01 July 2011

Umpama bidadari...

“Ibu, boleh tak Humaira pergi ke sekolah pakai baju lengan pendek?” Terpacul soalan itu dari mulut mungilnya ketika saya sedang menidurkan adik Khadijah. Saya memandang wajahnya.


“Kenapa pula Humaira nak pakai seperti itu, sayang?” Ringkas pertanyaan saya kerana ingin menguji kefahaman Humaira’ tentang kewajipan menutup aurat. Terbit juga kegusaran jauh di lubuk hati saya. Hidup di negara yang punyai budaya dan adat yang cukup jauh dengan gaya hidup Islam sebenarnya cukup mendebarkan saya dan suami di dalam mencanai peribadi muslim dalam diri anak-anak.

Humaira’ hanya mendiamkan diri, biasanya begitulah dia, jika dia tahu bahawa apa yang ditanya atau dibuat tidak kena dengan apa yang telah kami ajarkan pasti pertanyaan kami akan dijawab dengan sepi seribu bahasa.

“Humaira’ rasa panas ke sayang?” Saya bertanya lagi, walaupun saya rasa soalan itu tidak relevan dengan cuaca musim luruh di Australia yang lebih sejuk berbanding Malaysia.

“Bukan…” Perlahan jawapannya, antara dengar dengan tidak sahaja

“Humaira’ rimas?”

“Tak…” Dia menjawab sepatah lalu merebahkan kepalanya selari dengan kepala Khadijah

“Humaira’ nak pakai baju lengan pendek sebab kawan-kawan Humaira’ pakai baju lengan pendek ye… Humaira rasa terasing dari kawan-kawan?” Saya terus meneka, wajah mulusnya saya raut penuh kasih sayang. Meraikan juga perasaan anak kecil itu yang mungkin rasa keseorangan dalam menzahirkan pemakaian menutup aurat di sekolah. Walaupun ada pelajar-pelajar muslim yang lain, namun tidak ramai yang memakai baju berlengan panjang dan bertudung sepertinya.

“Mmm…” Anggukan kecil Humaira’ mengiyakan tekaan saya, matanya tertumpu kepada rambut halus adik Khadijah yang di pintal-pintal. Mungkin di kepalanya mengingatkan rakan-rakan di sekolah.

“Sayang, memang betul ramai kawan-kawan Humaira’ memakai baju lengan pendek, tetapi mereka itu bukan muslim.” Saya memulakan bicara lantas terhenti seketika mencari-cari bait ayat yang sesuai bagi memberi keyakinan bahawa dia harus kuat berpegang kepada pakaian muslimah yang dengannya dia akan dikenal sebagai wanita yang beriman kepada Allah s.w.t. Teringat saya akan ayat Allah di dalam surah Al-Ahzab .

“Hai Nabi katakanlah kepada istri-istrimu, anak-anak perempuanmu dan istri-istri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.”

Suatu hari, saya pergi ke sekolah untuk meraikan harmony day yang dianjurkan oleh East Torrens Primary School tempat dimana Humaira bersekolah. Setelah meninjau-ninjau semua pelajar di dalam dewan, kelihatan hanya dia dan seoarang lagi pelajar berketurunan india yang memakai tudung. Walaupun ramai lagi pelajar beragama Islam datang dari berbagai negara seperti Indonesia, Iraq dan beberapa Negara serata dunia, tetapi apabila pakaiannya sama, maka agak sukar saya untuk meneka yang mana muslim dan bukan muslim. Memang benarlah seperti yang disebut oleh Allah itu, pemakaian hijab itu adalah supaya mereka lebih mudah dikenal sebagai seorang muslim.

“Humaira’, Humaira jangan risau kalau humaira lain daripada orang lain. Ingat Harmony day di sekolah tempoh hari? Humaira cerita kat ibu yang ke mana sahaja Humaira pergi, ramai yang kata humaira cantik dengan baju dan tudung yang Humaira pakai hari tu?” Saya mengingatkan kembali Harmony Day yang dijalankan di sekolah beberapa minggu sebelum itu.

Pada hari tersebut, setiap pelajar dikehendaki memakai pakaian kebangsaan masing-masing. Suasana sangat ceria diwarnai oleh pakaian yang berbagai potongan dan warna. Pelajar korea dengan gaun labuh berlengan panjang dan topi yang tersendiri, pelajar jepun dengan kimono, Pelajar india dengan baju Punjabi, pelajar
melayu dengan baju melayu dan baju kurung dan berbagai lagi baju kebangsaan yang belum pernah saya lihat. Cantik sekali!

Humaira pula saya pakaikan dengan gaun labuh berlengan panjang berwarna merah. Dengan tudung berona sedondon, dia kelihatan seperti puteri yang boleh mengalahkan karektor Barbie yang menjadi idola anak-anak sekarang. Humaira tidak suka memakai baju kurung, maka terpaksalah saya menyediakan alternatif lain yang juga cantik dan lebih penting menutup aurat.

Pulang dari sekolah dengan senyum yang tidak lekang dari bibir dia menceritakan bahawa guru-guru dan rakan-rakan memujinya cantik dan comel. Bagi saya ia satu penghormatan buat pemakai busana muslimah. Tidak semestinya yang terdedah sana-sini itu cantik, tetapi yang terpelihara itulah yang lebih istimewa.

“Ingat! Ingat!” Humaira tiba-tiba bangkit dari baringan, teruja agaknya.

“Haaa maksudnya, ramai je orang suka orang yang pakai tudung ni, walaupun nampak lain dari yang lain. Lagipun bila Humaira pakai pakaian menutup aurat, Humaira’ sebenarnya sangat istimewa tau!”

“Kenapa pula istimewa?” Dia bertanya sambil mengerut dahi

“Humaira’ suka hadiah?” Saya cuba memberi satu analogi yang mudah.

“Mmm… Mestilah suka!” senyumnya makin melebar

“Kenapa Humaira suka hadiah?” Saya bertanya lagi, sengaja mencetuskan soalan-soalan agar minda mudanya itu sentiasa berfikir.

“Sebab dia cantik, dan seronoklah bila dapat hadiah!” Dia menjawab penuh ceria

“Hadiah, walaupun hanya sebatang pensel, tetapi bila dibalut cantik dan hanya dapat dilihat oleh orang yang tertentu, maka ia dianggap istimewa. Begitu juga dengan seorang perempuan, bila dia sentiasa menutup aurat, memakai pakaian yang sopan, boleh dilihat hanya oleh ibu bapa dan adik-beradik sahaja, maka perempuan itu istimewalah. Tidak seperti orang yang tidak menutup aurat, semua orang boleh tengok rambut dan badan dia. Tambahan pula, dia mudah diganggu oleh orang lelaki yang nakal-nakal. Jadi, Humaira’ nak jadi seperti hadiah yang istimewa itu?” Saya menjelaskan analogi mudah agar seronok dia menutup aurat. Bukan kerana melihat saya menutup aurat atau kerana ayah menyuruhnya. Saya mahu dia menutup aurat supaya dia merasa bahawa dia sangat istimewa di sisi manusia dan sudah tentu istimewa disisi Maha pencipta.

Dia tersengih-sengih.

“Kalau macam tu, Humaira’ taknaklah pakai baju lengan pendek, nanti orang nampak lah tangan humaira’ ni, nanti tak istimewa pula Humaira’…” Dia menyimpulkan analogi saya tadi dengan membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Di dalam hati saya merafa’kan kesyukuran buat ilahi.

“Tapi kan ibu…” Dia masih tersengih.

“Tapi apa pula?” Giliran saya pula mengerutkan dahi

“Boleh tak kita makan sekarang, Humaira lapar dah ni.” Dia menggosok-gosok perutnya

“Ya Allah sungguhlah Humaira tak makan lagi! Ibu lupa la pula!” Saya bingkas bangun dan menariknya ke dapur. Humaira hanya merelakan saja saya menarik dan mendudukkannya di meja makan.

Tatkala dia makan, saya merenungnya penuh cinta, anak-anak ibarat bidadari di jiwa saya dan suami dan kami berdoa agar dia menjadi bidadari juga di akhirat nanti. Di dalam hati, saya berdoa kepada Allah agar kami kuat menghadapi apa jua ujian diperantauan ini. Walau apa yang terjadi, di mana bumi dipijak, disitu Islam dijunjung.

2 comments:

Nur Mawaddah Mohd Shah said...

wahh, suka baca post cik. Suka part yang ibu bapa n adik beradik je boleh lihat aurat kita dan itu yang buat kita istimewa. hehe :)

Anonymous said...

pandainye humaira...suke la bace..bace byak kali..x bosan pun..hihi