18 February 2010

Berpesan-pesanlah dengan kebaikan

“Abang, nanti pi sekolah soleh-soleh ye..”



“Alia, belajar rajin-rajin ye...”



“Along bawak motor pelan-pelan ye...”



Begitulah pesanan-pesanan yang biasa kita ucapkan atau yang biasa kita dengar. Pesanan yang baik. Tetapi ada sedikit yang perlu diperbaiki.



“Jangan panjat!” Begitu tegahan kita tatkala melihat anak kecil memanjat pagar.



“Jangan pukul adik!” Begini pula larangan kita ketika si abang menunjukkan kegeramannya kepada adik yang tersangatlah comel.



Tetapi apa yang kita dapati hanyalah...



Yang dilarang memanjat, semakin tinggi dakiannya.



Yang dilarang memukul, makin tangkas pula tindakannya kepada si adik kecil.



Kita pun bila jadi macam tu mulalah naik darah.



“Ish budak ni! Makin kita larang, makin dibuat. Degil betul!”



Jika kita berhadapan situasi begini... Tenang sebentar, sebenarnya bukan anak itu yang taknak mendengar kata, tetapi kitalah yang sepatutnya membetulkan bicara.



Anak-anak, terutama anak kecil lebih terkesan dengan apa yang dilihat berbanding dengan apa yang didengar.



Jika larangan kita berbunyi “Jangan panjat!”



Yang dibayangkan bukan jangan , tetapi panjat. Maka tidak hairanlah dia akan terus memanjat.



Jika tegahan kita itu berbunyi “Jangan pukul!”



Yang terbayang dimata bukanlah jangan pukul tetapi pukul. Ini kerana mereka tidak dapat menggambarkan perkataan jangan, tetapi yang dapat mereka gambarkan ialah perbuatan pukul.



Begitu juga jika kita berpesan kepada anak-anak kita dengan perkataan soleh atau solehah. Bagus pesanan begitu tetapi ia kurang berkesan kerana mereka tidak dapat membayangkan soleh atau solehah itu bagaimana.



Oleh itu, jika kita inginkan anak yang solehah, maka pesanlah dengan perkara-perkara yang mereka boleh gambarkan.



Sebagai contoh:



“Kakak, pergi sekolah nanti dengar cakap cikgu.”



“Kalau kawan-kawan minta tolong, tolonglah kawan-kawan.”



“Buat latihan sampai habis baru lah boleh sembang-sembang.”



Kita boleh pesan dengan pesanan yang macam-macam lagi. Bagaimana bentuk yang kita inginkan, maka pesanlah berulang kali. Insya Allah walaupun lambat tapi ia akan menjadi.



"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beramal soleh, dan orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."



Jangan disalahkan anak-anak jika mereka tidak mendengar kata. Mungkin ianya berpunca dari kita yang tidak memahami bahasa mereka.



Mungkin juga kita tidak bertindak sebagaimana apa yang kita minta dari mereka. Ingatlah bahawa anak-anak kita adalah cerminan diri kita. Jika cantik peribadi kita, insya Allah indahlah budi bicara mereka.



Jika ada yang tidak kena dengan mereka, usah menuding jari kepada sesiapa. Pandanglah dan lihatlah ke dalam diri, mungkin ada sesuatu yang perlu diperbaiki...

No comments: