07 April 2014

Dengar, bawa balik, muhasabah, ubah!

“Agak-agaknya, bagaimanakah sepatutnya cara kita berhadapan dengan nasihat atau teguran yang diberikan kepada kita berkenaan dengan rumahtangga kita?” Saya membuka bicara di dalam satu sesi perkongsian Bait Muslim pada ahad yang lalu.

Sambil memandang ke arah setiap isteri yang berada di dalam bulatan pada petang itu, kelihatan semua sedang berfikir apa jawapan yang terbaik. Saya menanti penuh sabar dan akhirnya terpaksa menyebut nama seorang daripadanya meminta beliau memberikan pandangan.

“Mmm pada saya, sekiranya ada seseorang yang datang menegur, kita haruslah menerimanya,  muhasabah diri kemudian memperbaiki..” Jawab Aini (bukan nama sebenar) dengan penuh yakin.
Saya beralih kepada semua yang ada, jawapan lebih kurang sama, inti sama cuma olahan ayat yang sedikit berbeza.

“Bagus jawapan semua, menerima dan muhasabah, tetapi akak nak menambah satu lagi… Iaitu seandainya ada teguran atau nasihat yang diberikan kepada kita, jangan terlalu cepat memberi justifikasi. Dengarkan dahulu nasihat atau teguran itu, jangan cepat membantah. Kemudian bawa pulang ke rumah, kita muhasabah, jika perlu kita ubah..” Saya menambah sedikit daripada jawapan adik-adik tadi.

"Atau dengan bahasa yang mudah, dengar, bawa balik, muhasabah, ubah."

“Maksud akak? Jangan mudah defend diri?” Tanya seorang daripada mereka sambil mengerutkan dahi.

“Betul tu! Jangan cepat kita mempertahankan diri atau memberi justifikasi atas teguran yang dibuat oleh orang disekeliling kita tidak kira siapa samaada ibu bapa, jiran tetangga, ibubapa mertua atau mungkin sahabat-sahabat kita.”

“Kenapa perlu begitu?” sengaja saya bertanya lagi ingin memberi ruang mereka berfikir.

Mereka hanya memandang, nampak seperti tiada yang mahu berkata-kata, lalu saya menyambung bicara.

“kerana sekiranya setiap kali diberi nasihat atau teguran, lalu kita berkata itu dan ini untuk mempertahankan perbuatan dan tindakan kita itu, kita bimbang lama kelamaan tiada siapa lagi yang mahu menegur atau memberi nasihat kepada kita. Apatah lagi jika kata-kata kita itu seolah-olah mahu menafikan segala teguran dan nasihat yang dibuat, sedangkan mungkin ia benar-benar berlaku.

“Contohnya macam mana kak?” Tanya pula Hanan (bukan nama sebenar) meminta penjelasan

“Contohnya, ibu kita menegur tentang cara kita mendidik anak-anak yang kelihatan terlalu lembut. Lalu kita pun mempertahankan cara kita itu dengan berbagai-bagai alasan, memberikan seribu satu kenyataan untuk menafikan teguran dan menampakkan tindakan kita itu betul tiada kesalahan.”

 “Akhirnya akan keluarlah kata-kata seperti  mmm tak perlulah nasihat si polan dan si polan tu, kalau di tegur pun bukan dia nak menerima.. Dia akan kata apa yang dibuat tu betul belaka…”

“Ataupun mungkin juga akan ada yang mengatakan bahawa, dia tu bukan nak dengar pun nasihat kita ni, dia rasa dia bagus sangat, nasihat kita ni akan diletak ke tepi sahaja.”

“Oleh sebab itulah jika kita ditegur atau dinasihati, ucapkan sahaja terima kasih kepada yang prihatin itu, bawa balik kata-kata nasihat mereka, refleksi pada diri dan keluarga sama ada ia betepatan atau tidak dengan apa yang berlaku dalam keluarga. Jika ada benarnya, mungkin kita boleh ubah yang mana patut dalam hidup kita berumahtangga dan jika tidak sekalipun mungkin ia akan berguna pada masa depan yang kita belum pasti onak dan durinya.” Jelas saya panjang lebar kepada adik-adik yang di hadapan saya.

Kebanyakannya masih di awal usia perkahwinan, 3-4 bulan, setahun, 4 tahun dan 7 tahun. Walaupun saya tidaklah mempunyai terlalu banyak pengalaman, tetapi disebabkan sayalah yang ‘paling tua’ dikalangan mereka, maka terpaksalah saya berkongsi pengalaman yang mungkin berguna buat adik-adik yang masih baru melayari bahtera perkawinan.

“Ad Deenun Nasihah” begitu sabda Rasulullah yang bermaksud agama itu nasihat. Walau sehebat manapun kita, kadang kala kita kita tidak sedar kita mungkin melakukan kesalahan dan kesilapan.

Bukankah kita ini manusia?

Oleh sebab itu, nasihat yang datang boleh diumpamakan seperti cermin. Jika tiada cermin, mungkin kita tidak dapat melihat tudung yang dipakai senget. Mungkin tidak nampak bedak bertompok. Mungkin tidak nampak rambut di sikat rapi atau tidak.

Maka kita perlukan cermin atau orang yang lain yang mungkin ternampak kelemahan dan keburukan yang ada pada diri dan keluarga. Pada pandangan dan firasat kita, adakala kita rasa semua baik-baik belaka, namun tidak bagi mereka yang di luar sana apatah lagi jika nasihat itu datang dari orang yang lebih berpengalaman dan tinggi ilmu agama.

Bersikap rendah diri di hadapan mereka yang lebih dahulu melalui onak duri di dalam perjalanan sebuah perkahwinan, adalah sangat baik untuk kita mengutip sebanyak mungkin bekalan dalam perjalanan membina keluarga yang dinaungi sakinah dan mawaddah.

Bukan mudah untuk menerima dan mendengar keburukan diri sendiri atau keluarga, namun kepahitan itu kadang-kadang menjadi ubat kepada sebuah kemanisan.

Rumahtangga yang dibina, pengakhirannya bukan sahaja di dunia yang fana ini, tetapi kita mengharapkan berkekalan sehingga semuanya berkumpul di Firdausi yang tertinggi.




No comments: