24 March 2009

Kritikan yang membunuh perasaan...

“eh apa yang awak buat ni tak sesuai la…” , “Kenapa awak buat kerja macam ni? Entah apa-apa!” Pernahkah anda menerima kritikan sebegini? Atau adakah anda pernah memberi kritikan sebegini terhadap sahabat anda, adik-adik anda, staf anda atau anak anda? Jika ya, hentikan segera kerana ia akan membunuh potensi, perasaan dan kebolehan mereka.

Alangkah baiknya jika kita yang ingin mengkritik ini berkata : “ Apa yang awak lakukan ini baik, Cuma mungkin perlu ditambah ini dan ini…” atau “Mmm Bagus kerja awak, kalau awak buat begini dan begini tentu ia akan jadi lebih menarik…”

Walaupun ayatnya tidak begitu berbeza namun sebenarnya ia memberi banyak kesan terhadap individu yang menerima. Bagi yang ingin mengkritik, lihatlah hasil kerja orang lain dari pelbagai sudut. Mungkin apa yang dilakukan tidak menepati citarasa anda, tapi cubalah cari sudut baik yang mungkin sesuai untuk orang lain.

Lihatlah secara positif usaha orang lain untuk memulakan sesuatu. Mustahil hasil kerja nya akan sempurna dalam sekelip mata, tetapi ia adalah satu permulaan yang baik kerana dia sedang mencuba melakukan sesuatu yang mungkin belum dapat kita lakukan.

Cubalah bayangkan, jika anak kita yang baru nak belajar menulis, pastilah tulisannya kurang cantik, kurang kemas dan mungkin juga memang tak betul. Sekiranya kita yang melihat tulisannya lalu memberi komen sebegini “Tulisan adik tak cantik/ tak jadi la.” Agak-agak apa perasaan si kecil yang baru nak belajar itu? Pasti perasaannya sedih dan motivasinya menurun. Jika saya berada ditempat dia sekalipun, saya rasa seperti tak nak lagi cuba menulis.

Bagaimana pula agaknya jika kita yang melihat tulisannya itu lalu berkata : “Wah… hebatnya tulisan adik tu… tapi kalau adik bulatkan sikit dibahagian ni tentu ia akan jadi lagi cantik… macam adik…” Pasti anak itu akan lebih bermotivasi dan bersungguh-sungguh lagi. Pasti anak itu akan berusaha sedaya upaya memperbaiki kelemahannya.

Tidak salah kita nak menegur atau nak mengkritik usaha atau kerja orang lain, tetapi sebelum kita mengkritik, telitilah dahulu apa yang baik dan apa yang kurang baik. Berfikirlah secara positif. Jangan apabila kita melihat ada sesuatu yang kurang baik atau kurang sesuai, lalu kita akan terus memperlekehkan usaha-usaha seseorang. Janganlah pula kita rasa apabila sesuatu itu tidak sesuai dengan kita maka ia tidak sesuai dengan semua orang. Cubalah cari sudut yang positif, lalu perbaikilah bahagian yang negatif.

Yang penting jangan sampai kritikan kita itu membunuh potensi. Jika anda seorang ‘bos’, kritiklah secara berhikmah, jangan biarkan kebolehan pekerja anda terhapus hanya kerana teguran anda.

Bagi yang menerima kritikan yang tidak membina, jangan putus asa. Buktikan anda boleh melakukan apa yang orang lain tidak boleh lakukan. Berusahalah sedaya upaya untuk memperbaiki hasil kerja anda. Anda tidak akan dapat melakukan yang terbaik jika anda tidak memulakan. Dan sedarlah bahawa, permulaan biasanya tidak akan sempurna, namun ia akan sempurna bila kita belajar dari kesilapan-kesilapan yang terpaksa kita tempuhi.

Jika anda tidak bermula, bagaimana anda akan bertemu akhirnya???

No comments: