10 March 2010

Usaha!

"Bermujahadahlah!" Begitulah jawapan yang diterima setiap kali dia meluahkan isi hatinya kepada teman-teman seperjuangan.


Begitu juga jawapan yang diterima tatkala soalan yang sama diajukan kepada mas'ulahnya. Tapi... dia tidak tahu bagaimana mujahadah itu...

"Ya Allah... Sukar benar nak bermujahadah... Aku tidak tahu bagaimana. Dimana perlu ku mula?Aku tidak kuat ya Allah... Ya Allah, bantulah hambamu ini." Begitu rintihan dia tika berhadapan dengan Rabbnya.

Lama benar dia menyimpan keresahan itu di dalam diri. Ia sudah membusung. Bahkan sudah bernanah. Namun apa yang menyedihkan dia belum ketemu penawarnya.

Dia buntu memikirkannya.

Pedih di sudut hatinya bertambah tambah bila terkenangkan masa lalunya. Tika dia mula-mula mendapat hidayah dan tarbiyah.

Jiwanya tenang sekali. Quran yang ditadabbur benar-benar menyentuh hati. Badannya ringan sekali melaksanakan tahajjud. Air matanya mudah sekali menyusuri pipinya. Hatinya gembira sungguh ketika bersama sahabat-sahabat berprogram.

Wah! Seronok betul dia waktu itu. Apa yang sering dirasai ialah tidak sabar untuk berprogram dan terus berprogram. Wajahnya bersinar-sinar jika terkenangkan memori itu!

Tetapi sekarang semua telah berubah. Kenangan-kenangan itu kini menambahkan lagi luka dihatinya. Kenangan itu juga seolah-olah menghisris-hiris jantungnya. Ingatan-ingatannya itu juga bagai menumbuk lumat perasaannya.

Tertekan sungguh dia bila mengenangkan keimanan yang makin menipis. Bangun malam berat terasa olehnya. Al-Quran tidak dapat mengocak jiwanya. Bacaannya hambar dan tawar. Ma'thurat tidak lagi menjadi amalan. Buku-buku tarbiyah sudah lama tidak diselak.

Aduh! Dia rasa imannya sudah ditahap kritikal! Sudah wajar dihantar ke ICU. Dia bingung! Tak tahu apa yang harus dibuat. Bukan dia tidak pernah melakukan apa-apa, dia cuba tetapi tidak berjaya.

Dek kerana ingin mencari solusi, dia cuba berdiskusi dengan suami tercinta.

"Abang... Saya ada masalah niiii..." Keluh dia kepada suaminya. Berat! Tak tertahan sudah perasaannya.

Seolah-olah menanggung beban. Terasa bagai ada sesuatu menghimpit dada, menyesak jiwa.

"Ada apa sayang? Cuba bagitau abang, kot-kot abang boleh tolong." Suaminya menawarkan bantuan. Belas menatap wajah murung sang isteri.

"Mmm... Saya dah tak tahu lah nak buat macam mana..." Wajahnya tertunduk. Sang suami terus menancapkan perhatian. Biar si isteri merasa bahawa dia di situ sedang menadah telinga menghulur simpati.

"Saya dah tak tahu nak buat macammana. Saya nak berubah, saya nak jadi lebih baik dari sekarang. Tapi saya tak tahu bagaimana dan nak buat macammana." Dia mula meluahkan isi hatinya. Si suami masih tekun memberi perhatian.
"Abang tangok saya sekarang ni, nak tahajjud sikit punya susah. Baca quran pun tak rasa apa-apa. Ish saya ni teruk sangat dah! Nak buat macammana ni? Sampai bila saya nak duduk dalam keadaan macam ni? Saya rasa sangat tertekan. Saya rasa macam saya dah lupakan tuhan." Adu si isteri dengan penuh emosi. Mukanya sudah hilang seri.

Mungkin bagi orang lain, masalahnya itu hanya masalah kecil. Tetapi bagi dia, ia cukup menghimpit rasa. Manakan tidak, jika dulu usrah dinanti-nanti tapi sekarang rasa lega bila tak jadi. Kalau dulu, ma'thurat lancar dilazimi pagi dan petang, sekarang bacaannya sudah jarang-jarang.

Bagi seorang mukmin, keadaan itu bukanlah sesuatu yang harus dipandang enteng. Ini masalah besar, jika tidak dirawat, luka yang kecil mungkin menjadi barah. Lebih sukar dirawati. Dan ia mungkin membawa mati. Na'uzubillah.

"Ooo itu ke masalah isteri abang ni?" Digenngam tangan isterinya. Cukup memberi sedikit harapan buat si dia. Otak masih ligat menyusun ayat agar apa yang disampaikan betul-betul melegakan dan membantu si isteri.

"Begini... Apa yang sayang perlu lakukan hanyalah USAHA!" Itu saranan suaminya.

"Ayang kena usaha, tidak perlu banyak-banyak, usaha mana yang temampu dulu. Contohnya, solat dhuha dua rakaat." Suaminya memberi solusi. Mudah dan ringkas.

"Ok, sekarang pergi masuk toilet ambil wuduk, pastu solat dhuha dua rakaat. Usaha!" Suaminya memberi motivasi. Dia menolak tubuh si isteri supaya terus melaksanakan usaha itu.

Si isteri seolah-olah mendapat semangat baru. "Ya! Aku mesti USAHA!" dia terus bangun dengan penuh semangat. Dia telah mendapat penawar mujarab kepada penyakitnya.

Dia hanya perlu usaha untuk mengubah dirinya. Usaha untuk berubah. Usaha untuk melaksanakan ketaatan. Usaha untuk baca quran. Usaha untuk solat sunat. Usaha untuk baca ma'thurat. Semuanya perlukan usaha!

Ya! Berusahalah! Anda mampu mengubahnya!!!

No comments: