17 August 2011

Kegembiraan waktu berbuka


“Humaira makan semasa rehat atau waktu tengahhari di sekolah tadi?” saya bertanya sebaik sahaja dia turun dari van sekolahnya.

“Masa rehat dan tengahhari, Humaira’ lapar sangat lah ibu, tengok kawan-kawan makan lagi rasa lapar.” Dia menjawab telus. Hari ini baru hari kedua berpuasa, walaupun dia bangun sahur, tetapi jika makan hanya sesuap dua saya tak menjangka dia dapat bertahan sehingga petang. Lalu saya bekalkan juga dengan makanan di dalam lunch boxnya.

“Kenapa Humaira tak makan masa tengahhari je, kita kan tengah puasa?” Saya bertanya sekali lagi mengingatkan kepadanya tentang ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang mulia ini, sebelum ke sekolah tadi sudah saya pesan supaya dia makan pada waktu tengahhari, sekurang-kurangnya dapat juga berpuasa separuh hari.

“Humaira tak tahan dah tadi…” Dia menjawab ringkas sambil berlari masuk ke rumah. Saya menggeleng-geleng kepala, sedang mencari jalan bagaimana melatih dia berpuasa di dalam suasana yang langsung tidak membantu. Dikelilingi dengan rakan-rakan yang bukan beragama Islam yang sudah pastinya tidak berpuasa , ia satu cabaran buat anak kecil sepertinya.

“Ibu, nak sikit! Sedap betul Humaira’ tengok adik makan.” Dia datang kepada saya yang sedang menyuap nasi berlauk ayam goreng kepada Khadijah. Minta disuapkan juga ke mulutnya.

“Eh! Humaira kan puasa?” Saya bertanya kembali sambil mengangkat kening

“Laparlah ibu, sikiiiit je… Boleh la…” Dia menggosok-gosok perut dan memandang ke arah nasi Khadijah penuh sayu

“Orang puasa memang lapar, tapi kita kena sabar, lagipun Humaira dah makan tengahhari tadi, jadi Humaira kena tunggu waktu berbuka sebentar lagi baru boleh makan dengan ibu dan ayah. Sekarang Humaira pergi main dulu ye…” Saya memujuk.

Humaira berlalu ke ruang depan dengan langkah longlai. Jika diikutkan naluri keibuan, mau sahaja saya suapkan nasi ke mulutnya, tapi ibu juga perlukan hati yang keras dalam mendidik anak-anak, demi kepentingan anak-anak juga.

Selesai saya menyuapkan nasi kepada khadijah, saya pun mula memasak dan menu hari ini ialah pizza dan sedikit kuih bakar sebagai pemanis mulut. Bau makanan yang dibakar cukup menarik Humaira untuk ke dapur dan menjenguknya

“Lambat lagi ke nak berbuka ibu?” Humaira bertanya buat kali yang entah ke berapa, tak sampai sepuluh minit, pasti dia akan bertanya dan bertanya lagi.

“Tak lama dah, tinggal 30 minit saja lagi.” Saya menjeling jam di dinding dengan tangan sibuk menyusun hidangan.

“Haaa! Tiga puluh lagi ke? Lamanya! Aduhai, Humaira tak tahan tengok pizza ni ibu, sedap sangat ni.” Dia menongkat dagunya ke meja membuatkan hidungnya berada hanya beberapa inci dari dulang pizza. Pizza yang masih berasap dan aroma herba itali yang memikat  rasa bukan sahaja membuat Humaira terliur, bahkan saya juga. Tiga puluh minit bagaikan tiga jam menanti. Humaira masih tidak bergerak, merenung Chicken Supreme Pizza, sambil mulutnya tidak henti-henti  mengomel betapa waktu begitu lambat bergerak.

“Baiklah, sekarang mari kita baca doa bersama-sama.” Suami saya yang baru duduk bersuara, mendengarkan itu, humaira bingkas duduk tegak sambil tangan diangkat untuk berdoa.

“Bismillahirahmanirrahim, Allahummalaka sumna, wabika amanna, wa ala rizkika afthorna birahmatika ya arhamarrahimin. Allahumma bariklana fima rozaqtana waqina azabannar…” Sebaik sahaja doa habis dibaca, azan berkumandang dari telefon saya. Alhamdulillah, Berjaya berpuasa untuk hari kedua hari ini detik hati saya.

Humaira minum sedikit air lantas menyambar pizza, makan dengan begitu berselera.

“Seronok tak berbuka?” Saya bertanya kepada Humaira. Humaira tidak menjawab kerana mulut yang penuh dengan pizza tetapi hanya menganggukkan kepala dengan senyum puas.

“Haaa… inilah kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka! Seronok bukan?” Saya berkata kepadanya mengingatkan kepada hadith Rasulullah tantang kelebihan berpuasa yang mana bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya.

“Seronok sangat!” Humaira menjawab ringkas kemudian menyambung kembali gigitan pizza, hampir setengah dulang dimakannya.

"Esok nak puasa lagi tak?" Saya bertanya lagi

"Mmm! Mmm!" Humaira mengangguk kepala dengan penuh semangat

Rezeki yang terhidang petang itu kami hadapi dengan penuh kesyukuran.  Kegembiraan waktu berbuka puasa memang tidak dapat digantikan dengan apa-apa jua. Bagi mereka yang berpuasa atas dasar keimanan kepada Allah s.w.t dan hanya mengharapkan keredhaanNya, bukan sahaja mendapat kegembiraan, bahkan dosa-dosanya yang telah lalu juga akan diampunkan.


No comments: