10 April 2009

Mak... Abah... Restuilah perjalanan ini...

Perjalanan jauh kami ke Baitullah bermula pada subuh Rabu, 8 April 2009. Diiringi laungan azan Subuh dari corong radio IKIM. FM benar-benar mengundang kesyahduan di hati kami. Hampir-hampir air mata berguguran, namun kami bendung ia agar bertahan, tetapi akhirnya ia gugur jua seusai solat subuh pagi itu.

Dalam keheningan pagi yang amat mendamaikan itu, hati saya tidak henti-henti berdoa agar Allah menyampaikan kami ke Tanah Suci, memudahkan perjalanan dan memberkati perjalanan ini.

Pagi Rabu itu, kami akan pulang ke Pahang bertemu dengan abah dan mak untuk memohon ampun dan restu. Kalau ikutkan hati, memang rasa terlalu jauh nak balik ke Pahang dalam masa yang begitu suntuk ini, kerana perlu kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari khamis. Boleh bayangkan betapa penat bermusafir dari kedah ke Pahang dan berpatah balik semula ke Kuala Lumpur dalam masa 2 hari. tetapi bila memikirkan restu dan keampunan dari ayahanda dan bonda amat penting sebelum mengerjakan umrah, kami harungi jua musafir panjang ini.

Kebetulan pula pada pagi itu Kuliah Ustaz Zahazan menyentuh berkenaan dengan Birrul Walidain (berbuat baik kepada ibu bapa). Beliau mentafsirkan ayat 14 dari surah Luqman. Bertambah-tambah lagi keinginan saya untuk bertemu ayah bonda untuk memohon restu dari mereka.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu."

Di dalam kuliah tersebut, beliau telah mengisahkan tentang Abdullah ibnu Umar.

Pada suatu ketika, Abdullah ibnu Umar bertemu dengan seorang anak afrika, lalu beliau memakaikan serban yang dipakainya ke kepala anak itu. Lalu menaikkan anak itu ke atas kudanya, dari tingkah lakunya menunjukkan beliau sangat memuliakan anak itu. Seorang sahabat yang melihat keadaan itu merasa amat pelik dengan kelakuannya lalu bertanya kepada Abdullah ibnu Umar. "Kenapa engkau melakukan sedemikian rupa terhadap budak afrika itu? Dia hanyalah seorang budak afrika yang jika Engkau tidak melayani dia sebegitu pun tidak mengapa. Dia hanyalah seorang dari golongan hamba." Mendengar soalan sahabatnya itu, dia menjawab, "Bapa anak ini ialah orang yang dimuliakan oleh bapaku, maka aku ingin terus memuliakannya kerana ayahku sangat memuliakan ayahnya."

Begitulah hebatnya Abdullah ibnu Umar memuliakan bapanya sehinggakan dia memuliakan anak kepada orang yang dimuliakan oleh bapanya. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita telah berbakti kepada kedua orang tua kita yang banyak berkorban demi membesarkan kita? Sudahkah kita memuliakan ibu bapa kita sebagaimana yang sepatutnya?

Sebenarnya persoalan berbakti kepada ibu bapa semakin menghilang dalam masyarakat kita. Lihat saja disekeliling kita, bagaimana anak-anak melayani ibu bapa mereka? Usahkan nak memuliakan ibu bapa, bahkan ibu bapa pun ditengking herdik sesuka hati. Bila ibu bapa meminta bantuan, ramai yang buat tak tahu. Bila ibu bapa sakit berapa ramai yang sanggup meluangkan masa menziarahi mereka?

Dan sama-sama kita tanya pada diri kita, dalam sebulan berapa kali kita menghubungi ibu bapa untuk bertanya khabar mereka? Berapa kali kita bertanya sihatkah mereka? Sudah makankah mereka? Kadang-kadang ada dikalangan anak-anak hanya bertemu ibu bapa atau balik ke kampung pada hari Raya sahaja. Itupun kerana semua orang balik kampung, maka dia pun terpaksa balik kampung.

Adakah ini tanda-tanda kiamat makin hampir? Tiada lagi penghormatan kepada ibu bapa, tiada lagi istilah memuliakan mereka. Bila menyebut hal ini, saya sendiri merasa gerun. Mampukah saya menjadi anak yang solehah? Mampukah saya menjadi anak yang menjadi penyejuk hati buat ibu bapa saya.

Ketika saya merenung ke wajah anak saya, saya sentiasa berdoa agar anak ini akan berbakti kepada ayah dan ibunya tika kami sudah tidak berdaya kelak. Ketika itu juga saya terfikir bahawa mungkin dulu semasa saya kecil, itulah juga harapan ibu bapa saya kepada anak-anaknya.

Ibu bapa tidak pernah berkira-kira tentang kasih sayang yang dicurahkan kepada kita. Tetapi kita sering menghitung-hitung pemberian kita kepada mereka. Cinta dan kasih mereka curahkan demi kebaikan kita, tetapi cinta dan kasih kita hanya kerana terpaksa.

Ya Allah... Jadikanlah kami anak yang berbuat baik kepada ibu bapa. Berilah kami kesabaran dan kekuatan untuk memuliakan mereka... Ya Allah, tanpa hidayah dan inayahMu kami bimbang jika kami dimurkaiMu lantaran kederhakaan kami kepada ibu dan bapa kami... Ya Allah ampunilah kami...

No comments: