24 October 2010

Kita sedang membina insan

“Kak, macammana saya nak buat dengan anak-anak saya, dah lah degil, buas dan lasak pula tu. Ya Allah… penat sangat rasanya, nak marah, pukul dan tengking pun tak guna dah kak. Kalau dengar pun dua saat je, lepas tu dia buat semula.. macammana ya kak” Keluhan yang maha berat itu keluar satu persatu dari bibirnya. Matanya memandang jauh ke dada tasik seolah-olah meminta simpati sang camar yang berterbangan agar membawanya bersama menjelajahi angkasa supaya dapat meringankan sedikit beban di fikirannya.


Ketenangan yang terpancar petang itu, adalah lantunan daripada ketaatan dan zikir dari pohon-pohonan, tasik nan terbentang, sang burung dan lain-lainnya. Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Lantaran tasbih dan ketaatan apa yang di langit dan dibumi itulah, kami tika ini bagai tenggelam di dalam rahmat ilahi, tenang dibuai hembusan angin yang sedang menunaikan janji kepada tuhannya.

“Anak saya tu baru berumur tiga tahun, tetapi tak nak dengar kata saya. Tak retilah nak buat macammana.” Keluhan itu mengembalikan semula saya dunia nyata.

“Jadi apa yang ina harapkan dari anak kecil itu?”

“Saya naklah dia ikut cakap saya, jangan nakal-nakal, saya balik kerja dah lah penat, nak kemas rumah lagi, nak memasak lagi, lepas tu dia buat perangai dan macam-macam. Tu yang saya tak tahan, dia tak faham ke yang saya ni penat? Sekejap nak itu, sekejap nak ini, naik angin juga saya dibuatnya!” luah Ina lagi.

“Kak, bantulah saya kak, saya tak mahu keadaan ini berterusan. Saya sayangkan anak-anak saya!”

Sudah menjadi lumrah ibu bapa, inginkan anak-anak yang mendengar kata. Bak kata orang, anak yang sejuk dikandung ibu. Namun sejauh mana usaha kita untuk menjadikan mereka penyejuk mata kita?

“Ina, tahniah akak ucapkan kerana ina bersungguh-sungguh mencari penyelesaian untuk masalah anak-anak ini. Dan bersyukurlah kepada Allah kerana Allah mengurniakan hati yang sensitif kepada kita tentang tabiat negatif anak-anak.”

“Begini Ina, anak-anak sebenarnya sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Di dalam menangani masalah anak-anak, apa yang perlu kita lakukan bukan mencari apa yang anak kita lakukan, tetapi kita perlu melihat bagaimana kita melayani mereka. Cubalah kita bayangkan, bila kita bekerja, pagi-pagi lagi kita dah hantar mereka ke nursery atau tadika. Petang baru kita ambil. Setelah seharian kita tinggalkan mereka bersama dengan orang lain, bila balik kita sibuk dengan kerja-kerja rumah pula. Jadi bilakah waktunya mereka boleh dapatkan kasih sayang kita?”

“Ina, sebelum anak-anak menderhakai kita, sebenarnya kitalah yang terlebih dahulu menderhakai mereka. Bila balik ke rumah, yang keluar dari mulut kita biasanya “Kak Long pergi mandi sekarang!” “Kak Long makan!” “Kak Long itu! Kak Long ini!” Semuanya arahan dan suruhan. Bila anak-anak tak ikut, mulalah suara kita akan meninggi. Hakikatnya, anak-anak itu masih kecil ina. Tidak semua arahan dan suruhan kita akan dibuat serta merta. Dia sedang belajar tentang kehidupan. Dia sedang belajar mengutip pengalaman."

Ina hanya mampu mengangguk lesu, mungkin mengakui itulah yang terjadi saban hari di rumah. Wajahnya tertunduk ke bawah, ada nada keluhan di dalam nafasnya.

“Anak-anak kecil seusia itu sebenarnya sedang membina perasaan, jika kita sebagai ibu bapa hanya suruh itu, suruh ini, bila tak buat dimarah-marahi, takut-takut nanti kasihnya bukan lagi pada kita. Tapi kepada orang yang lebih prihatin padanya. Masa kecil ni mungkin dia akan mengadu pada kita. Tapi cuba bayangkan bila dia dah semakin meningkat remaja. Ada rakan taulan yang lebih kasih dan mudah berkongsi rasa, pasti jiwa mereka lebih cenderung kepadanya. Pada masa itu, ibu bapa hanyalah sebagai orang asing. Bukan tempat berbahagi masalah, bukan lapangan menenangkan hati yang resah. Jika dilanda masalah, akan diadu kepada orang lain yang dianggap lebih mengasihi dan memahami. Masa itu, sukar untuk kita mendekati mereka."

“Cuba kita tanya pada diri kita, dalam sehari berapa kali kita peluk dia, berapa kali kita bertanya masalah dirinya, berapa kali kita bertanya apa yang dia perlukan daripada kita, berapa kali kita berbual-bual dengannya? Berapa kali? Seringkali yang kita fikirkan hanyalah penat lelah diri kita, hakikatnya anak-anak tak tahu yang ibu dan ayahnya letih. Yang mereka tahu, mereka mahukan perhatian kita. Sebagai ibu bapa kita kena banyak sabar. Jika kita penat, ketepikanlah dahulu perasaan-perasaan itu. Tumpukan kepada manusia di hadapan kita yang lebih memerlukan kita. Anak-anak perlukan kita sebagai rakannya. Jika kita dapat membina kepercayaan mereka kepada kita, Insya Allah kita akan dijadikan tempat rujukan. Apa jua yang melanda diri mereka, kita adalah orang pertama tempat meminta nasihat."

“Merujuk kepada anak-anak Ina yang tidak mahu mendengar kata itu, sebenarnya mereka hanya ingin menarik perhatian ina dan suami. Walaupun perhatian yang diterima hanyalah marah dan tengking kita, atau tampar dan cubit kita. Mereka tidak kisah asalkan kita memberi focus kepada mereka dalam apa cara sekalipun. Mungkin kalau mereka berkelakuan baik kita buat tak tahu sahaja, jadi dia akan melakukan sesuatu agar perhatian kita terarah kepadanya. Walaupun, caranya dengan bergaduh dengan abang atau adik dan sebagainya. Mendidik anak-anak tidak perlukan kekerasan, tidak perlu kepada tinggi suara…”

Saya maraut dan mengusap-usap tangannya. Saya pandang dia dan dia membalasnya. Jelas, matanya berkaca-kaca.

“Betul tu kak, biasanya apa yang akak katakan tadi memang selalu berlaku di dalam hidup kami sekeluarga. Balik penat, suruh anak itu dan ini, bila tak ikut dimarah-marah, Ya Allah, apalah yang telah saya lakukan kepada anak-anak?” Suaranya bergetar menahan tangis yang berat di dalam jiwa.

“Jadi apa yang perlu saya lakukan? Masih belum terlambat bukan?” Dia bertanya, air mata yang sedari tadi diempang akhirnya melimpah juga.

“Insya Allah masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan lagipun anak-anak ina masih kecil. Apa yang perlu Ina lakukan, pertama sekali, mohonlah keampunan daripada Allah s.w.t atas kelemahan kita yang lalu dalam mendidik anak-anak. Mohon sungguh-sungguh dengan Allah supaya Allah tunjukkan kita jalan untuk mendidik anak-anak yang diredhaiNya.”

“Yang kedua, Ina dan suami mesti ingat bahawa anak-anak amat memerlukan kasih sayang kita. Tunjukkanlah kasih sayang kita kepada mereka, peluklah mereka sentiasa, sekurang-kurangnya empat kali sehari lebih baik kalau dua belas kali, katakan juga kepadanya bahawa kita sangat-sangat sayangkan mereka. Luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak samaada dengan bermain bersama, makan sambil berbual-bual bersama, berkebun bersama, memasak bersama, berbasikal bersama, jogging bersama atau apa juga aktiviti yang menyeronokkan. Jika mereka buat perangai, tanya dia jika kita boleh membantu dia menyelesaikan masalahnya. Biasanya, anak-anak tidak pandai untuk bercerita apa yang sedang dialaminya, sebab tu dia cuba menunjukkan ketidak selesaannya. Jadi kita perlu sentiasa bertanya apa yang dia mahukan.”

“Jika mereka melakukan kebaikan, pujilah kebaikan mereka itu seolah-olah kebaikan itu amat besar maknanya kepada kita. Jika dia masukkan baju kotor di dalam mesin basuh sebagai contoh, mungkin Ina boleh katakan kepadanya “Masya Allah, solehnya anak ibu hari ni, masukkan baju dalam mesin, Ya Allah, ibu sayang adik hari ini, terima kasih ya sebab masukkan baju ke dalam mesin.” Kemudian peluklah dia. Berikan ganjaran atas perbuatan baiknya itu. Pelukan itu pun sudah cukup sebagai ganjaran”

“Boleh ke anak-anak dengar cakap kita kalau kita asyik berlembut sahaja?” Tiba-tiba Ina bertanya, matanya tepat menala ke mata saya.

“Insya Allah… Ina tahu tentang kisah Rasulullah bukan? Dakwahnya sangat lembut. Bahkan baginda juga menganjurkan supaya umatnya menggunakan kaedah secara baik dan lembut terhadap anak-anak. Di dalam Al-Quran pun Allah suruh kita berlemah lembut, jika kita bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari kita. Kita kena banyak maafkan mereka dan berbincanglah dalam menyelesaikan masalah.”

Saya teringat ayat Allah di dalam surah ke tiga ayat 159

“Jika dia melakukan sesuatu kesalahan, jangan cepat-cepat marah atau pukul dia. Alangkan kita yang sudah dewasa ini pun selalu membuat kesalahan, inikan pula si dia yang masih kecil dan belum matang itu. Nasihati dia penuh kasih sayang. Jika dia pukul adiknya sebagai contoh, katakan padanya, “Sayang tak boleh pukul adik tau. Allah tak suka, ibu dan ayah pun tak suka, lagi pun kasihan adik, sakit adik, tak nak pukul adik lagi ya. Abang soleh kan?” Satu perkara yang perlu kita ingati, janganlah kita sangka dengan sekali nasihat sahaja anak-anak akan terus jadi baik. Ia tidak semudah itu kerana kita sedang membina jiwa manusia yang ada nafsu dan akal, bukan robot yang boleh diprogramkan mengikut spesifikasi yang kita mahukan. Ulangilah nasihat-nasihat seperti ini. Kita perlu ulang nasihat ini pada waktu-waktu yang mana anak-anak boleh menerimanya seperti sebelum tidur, selepas mandi, selepas solat, selepas makan dan ketika anak sedang tenang. Jangan biasakan marah dan menengking anak, jika sudah terbiasa nanti, kita marah pun dia dah tak rasa apa-apa lagi.”

“Jadi kita tak boleh pukul anak-anak ya kak?”

“Boleh, tetapi ia adalah yang terakhir setelah apa yang akak katakana tadi kita dah buat. Tetapi… Akak pernah membaca buku Profesor Dr Saedah Siraj yang bertajuk Pendidikan anak-anak. Dia kata sekatan kepada harga keseronokan merupakan hukuman paling berkesan dan baik untuk mendidik anak-anak.”

“Apa harga keseronokan? Ish! Tak pernah dengar la pula. Apa tu kak?” Dia bertanya, hairan agaknya dengan istilah itu, dengar pun tak pernah bagaimana pula nak melaksanakannya?

“Begini di dalam usia anak yang masih rebung, kita disarankan mendidik mereka dengan kaedah nasihat dan menyuruh anak-anak secara baik, tanpa marah atau memukul. Sekiranya mereka tidak melakukan apa yang ibu bapa suruh, ibu bapa boleh mengambil salah satu dari langkah-langkah sekatan terhadap harga keseronokan yang akak sebut tadi.”

“Apa langkah-langkahnya?” tak sabar gayanya ingin mengetahui.

“Pertama, melarang mereka bertemu kawan-kawan. Kedua, menyekat mereka dari bermain dan yang ketiga menyekat mereka daripada mendapat perhatian ibu bapa, kita menyekat mereka dalam beberapa waktu yang tertentu dan tidak begitu lama.” Jelas saya panjang lebar

“Ooo… begitu rupanya. Mmm banyak sungguh kesilapan saya dalam mendidik anak-anak. Saya ingatkan dengan marah dan hukuman tu dapat mendisiplinkan mereka. Rupa-rupanya banyak lagi cara lain yang lebih baik. Nampak sangatlah, yang bermasalah bukan anak-anak, tetapi ibu bapa seperti saya ni. Insya Allah, lepas ni saya akan cuba laksanakan saranan-saranan akak tadi. Kak! Jom kita balik! Tak sabar rasanya saya nak peluk anak-anak saya tu!”

“Okey! Tapi ada satu lagi yang paling penting!”

“Eh! Ada lagi?”

“Ya laaa… selain daripada kita usaha, perkara yang paling penting ialah ibu bapa mesti doakan anak-anak. Jangan hanya berdoa “ Ya Allah, jadikanlah anak-anakku soleh dan solehah.” Tetapi kita perlu berdoa secara yang lebih spesifik seperti “Ya Allah, jadikanlah anakku Aiman orang yang rajin solat, jadikanlah dia orang yang rajin belajar, jadikanlah dia anak yang berbakti kepada ibu bapa dan jadikanlah dia penyejuk mata kami.” Bukankah doa ibu itu doa yang mustajab? Jadi mari kita serahkan anak-anak kita kepada Allah yang memegang hati-hati manusia. Kadang-kadang kita ni sombong dengan Allah, doa pun tak mahu. Jika ingin lebih baik, kita doa kuat-kuat selepas solat berjemaah bersama supaya anak-anak kita dengar, insya Allah lembut hati mereka ketika mendengar doa kita itu. Akak, kalau Humaira’ tu buat sesuatu yang akak tak suka, akak akan berdoa kuat-kuat supaya dia dengar, insya Allah lepas-lepas tu dia akan berubah dengan cepat.”

“Masya Allah kak! Saya rasa seperti sebiji batu besar yang menghempap dada saya sejak sekian lama sudah terlepas dari saya. Jom! Tak sabar saya nak jumpa anak-anak ni!” Dia berkata dengan penuh semangat. Ditariknya tangan saya menuju ke tempat parkir dengan wajah yang berseri-seri.

Moga ada sinar selepas ini, dan semoga anak-anak kami akan menjadi manusia yang hebat dan soleh, yang akan menjadi khalifah terbaik di muka bumi. Amin Ya Rabbal Alamin…

No comments: