21 May 2009

Bukit Safa saksi kekuasaan Allah S.W.T


Bukit Safa dan Marwa yang sentiasa sesak denga jemaah yang ingin mengerjakan saie

Setelah melalui perjalan panjang, kami sampai ke Mekah pada malam itu sekitar jam 10.30 malam. Keadaan saya yang memang sudah tidak berapa sihat semenjak di Madinah memburukkan lagi tahap kesihatan saya. Memandangkan kami telah berniat umrah di Bir Ali semasa dalam perjalanan, maka kami akan melaksanakan umrah pada malam itu juga dengan bimbingan dari Ustaz Halim sendiri.
Ustaz Halim meminta semua jemaah berkumpul di Lobi Hotel pada jam 11.30 malam. Sementara menunggu waktu tersebut, jemaah bolehlah berehat buat seketika. Namun begitu, proses check in mengambil masa yang agak panjang kerana masing-masing sibuk dengan beg-beg yang perlu dibawa naik melalui lif sedangkan lif yang ada tidak boleh memuatkan ramai orang.

Waktu menunggu itu memang begitu menyiksa saya, dalam keadaan batuk dan selsema yang teruk, ia cukup-cukup mengganggu tumpuan saya. Saya rasa badan saya sangat lemah, tetapi saya gagahkan jua, akhirnya sampai juga saya ke bilik hotel. Belum sempat saya merebahkan diri untuk mendapatkan sedikit tenaga, rakan sebilik saya mengajak saya ke bawah kerana jam sudah menghampiri 11.30 malam. "Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada hambaMu ini untuk melaksanakan umrah pada malam ini." itulah doa yang saya ulang-ulang dalam hati dan saya memohon dengan penuh pengharapan kepada Allah.

Sampai di hadapan kaabah, saya semakin hilang fokus. Dengan selsema dan batuk yang makin menjadi-jadi, kepala yang sudah mula pening, saya menatap Kaabah dengan jiwa yang menangis. Saya bimbang sekiranya saya tidak dapat melaksanakan tawaf pada malam itu. Walaupun kaki saya sangat tidak berdaya, saya langkahkan juga. Tujuh pusingan tawaf saya rasa begitu payah, dan dalam kepayahan itu saya berjaya juga akhirnya. Semasa bersolat sunat tawaf di belakang makam Ibrahim, saya dah rasa lain macam. Saya minta suami ambilkan segelas air zam-zam dengan harapan air itu sedikit sebanyak dapat menyegarkan saya semula... Namun keadaan saya tidak berubah.

Para jemaah bimbingan Ustaz Halim sudah mula bergerak ke bukit Safa untuk memulakan saie. Sesampai sahaja di bukit Safa, saya sudah tidak mampu untuk bertahan dan dalam perjalanan dari Kaabah ke tempat saie pun saya dah muntah. Ya Allah... Ampunkan daku... Sedang para jemaah mendengar taklimat tentang saie dari Ustaz Halim, saya sudah terbaring di puncak bukit Safa, saya berlindung di sebalik kon pembinaan di situ. Saya memang sudah tidak berdaya walaupun hanya untuk duduk. Suami bertanya kepada saya "Cemana ni syifa? Boleh tak kita buat saie ni." Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Suami hanya mendiamkan diri dan duduk berteleku di samping saya.

Lama juga saya mengerekot di situ. Saya cuba juga untuk bangun beberapa kali, tapi saya tewas dan terpaksa merebahkan semula badan saya di atas marmar itu. Tiba-tiba suami berkata kepada saya. "Syifa, abang nak pi ambik wudhuk sat, syifa tunggu abang kat sini ye..." Saya menganggukkan kepala dan dia pun berlalu pergi.

Lama juga saya menunggu dia. Tanpa saya sedar, saya sudah mula duduk, saya letakkan kepala saya di atas lutut sambil meninjau-ninjau kelibat suami saya. Entah macammana, saya rasa saya lebih bertenaga, dan rasa lebih kuat. Tika suami saya terpacul di hadapan saya, dia tanya sama ada saya sudah boleh memulakan ibadat saie atau tidak. Saya hanya mengatakan "InsyaAllah."

Waktu tika itu lebih kurang 2.30 pagi. Saya berjalan perlahan-lahan, dan suami saya setia menemani saya walaupun langkah saya sangat perlahan. Bila tiba di lampu hijau, dia akan berlari-lari anak dan menunggu saya di hujung lampu hijau. Begitulah seterusnya sehingga kami berjaya menghabiskan tujuh pusingan.

Setelah bertahalul, saya mengajak dia pulang ke hotel untuk bersiap sedia untuk solat Subuh. Dalam perjalanan pulang itulah dia bercerita kepada saya bahawa selepas dia mengambil wudhuk tadi, dia pergi solat di depan Kaabah dan berdoa di Multazam meminta supaya Allah memberi kekuatan kepada saya. Dia juga memohon agar saya dah boleh duduk semasa dia sampai di tempat saya terbaring tadi.



Keletihan...

Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Doanya itu makbul dalam sekelip mata. Saya memang sedang duduk semasa dia sampai dan saya seolah-olah telah diberi suntikan tenaga untuk melaksanakan saie. Perjalanan saie bukanlah dekat, jika difikir-fikirkan memang pelik, dari mana datangnya kekuatan itu saya pun tak tahu. Tiba-tiba sahaja saya rasa bertenaga. Tiba-tiba sahaja saya boleh berjalan dan menghabiskan tujuh pusingan saie, walaupun sebelum itu saya nak duduk pun tak larat.

Akhirnya, saya akui, itulah salah satu dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Jika Dia berkehendakkan sesuatu itu berlaku, maka cukup bagiNya untuk menyebut 'Kun' maka jadilah ia. Masya Allah...

Peristiwa itu memberi kesan yang cukup mendalam kepada saya kerana ia berlaku pada hari pertama saya berada di Mekah. Masa itu, tiada pergantungan lain selain dari Allah. Tiada tempat mengadu selain kepada Allah. Sungguh ia tidak dapat saya lupakan sehingga saat ini.

Begitulah kerdilnya manusia, tanpa izin Allah, tanpa petunjuk Allah dan tanpa kekuatan daripada Allah sudah pasti kita tidak akan mampu untuk melakukan apa jua. Maha Suci Allah... Maha Suci Allah yang menguasai seluruh alaim ini...

No comments: