Bila ditanya kepadamu kenapa engkau berada di atas jalan dakwah ini, katakanlah kepadanya bahawa inilah seruan yang telah dipelopori oleh Rasulullah s.aw.
Hala tujunya adalah yang setinggi-tingginya iaitu Allah s.w.t. Lantaran itu, Allah adalah tujuan kita walau apapun yang kita lakukan. Kita hanya mengharapkan keredhaanNya dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya.
Tugas ini bukanlah tugas yang hanya mengejar matlamat-matlamat kecil, bahkan tugas ini menuju kepada membahagiakan umat sejagat dengan kerahmatan Islam.
Walaupun ia tugas sukar dan meletihkan, namun demi balasan syurga yang seluas langit dan bumi, kita harungi jua. Kerana ingin bersama dengan para anbiya, siddiqin, syuhada dan salihin kita tempuhi jua susah dan peritnya jalan ini. Mudah-mudahan kita akan terselamat dari azab neraka yang bahan bakarnya adalah batu dan manusia.
Jalan dakwah ini, tidak akan pernah ditaburi dengan bunga-bunga yang harum, tetapi ia penuh duri yang tajam. Bahkan ia satu jalan yang amat sukar dan panjang. Kita tidak akan pernah berasa tenang dari tentangan para pendokong kebatilan. Kita akan sentiasa dilemparkan dengan segala tuduhan dusta dan hina.
Namun bagi mereka yang berada di atas jalan ini, semua itu tidak akan melamahkan semangatnya. Kita akan terus sabar dan memohon pertolongan dari yang Maha Kuasa kerana Allah telah menjanjikan bahawa bumi ini akan dipusakakan kepada hamba-hambanya yang bertaqwa.
Wahai insan yang berada di atas jalan dakwah ini, bersama-samalah kita beristiqamah dengannya. Impian kita bukan dunia yang sementara ini, tetapi saat kita akan dibangkitkan di akhirat sana.
Biar apapun yang akan membentenginya, kita akan terus bergerak hinggalah kita menang atau syahid kerananya…
No comments:
Post a Comment