20 January 2010

Nikmatilah saat-saat ini!

Hari ini, saya tidak dapat ke tadika. Khadijah demam campak. Tidak mahu penyakit itu menjangkiti anak-anak lain, maka saya buat keputusan untuk mengkuarantin rumahkan dia dan saya sekali.


Penuh bintik-bintik merah di badannya. Makan cuma dua tiga sudu. Minum pun kurang. Kesian saya melihatnya. Mungkin seleranya tak ada lantaran tekaknya pahit.


Duduk tak kena, baring tak kena. Si kecil itu lebih selesa didukung. Tapi alhamdulillah dia tidak menangis lama. Cuma sekejap-sekejap.

Petang itu, kakaknya balik dari sekolah terus terbaring disebelah saya yang sedang memangku adiknya.

"Ibu, sakit perut..." Humaira' mengadu kepada saya dengan wajah berkerut-kerut


"Kenapa sayang? Mai sini ibu urut..." Saya menarik badannya. Saya urut-urut perutnya. Saya usap-usap tubuhnya.


"Ya Allah! badan Humaira' panas la, Humaira' demam ni..."


"Humaira' makan tak kat sekolah tadi? Humaira makan apa?" Saya bertanya. Bimbang juga takut-takut perutnya sakit sebab tak makan atau tersalah makan.


"Makan... Makan nasi goreng..." Lega saya mendengar jawapannya. Alhamdulillah


Menjelang waktu maghrib perutnya masih sakit. Adik pula gelisah, mungkin badannya gatal


"Ok Humaira', jom kita mandi sekarang, lepas mandi, ibu sapukan minyak kat perut humaira ye..." saya memujuk dia. Saya tarik tangannya masuk ke bilik air. Si Adik saya letak atas katil sebentar.


Humaira' sudah mula menangis, sakit perut sangat katanya, saya mandikannya cepat-cepat. Belum sempat saya siap pakaikan baju Humaira', Khadijah pula meraung-raung atas katil, menjerit-jerit minta diangkat.

"Ok adiiik... Sabar diiik..." Saya menjerit, saya harap si kecil itu akan lebih tenang ketika mendengar suara ibunya ini.

Tetapi sangkaan saya tidak tepat. Jeritannya makin kuat. Tangisannya makin hebat. Humaira pun begitu. Mungkin tak mahu perhatian saya tertumpah pada adiknya sahaja, dia menguatkan 'volume' suaranya.

"Ya sayang... sabar ye... ni kan ibu ada..." Pujuk saya. Jeritan Khadijah makin membingit.



Aduh! Mana satu nak kejar ni? Saya cepat-cepat pakaikan baju Humaira' kemudian bergegas saya dapatkan Khadijah yang makin kuat menjerit. Tangisan Humaira' pun makin kuat.

Saya angkat si kecil. Saya cuba tenangkan dia dengan pelukan saya.

"Ibuuuu... Sakit peruut..." Humaira' menagis lagi

Saya duduk berhampiran humaira', tangan kanan mengurut perutnya. Tangan kiri menyapu-nyapu belakang badan si kecil yang penuh bintik-bintik merah. Dia makin gelisah. Kakaknya pun begitu. Makin kuat pula tangisannya, masih mendamba perhatian saya.


"Sabar ye sayang... Sabar... Sikit je ni..." Saya memujuk si kakak,tangan saya terus mengurut-ngurut perutnya

"Kesiannya anak-anak ibu ni..." Bisik hati kecil saya


Ayah mereka yang menuruni tangga tersenyum melihat saya dan anak-anak. "Nikmatilah saat-saat ini! Saat-saat begini hanya dapat dinikmati oleh insan yang bergelar ibu saja tau..." Katanya


Saya membalas senyumannya...

"Ya saya bahagia menikmatinya..." Detik hati saya.


Walaupun nampak kelam kabut tapi saya gembira mendepaninya, bahkan saya rasa seronok kerana anak-anak memerlukan saya buat melegakan kesakitan mereka. Saya bersyukur kerana Allah kurniakan saat-saat begini untuk saya. Alhamdulillah





Rumah tangga laman mengutip pahala


Rumah tangga... Tempat dikurniakan mawaddah dan rahmah. Tempat berhibur bersama anak isteri. Tempat beristirehat setelah lelah menunaikan tanggungjawab. Dengarnya indah, namun disebalik keindahan itu terlalu banyak peranan yang perlu dipikul. Komitmen yang menanti juga bukanlah calang-calang.



Bagi seorang ibu atau isteri, rumah tangga bukan sahaja gelanggang menunaikan semua kewajipan dan peranan. Bahkan lebih dari itu, rumahtangga merupakan halaman mengutip pahala dan keredhaan tuhan.



Jika tanggungjawab yang dipikul dilaksanakan dengan sedar dan penuh tawadhuk maka setiap apa yang dilakukan adalah ibadah kepada Allah s.w.t.



Mandikan anak adalah ibadah, memasak adalah ibadah, basuh kain dan lipat kain adalah ibadah, susukan anak adalah ibadah malah tidurnya lantaran keletihan melaksanakan seluruh tanggungjawabnya juga adalah ibadah. Pendek kata, wanita yang berada di rumah itu sentiasa dalam ketaatan kepada Allah jika dia melakukannya dengan niat yang baik tanpa melanggar syariatullah.

Ibu sempurna

Setiap insan yang bergelar ibu sudah pasti ingin menjadi seorang ibu yang sempurna. Sempurna di mata anak-anak, sempurna di mata suaminya bahkan sempurna di mata masyarakat di sekelilingnya.

Adakah dengan ilmu penuh di dada seorang ibu akan menjadi ibu yang sempurna? Tidak! Tidak sama sekali. Ibu yang matang seharusnya memelihara dan menjaga kesucian dirinya, hatinya bersinar dengan cahaya iman dan ketaatan. Ibu yang mengikuti aturan sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai sumber inspirasi dan kekuatan di dalam melonjak potensi suami dan anak-anak.

Ibu yang beragama ini seharusnya menjadi tulang belakang dalam menjadikan anak-anak dan suaminya lebih baik dari dirinya sendiri. Ungkapan tradisi menyatakan : "Di belakang setiap lelaki yang hebat itu ada seorang wanita." Maka wanita itu sudah pastilah seorang ibu atau isteri yang menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh sedar dan ikhlas kerana Allah Taala.

Bukan mudah menjadi ibu yang sempurna. Dalam dunia yang muflis akhlak dan adab sekarang ini, menjadi ibu yang mulia itu bukan satu perkara remeh dan temeh. Perlu kepada perancangan dan mujahadah. Perlu kepada doa dan tawakkal.

Wahai para ibu dan wanita yang bakal menjadi ibu. Bekalkanlah diri kita dengan ketaqwaan dan keilmuan. Mudah-mudahan Allah melorongkan kita menjadi ketua bidadari di syurga nanti.

Usah difikirkan bahawa rumah itu adalah tempat segala beban dan tanggungan. Tetapi rumah kita itu ialah ladang kita bercucuk tanam dan buahnya akan kita petik di satu alam yang tiada lagi amal, yang ada cuma hisab dan perhitungan.

Ya Allah, bimbinglah kami dalam menata rumahtangga islami... Amin...

Hebat kita kerana Islam

Perintah berkurung telah dikeluarkan kepada penduduk Haiti. Puncanya kejadian rompakan yang menjadi-jadi di kawasan bencana.

Ramai di kalangan penduduk Haiti yang menceroboh ke perumahan dan kedai-kedai untuk mencuri dan merompak, bahkan ada yang dibelasah kerana berebut barang bagi meneruskan kehidupan.

Begitulah bila manusia tidak ada agama. Sanggup lakukan apa sahaja demi melepaskan keperluan sendiri.

Masih saya ingat tentang tragedi tsunami di Acheh. Tidak pula kedengaran insiden-insiden buruk sebegini berlaku. Yang terdengar di telinga hanyalah ungkapan-ungkapan redha atas ujian Allah.

Tidak ada perintah berkurung. Tidak perlu ada polis yang mengawasi.

Bagitulah manusia, jika dipandu dengan agama, bila dikurnia nikmat dia akan bersyukur, jika ditimpa ujian dia akan bersabar.

Dengan Islam, apa yang terjadi dikembalikan kepada Tuhan. Nak lakukan sesuatu pun berbalik kepada panduan Tuhan. Seluruh kehidupan terpandu, tak kiralah bagaimana keadaan pun, tetap di rujuk pada ketentuan yang telah ditetapkan.

Sebenarnya dengan berpegang kepada ajaran Allah, hidup insan akan lebih bermaruah. Hidup akan lebih terarah.

Marilah kita kembali kepada Allah, hanya Islam yang akan membuatkan kita menjadi hebat. Tidak ada yang lain kecuali ISLAM!

19 January 2010

Ithar yang sebenar-benarnya

Masya Allah! Hebatnya! Kagum!

Itulah sahaja yang terungkap oleh saya dan suami tatkala menonton berita jam lapan malam tadi. Apa yang mangkagumkan saya ialah berita tentang rakyat Palestin yang berlumba-lumba menghulurkan derma kepada mangsa gempa di Haiti.

Ya Allah! Hebat sungguh mereka, dalam keadaan hidup yang penuh sukar. Makan tak menentu, mereka masih sudi bahkan bersungguh-sungguh menginfakkan segala apa yang ada pada mereka kepada orang lain.

Mereka mendermakan makanan sedangkan makan minum mereka tiada siapa yang akan menjamin. Mereka menghulurkan permainan-permainan mereka tanpa memikirkan apakah yang akan mereka gunakan untuk bermain.

Inilah yang dikatakan ithar. Mereka labih mementingkan orang lain berbanding diri mereka sendiri.

Saya malu sendiri, ketika kita dikurniakan pelbagai nikmat. Kita begitu kikir untuk menginfakkan sebahagian apa yang kita ada. Yang jika kita berikan, insya Allah kita takkan mati kelaparan.

Saya malu sendiri, ketika kita hidup dalam aman sejahtera. Kita begitu bakhil menghulurkan bantuan. Yang jika kita berikan, insya Allah tidak langsung menjejaskan perjalanan hidup kita sehari-harian.

Saya malu sendiri, ketika kita hidup bahagia. Kita terlalu kedekut untuk menghadiahkan sekalung doa buat saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik. Yang jika kita pohonkan, insya Allah tidak mungkin berkurang kebahagiaan kita.

Begitulah kita. Mungkin kita terlalu sombong dengan apa yang kita ada, sehingga kita rasa dunia ini kita yang punya.

Wahai diri, mari bermuhasabah hati. Adakah kita dikalangan manusia yang mensyukuri???