahlah kita gadaikan hanya untuk dunia yang sementara ini. Saya tidak redha kalimah suci ini dipermainkan sebegini rupa.

Saya juga tidak akan pernah redha jika mimpi ngeri ini berlaku hanya kerana ada pihak yang mahu menjaga kepentingan selain dari kepentingan agama yang mulia ini..

Ya Allah peliharalah kami dan zuriat keturunan dari kesesatan ini, dan tetapkanlah kami di dalam Islam sehingga hujung usia kami..

07 January 2013

Lollipop syurga


“Nasihah, nasihah nak masuk syurga tak? Dalam syurga ada lollipop banyaaaakkk…” kedengaran suara khadijah bercakap dengan nasihah, sambil memaling ke arah nasihah, khadijah begitu serius berbicara tentangnya. Sambil tangan mereka berpegangan, khadijah bertanya seperti hendak ke taman permainan esok lusa.

Ketika itu, saya, ummi nasihah dan babah nasihah sedang sibuk memetik buah ceri di Kebun Stella Creek. Aktiviti memetik buah ceri merupakan aktiviti kegemaran di musim panas kerana pada musim ini sahaja ladang-ladang ceri akan dibuka untuk aktiviti ‘pick your own’ oleh para pengunjung. Di dalam ladang pengunjung boleh makan sebanyak-banyaknya, dan akan dibekalkan dengan baldi untuk mengisi buah yang hendak dibeli dan dibawa pulang.

Mendengar perbualan khadijah dan nasihah, babah nasihah menyampuk : “Mmm kalau nak masuk syurga, kita kena buat apa?”

“Kita kena solat.” jawab khadijah

“Haa.. Khadijah suruhlah nasihah tu solat ya.. Boleh masuk syurga sama-sama..” sambung babah nasihah lagi.

Saya dan ummi nasihah yang duduk berdekatan ketawa mendengar perbualan mereka. Terasa indah apabila bual bicara mereka adalah tentang pahala dan syurga.

“Hihi, tak pasal-pasal nasihah jadi mad’u (orang yang didakwah) khadijah hari ni. Lawak-lawak.” Saya mengomel.

“Tak mengapa la kak, bagus lah tu…” Ummi Nasihah membalas

Syurga dan neraka, pahala dan dosa merupakan sebahagian daripada asas-asas keiman yang perlu ditanamkan di dalam diri anak-anak. Kecintaan kepada syurga dan kebencian kepada neraka akan membantu mereka untuk beribadah dengan lebih bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan ganjara-ganjaran dunia semata-mata.

Tidak salah jika hendak menjinakkan mereka dengan hadiah-hadiah, tetapi adalah lebih baik lagi andainya ganjaran syurga lebih diwar-warkan kepada mereka agar segala tingkah laku dan apa jua yang dilakukan adalah kerana ketaatan kepada Allah.

Sampaikanlah khabar gembira (syurga dan keindahannya) kepada mereka terlebih dahulu sebelum kita menakutkan mereka dengan siksa api neraka.

Ceritakan kepada mereka tentang pahala yang melimpah ruah buat mereka yang berbuat baik, sebelum kita menekan mereka dengan kengerian dosa dan syaitan yang menyesatkan.

Tanamlah di dalam jiwa mereka bahawa hidup beragama itu bakal membuahkan kemanisan buat mereka.

Biar mereka rasa bahawa betapa penting agama di dalam kehidupan mereka dan mereka perlu kepadanya.

Biar mereka merasakan betapa indah hidup mengikut syariat kerana ganjaran yang Allah sediakan lebih hebat daripada dunia dan seisinya.

Andainya mereka telah memahami hakikat tentang syurga dan neraka, maka segala kesusahan dalam metaati perintah Allah akan sabar diharungi. Segala kesukaran meninggalkan laranganNya akan tabah dilalui semata-mata mengejar syurga yang dirindui.

Bersahabat hingga ke syurga! Insya Allah...
Tidak kisah jika semasa kecil mereka membayangkan bahawa syurga itu penuh dengan lollipop dan aiskrim yang berbagai warna. Transformer yang hebat-hebat belaka. Mereka mengimpikan berpakaian seperti puteri kayangan dan bermacam-macam angan-angan.

Biarkan mereka berimaginasikan mengikut kemampuan akal mereka kerana semakin mereka dewasa dan menekuni kitab Allah s.w.t, mereka akan mengetahui bahawa syurga itu adalah tempat yang tidak dapat dibayangkan dengan fikiran, tidak dapat digambarkan dengan mata dan tidak pernah didengar oleh telinga.

Oleh itu, banyakkanlah menyebut tentang syurga dan pahala dalam kehidupan seharian kita bersama mereka. Panggillah mereka dengan gelaran ‘ahli syurga’ dek kerana bersihnya mereka dari dosa dan noda.

Mari kita bersama menanamkan rasa cinta kepada syurga, agar ia menjadi buruan mereka.

Wallahua'lam