04 March 2009

Anak kita, tanggungjawab kita




Ini adalah respon saya berkenaan dengan isu penjagaan anak-anak ketika program


Assalamualaikum w.b.t

Setelah membaca beberapa respon tentang anak-anak kita, ana terpanggil untuk sama-sama berkongsi pandangan.

Sebelum itu, ana nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ikhwah-ikhwah yang sanggup menjaga anak-anak ketika zaujah masing-masing berprogram. ana melihat perkara ini sebagai satu usaha murni ikhwah kerana kadang-kadang sanggup meluangkan masa dan terpaksa mengenepikan urusan lain hanya kerana ingin memberi laluan kepada zaujah masing-masing untuk menghadiri program tarbiyah. Ana percaya, setiap ikhwah yang sedar tentang kepentingan tarbiyah dikalangan akhawat pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu menjaga anak-anak ketika akhawat ada program, cuma mungkin pada masa-masa tertentu mrk tidak dapat membantu atas sebab2 yang tak dapat dielakkan atau mungkin juga kerana ada program bersama ikhwah student atau lain2.

Kepada akhawat, ana juga ucapkan tahniah kerana cuba sedaya upaya untuk memberi tumpuan kepada program walaupun anak-anak sentiasa mempunyai karenah yang kadang-kadang agak memeningkan para ibu.

Sebenarnya isu yang diketengahkan di sini mungkin satu isu yang agak sensitif. Bagi surirumah yang tak biasa meninggalkan anak-anak, mungkin rasa keberatan bila nak tinggalkan anak dengan orang lain, dan anak juga taknak. Dan bagi ibubapa yang bekerja sepenuh masa mungkin juga keberatan kerana terpaksa juga meninggalkan anak-anak walaupun ketika hujung minggu (sebab program selalunya hujung minggu). Bagi ana walau apa pun keputusan yang kita ambil, apa jua tindakan yang kita buat kita perlu melihat perkara ini dari banyak sudut.

Ana tertarik dengan apa yang diutarakan oleh Dr. Muri tentang anak-anak yang tidak mewarisi dakwah yang dibuat oleh ibu bapanya. Mengapa ini berlaku, sedangkan ibu atau bapanya adalah seorang da'i yang sangat hebat. Ana melihat perkara ini ada beberapa faktor.

1. Kefahaman tentang dakwah yang tidak dapat disampaikan oleh ibubapa kepada anak dengan baik
2. Anak-anak itu membenci dakwah kerana dakwah itu menyebabkan mereka sering ditinggalkan oleh ibu bapa.

Ana sebenarnya gerun nak berkongsi pandangan kerana anak-anak baru setahun jagung, tetapi ana cuba berkongsi apa yang ana pernah dapat melalui pembacaan dan kursus2 pendidikan anak2 yang pernah ana hadiri.

Dalam proses kita mentarbiyah diri dan anak-anak, ia sangat memerlukan keseimbangan. Jangan biarkan berlaku, ibu bapa sibuk dengan program manakala anak-anak sibuk dengan hal masing-masing. Jika kita pulang dari berdakwah, layanilah kemanusian anak-anak dengan penuh keseronokan dan kemesraan walaupun tugas-tugas kita diluar sana sudah terlalu melelahkan. Apa yang kita perlu sedar, anak kita ialah manusia yang perlu kita raikan kemanusian mereka. Mereka perlukan perhatian, mereka perlukan ibubapa yang mendengar cerita-cerita mereka. Jika hendak meninggalkan mereka untuk ke program, luangkanlah masa yang berkualiti bersama-sama mereka. Bermain bersama, menyanyi bersama, mandi bersama, makan bersama dan apa jua aktiviti yang menggembirakan mereka. Selalu katakan kepada mereka "ummi sayangkan kamu atau ayah sayangkan kamu."

Jangan sampai anak-anak merasakan bahawa mereka tiada nilai disisi ibu bapa mereka. Bila balik dari kerja, duduk rehat-rehat lepas tu keluar semula untuk aktiviti dakwah. Sehinggakan anak-anak merasa mereka selalu ditinggalkan kerana ibu bapa sibuk berdakwah. Disamping itu, ibu bapa perlu memahamkan anak-anak kenapa mereka perlu keluar berdakwah. Jangan sekadar berkata "ayah pergi berjuang atau ibu pergi usrah". Bagi anak-anak yang belum faham erti perjuangan, kata-kata itu hanyalah sia-sia.

Pastikan juga, sebelum kita tinggalkan mereka keperluan emosi mereka telah kita penuhi, biarlah kita tinggalkan mereka dalam keadaan mereka merasakan bahawa ibu bapa mereka amat mengasihi mereka. Katakan kepada mereka bahawa mereka sentiasa dihati kita. Jika kita tak sempat memenuhi keperluan emosi mereka mungkin kita boleh bawa ke program tetapi dengan syarat mereka perlu mengikut peraturan yang kita tetapkan (tapi jangan selalu). Dan ana minta ikhwah dan akhawat lain boleh berlapang dada dengan kehadiran si kecil ini kerana mungkin inilah juga masa untuk kita berlapang dada sesama ikhwah/akhawat yang mungkin tak sempat nak uruskan anak mereka. Mungkin inilah juga masanya untuk kita sama-sama didik anak-anak ikhwah/akhawat untuk menghormati majlis kita. Apa yang penting tiada pihak yang mengambil kesempatan atas sangka baik sahabat-sahabat kita.

Bagi ibu yang tidak bekerja (yang sentiasa bersama anak2) pula, belajarlah meninggalkan anak-anak. Ana pasti anak-anak akan meraung-raung supaya tidak ditinggalkan, tetapi sedarlah wahai ibu yang amat penyayang, "anakmu sedang mengujimu". mereka sedang mengujimu sejauh mana kecekalan dirimu. dan sejauhmana dirimu tertewas dengan tangisan mereka. Sepanjang ana berkecimpung dalam dunia tadika, rekod yang paling hebat ialah seorang pelajar yang menangis dari pagi hingga petang selama sebulan,tetapi ibu bapanya sangat tegas, datang ke sekolah dan hantar anak, kemudian balik. Selepas sebulan berlalu, pelajar itu boleh ke sekolah dengan penuh riang gembira. Cuma apa yang perlu kita lakukan hanyalah keraskan hati, lalu tinggalkan mereka. Nampak kejam tetapi itulah sahaja cara untuk anda pastikan anak-anak belajar untuk bergaul dengan orang lain. Dan percayalah, jika anda menunggu mereka di tadika, proses mereka menyesuaikan diri akan jadi lebih lama dan lambat.

Ana juga sangat berterima kasih kepada biro wanita kerana berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah anak-anak ini. Insya Allah ana akan cuba tanya guru-guru ana, tetapi setelah beberapa kali bertanya untuk program-program yang lalu, biasanya mereka keberatan kerana kepenatan bekerja di siang hari. Untuk pengetahuan semua, ada beberapa pelajar ana yang dijemput oleh ibu bapa mereka menjelang maghrib dan kadang-kadang sehingga jam 8 malam. Maka, untuk mengharapkan mereka menjaga pula anak ikhwah akhawat sampai ke sebelas malam adalah sesuatu yang membebankan mereka. Jika program hujung minggu pula, mereka selalunya memang nak balik kampung. Ana sudah cuba beberapa kali minta mereka mengiring pelajar kami ke program aulad, itupun kadang-kadang tidak berjaya. Ana mohon maaf andai guru-guru ana tidak dapat membantu, namun ana akan cuba juga bertanya kesediaan mereka untuk menjaga anak-anak akhwt jika ada program nanti. Panjang pula bicara ana kali ini. Ia hanyalah sekadar perkongsian. Moga ada manfaat dan jika ada silap ana mohon ampun dari Allah s.w.t dan dari ikhwah dan akhawat semua. Wallahu a’lam…

No comments: