19 January 2010

Ithar yang sebenar-benarnya

Masya Allah! Hebatnya! Kagum!

Itulah sahaja yang terungkap oleh saya dan suami tatkala menonton berita jam lapan malam tadi. Apa yang mangkagumkan saya ialah berita tentang rakyat Palestin yang berlumba-lumba menghulurkan derma kepada mangsa gempa di Haiti.

Ya Allah! Hebat sungguh mereka, dalam keadaan hidup yang penuh sukar. Makan tak menentu, mereka masih sudi bahkan bersungguh-sungguh menginfakkan segala apa yang ada pada mereka kepada orang lain.

Mereka mendermakan makanan sedangkan makan minum mereka tiada siapa yang akan menjamin. Mereka menghulurkan permainan-permainan mereka tanpa memikirkan apakah yang akan mereka gunakan untuk bermain.

Inilah yang dikatakan ithar. Mereka labih mementingkan orang lain berbanding diri mereka sendiri.

Saya malu sendiri, ketika kita dikurniakan pelbagai nikmat. Kita begitu kikir untuk menginfakkan sebahagian apa yang kita ada. Yang jika kita berikan, insya Allah kita takkan mati kelaparan.

Saya malu sendiri, ketika kita hidup dalam aman sejahtera. Kita begitu bakhil menghulurkan bantuan. Yang jika kita berikan, insya Allah tidak langsung menjejaskan perjalanan hidup kita sehari-harian.

Saya malu sendiri, ketika kita hidup bahagia. Kita terlalu kedekut untuk menghadiahkan sekalung doa buat saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik. Yang jika kita pohonkan, insya Allah tidak mungkin berkurang kebahagiaan kita.

Begitulah kita. Mungkin kita terlalu sombong dengan apa yang kita ada, sehingga kita rasa dunia ini kita yang punya.

Wahai diri, mari bermuhasabah hati. Adakah kita dikalangan manusia yang mensyukuri???

No comments: