24 March 2009

Kejayaan yang menginsafkan


Jawapan Nur Madihah, ''saya tidak pernah meminta jadi popular seperti hari ini. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Saya juga tidak mengharapkan ganjaran yang begini hebat.
''Saya ikhlas belajar sungguh-sungguh untuk berjaya tanpa memikirkan apa-apa sasaran. Tapi Allah Maha Kaya, Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dan saya terima anugerah yang Dia berikan ini dengan penuh insaf. Kejayaan ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai untuk saya,'' tenang suaranya memberi jawapan.

Membaca jawapan Nik Nur Madihah (Pelajar Cemerlang SPM yang mendapat 20A) apabila ditanya oleh wartawan tentang perasaannya yang tiba-tiba menjadi selebriti setelah mencapai kejayaan cukup mengkagumkan saya. Jelas sekali bahawa beliau adalah seorang anak remaja yang tahu ke mana harus diletakkan rasa syukur, tahu kepada siapa harus diletakkan segala pengharapan.

Berbeza sekali dengan kebanyakkan remaja zaman sekarang. Melihat fenomena remaja sekarang yang gila glamour, betul-betul menyesakkan kepala dan menyempitkan dada saya. Berapa ramai yang tergila-gila ingin menjadi penyanyi. Berapa ramai yang ingin menjadi artis. Disokong pula oleh rancangan-rancangan realiti yang ditaja pelbagai pihak, ia sungguh satu keadaaan yang menunjukkan kepada kita betapa ramai anak-anak remaja sekarang tidak jelas dengan matlamat hidup.

Bagi mereka, dengan glamour, dengan popular, dengan kemasyhuran, mereka boleh hidup senang. Mereka boleh hidup mewah. Bagi mereka itu sudah cukup untuk mencapai kebahagiaan. Bagi mereka apa jua sanggup dikorbankan demi sebuah kebanggaan. Tak kiralah apa yang dikorbankan, sama ada maruah atau syariat Allah, yang paling penting ialah diri menjadi selebriti yang digilai dan dipuja manusia sekeliling. Sedangkan Allah s.w.t telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa orang yang paling mulia disisi Nya ialah orang yang paling bertaqwa.

Matlamat dan tujuan kehidupan sebenar anak remaja telah jauh tersasar. Apa yang dilihat hanyalah kehidupan dunia yang menipu daya. Ya Allah... Tunjukilah kami dan mereka ke jalan-Mu. Kurniakanlah kami hidayah dan petunjuk-Mu... Amin... Ya Rabbal Alamin...

No comments: