31 December 2009

Kasihi mereka, mereka akan mengasihimu

"Mmm... Lama dah kita tak pegang tangan masa jalan-jalan kaaan..." Kata Mira tatkala tangannya dipegang Hafiz.

"Ye la... Biasanya kalau kita nak pegang tangan ada aje yang menyelit di tengah. Tak pun, abang pegang kak long, ayang pulak dukung si adik. Macammana nak pegang-pegang tangan? " Hafiz mengiyakan isterinya. Jemari isterinya digenggam erat.

Hari itu mereka ada urusan di bandar Ipoh, maka anak-anak diletakkan di nursery. Bukan tak mahu di bawa sekali, tetapi memandang cuaca yang panas terik, kesian pula anak kecil itu nanti.

Mira mengangguk-anguk kecil. Teringat buah hati yang ditinggalkan. Anak-anak yang menjadi penghibur di kala sunyi.

"Sayang... Abang risau tengok Mira sekarang ni..." Luah Hafiz

"Eh! Risau apa pulak?" Mira membalas sambil memandang wajah suaminya

"Abang risau tengok cara Mira melayan anak-anak. Kak Long pergi mandi sekarang! Kak Long makan! Kak Long itu! Kak Long ini! Semuanya arahan..."

"Sayang, anak-anak kita masih kecil. Tidak semua arahan dan suruhan kita akan dibuat serta merta. Dia sedang belajar tentang kehidupan. Dia sedang belajar mengutip pengalaman."

Mira menundukkan wajahnya ke bawah. Memang benar, sejak akhir-akhir ni mudah sangat darahnya naik. Tambahan pula bila anak-anak tak ikut apa yang dikata. Mulalah suara nak meninggi.

Dia sedar dia tak patut buat begitu, tetapi keletihan dengan kerjaya yang sedang membina, sedikit sebanyak mengganggu emosi.

"Abang risau sebab anak-anak kita sekarang ni sedang membina perasaan, jika kita sebagai ibu bapa hanya suruh itu, suruh ini, bila tak buat dimarah-marahi, takut-takut nanti kasihnya bukan lagi pada kita. Tapi kepada orang yang lebih prihatin padanya."

"Masa kecil ni mungkin dia akan mengadu pada kita. Tapi cuba bayangkan bila dia dah semakin meningkat remaja. Ada rakan taulan yang lebih kasih dan mudah berkongsi rasa, pasti jiwa mereka lebih cenderung kepadanya."

"Pada masa itu, ibu bapa hanyalah dilihat sebagai orang asing. Bukan tempat berbahagi masalah, bukan lapangan menenangkan hati yang resah."

"Jika dilanda masalah, akan diadu kepada orang lain yang dianggap lebih mengasihi dan memahami. Masa itu, sukar untuk kita mendekati mereka."

Nasihat Hafiz kepada permaisuri hatinya itu. Bukan mudah membetulkan tulang yang bengkok. Jika salah cara boleh patah pula. Hafiz menyusun kalam penuh hikmah. Dia tahu hati isterinya lembut. Dia perlu bijak mengatur kata.

"Mmm... Akhir-akhir ni Mira penat sangat la bang. Banyak urusan di pejabat. Bila balik rumah anak pulak tak dengar kata. Itu yang jadi macam tu. Mira minta maaf..." Wajahnya sugul, menyesali perbuatannya.

"Abang tahu Mira penat, abang tahu Mira letih. Tetapi anak-anak tak tahu yang ibu dan ayahnya letih. Yang mereka tahu, mereka nakkan perhatian kita."

"Sebagai ibu bapa kita kena banyak sabar. Anak-anak perlukan kita sebagai rakannya. Jika kita dapat membina kepercayaan mereka kepada kita, Insya Allah kita akan dijadikan tempat rujukan. Apa jua yang melanda diri mereka, kita adalah orang pertama tempat meminta nasihat."

Genggaman Hafiz makin erat. Di hati memohon agar Allah mengurniakan taufik dan hidayahNya kepada mereka berdua dalam mengharungi hidup berumah tangga.

Betapa berat menggalas amanah ini. Dia akan dipertanggungjawabkan tentang keluarganya. Tentang anak-anak, tentang isterinya. Bukankah Allah memerintahkan 'Jagalah dirimu dan keluargamu dari azab api neraka'?

Tidak mudah melayari bahtera kehidupan. Menongkah ombak dan badai yang tak pernah berhenti. Dia perlu menjadi nakhoda yang bijak dan penuh pergantungan kepada Tuhannya, nakhoda yang tahu ke mana arah nak di bawa anak kapalnya. Agar kapalnya sampai ke destinasi dengan selamat dan penuh berkat.

Di mata Mira terbayang wajah-wajah mungil permata hatinya. Maafkan ibu sayang! Insya Allah. Ibu akan memperbaiki diri ibu. Ibu akan berusaha menjadi ibu yang solehah buat kalian.

Ya Allah Ampunkan dosa-dosaku... Tunjukilah daku dalam mendidik anak-anakku. Ya Allah, ampunkanlah kelemahan ku. Ampunkanlah.. Ampunkanlah...

Langkahnya diatur pantas. Dia ingin cepat-cepat menyudahkan urusannya. Tidak sabar menunggu lama untuk bertemu si buah hati. Dia ingin mendakap anak-anaknya. Dia ingin mencium anak-anak kecil itu. Ya... Dia ingin membuktikan kasih dan cintanya kepada anak-anaknya...

No comments: