31 January 2012

Cemburu kepada adik baru? Tangani dengan bijaksana!



Sifat cemburu di kalangan kanak –kanak sering ditonjolkan apabila seseorang menerima kehadiran adik baru. Kadang-kadang ibu bapa boleh naik angin ketika berhadapan dengan karenah mereka.

Tambahan pula, dalam keadaan ibu yang baru melalui proses kelahiran dan masih di dalam pantang serta masih lemah. Sang bapa pula yang masih kelam kabut menguruskan kehadiran orang baru di dalam keluarga, keadaan ini sering menimbulkan ketegangan sesama ahli keluarga.

Walau bagaimanapun, di dalam situasi yang kurang selesa ini, kita sebagai ibu bapa perlulah meletakkan diri di tempat anak kerana jika kita memahami perasaan mereka, kita akan dapat menanganinya dengan lebih baik.

Jangan hanya memikirkan tentang apa yang kita rasai, tetapi selamilah perasaan si kakak atau si abang ‘baru’ yang pasti menerima kejutan kerana perhatian yang selama ini tertumpu seratus peratus kepadanya kini telah beralih arah kepada si kecil.

Bukan mudah untuk dia menerima situasi itu, maka bagi menarik sebanyak mungkin perhatian dari ibu bapa, dia akan melakukan apa sahaja demi survival diri sebagai orang yang disayangi oleh kedua orang tuanya.

Di samping itu, kanak-kanak yang berumur antara dua hingga lima tahun biasanya sangat mementingkan diri (egocentric), jadi mereka akan hanya memfokus pada diri sendiri dan tidak dapat memahami perasaan orang lain dan belum pandai untuk berkongsi.

Oleh itu, kecemburuan itu mungkin akan menegangkan urat kita dan mungkin juga memeningkan kepala kita, tetapi sabar dulu, cuba tips-tips di bawah, mudah-mudahan  ia akan membantu kita mengatasi anak yang baru menjadi kakak atau abang itu. Selamat mencuba dan moga berjaya!

Sepanjang kehamilan

Bawa anak ke hospital semasa temujanji dengan doctor, beri peluang kepada mereka untuk melihat adik baru mereka yang ada di dalam rahim anda. Ibu boleh juga bercerita tentang adik yang bakal hadir itu dengan menunjukkan gambar ultrasaound scan yang boleh di dapati dari klinik atau hospital. Jika bayi sudah mula menendang-nendang, letakkan tangannya di perut anda supaya dia merasakan kewujudan adiknya itu. Biarkan dia bermain-main seketika.

Lawatan pertama

Ketika si kakak atau abang melawat anda dan bayi untuk kali pertama di hospital, tunjukkan bayi kepadanya. Katakan : “Ini adik kakak/abang.” Berbanding “Ini bayi baru kita.” Berikan peluang kepadanya sama ada ingin menyentuh atau meriba bayi (dengan sokongan anda). Jika dia hanya melihat dan terus bermain, jangan memaksa, berilah dia masa untuk menerima kehadiran orang baru di dalam hidupnya itu.

Tunjukkan cara yang betul untuk melayani si kecil

Kadang-kadang ada dikalangan anak-anak terlampau cemburu kepada adiknya sehingga sanggup memukul, menggigit atau menyakiti adiknya. Jika ini berlaku, jangan sesekali ibu atau bapa memukul mereka kerana jika anda memukul, ia akan meningkatkan lagi rasa dendam mereka kepada si kecil.

Jauhkan kakak/abang dari adiknya dan terangkan kepadanya bahawa perbuatan tersebut salah,     kemudian
ibubapa perlu menunjukkan cara yang betul melayani bayi seperti ajar anak mencium, membelai rambut bayi, mengusap-usap pipi bayi atau sebagainya. 

Setiap kali kita dapati mereka ingin mengasari bayi, tarik tangannya dan ciumlah pipinya, bisikkan kata-kata sayang kepadanya. Kemudia katakan kepada si kakak atau abang : "Cuba cium adik macam ibu cium kakak/abang... Mmmuuaah.. Sayang adik!” Ulangi ayat-ayat sebegini sehingga dia terbiasa dengannya dan tahu cara yang sepatutnya dilakukan kepada si kecil.

Selain daripada mencium, lakukan juga aksi-aksi lain seperti memeluk, mengusap tangan atau kaki bayi, membelai pipi dan rambut dan mungkin boleh meletakkan bayi di atas riba mereka (dengan sokongan ibubapa). 


Membantu

Beri peluang si kakak atau abang untuk membantu anda untuk mengurus bayi supaya dia dapat merasakan bahawa dia adalah sebahagian daripada proses tersebut.

Biarkan dia menggosok-gosok bayi ketika mandi, melekatkan lampin pakai buang, mencari permainan untuk bayi atau apa sahaja yang sesuai. Ia sangat membantu untuk si kakak atau abang merasakan kebersamaan dengan adik baru mereka.

Ketika menyusukan bayi

Waktu menyusukan bayi mungkin menyebabkan tahap cemburu meningkat di kalangan anak yang lebih besar kerana mereka melihat bayi dipangku dan dipeluk oleh ibu. 

Jadi, ajaklah si kakak atau abang duduk berhampiran dengan anda, biarkan dia mengusap-usap kaki bayi dan bacakanlah buku kepada mereka. Jika sukar untuk membaca buku, tonton bersama rancangan televisyen yang sesuai dan berbual berkaitan rancangan tersebut. Usaha ini akan menyebabkan anak yang lebih besar tidak merasa dipinggirkan oleh ibu mereka.

Mengimbangkan perhatian

Pastikan perhatian anda tidak hanya tertumpah kepada bayi semata-mata.  Adalah sangat baik andai anda dapat melayani si kakak atau abang sementara bayi diserahkan kepada suami, ibu bapa anda atau orang lain yang berada di sekeliling anda.

Mungkin anda boleh menyuapkan makanan kepada mereka, membacakan buku atau melakukan aktiviti yang sesuai dengan keadaan anda. Perbuatan anda akan menyebabkan anak-anak merasakan mereka tetap disayangi walaupun adik kecil mereka hadir dalam hidup mereka.

Perkenalkan rakan sepermainan yang lain

Sebelum kelahiran lagi, biasakan anak untuk bermain dengan orang lain seperti nenek, datuk , ibu saudara atau bapa saudara mereka. Jadi, setelah melahirkan, sekiranya anda belum sembuh atau sibuk menguruskan bayi, si kakak atau abang boleh mencari orang-orang di sekeliling untuk bermain bersamanya.

Memegang dan menyanyi

Beri peluang kepada si kakak atau abang untuk meriba atau memegang adiknya. Minta dia nyanyikan lagu-lagu kanak-kanak kepada bayi. Dia pasti sangat gembira apabila bayi tersenyum atau bertindak balas dengan nyanyiannya. 

Luangkan masa bersama

Perhatian ibu kepada si kecil sedikit sebanyak akan mengganggu perasaan si kakak atau abang, jadi ketika bayi sudah tidur, peluklah anak yang lebih besar sekerap yang mungkin, anda boleh juga mengajak mereka untuk baring bersama di atas katil anda dan bercerita tentang berbagai perkara dengannya.

Perbuatan ini sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan gusar dan bimbang akan kehilangan perhatian dari anda.

***

Di dalam menangani kecemburuan di kalangan kakak atau abang baru ini, jangan sesekali memarahi mereka kerana tindakan ini akan lebih memburukkan keadaan. Cuba tunjukkan bahawa kasih sayang anda tidak pernah hilang kepadanya. 

Ketika berhadapan dengan keadaan sebegini, peranan seorang bapa sangat penting untuk mengambil hati mereka. Si bapa mungkin boleh bermain bersama mereka, berbual-bual dengan mereka tentang perasaan mereka, makan aiskrim bersama atau buatlah apa sahaja untuk menunjukkan kecintaan ibubapa kepadanya.  Perbuatan seperti itu mungkin nampak remeh tetapi ia sangat memberi kesan kepada anak-anak.

Kecemburuan ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin, jika tidak, dibimbangi perasaan cemburu yang tidak terkawal mungkin menolak mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada si adik kecil.

No comments: