21 December 2012

Hanya yang terbaik untuk kita...


“Kak, orang yang janji dengan saya nak buka tadika tu dah memungkiri janji dia. Buat tak tahu bila saya tanya. Telefon tak angkat, mesej tak berjawab. Kecewa betul!” Adu Nor dengan wajah sugul.

“Ya Allah, kenapa jadi macam tu?” Saya bertanya kerana sebelum ini bersungguh benar kawannya itu untuk sama-sama mengusahakan tadika.

Nor bekerja lama dengan saya. Sejak tahun 2004. Walaupun hanya berbekalkan sijil SPM, dia merupakan pekerja yang amat dedikasi dan bersungguh-sungguh. Dia bekerja dengan baik dan akhirnya saya melantiknya sebagai pengurus kerana saya dan suami akan berkelana ke bumi Australia kerana suami menyambung pengajian ke peringkat PhD.

Gajinya saat itu agak lumayan jika dibandingkan dengan kelulusan yang dia ada, saya tidak kisah untuk membayarnya kerana saya percaya dan yakin dengan kebolehan beliau menguruskan tadika yang akan saya tinggalkan selama 4 tahun.

Pada tahun 2009 beliau berkahwin, tetapi terus bekerja dengan saya di Jitra Kedah walaupun terpaksa berjauhan dengan suami yang bekerja di Kuala Lumpur. Setiap dua minggu dia akan pulang ke Kuala Lumpur, begitulah dia berulang alik sehinggalah anaknya yang dilahirkan pada 2010 berumur dua tahun.

Awal November 2012, Nor menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kerana ada seorang kawan mengajaknya untuk mengusahakan tadika mereka bersama di Serdang. Nor menerima tawaran tersebut dengan senang hati kerana beliau juga sudah penat untuk berulang alik dari kuala lumpur ke Kedah. Sungguh perkahwinan jarak jauh ini memang cukup memenatkan.

Kawan beliau itu datang ke rumah Nor berbincang tentang pembukaan tadika baru tersebut, berjanji untuk berkongsi modal, menggunakan rumah yang sedang diduduki dan berjanji akan berpindah secepat mungkin. Ingin menggunakan pengalaman Nor yang telah bekerja lebih dari sepuluh tahun di beberapa tadika, mereka berbincang tentang banyak perkara dan Nor dengan bersungguh melakukan berbagai perkara seperti flash card, alat bantu mengajar dan macam-macam lagi

Tiba-tiba, setelah banyak persedian yang telah dibuat, kawan beliau itu makin sukar dihubungi, telefeon tidak berjawab, mesej tidak dibalas. Nor semakin panas punggung. Bingung. Dia sudah berhenti kerja dengan saya pada awal November,  andai impian untuk membuka tadika ini tidak dapat dilaksanakan, pasti dia akan mengalami kesukaran untuk melunaskan perbelanjaan hidup seperti membayar ansuran kereta, takaful dan bermacam-macam lagi.

Nor semakin buntu, sudah banyak kali dia mencuba untuk menghubungi kawan beliau tersebut dan akhirnya dia pergi sahaja ke rumah mereka dan benarlah seperti sangkaannya bahawa mereka tidak lagi berminat untuk mengusahakan tadika tersebut.

Luluh hati Nor mendengarnya. Bercerita dengan saya dengan rasa penuh kecewa dan terselit juga kemarahan atas ketidak jujuran kawannya itu.

 Menurut cerita Nor, suami kawannya itu orangnya kaya, banyak duit, jadi jika tidak buka tadika pun tidaklah punya masalah untuk menguruskan kewangan keluarga. Namun bagi Nor, ia suatu yang memeritkan, gaji suaminya tidaklah sebesar mana. Tambahan pula dia hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia, bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman sekarang ini.

Hiba hati saya mendengar luahan hatinya, masih terngiang-ngiang kegembiraannya ketika bercerita tentang hasrat membuka tadika baru dan tidak lagi perlu berjauhan dengan suaminya. Namun kegembiraannya hanya sementara, Allah sedang mengujinya.

“Nor, akak faham perasaan Nor. Akak pun tak tahu bagaimana nak membantu Nor sebab akak dah ambil pekerja baru untuk menggantikan Nor. Mmm bagaimana ya?” Saya pun buntu dibuatnya.

Saya memang sayangkan dia, saya suka cara dia bekerja. Ketika dia menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dengan saya, memang berat untuk melepaskannya, namun saya memahami kesusahannya berulang alik bertahun-tahun. Oleh sebab itu, saya terpaksa juga menerima keputusannya untuk berhenti kerja.

“Mmm saya faham kak, saya cerita ni bukan saya minta akak ambil saya bekerja semula tetapi sekadar meluahkan perasaan kecewa saya. Tak tahulah bagaimana nak bayar kereta, takaful dan lain-lain nanti.” Termenung juga dia memikirkan semua itu. Kesian!

“Begini Nor, yakinlah bahawa semua yang berlaku ada hikmahnya. Allah sedang menyusun yang terbaik untuk Nor sekeluarga. Jika nor bekerja dengan akak lagi, sampai bila Nor nak PJJ dengan suami? Kesian kepada Syaurah yang tidak mendapat kasih saying seorang ayah. Insya Allah, yakinlah jika niat Nor berhenti adalah untuk berbakti kepada suami, pasti Allah akan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. 

Allah akan melapangkan rezekinya kepada Nor, dan Allah akan kurniakan yang lebih baik dari yang kita sangkakan.”

“Betul tu kak, itulah yang saya doakan siang malam. Saya sendiri pun dah tak larat lagi nak berulang alik mengusung si syaurah ni saban minggu. Akak doakan saya ya?”

“Insya Allah, sama-sama kita doakan. Berkenaan dengan kawan Nor tu, maafkan sahaja. Tidak guna menyimpan dendam. Simpan dendam, hati kita tenang.”

“Mmmm ya la.. saya pun malas dah ingat perkara tu..”


Selang beberapa minggu, saya menghadiri sebuah program di Kuala Lumpur, dan bertemu dengan seorang kawan yang juga mengusahakan sebuah tadika di Gombak. Sesekali berjumpa, kami bercerita panjang. Saling bertanya khabar dan bertukar cerita tentang tadika masing-masing.

“Akak, saya pening dengan masalah cikgu-cikgu saya. Kerja sekejap berhenti, aduh letih nak mencari pengganti.” Luah Pijah kepada saya, sebenarnya berkongsi masalah yang sama dengan saya.

Memang bukan mudah nak mendapat guru yang boleh bekerja secara tetap dengan tadika. Dengan gaji yang tidaklah sebanyak mana, sudah pasti anak-anak muda sekarang lebih cenderung untuk bekerja di sector lain seperti bekerja di pasaraya besar atau kilang.

Ditambah pula perlu berurusan dengan kanak-kanak kecil, tidak semua orang yang sanggup melayani karenah mereka. Walaubagaimana pun, saya bersyukur kerana walaupun ada guru yang berhenti tahun ini, tetapi masih ada tujuh lapan orang guru saya yang masih setia. Yang paling lama, hampir lima tahun.

“Oh ye ke, jadi pijah sedang mencari pekerja sekarang ni?” Saya bertanya kembali. Di dalam benak terlintas wajah Nor.

“Ya kak, puas mencari, tetapi belum ada yang betul-betul sesuai.” Keluh pijah

“Mmm Kak Nor adik akak tu, sekarang tengah cari kerja, dia dah berhenti dengan akak awal November hari tu, kalau pijah nak, boleh lah tanya dia sebab dia memang sedang mencari kerja sekitar rumah dia. Lagipun rumah dia dengan tadika pijah tu tak jauh mana rasanya.” Saya memberi cadangan.

“Ya Allah betul ke akak? Alhamdulillah… Harap-harap dia nak bekerja di tadika saya!” Pijah meluahkan harapnnya.

Setelah dihubungi, syukur Nor juga bersetuju untuk bekerja di Tadika rakan saya itu.

Begitulah perancangan Allah. Kadang-kadang Allah sedang menyediakan sesuatu untuk kita. Pada saya, rezeki Allah itu amat luas. Jika tidak diberi sebagaimana yang kita bayangkan, maka akan disalurkan dengan cara lain.

Apa yang penting ialah keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Keyakinan bahawa Allah akan mengurniakan rezekinya andai kita berniat untuk buat kebaikan. Allah akan memberi kita rezeki yang tidak disangka-sangka jika kita bertaqwa kepadanya. Kita hanya perlu berusaha, Allah akan melorongkannya kepada kita.

Tarbiyyah buat saya kali ini,

1.        Apabila niat kita adalah untuk mentaati suami dan berbakti kepada keluarga, Allah akan memudahkan urusan kita.

2.       Rezeki Allah itu sangat luas, akan diberikan kepada siapa yang dikehendaki.

3.       Jika berjanji usah dimungkiri kerana andai ia tidak menyusahkan diri sendiri mungkin ia akan memberi kesukaran kepada orang lain. Andai belum pasti dapat menepati, lebih baik jangan sesekali berjanji.

4.       Allah mengetahui yang terbaik buat kita. Mungkin bagi kita ia tidak baik, tetapi ia adalah yang terbaik buat kita. Mungkin juga bagi kita ia adalah yang terbaik, tetapi bagi Allah mungkin sebaliknya. Maka sentiasa bersangka baik dengan Allah s.w.t, Allah akan mengurniakan ketenangan buat kita.



29 October 2012

Kisah air zam zam

Kisah bermula di safa dan marwah. Allah telah memerintahkan nabi Ibrahim meninggalkan Hajar di padang pasir.


Di situ tiada makanan dan air. Tidak lama kemudian ismail menangis kelaparan dan kehausan. 

Ibunya Hajar berlari-lari antara safa dan marwah sebanyak tujuh kali untuk mencari air.


Ismail menangis sambil menghentakkan kaki. Tiba- tiba terpancut air dari hentakkan kaki Ismail.  


Apabila Hajar melihat air yang keluar itu, cepat-cepat dia mengepung air tersebut sambil menyebut “zam zam, zam zam” yang bermaksud kepung.


Oleh sebab itulah, ia dipanggil air zam zam sehingga sekarang.

28 October 2012

Allah sedang memakbulkan doamu


“Mengapakah Allah menguji saya dengan semua ini? Saya sentiasa berdoa kepadaNya agar saya dikurniakan kesabaran dan kekuatan, tetapi semakin lama semakin keras pula ujian daripadaNya.. Allahu Akbar… saya bimbang andai saya tak mampu lagi menanggungnya…”  begitu bicara seorang sahabat.

“Sahabatku, mungkin Allah sedang memakbulkan doamu.” Jawab teman karibnya yang sentiasa sabar dan setia bersama di waktu suka dan duka.

“Kamu kata Allah sedang memakbulkan doa saya? Lalu, kenapa ujian ini tidak pernah surut dari hidup saya?”

“Sahabat, bukankah dulu, semasa kita mula-mula disapa tarbiyah, kita pernah sama-sama berdoa semoga Allah membersihkan hati kita, mengampunkan dosa kita dan kita berdoa agar Allah memberi kekuatan supaya kita sentiasa dekat denganNya?” jawab sahabat karibnya lagi

“Memang kita sentiasa berdoa begitu, tetapi apa maksudnya Allah sedang memakbulkan doa-doa kita itu sebagaimana yang kamu katakan tadi?”

“Begini sahabatku, mungkin Allah sedang mengampunkan dosa kita ketika kita bersabar dengan ujian-ujian berat ini. Mungkin Allah sedang membina kekuatan dalam diri kita ketika kita sedang ditimpa musibah ini. 

Dan mungkin juga dengan ujian yang ditimpakan inilah Allah ingin kita sentiasa dekat denganNya. Tidakkah Allah sedang  memakbulkan doa yang pernah kita panjatkan dulu? Namun bukan seperti yang kita bayangkan tetapi dengan cara tersendiri mengikut kebijaksanaan Allah s.w.t.” jelas teman rapat itu lagi.

“Masya Allah… Betul juga kata kamu, saya meminta, maka Allah memakbulkan dengan caraNya, bukan dengan cara yang kita fikirkan… Allahu Akbar, sungguh kerdil kita ini sahabatku…”

Doa, kita selalu mengharapkan doa kita dimakbulkan Allah. Bahkan sering pula ternanti-nanti bilakah doa-doa kita akan dimakbulkanNya.

Jika tidak dapat sebagaimana yang kita fikirkan, selalu sahaja kita menyangka bahawa doa kita tidak diterima sedangkan mungkin sahaja doa-doa kita sedang dimakbulkan dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Pernah saya mendengar sebuah cerita, seorang wanita merasa sudah penat bekerja. Lalu beliau sentiasa berkata : “Aduhai, alangkah indahnya andai aku diberikan duit tanpa perlu bekerja.”.

Tidak lama selepas itu, wanita itu mendapat penyakit barah, maka dengan penyakit yang berat itu, majikannya sudi memberikan wang ehsan setiap bulan sebagai menghargai jasanya kepada syarikat.  Allahu Akbar!  Allah memakbulkan doanya untuk mendapat duit tanpa bekerja dengan memberinya penyakit!

Seorang ibu, selalu marahkan anaknya kerana suka menyepahkan rumah. Setiap kali ada jiran atau tetamu dating ke rumah, beluau akan berkata : “Sejak ada anak ni, rumah saya asyik bersepah sahaja. Bagusnya kalau rumah ini sentiasa bersih dan kemas.”

Lalu tidak lama kemudian, anak kecilnya kembali ke Rahmatullah, maka tiada siapa lagi yang akan menyepahkan rumahnya lagi.

Seorang usahawan sentiasa berdoa kepada Allah agar perniagaannya bertambah maju, lalu pembantunya tiba-tiba berhenti kerja dan ingin memulakan perniagaan sendiri. Di dalam fikiran si usahawan, pasti perniagaannya akan merosot tetapi rupa-rupanya Allah mengurniakan dia dengan seorang pekerja yang lebih baik dari pekerja yang sebelumnya.

Masya Allah, bukankah Allah sedang memakbulkan doanya dengan memberi sedikit ujian agar diberikan kepadanya sesuatu yang lebih baik?

Oleh itu, andai ditimpa ujian atau musibah, ingatilah kembali doa-doa kita sebelum ini. Mungkin ia adalah jalan untuk Allah menjawab doa kita di masa lalu. Bersabarlah dengan ujian dan bersyukurlah dengan kurniaan.

Sentiasa positifkan fikiran bahawa apa jua yang sedang kita alami adalah susunan daripada Allah yang Maha Mengetahui dan pastinya itu adalah yang terbaik buat diri kita. 

Moga Allah mengurniakan kita yang terbaik untuk dunia dan akhirat kita... 

08 October 2012

Sedangkan lidah lagi tergigit...


“Abang, kita baru sahaja berkahwin. Syifa belum kenal abang, dan abang juga berlum kenal syifa.. Jadi, jika ada apa-apa yang abang tidak suka pada syifa, abang tegur ya…” Saya memulakan bicara setelah beberapa ketika kereta  bergerak dari rumah ibubapa saya menuju ke Terengganu. Baru beberapa hari lalu kami diijabkabul. Inai pun masih merah dijari.

Kami memang belum kenal hati budi masing-masing, belum pernah keluar berdua, belum sempat bercinta,  kami dipertemukan oleh pihak ketiga. Saya kenal beliau hanyalah dengan sedikit cerita dari orang tengah dan beberapa kali taaruf. Sudah pasti banyak lagi yang misteri bagi saya tentang dirinya dan begitu juga dia.

Mata suami tertumpu ke hadapan. Menggeleng tidak mengangguk pun tidak.

“Bukannya apa, lebih baik kita hidup bersama secara telus dan berterus terang. Andai kita senyap dan tidak berkata apa-apa andai ada yang mengusik jiwa, susah juga, nanti masing-masing makan hati pula.”

Dia masih membisu. Menggerutu juga dalam hati saya bila dia sepertinya tidak memberi apa-apa respon. Oh, inilah antara cabaran untuk menerima dia seadanya.

Lama kami menyepi, maklumlah baru berkahwin, masih malu-malu nak bercerita.

“Kalau abang tegur, ayang tak terasakah?” Suara suami saya menyentuh gegendang telinga saya yang sedang melayan perasaan. Sedang berfikir rupanya tadi.

“Mmm… Mungkin juga  akan terasa… Tetapi lebih baik terasa sekejap daripada kita saling memendam rasa. Pada syifa, jika kita tidak pandai meluahkan perasaan, bimbang-bimbang perkara kecil mejadi besar. Penyakit ringan menjadi berat. Penyakit yang kecil, andai dibiar lama-lama mungkin bertukar menjadi barah. Bila dah jadi begitu mungkin sangat sukar untuk disembuhkan.” Saya memberikan rasional kenapa perlunya kami saling tegur menegur dan saling berterus terang.

 Berapa banyak perkahwinan yang berkecai hanya kerana komunikasi yang gagal. Masing-masing membisu. Apabila ada yang rasa tidak kena, hanya disimpan di dalam hati. Kadang-kadang menganggap pasangan akan memahami satu masa nanti. Namun mana mungkin pasangan dapat menebak apa yang kita suka dan sebaliknya. Bukankah kita dan dia datang dari planet yang berbeza?

Cara fikir orang lelaki, tidaklah sama dengan cara fikir orang perempuan. Cara bertindak orang lelaki juga tidak sama dengan cara orang perempuan bertindak. Tambahan pula sepasang suami isteri datang dari didikan keluarga yang berbeza. Jadi sudah pasti akan terdapat banyak pertembungan dalam banyak perkara. Jika soal bancuh kopi pun ada cara masing-masing, inikan pula soal besar-besar melibatkan pembangunan keluarga dan sebagainya.

Pada saya, di dalam melayari kehidupan rumah tangga yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Suami dan isteri perlu saling tegur menegur agar pelayaran selamat menuju ke destinasi. Jika tidak, dibimbangi lantaran hebatnya dihempas ombak nan mengganas, bahtera kita karam di tengah lautan.

Mungkin akan ada yang barkata: “Saya tak pandailah nak berterus terang. Tidak tahu apa nak dikata. Lidah kelu seribu bahasa.”

Jika tidak pandai bercakap secara berdepan, boleh sahaja dengan cara menulis. Bahkan, kerapkali tulisan lebih menyentuh hati. Lebih tersusun kata, dapat mengelak terkasar bahasa dan tertinggi suara. Maklumlah, jika sedang beremosi, sukar mengawal diri.

Ingin lebih  menarik lagi, boleh juga diselitkan hadiah bukti cinta bahawa teguran yang kita sampaikan bukanlah kerana tidak suka tetapi mengharapkan cinta ini membawa kita bersama ke syurga.

Disamping itu, kita perlulah bijak memilih masa. Tegurlah diwaktu si dia dalam keadaan selesa, perut sudah kenyang, sambil  urut-urut kepalanya (walaupun urutan kita seperti membuat jemput pisang) atau bila-bila masa yang dirasakan kedua-dua pihak boleh berbicara dengan tenang dan terbuka.

Andai tidak bijak berbahasa, apa kata kita menegur dengan perbuatan kita. Bukan denga cara merajuk tak tentu hala, tetapi mulakan dengan diri sendiri. Insya Allah lama-lama dia akan terkesan juga dan akan berubah kerana melihat contoh dari kita.

Akhirnya, titipkanlah doa dihadapan pencipta kerana Dialah yang memegang hati-hati manusia. Bangunlah disepertiga malam, bermunajat meminta ke hadrat Penguasa alam semesta.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami dan isteri. Pasangan kita tidak mungkin sempurna, begitu jugalah kita. Andai kita selalu melihat kelemahan dan kekurangannya, beleklah diri, apakah kita seperti bidadari yang indah serba serbi.

Sebelum menegur, bersihkanlah hati agar teguran itu tidak menampakkan kita meninggi diri. Rendahkanlah hati, buangkanlah segala kesumat yang mendiami hati, ingatlah saat-saat indah yang penah kita lalui sebelum ini.

Agama itu nasihat, maka nasihatilah pasangan kita dengan rasa penuh cinta dan rahmat, kerana kita ingin bersamanya selamanya di Akhirat.


07 October 2012

Kisah Adam dan Hawa


Kisah Adam dan Hawa

(ditulis oleh Humaira, nampaknya kalau Humaira boleh tulis dengan konsisten.. boleh la buatkan blog untuknya pula.. Katanya "Humaira nak tulis kisah-kisah dari Al-Quran" Doakan ya kawan-kawan )

Pada satu zaman dahulu, ada seorang nabi dan isterinya bernama   Adam dan Hawa.  Mereka tingal di dalam syurga, dalam syurga itu ada banyak makanan tetapi ada satu buah sahaja yang tidak boleh di makan.

Pada satu hari syaitan menipu  Adam dan Hawa dengan berkata, “kalau kamu berdua tidak mahu keluar dari syurga kamu hendaklah makan buah  khuldi ini.”

Kemudian mereka pun makan buah itu. Selepas itu allah s.w.t. mencampak mereka berdua keluar dari syurga.

Mereka telah dicampakkan ke bumi. Kemudian Nabi adam berdoa kepada Allah s.w.t supaya ditemukan dengan Hawa. 

Akhirnya Nabi Adam pun berjumpa semula dengan Hawa di Padang ‘Arafah.




05 October 2012

Mak, izinkan daku bernikah


“Mak, kalau saya nak kahwin hujung tahun ni boleh ke?” Jamilah bertanya kepada ibu yang sedang membancuh kopi panas untuk digandingkan dengan nasi lemak sambal kerang yang masih berasap-asap. Semuanya telah tersedia cuma menanti kopi panas sahaja lagi.

“Kamu dah ada calonnya Jamilah?” Terhenti seketika jari Puan Solehah daripada membancuh kopi. Pandangan tertumpah ke wajah anak perempuan bongsunya itu.

“Mmm baru-baru ni adalah seorang kakak di universiti saya tu bertanyakan sama ada saya ni masih kosong atau tidak. Katanya ada yang bertanya.” Jamilah menjawab perlahan, rona merah melatari wajahnya yang putih itu. Malu.

“Oh begitu…” Puan solehah mengangguk-angguk sambil tangannya sibuk menuang air ke cawan lalu mencedok nasi ke dalam pinggan.

“Mmm.. sebelum mak bagi jawapan boleh atau tidak, mak nak tanya kamu satu soalan.” Dalam kelembutan wanita itu, terselit bunyi ketegasan dalam soalannya.

Jamilah hanya tersenyum

“Mak nak tanya, kamu nak berkahwin ni, kamu dah bersediakah nak menjadi isteri kepada seorang lelaki, dan ibu kepada anak-anak kamu nanti?” Puan solehah bertanya, tangannya menghulur pinggan nasi kepada Jamilah.

“Haa? Bersedia macammana?” Jamilah bertanya naïf, meminta penjelasan.

Pada pandangan Jamilah, nanti apabila sudah berkahwin pandai-pandailah sendiri menyesuaikan diri.

“Kamu rasa apa yang kamu perlu buat  untuk kamu melangkah ke gerbang perkahwinan?” Puan Solehah menjawab soalan dengan soalan semula. Biar anaknya berfikir.

“Mmm… Kahwin… Mula-mula taaruf (berkenalan,) kemudian bertunang, lepas tu buat kenduri.  Selesai.” Jamilah tersengih-sengih lagi, membayangkan keindahan hari perkahwinannya barangkali.

“Kamu rasa itu sahaja persediaan yang kamu perlu ada?” Puan solehah bertanya lagi, ada nada tidak puas hati.

“Heeee, yang lain—lain tu suamilah yang perlu sediakan, tempat tinggal, makan minum, bukankah itu semua tugas suami?” Jamilah menjawab dengan penuh yakin.

“Kalau begitulah pandangan kamu terhadap perkahwinan, tangguhkanlah dulu hasrat kamu tu Jamilah.”  Puan Solehah cuba memprovokasi. Jamilah yang tadinya begitu berselera, tiba-tiba terhenti mengunyah. Hampir-hampir dia tersedak.

“Mak, tahun ni umur saya dah dua puluh lima, kalau mak tak bagi saya kahwin tahun ni, bila pula saya boleh kahwin?” Suaranya seolah-olah merayu supaya ibunya itu mengizinkannya untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan.

Puan Solehah tersenyum merenung anak bongsunya itu, walaupun sudah berusia dua puluh lima tahun, kadang-kadang dia melihat anaknya itu seperti budak lima tahun. Belum matang pada pandangannya.

“Jamilah, mak bukan tak bagi kamu berkahwin tetapi kamu mesti memahami bahawa perkahwinan itu bukan sekadar kenduri kendari yang gilang gemilang, bukan sekadar penyatuan antara seorang lelaki dan wanita dan bukan sekadar fasa bercinta secara halal semata-mata, tetapi perkahwinan itu datang bersama tanggungjawab yang berbagai. Oleh sebab itulah mak bertanya kamu sama ada kamu sudah bersedia atau belum.”

“Mak rasa saya memang tak bersedia lagi ke?” Jamilah bertanya, Nampak naïf sungguh.

“Mmm kalaulah lepas subuh tidur, sarapan pun mak yang sediakan.  Masak masih terkial-kial. Layan budak-budak pun  tak berapa pandai. Macammana kamu nak menguruskan rumahtangga kamu nanti?”

“Itu belum lagi tengok cara kamu mengawal emosi, sekejap merajuk sana, sekejap melenting sini, haih kalau begitulah caranya letihlah suami kamu nak melayan karenah kamu nanti.”

“Jamilah, sebagai seorang wanita kita mesti ada cita-cita besar dan kita mesti jelas dengan matlamat perkahwinan kita itu. Kita mahu menjadikan keluarga kita itu keluarga yang cemerlang dunia dan akhirat. Sekiranya perkara-perkara asas pun kita masih terkial-kial, selepas kahwin baru nak belajar memasak, jaga anak dan sebagainya bila masanya kita nak memikirkan tentang agenda keluarga?”

“Kita sebagai isteri mesti menjadi tulang belakang suami kita. Kita mesti kuat dari mental, fizikal dan spiritual. Kalau kamu nak berkahwin, mak rasa kamu perlu ubah cara hidup kamu. Bangun awal pagi, selesaikan urusan rumah seperti memasak, mengemas dan sebagainya. Kemudian, kamu perlu bijak mengawal emosi, jangan terlalu mengikut perasaan. Mak nak kamu jadi orang yang lebih matang. Kalau kamu ada ciri-ciri tu, tak payah tunggu hujung tahun, hujung bulan ni pun mak setuju kamu nak kahwin.”


Persediaan sebelum perkahwinan, kebiasaannya orang hanya melihat persediaan untuk kenduri sahaja. Nak pakai baju warna apa, pelamin tema apa, berbulan madu ke mana. Itu sahaja. Sedangkan bagi orang yang ingin melayari bahtera perkahwinan, terlalu banyak persediaan yang mesti dipersiapkan.

Sekiranya hasrat kita untuk berkahwin tidak dipersetujui oleh ibu bapa.  Usah terburu-buru mengatakan bahawa ibubapa tidak memahami. Cubalah muhasabah bagaimana kita mengurus diri. Ibu bapa ingin melihat yang terbaik untuk diri anak-anaknya. Mungkin mereka tidak bersetuju kerana tingkahlaku kita yang belum matang. Mungkin juga kerana personality kita yang kurang bertanggungjawab. Mungkin juga kerana kita belum cekap melaksanakan urusan rumahtangga yang asas.

Oleh itu, sebelum kita menyatakan hasrat ingin mendirikan rumahtangga, tunjukkanlah kepada mereka bahawa anak mereka ini sudah bersedia. Fahamilah hakikat sebuah perkahwinan, ia bukanlah sebuah istana yang dibentang dengan hamparan baldu tetapi ia sebuah perjalanan yang penuh liku. 

26 September 2012

Kebun pahala yang tiada dua


“Assalamualaikum kak…” suara Nora memecah keheningan sambil tangannya menyentuh lembut bahu saya. Saya menoleh kepadanya dengan senyuman dibibir

“Waalaikumussalam warahmatullah..” bingkas saya bangun lalu menyalami dan memeluknya kemudian mata kami bertentang. Nora tersenyum, namun senyuman hari ini tidak seceria biasa. Bagai ada yang tersimpan di  lubuk hatinya.

“Hah! Mimpi apa nak dating dengan akak hari ni? Kerja macammana? Anak-anak sihat?” Saya melontarkan soalan bertali-tali, hampir dua bulan tidak ketemu dengan sahabat saya ini. Tiba-tiba dia menghubungi saya semalam, nak bersembang-sembang katanya.

“Saya mimpi rindukan akak…” dia melirik senyuman, sambil tangannya memegang pipi saya

“Iye la tu… Anak-anak sihat? Tak bawa ke sini?” Saya bertanya sekali lagi, rindu juga saya kepada sepasang anak Nora yang comel itu. Si abang bernama Adam dan adiknya sofia.

“La kalau bawak mereka berdua, tak jadi dating la kita! Hehe…” Dia menyeringai lagi. Begitulah Nora, sentiasa kelihatan gembira walaupun kadang kala jiwanya direnggut resah. Walaupun dia muda beberapa tahun daripada saya, tetapi ikatan persahabatan yang  terjalin sejak di universiti menjadikan kami seperti adik beradik. Serasi. Selalu berkongsi rasa dan cerita. Tatkala diri dihimpit masalah, seringkali saya menjadi telinga untuk mendengar luahannya. Jika dirinya memerlukan bahu untuk menangis, bahu saya jugalah yang selalu menjadi pilihan.

“Akak apa khabar? Nampak kurus sikit ni akak tak sihat ke? Anak-anak?” giliran dia bertanya

“Alhamdulillah, akak sihat, anak-anak pun sihat… sekarang mereka pergi ke kolam renang bersama ayah mereka.” Jawab saya ringkas

“Mak Nora di kampung sihat tak? Lama tak dengar berita makcik, rasanya dah empat lima tahun tak berjumpa. Kalau dia ke sini beritahu akak ye, boleh akak pergi ziarah.” Saya terus bertanya khabar. Dulu semasa di universiti selalu juga saya ke rumah orang tua Nora di Terengganu. Selepas kematian ayahnya ketika Nora di tahun dua, Nora kerap juga balik ke kampung menjenguk ibunya.

“Mmm biasa la orang tua, ada masa sihat, ada masa tak berapa sihat… Mmm saya nak sembang-sambang dengan akak pasal mak saya lah ni…” Wajah Nora yang tadinya ceria, muram sedikit. Dia menundukkan pandangan.

“Kenapa dengan mak Nora? Sakit ke?” Saya bertanya dengan nada yang agak cemas. Setahu saya makcik tidak menghidap penyakit-penyakit kronik yang selalu menimpa orang tua zaman sekarang. Cuma lelah yang jarang-jarang datang bertamu andai makanan tidak dijaga dengan baik.

“Bukan.. Dia ok je, Cuma baru-baru ni, abang saya cadangkan supaya kami bergilir-gilir menjaga mak. Kami kan ada lima beradik. Jadi ada yang mencadangkan supaya mak duduk sebulan di rumah abang long, sebulan di rumah kakngah, sebulan di rumah saya, seterusnya di rumah kak cik dan usu. Sejak beberapa tahun yang lalu, mak dah tak duduk di rumahnya di Terengganu kerana abang risaukan keselamatan mak jika tinggal berseorangan. Jadi dibawanya mak tinggal bersama dirumahnya. Tak tahu lah kenapa baru-baru ni timbul cadangan sebegini. Mmm…” sekali lagi wajahnya tertunduk, nafasnya dilepas berat.

“Macam mana ya kak? Apa pendapat akak? Saya kadang-kadang rasa ok dengan cadangan tu, tapi kadang-kadang rasa macam tak ok. Kesian juga pada mak, takut-takut dia rasa macam bola pula ditendang ke sana ke mari. Kami adik-beradik memang sangat-sangat sayangkan mak. Cumaaa…” Bicaranya terhenti, merenung ke depan, memikirkan natijah barangkali.

Saya diam sahaja, tidak mahu mengganggu andai ada lagi yang ingin diluahkannya. Tiba-tiba wajah ibu dan ayah dikampung turut bermain di mata. Rindu menyelinap.

“Akak, apa pendapat akak ye?” Dia bertanya semula. Tangannya menggenggam jari jemari saya.

“mmm… sebelum akak beri pendapat akak, Akak nak Tanya beberapa soalan kepada Nora. Boleh?” saya pandang wajah ibu muda itu. Mata kami bertemu lagi.

“ Pertama, jika Nora duduk ditempat mak Nora, agak-agak Nora nak tak duduk dirumah orang ni sebulan kemudian pindah ke rumah orang lain pula, kemudian selepas sebulan pindah pula ke rumah orang lain? Seronok tak hidup berpindah randah?” Saya bertanya sambil merenungnya

“Ish penatlah macam tu. Nak punggah beg merata-rata. Taknak lah…” Dia menggeleng-geleng.

“Soalan kedua, apa perasaan Nora jika anak-anak berbuat begitu kepada Nora bila Nora tua nanti? Sekejap duduk rumah Adam, sekejap duduk rumah Sofia. Sekejap duduk di rumah anak-anak yang lain pula?” Nora kelihatan tersentak dengan persoalan saya.

“Ya Allah, saya sanggup duduk sorang di rumah saya daripada berpindah randah begitu. Biarlah susah senang, sakit pening saya duduk di rumah sendiri. Walaupun anak sendiri, mesti mereka ada kehidupan mereka masing-masing. Tak sanggup saya nak menyusahkan anak-anak”

“soalan ketiga, apa yang nora harapkan dari anak-anak yang nora ulit bagaikan permata sekarang ini?” saya bertanya lagi

“mmm mestilah saya nak mereka sayangi saya macam saya sayang pada mereka. Merawat saya ketika sakit, menjaga saya tatkala saya sudah kurang upaya. Pendek kata saya inginkan anak-anak yang berbakti kepada kami ibu ayah mereka.” Dia menjawab, pandangannya jatuh kepada deretan bunga-bungaan yang pelbagai warna di hadapannya.  Senyuman menghiasi bibir, mungkin terbayangkan hari tua yang indah-indah.

“Nampaknya, soalan yang Nora tanya akak tadi, Nora sudah menjawabnya sendiri.” Saya mengalih pandangan ke arahnya. Nora mengangkat kening.

“Begitulah juga orang tua kita Nora, dengan kesihatan dan kudrat yang semakin kurang, sangat tidak sesuai jika mereka terpaksa berpindah randah begitu. Jika kita yang muda ni penat bila sekali sekala balik ke kampung, inikan pula orang tua seperti mereka. Kasihanilah mereka. Mungkin kita rasa cadangan kita itu relevan pada kita adik beradik, tetapi cuba kita fikirkan keadaan mereka sama ada sesuai atau tidak. Itu dari sudut fizikal.”

“Dari sudut perasaan pula, ibu bapa ni jiwanya halus, mudah tersentuh. Walaupun niat kita baik, kadang-kadang ibu bapa fikirnya lain. Bagi kita, mungkin nak bagi keselesaan kepadanya, tetapi bagi dia mungkin anak-anak tak sanggup menjaga mereka lama-lama. Seperti mana kita, kita mesti ada tempat yang kita selesa untuk tidur, makan dan berehat, begitu juga dengan mereka. Bukan mudah untuk mereka menyesuaikan diri di setiap tempat yang mereka terpaksa menghuni. Akak ingatkan mak akak, dia suka masak air dalam periuk bertangkai yang telah digunakan bertahun-tahun. Berbagai-bagai jenis cerek yang kami anak-anak belikan. Cerek elektrik, cerek berbunyi, tapi periuk itu juga yang menjadi pilihan. Ibu bapa yang sudah punya barang kesukaan mana mungkin dia akan mengangkutnya ke sana ke mari. Bagi kita mungkin ia satu perkara yang remeh, tetapi bagi orang yang sudah menjengah usia emas, semua itu ada nilai sentimental yang tidak mungkin difahami anak-anak.”  Saya menjelaskan panjang lebar.

Nora mengangguk perlahan

“Orang tua juga ada kawan-kawan yang nak diajak bersembang. Jiran sekeliling rumah. Cuba bayangkan bila dia duduk berpindah randah. Susah juga nak menyesuaikan diri dengan orang sekeliling. Di dalam kesunyian mereka kehilangan teman berdamping. Berilah mereka peluang untuk mengisi jiwa mereka dengan perkara-perkara yang telah mereka selesa. Kita belum tua, mungkin kita belum merasa, tetapi cubalah sedaya upaya untuk menyelami kolam hati mereka…” Jiwa saya memang mudah  tersentuh bila membicarakan soal ibu bapa kerana terlalu banyak peringatan di dalam Al-Quran dan hadith yang menekankan betapa penting berbuat baik kepada ibu bapa.

“Nora, Jika kita tidak mahu anak-anak berbuat begitu kepada kita. Jangan sesekali kita berbuat begitu kepada ibu ayah kita. Anak-anak belajar dari apa yang mereka lihat. Jika kita berkasar dengan ibu bapa kita, maka tunggu sahajalah kata-kata kasar yang akan lahir dari anak-anak kita kepada kita. Jika kita melayani mereka dengan sopan santun. Insya Allah, anak-anak juga akan menyantuni kita ketika kita sudah dimakan usia nanti. Bak kata orang, apa yang kita beri, kita akan menerimanya kembali.”

“Ibu bapa adalah kebun pahala yang tiada dua. Selagi mereka masih ada bersama kita, santunilah mereka sebaiknya. Sebut memang mudah, tetapi nak melaksanakannya adalah satu perkara yang agak sukar. Melayani jiwa orang tua kadang-kadag lebih sukar berbanding melayani karenah anak-anak kecil. Oleh sebab itulah, Allah tidak membenarkan kita berkata kasar walaupun dengan perkataan ‘ah’ kepada ibu bapa kita.”

“Umpamanya, kita ada sebuah kebun buah-buahan. Andai ingin mendapat hasil yang baik, buah yang elok dan banyak, pastinya ia memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit. Jika betul caranya, sabar pula menjaganya, insya Allah lumayanlah hasilnya. Berbakti kepada ibu bapa, terlalu banyak ganjarannya. Natijahnya bukan sahaja di akhirat sana, malahan keberkatan akan terasa sejak di dunia…”

“satu lagi, jangan buat ibu bapa kita seperti anak-anak kita. Nak suruh mereka  ikut cakap kita sahaja. Kita mesti ingat, walaupun dia dah tua dan kurang berdaya, mereka tetap ibu bapa yg mesti kita muliakan..” panjang sungguh nasihat saya petang itu.

Teringat saya akan pertanyaan Rasulullah kepada sahabat baginda :”Adakah kamu mempunyai ibu?” Sahabat menjawab, “Ya.” Lalu Rasulullah berpesan, “dampingilah beliau iaitu ibu kerana sesungguhnya syurga di bawah kedua kakinya.”

Teringat juga saya kepada sebuah kisah di mana ada seorang orang soleh yang menggendong si ibu untuk bertawaf. Apabila ditanya samaada beliau telah membalas jasa ibunya. Ternya jawapan yang diterima ialah “tidak, bahkan walaupun sekadar sehela nafas ibumu.”

Ibu bapa adalah kebun pahala yang mesti kita jaga sebaiknya. Mengabaikannya bermakna kita mensia-siakan salah satu nikmat untuk mendapatkan keampunan dan keberkatan dari Allah s.w.t.