30 January 2011

Siri Ikut Sunnah, Memang Mudah : Berwudhuklah!



Pesan Nabi:


Al-Bara’ bin Azib menyampaikan kepadaku, dia berkata, Rasulullah S.A.W berkata kepadaku: “Jika kamu hendak tidur, maka berwudhuklah sebagaimana wudhuk ketika hendak solat. Kemuadian tidurlah di atas pinggul kanan”


(Direkodkan oleh Abu Daud)


Jom praktik!

“Kakak, mari kita pergi ambil wudhuk” bicara saya kepada Humaira’ yang sedang berguling-guling di atas katil. Adik Khadijah yang tadinya nampak mengantuk segar semula setelah mendapat tenaga selepas saya menyusuinya. Belum masa untuk tidur agaknya.

Mata Humaira sudah agak layu, entah dia perasan dengan ajakan saya atau tidak, saya pun tak pasti.

“Kakak, mari kita pergi ambil wudhuk” Ajak saya sekali lagi.

“Kenapa pula kena ambil wudhuk ibu? Humaira’ mengantuk ni…” Dia bertanya semula tentang rasional ajakan saya itu sambil memisat-misat matanya yang kian merah. Biasanya saya mengajaknya berwudhuk ketika hendak solat.

“Supaya Allah jaga Humaira masa Humaira tidur nanti. Lagi pun, Rasulullah suruh kita mengambil wudhuk sebelum kita tidur sepertimana kita berwudhuk untuk solat.”

“Kalau kita berwudhuk, kita dapat pahala sebab ikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan Allah akan suruh Malaikat jaga kita sampai pagi, jadi Syaitan pun tak beranilah nak kacau kita. Humaira’nak tak Allah jaga Humaira semasa Humaira tidur?” Terang saya seterusnya bertanya agar dia lebih faham akan apa yang akan dilakukan sebentar lagi.

“Nak! Nak! Jom kita pergi bilik air, tapi Humaira’ tak pandai lah ibu… Ibu ajar Humaira’ boleh?” Dia bingkas bangun sambil menarik saya ke bilik air

Dia sudah bersedia di hadapan paip air, lalu memandang saya meminta tunjuk ajar

“Baiklah, pertama sekali Humaira’ kumur-kumur mulut, kemudian masukkan air dalam hidung.” Saya menunggu dia melakukannya sebelum memberi arahan seterusnya. Sebenarnya dia bukan tidak pandai langsung kerana di tadika memang sudah diajar tentang wudhuk, mungkin dia masih ingat-ingat lupa mana yang dulu dan mana yang kemudian. Setelah dia berkumur dan membersihkan hidung saya meneruskan arahan.

“Okey, basuh muka, pastikan air kena semua muka Humaira’” Saya menerangkan sambil menunjukkan kawasan yang mesti kena air. Namun praktikalnya masih tidak sempurna.

“Tengok ibu basuh macammana ya.” Saya menadah air lalu membasuh muka dengan cara yang betul, Humaira’ melihat dengan penuh tumpuan. Lalu mengikutinya.

“Lepas tu?”

“Basuh pula lengan sampai siku. Gosok-gosok lengan tu supaya air rata, tempat yang kena air ni, masa di akhirat nanti, ia akan bercahaya. Cantik sangat!” Saya membantunya menggosok lengan sambil menceritakan ganjaran yang Allah sediakan buat hambanya yang berwudhuk.

Humaira’ mengangguk sahaja. Kemudian memandang saya semula.



“Kepala pula.” Saya mengambil air kemudian mengusap kepala dari depan ke belakang. Dia menurut perbuatan saya.

“Kemudian telinga, dan akhir sekali kaki. Basuh kaki pun kena teliti tau, Humaira gunakan jari untuk masuk ke celah-celah jari kaki macam ibu buat ni, di tapak kaki tu Humaira gosok kuat-kuat sikit supaya air rata. Kalau air tak rata, wudhuk kita tak sah pula nanti.” Terang saya sambil menunjukkan caranya.

Berwudhuk merupakan perkara yang amat penting yang akan menentukan sah ataupun tidak solat seseorang. Maka saya perlu menunjukkan cara yang paling sempurna agar dia berwudhuk dengan baik dan betul. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, asalkan basuh sudah. Kadang-kadang ramai dikalangan kita hanya mencucur kaki di bawah air sahaja sedangkan air tidak akan merata di tapak kaki kita yang kasar itu jika tidak digosok-gosok.

“Ibu, nanti muka, tangan, mulut, kepala, telinga dan kaki Humaira’ akan bercahayakah di akhirat nanti?” Humaira’ bertanya sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari bilik air itu.

“Ya sayang, Allah akan beri cahaya yang sangat cantik kepada anggota wudhuk kita, jadi kita mestilah rajin ambil wudhuk. Esok kita berwudhuk lagi ye?”

Humaira’ tersenyum manis sambil mengangguk-angguk. Malam itu tidurnya berteman senyuman, moga dia dijauhi syaitan dan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa sepanjang kehidupan.

1 comment:

Abu Fathan Al Tampany said...

kunjungi http://berita-sunnah.blogspot.com/