Alhamdulillah, setelah dimasukkan air melalui tiub di Women and Children Hospital tempoh hari menjadikan tubuh badan saya lebih bertenaga berbanding hari-hari sebelumnya. Walaupun tahap kesihatan yang masih tidak menentu, namun saya gagahkan juga menulis kerana blog yang sudah naik lumut dek kerana lamanya tidak dikemaskini. Cemburu saya melihat blog suami saya yang dikemaskini saban hari.
Sudah dua bulan saya tidak dapat menjalankan tanggungjawab menguruskan rumahtangga menyebabkan semuanya terpikul dibahu suami saya. Simpati saya melihatnya berkejar-kejar menguruskan rumahtangga dan urusan pengajian. Setiap pagi menyediakan bekal Humaira' ke sekolah, kemudian memasak buat saya dan Khadijah, kadangkala menyuapkan makanan ke mulut saya dan Khadijah tatkala saya tidak berdaya bangkit dari katil, kemudian bergegas menaiki bas ke universiti. Balik dari universiti, belum sempat merehatkan tubuh dan minda, dia terpaksa menguatkan diri untuk melayani anak-anak bermain dan menguruskan makan minum kami sehinggalah semuanya melelapkan mata.
Belum lagi bercerita tentang menguruskan kain baju dan muntah saya. Keadaan saya yang lemah membataskan diri untuk membantunya. Ditambah ragam si anak yang kadang kala mengocak sabar dijiwa, jika tidak kerana kesabaran dalam mengharungi ujian ini mungkin sahaja anak dan isteri akan dikasari, namun apabila diletakkan segalanya kepada Allah, hati menjadi tenang walaupun keserabutannya bagai sukar dirungkai.
Setelah melalui pengalaman ini, saya benar-benar terfikir bahawa betapa perlunya seorang lelaki melengkapkan diri serba sedikit di dalam urusan rumahtangga seperti menguruskan makan pakai anak-anak, sedikit kemahiran memasak, kemahiran menguruskan emosi dan beberapa urusan yang biasanya dibuat oleh wanita.
Jika tidak ada kemahiran-kemahiran asas yang penting seperti itu, ujian seperti ditimpa kesakitan atau apa jua musibah ke atas rumahtangga akan menambahkan lagi bebanan sedia ada. Jika sudah biasa dengan kerja-kerja rumah, maka kehidupan akan menjadi sedikit mudah walaupun ia tetap mengganggu urusan rutin kita yang biasa.
Begitu juga sebagai seorang isteri atau ibu, perlu juga tahu sedikit sebanyak urusan yang selalu dilakukan oleh suami, kerana kita tidak tahu apakah dugaan yang akan menimpa kepada kita sekeluarga. Apa yang penting suami atau isteri jangan berlepas tangan atas semua kerja-kerja yang dibuat oleh pasangan masing-masing. Jika ada kelapangan, cubalah saling bantu membantu meringankan tugasan pasangan supaya jika pasangan kita kehilangan upaya sementara atau kekal, tidaklah kita terkapai-kapai dalam mencari penyelesaian.
Rumahtangga itu adalah sebuah perkongsian suka dan duka, tempat berbahagi senang dan susah. Jika ada manisnya, sudah pasti akan terasa pahit maungnya tatkala dugaan melanda. Asam garam dalam rumahtangga sebenarnya menambahkan lagi rasa dalam kehidupan, jika kita bersabar pasti akan diganjari oleh Allah s.w.t.
Bersedialah untuk menempuh pahit manis, masam dan masin jika bercita-cita membina mahligai bahagia, kerana bahagia akan hadir buat mereka yang berjaya mengharungi ujian dan dugaan. Moga bahtera yang dilayari bersama akan sampai ke destinasi yang tertinggi iaitu syurga yang luasnya seluas langit dan bumi...
Wallauhua'lam
No comments:
Post a Comment