02 March 2010

Aina shabab???

Beberapa hari yang lalu, saya ke UUM untuk bertemu dengan adik-adik. Membawa sedikit laksa untuk santapan bersama. Kami semua riang bertemu muka, bersantap bersama lantas bertazkirah untuk meningkatkan iman di dada.

Setiap kali saya menemui adik-adik itu, setiap kali itu jugalah kenangan semasa mula-mula mendapat tarbiyah dahulu terbayang di ruang mata. Indah! Terlalu indah!

Tak mungkin saya lupakan kakak-kakak yang tak jemu-jemu menanti kehadiran kami yang kadang-kadang datang, kadang-kadang hilang. Tak putus-putus bertanya khabar kami. Tak letih-letih membawa juadah buat kami.

Kami selalu berjanji untuk bertemu di tangga masjid. "Kita berbuka puasa di masjid ye..." Itu pesan kakak-kakak, dan saya amat menanti-nanti saat itu. Seronok makan ramai-ramai, solat ramai-ramai, bertukar cerita, study,  berhalaqah dan berbagai-bagai lagi peristiwa indah yang dilalui bersama.

Masjid itu terlalu banyak kenangannya. Bilik asrama hanyalah tempat singgahan. Banyak masa kami akan dihabiskan di masjid.

Memori itu sungguh menggamit kerinduan kepada sahabat-sahabat perjuangan- Dewi, Dianah, Ja, Miza, Hasra, Mazlina, Yani dan ramai lagi... (Maaf kalau ada yang tak disebut nama)

Nyata, pada waktu itu, masjid merupakan tempat yang amat penting bagi kami. Tempat yang mengumpulkan segala ketenangan dan kebahagiaan. Tempat terhimpun segala keberkatan dan kegembiraan.

Tetapi, maghrib itu telah menyentap lamunan saya. Masjid yang selalu riuh itu, senyap dan sunyi. Masjid yang selalu dikunjungi pelajar-pelajar yang mendamba ketenangan, menjadi tempat yang suram lagi sepi.

Yang ada di masjid maghrib itu hanyalah 2-3 orang muslimah. Dibahagian lelaki hanya kelihatan pelajar-pelajar arab. Pelajar melayu? Tak pasti, jika ada mungkin hanya beberapa kerat.

Tiada lagi majlis berbuka puasa, tiada lagi yang berbual-bual atas tangga, tiada lagi yang menelaah buku di atas meja, tiada lagi yang mentadabbur quran, tiada lagi halaqah-halaqah wadah pembangun jiwa. Argggh semuanya tiada.

Hati saya bagai dihis-hiris melihat suasana itu. Jiwa saya seolah-olah di mamah-mamah. Pedih! Jiwa saya merintih...

"Ya Allah! Aina syabab! Di mana pemuda-pemudi?" Hati saya menjerit perit!

"Ya Allah... Apa dah jadi dengan rumahmu? Ditinggal sepi... Tidak dipeduli... Ya Allah ampunkan kami... Astaghfirullah... Astaghfirullah..." Hati saya menangis... Sedih yang teramat!

Berjemaah di Masjid - Sunnah dan jihad

Diriwayatkan daripada Ibnu Masud, dia berkata: Sesiapa yang ingin berjumpa dengan Allah S.W.T sebagai seorang muslim di akhirat kelak, maka hendaklah dia menjaga solat - solat fardu dengan mengerjakan solat ditempat azan dilaungkan (Masjid).

Sebab, sesungguhnya Allah telah mensyariatkan sunah-sunah petunjuk kepada Nabi S.A.W dan solat berjemaah itu adalah salah satu daripada jalan-jalan petunjuk itu.

Jika kamu bersolat dirumah, sebagaimana solat orang yang tidak berjemaah di rumahnya, maka bererti kamu meninggalkan sunah nabi kamu. Dan apabila kamu meninggalkan sunah Nabi kamu, maka sesatlah kamu.

Apabila seorang mengambil wuduk dengan sempurna kemudian pergi ke masjid, maka bagi setiap langkah yang dilangkahinya pasti akan dituliskan untuknya satu pahala dan ditingkatkan darjat dan dihapuskan satu dosa.

Sesungguhnya kami melihat bahawa tidak ada pun di kalangan kami yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang yang benar-benar mengetahui kemunafikannya. Seorang lelaki pernah dipimpin oleh dua orang lelaki sehingga dia didirikan dalam saf. (Riwayat Muslim)

Hadis diatas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya solat fardhu berjemaah di masjid. Sehingga ke akhir hayat baginda, solat berjemaah amat dititik beratkan oleh rasulullah. Bahkan baginda dipapah ke masjid lantaran kesungguhan Baginda untuk solat berjemaah dengan para sahabat.

Wahai pemuda! Bangkitlah kamu dari lamunan tidurmu. Makmurkanlah masjid-masjidmu! Kekuatan ummah ini berada ditanganmu. Jika engkau tidak berdaya melawan nafsumu, bagaimana pula kamu boleh melawan musuh-musuhmu?

Wahai pemuda! Berjihadlah untuk berjemaah di masjid, kerana itu akan meperlihatkan jatidirimu.

Wahai Syabab! Makmurkanlah masjidmu! Makmurkanlah masjidmu...

Firman Allah SWT : "Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah (yakni yang menghidupkan malan di dalamnya) ialah orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta mendirikan solat..."

No comments: