16 February 2011

Birthday Rasulullah yang agung

“Ibu, hari ni hari apa?” Humaira’ bertanya sebaik sahaja keluar dari bilik air. Air mandian masih berjujuran dari rambutnya yang tidak dilap dengan sempurna


“Hari selasa sayang, kenapa?” Saya menjawab ringkas sambil memakaikan lampin pakai buang adik Khadijah.

“Kenapa hari selasa pun cuti, kan cuti hari Jumaat dan sabtu sahaja?” Dia bertanya lagi dengan wajah yang sedikit muram, mungkin dia sedang membayangkan hari yang membosankan akan dilaluinya hari ini. Maklumlah, duduk di rumah, bukan ada kawan-kawan yang boleh diajak bersembang, apatah lagi nak bermain. Nak menonton televisyen sepanjang hari pasti akan mendapat bantahan dari ibu dan ayahnya.

“Kita cuti hari ni sebab hari ni adalah hari yang sangat special! Betul tak ayah? Saya mengalihkan pertanyaan saya kepada suami yang juga sedang bersiap-siap untuk ke Tasik Bandar Darul Aman. Hari ini ada sedikit jamuan perpisahan untuk kami yang akan berhijrah je Adelaide Australia tidak berapa lama lagi, dan juga untuk meraikan anak-anak sahabat yang pulang dari Mesir dengan selamat.

“Ha’ah! Hari ni special sangat sebab hari ni hari kelahiran Rasulullah. Hari ni Birthday Rasulullah tau… Special sangat!” Suami saya menjawab dengan suara yang sangat ceria seolah-olah hari ini adalah Hari Raya.

Mendengar perkataan birthday tidak semena-mena Humaira jadi teruja.

“Hah! Birthday Rasulullah? Wah!” Dia tersengih-sengih, mungkin membayangkan kek berwajah Upin dan Ipin yang saya belikan sewaktu Majlis Hari kelahirannya yang lalu. Kerapkali dia bertanya bila lagi nak beli kek istimewa seperti itu . Mmm, begitulah anak-anak kecil, apa jua akan nampak istimewa jika ada kartun atau karektor yang diminati.

“Humaira’ tahu di mana dan bila Rasulullah lahir?” Saya bertanya, rasanya ini adalah masa untuk saya bercerita tentang kenapa hari Kelahiran Rasulullah ini penting buat umat Islam.

“Mmm… Bila ye?” Dia bertanya sambil menjungkitkan bahunya

“Rasulullah lahir di Mekah, di Rumah Abu Talib, pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Humaira pernah dengar cerita pasal Tahun gajah kan?” Saya memberitahunya ringkas.

Dia hanya mengangguk

“Rasulullah lahir pada waktu subuh, masa tu musim bunga. Ketika Rasulullah lahir, semua orang rasa sangat gembira… Seronok betul masa tu! Semasa kelahiran Rasulullah juga, bangunan orang yang tak sembah Allah runtuh, kemudian api yang orang majusi sembah pun terpadam sedangkan api tu tak pernah padam sejak beribu-ribu tahun. Hebatnya Rasulullah bukan?” Saya bercerita kepadanya beberapa fakta sirah dengan bahasa anak-anak. Saya ingin dia merasai bahawa kelahiran Rasulullah itu adalah satu kelahiran yang agung, bukan seperti kelahiran-kelahiran biasa

“Haaa kalau Humaira’ dan Khadijah lahir Dr. Murizah yang menyambutnya, Humaira nak tahu tak siapa yang jadi doctor masa Rasulullah lahir?” Saya membawanya kepada fakta yang jarang-jarang kita temui. Saya pun baru mendapat tahu setelah membaca buku Iktibar dan Hikmah Maulidur Rasul yang ditulis oleh Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri.

“Nak! Nak! Siapa doctor dia ibu?”

“Semasa Rasulullah lahir, yang menyambutnya ialah seorang wanita yang bernama Al-Syifa, sama macam nama panggilan ibu kan? Al-Syifa ni adalah ibu kepada Abdul Rahman bin Auf. ”

“Rasulullah adalah manusia yang hebat, dilahirkan dari keluarga yang soleh dan mulia. Dilahirkan ditempat yang mulia iaitu Mekah, dan pada masa yang paling baik iaitu pada awal pagi. Rasulullah juga diberi dengan nama yang sangat baik iaitu Muhammad yang bermaksud terpuji. Pendek kata, apa yang berkaitan dengan Rasulullah semuanya hebat dan baik-baik belaka. Sebab itulah kita mesti sayangkan Rasulullah dan ikut pesan Rasulullah…”

“Syifa’! Jom! Dah lambat ni!” Suami saya menjerit dari pintu depan mengajak saya ke tasik. Bicara saya terhenti.

“Okey lah Humaira’ nanti kita cerita lagi ya tentang Birthday Rasulullah ni. Sekarang jom kita pergi tasik. Ayah dah tunggu tu…” Saya bingkas bangun dan menyarung tudung, sehelai tudung turut saya hulurkan kepada anak gadis saya itu. Walaupun masih kecil, dia mesti saya biasakan dengan syariat Nabi Muhammad s.a.w.

Ya Rasulullah, sesungguhnya kelahiranmu adalah kelahiran agung. Akan ku sematkan ke dalam jiwa anak-anak bahawa engkau adalah suri teladan sepanjang zaman, yang wajib dicontohi dan diikuti setiap umat muslim. Ya Allah, kurniakanlah kami dengan syafaat Nabi Muhammad s.a.w di Padang Mahsyar nanti…

No comments: