05 February 2011

Siri Ikut Sunnah, Memang Mudah : Bismillahirrahmanirrahim...

“Alah! Tak masuk lagi!” Humaira berdengus.

Entah berapa kali dia cuba masukkan bola ke dalam jaring tetapi masih gagal. Saya hanya memandang dari tadi, sengaja tidak berkata apa-apa dan hanya menjadi pemerhati. Rasanya hampir sepuluh kali dia membaling dan mengutip bola yang tidak masuk ke sasarannya. Nampaknya, dia sudah mula hilang sabar.

“Ibu! Susahnya nak masuk… Dah banyak kali Humaira cuba, tapi tak masuk juga bola ni. Ish! Geram betul la. Nak buat macammana ni?” Dia mula membebel, namun masih setia mengutip bola yang bergolek. Lucu juga saya melihat wajah kelatnya itu.

“Mmm… Humaira’ tak baca Bismillah kot, sebab tu bola tu tak nak masuk jaring.” Saya cuba mengujinya. Dia terhenti seketika dan memandang pelik kea rah saya.

“Kenapa pula kena baca bismillah?” Tanya dia sambil mengangkat kening

“Mari sini ibu cuba!” Saya meminta bola daripadanya tanpa terlebih dahulu menjawab soalannya.

“Bismillahirrahmanirrahim” Saya membaca basmallah dengan agak kuat agar dia mendengar sebutan saya itu dan Alhamdulillah bola mengena ke sasaran, jaring untuk kanak-kanak, mudahlah untuk orang dewasa seperti saya.

“Wah! Masuk la ibu!” Humaira’ melompat-lompat teruja sambil bertepuk tangan melihat bola yang saya baling tadi masuk ke jaring seolah-olah saya ini adalah pemain bola jaring dunia.

“Macammana ibu boleh masukkan bola tu ye?” Tanya Humaira lagi

“Ibu baca Bismilahirrahmanirrahim, maka Allah tolonglah ibu.” Saya memberi penjelasan mudah.

“Haaa? Kena baca bismillah? Kenapa?” Sekali lagi dia memalingkan wajah mulusnya ke arah saya.

“Humaira’ nak tahu apa sebabnya? Mari duduk sini.” Saya menepuk-nepuk bangku panjang di sebelah saya agar dia mengambil tempatnya. Biar dia duduk bersama saya seketika, lalu dapatlah saya bercerita satu sunnah Rasulullah s.a.w.

Humaira’ duduk di sebelah saya dan saya memeluk bahunya dan merapatkan tubuh saya ke tubuh kecilnya itu.

“Kenapa kena baca bismillahirrahmanirrahim sebelum kita buat sesuatu?” Saya kembali bertanya Humaira’ bagi menyegarkan semula mindanya tentang tajuk tarbiyah saya pada hari ini.

Humaira’ hanya mengangkat bahu.

“Sebenarnya, bila kita membaca Bismillahirrahmanirrahim Allah akan sentiasa bersama kita, dan kita juga akan mengharapkan bantuan Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lagi pula, ia adalah salah satu pesan Rasulullah kepada kita. Kalau kita buat sesuatu dimulakan dengan Bismillah, malaikat akan catat ia sebagai satu ibadah dan kita akan dapat pahala. Walau apa pun yang Humaira buat, Humaira’ akan dapat pahala. Makan dapat pahala, main bola dapat pahala, mandi dapat pahala naik basikal pun boleh dapat pahala dengan syarat baca Bismillahirrahmanirrahim terlebih dahulu.” Saya cuba menerangkan kepadanya konsep ibadah dalam konteks kehidupan seorang muslim. Tidak mahu dia hanya menganggap solat, puasa dan haji sahaja ibadah dalam hidupnya.

“Dan bila Humaira’ dapat banyak pahala, mudah-mudahan dapatlah Humaira’ masuk syurga.” Saya menutup bicara saya dengan pengharapan kepada syurga Allah yang tertinggi.

“Ooo macam tu… Okey lah! Sekarang Humaira nak pergi main semula boleh?” Belum sempat saya mengangguk, bola yang tadinya tergolek di tepi tiang sudah berada di tangannya

“Bismillahirrahmanirrahim!” Dia menyebut basmallah dengan agak kuat dan cuba membaling bola ke jaring, namun bola itu tetap juga tidak masuk.

“Dah baca bismillah pun kenapa tak masuk?” Dia menjerit kepada saya

“Kalau dah baca bismillah, hati kena mintalah bantuan Allah, kemudian Humaira’ tumpukan perhatian untuk masukkan bola tu, Insya Allah boleh. Tak semestinya baru baca sekali terus masuk, mestilah usaha bersungguh-sungguh. Okey cuba sekali lagi.” Saya terangkan lagi konsep mengharapkan bantuan Allah, bukan boleh bergolek tanpa usaha dan perancangan rapi.

“Bismillahirrahmanirrahim…” Humaira menyebut basmallah sekali lagi, seketika itu jua dia menutup kedua matanya, mungkin berdoa agar bola itu masuk ke jaring.

“Okey! Fokus! Fokus!” Saya cuba memberi semangat kepadanya

Humaira’ menumpukan sepenuh perhatian kea rah jaring, lalu dibaling bola ke arahnya dan akhirnya! Bola itu masuk! Masya Allah!

Saya menepuk tangan, dan menjerit ke arahnya “Humaira’ berjaya! Humaira’ berjaya!

Humaira’ yang teruja turut melompat kegembiraan… “Yeay dah masuk! Alhamdulillah”

2 comments:

KasihSuci said...

ye kak, mmg benar, mengharap pada bantuan dan pertolongan Allah itu boleh menyucikan hati,menyedarkan akan kelalaian dan membangkitkan berjuta2 semangat untuk terus berjuang dalam hidup di bawah naungan panji Islam.

Anonymous said...

betul tu dik... Moga dengan mengamalkan sunnah, kita akan menjadi manusia yang sentiasa di dalam pandangan Allah... Nampak kecil, tetapi impaknya besar, mudah-mudahan kita antara insan yang menyanjung dan menjunjung segala perintah Allah dan rasulnya...