11 March 2009

Program Jalinan Mahabbah

Alhamdulillah, pada 9 Mac yang lalu satu program jaulah yang diberi nama sebagai Program Jalinan Mahabbah telah berjaya dijalankan. Program yang dianjurkan oleh Pembina Kedah (Wanita) telah menarik minat 25 orang akhawat untuk sama-sama menjelajah ke Muzium Padi dan gunung Keriang di samping menziarahi rumah Ketua Wanita Pembina Kedah, Dr Murizah Mohd ZainProgram bermula pada 8.00 pagi dimana semua peserta dikehendaki berkumpul di Mall UUM. Setelah semua berkumpul, 3 buah kereta dan 2 buah MPV digunakan untuk membawa peserta ke Muzium Padi. Sampai di Muzium padi lebih kurang pada jam 9.30 pagi, kami dihidangkan dengan suasana indah dan nyaman di Muzium Padi yang terletak di kaki bukit gunung keriang. Peserta-peserta yang tidak sabar-sabar ingin mengetahui apa yang ada di dalam muzium tersebut segera bergerak ke kaunter masuk. Sebelum masuk ke Muzium kami telah diberi taklimat oleh seorang pegawai tentang sejarah Muzium Padi. Banyak maklumat yang dapat ditimba daripada penerangan pegawai tersebut. Setelah menjelajah ke Muzium Padi selama hamper 2 jam, semua peserta menjamu selera (bihun goreng) di pondok wakaf yang terletak dihadapan muzium padi.

Sekitar jam 12.00 tengahhari semua peserta bergerak ke Kawasan Rekreasi Gunung Keriang. Ketibaan kami di sana disambut oleh sekumpulan monyet. Peserta yang pada mulanya takut-takut nak ke kawasan lapang di kaki bukit tersebut akhirnya lega apabila monyet-monyet tersebut beransur-ansur beredar apabila menyedari kehadiran kami. Di situ satu kuiz berkenaan Sirah Rasulullah S.A.W telah diadakan. Peserta yang dibahagikan kepada 4 kumpulan bersemangat menjawab soalan-soalan yang diajukan. Setelah kuiz berakhir, hadiah telah disampaikan bukan sahaja kepada pemenang tetapi kepada semua peserta. Kami beredar dari kawasan rekreasi tersebut pada jam 1.00 tengahhari menuju ke rumah Ketua Wanita Pembina, Dr. Murizah Mohd Zain.

Di rumah Dr Murizah, kami menghidupkan api untuk membakar ayam. Maka berasap-asaplah rumah beliau. Usaha dan kesungguhan peserta menghidupkan api telah berjaya menyediakan ayam bakar yang sedap walaupun warnanya agak “hitam manis”. Semua peserta menikmati juadah makan tengahhari dengan penuh selera dengan nasi panas, air asam dan ayam bakar.

Selesai menjamu selera, peserta berkumpul di ruang tamu untuk santapan rohani pula. Tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Junainah banyak menyentuh tentang tarbiyah yang telah dilalui oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang perlu setiap insan meneladaninya. Tazkirah yang bertajuk “Mengenal Rasullullah, memantapkan tarbiyah” banyak memberi makna kepada para peserta. Walaupun ringkas, tetapi ia padat dengan ilmu dan pengajaran. Diharap setiap peserta dapat mengutip iktibar dan panduan dari tazkirah tersebut.

Yang bermula pasti berakhir, begitu jugalah dengan Program Jalinan Mahabbah ini. Program berakhir selepas sesi tazkirah sekitar jam 4.15 petang. Sebelum beredar, diadakan sedikit majlis penyampaian cenderahati kepada tuan rumah dan Ustazah Junainah atas kesudian mereka meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan program ini.


Akhir sekali, terima kasih atas usaha semua pihak yang telah menjayakan program ini. Moga program sebegini akan semakin mengeratkan silaturrahim antara kita dan memberi banyak kesan-kesan tarbiyah dalam diri kita semua...Wallahua’lam…

No comments: