11 March 2015

kisah ibu mithali #1

Ada seorang ibu, pulang dari kerja, dalam kepenatan menjemput anak dari tadika dan taska.
Anak-anak yang dihantar ke Tadika dan taska dari pagi sehingga ke petang kelihatan keletihan juga setelah seharian bersama rakan-rakan, belajar dan bermain.
Di dalam kepala si ibu, terbayang nasi dan lauk yang mesti dimasak. Kain baju yang perlu dibasuh, disidai, digosok dan dilipat. Terbayang juga rumah yang perlu dikemas sebelum suami pulang sebentar lagi kerana pagi tadi tidak sempat dikemas.
Tiba di rumah, dibuka tudung, segera ke dapur memakai apron. Anak kecil diletak ke bawah di ruang tamu, dipesan kepada kak long untuk menjaganya.
Baru sahaja mahu beraksi dengan periuk belanga, kedengaran si kecil menangis sambil merangkak ke dapur, si kakak juga datang merengek2. Menjenguk ke depan, kak long sudah lesap, pergi mandi dan solat di atas.
Si ibu meletak kembali periuk yg baru sahaja dipegang, diangkat bayi kecil itu. Anaknya yang berumur 2 tahun setengah tadi masih meneruskan nyanyian pilunya.
Si ibu memandang penuh kasih kepada anaknya yang merengek itu, "Kenapa sayang? Nak apa sayang? Lapar ke? Sekejap ye, ibu masak nasi."
Dengan menggendong sebelah dan sebelah lg digunakan untuk mengambil beras, membasuh dan memasak. Lenguh juga tangan kiri yang menggendong anak kecil itu.
Si kakak yang berusia 2 tahun setengah terus-terusan merengek.
"Kakak nak biskut?"
Geleng kepala.
"Nak susu?"
geleng juga.
rengekan sudah bertukar menjadi jeritan, mahu melepaskan rasa kerana si ibu gagal menyelami perasaan.
"Baiklah, cuba berhenti menjerit dan beritahu ibu, kakak nak apa?"
permintaan tidak dihiraukan, jeritan semakin membingit.
Jika diikutkan perasaan mahu sahaja dijerkah si anak tadi supaya berhenti merengek dan menjerit!
Namun dipujuk hati dengan doa. "Ya Allah, mohon beri kekuatan kepadaku Ya Allah"
Dipujuk lagi hatinya..
"Anak-anakku ini, telah aku hantar seharian di bawah penjagaan orang lain, maka wajarkah aku mahu mengherdik mereka?"
"Anak-anak ini, begitu sabar menerima layanan guru taska dan tadika saban hari, kenapa pula aku tidak mampu bersabar melayani karenah mereka?"
"Anak-anak ini, mungkin perlukan belaian dan perhatian dariku, kenapa aku merasa berat untuk memberikannya?"
"Anak-anak ini, hanya perlukan kasih sayang dan perhatian dariku yang seharian sibuk bekerja, mengapa aku terlalu lokek untuk menghulurkannya?"
"Ya benar, engkau penat setelah seharian keluar, tetapi apakah engkau fikir mereka tidak penat?"
Si ibu membancuh susu, dipimpin kakak yang masih merengek ke ruang tamu. Duduk di atas tikar, lalu menyusukan yang kecil, si kakak diletakkan di hujung riba, diberikan susu, diusap-usapkan kepala.
Rengekan kakak berhenti sebaik sahaja susu dimulutnya.
Selesai menyusukan bayi kecil, tetapi kakak belum lagi selesai 'tugasnya', "Kakak, ibu nak pergi masak boleh? Kakak minum susu bagi habis ok?"
Kakak menggeleng-geleng kepala. "Baiklah, ibu temankan sekejap lagi ye."
"Mungkin ini peluang Allah nak bagi aku rehat sama kot.. Aaahh nikmati sahaja.." Si ibu membisik positif kepada diri.
Si ibu, memicit-micit kaki anak, "Mungkin lenguh kaki ni, banyak main agaknya tadi."
Sedang asyik si ibu memicit kaki sambil berangan-angan hehe, tiba-tiba si kakak melompat ceria! Di cium pipi ibu, sambil berkata
:"Babai ibu, kakak nak pergi main kat luar." senyuman anaknya meleret2, puas!
Terkesima bahagia si ibu mendapat ciuman pantas itu. Hanya mampu tersenyum sambil memandang kakak yang berlari riang menuju ke arah pintu. Sekilas kelihatan senyuman yang dilemparkan si anak ketika memakai selipar.
Bayi yang tadi juga selesai 'tugas'nya, sedang sibuk mengejar mainan yang bergerak ke sana ke mari.
Si ibu berdiri penuh semangat! "Masa untuk memasak!" senyum mengulum di bibir.

No comments: