04 May 2009

Carilah iktibar dari setiap inci kehidupanmu

Masjid perkampungan Bani Unaif. Inilah rupa masjid di zaman Rasulullah. Tiada kemegahan dan kemewahan tetapi kaya dengan keimanan dan ketaqwaan. Tidak pernah diubahsuai, tetapi tidak digunakan lagi pada masa sekarang.

Cerita 1:

Jalan di perkampungan Bani Unaif kecil sahaja dan hanya boleh dilalui sebuah bas, ketika itu, kami dalam perjalanan pulang. Tiba-tiba ada pula sebuah bas yang ingin masuk ke perkampungan tersebut. Pemandu bas kami tidak mahu berundur, begitu juga dengan pemandu bas di hadapan kami. Sedangkan memang ada satu simpang di sebelah kanan yang jika salah seorang dari mereka mahu beralah, maka selesailah masalah.

Kami yang di dalam bas hanya saling pandang memandang dan menggelengkan kepala. Beberapa minit berlalu, tetapi tiada siapa yang ingin mengalah. Kepala bas hanya tinggal beberapa inci jaraknya. Ish macammana ni? Melihat bas di hadapan tak mahu berundur, pemandu bas kami turun. "Ya Allah, takkan pasal ni pun depa nak bergaduh?" Saya berkata kepada suami di sebelah. Suami saya hanya tersenyum dan mengangkat bahu.



Setelah saling menegangkan leher, akhirnya bas di depan kami berundur jua. Maka bolehlah kami bergerak ke bandar Madinah. Ustaz Halim yang duduk di hadapan memberitahu kepada kami bahawa orang arab memang macam tu. Tak nak mengalah. Kalau dalam bahasa orang kedah "memang ketegaq"

Cerita 2:

Maghrib itu saya memang sengaja pergi awal ke Masjidil Haram kerana ingin mendapat tempat solat di sebelah belakang maqam Ibrahim. Setelah melalui lautan manusia, akhirnya Alhamdulillah saya dapat duduk di satu tempat di mana saya dapat melihat kaabah secara langsung.

Azan berkumandang, saf-saf di bahagian itu sudah penuh, namun masih ada insan-insan yang masih mencari tempat untuk solat. Keadaan di situ memang sudah sesak, orang-orang arab yang ingin melalui kawasan tersebut, menjerit "Thoriq! Thoriq!" Menyuruh orang lain ketepi supaya dia dapat jalan ke depan.

Sedang asyik saya merenung Kaabah, tiba-tiba satu tubuh yang agak besar duduk di tempat solat saya. Ya Allah! Macammana saya nak sujud ni? Jemaah di sebelah saya yang berbangsa Turki sudah mula membebel kerana tempat sujud dia juga terganggu kerana kehadiran insan tersebut.

Geram juga dalam hati, saya cuba memberi isyarat supaya dia cuba mencari tempat lain, tetapi dia buat endah tak endah, akhirnya saya hanya mendiamkan diri. Maka terpaksalah saya dan jemaah tadi solat dan sujud di celah-celah kaki makcik tadi.

Saya beristighfar supaya Allah memberi kesabaran kepada saya. Saya bisikkan dalam hati saya, bersyukurlah... kerana Allah mengizinkan jua saya solat di hadapan kaabah walaupun dalam keadaan yang susah payah itu. Susah kerana saya tak dapat mengecilkan badan ketika sujud kerana perut saya yang semakin membesar. Mmm... Bila kenangkan kembali peristiwa itu (banyak kali berlaku), saya hanya mampu tersenyum...

Cerita 3:

Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, kami transit di Karachi. Di sini saya dapat melihat beberapa kelainan budaya memandu di kalangan warga Pakistan. Sepanjang berada di dalam bas ketika menuju ke lapangan terbang Karachi, pemandu akan sentiasa membunyikan hon. Memang membingitkkan!


Penumpang-penumpang sudah mula membebel dan merungut kerana kebingitan tersebut. Tapi bagi saya ia merupakan satu seni dari budaya mereka. Hon yang dibunyikan mempunyai rentak yang tersendiri, seolah-olah bas tersebut sedang berkomunikasi dengan kenderaan lain. Sungguh unik. Rupa-rupanya, hebat juga teknologi komunikasi mereka walaupun hanya melalui bunyi hon.


Melewati beberapa negara dalam perjalanan menuju Baitullah menemukan saya dengan pelbagai bangsa dan ragam yang berwarna warni. Begitu juga tika berada di Masjid Nabawi dan Masjidil haram, bukan saja wajah dan pakaian yang berbeza tetapi karektor dan karenah juga kadang-kadang mengejutkan saya.


Wanita yang berpakaian begini ialah wanita dari negara Iran. Ada yang sebahagian mereka memakai pakaian hitam. Kain yang di pegang itu adalah "telekung" mereka. Ia labuh sampai ke kaki.


Ramai juga dikalangan jemaah umrah saya yang menyatakan tidak selesa dengan cara dan tabiat mereka. Ada kalanya saya juga sukar untuk bersabar untuk mendepani gelagat mereka yang sememangnya tidak sesuai dengan budaya di tanah air.



Pada mulanya saya sering mengomel dalam hati dan selalu juga meluahkan perasaan kurang senang yang saya alami, tetapi akhirnya saya cuba untuk bersangka baik dengan apa yang terjadi.



Kesimpulan yang saya dapat ialah apa jua pengalaman yang kita lalui, apa juga kesusahan yang kita alami dan apa jua karenah manusia yang terpaksa kita hadapi, sebenarnya disitulah tarbiyah Allah mengiringi. Jika tiada ujian yang menguji kesabaran, bagaimana kita boleh belajar untuk bersabar? Jika manusia di seluruh dunia ini semuanya menepati citarasa kita, bagaimana pula kita ingin berlapang dada dengan apa jua gelagat mereka? Jika Allah menciptakan kita semua hanya satu bangsa, bagaimana kita ingin mengenali budaya-budaya lain?



Maha Suci Allah yang telah menciptakan manusia dalam pelbagai bangsa keturunan, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kita saling kenal mengenal. Jika kita melihat ada keburukan pada satu-satu bangsa, carilah sisi baik dari mereka. Bukan mudah ingin menerima sesuatu yang berlainan dengan cara kita, tetapi jika direnung-renungkan banyak iktibar mengelilinginya.




Tidak semua yang kita suka itu baik untuk kita dan tidak semua yang kita tidak suka itu tidak baik. Paling penting ialah bagaimana kita menerima sesuatu, dan carilah iktibar dari setiap inci pengalaman kehidupan kita. Sesungguhnya penciptaan Allah itu bukanlah sesuatu yang sia-sia, tetapi amat berguna kepada manusia yang berfikir dan merenung kebesaranNya.

No comments: