02 May 2014

Puan nak tahu tentang jesus?

Tadi, seusai solat maghrib, kedengaran pintu depan diketuk orang. Saya ingatkan Humaira dan suami yang pulang dari mengajar dari rumah seorang warga Indonesia.. Saya menghabiskan bacaan doa, pelik kerana jika suami sudah pasti pintu sudah dibuka kerana beliau juga ada kunci rumah.

Akhirnya, saya melangkah juga untuk membuka pintu, sebaik pintu dibuka terasa kesejukan yang menggigit kerana hari ini seharian kehujanan.. Saya kira mungkin suhu mencecah sepuluh darjah Celsius.

Sebaik pintu dibuka, saya disapa oleh seorang lelaki berkulit putih dan di sebelahnya seorang lelaki berkulit hitam berbadan sasa. Beliau memperkenalkan diri sebagai James dari Kanada dan rakannya (saya tidak ingat namanya) dari Melbourne, dan mereka memperkenalkan diri mereka sebagai mubaligh Kristian.

(perbualan sebenar di dalam Bahasa Inggeris)

Mubaligh Kristian : Selamat malam puan, Kami mubaligh Kristian, saya dari Kanada dan sahabat saya ini dari Melbourne.

Saya hanya mengangguk-angguk. Anak-anak yang tadi di dalam bilik, muncul berdiri disebelah saya

Mubaligh Kritian: Adakah puan berminat untuk mengetahui tentang Jesus?

Saya: Oh sudah pasti tidak kerana saya adalah seorang Muslim.

Mubaligh Kristian: Owh Muslim.. Adakah seluruh keluarga puan Muslim.

Saya: Ya, semua dari kami beragama Islam.

Mubaligh Kristian: Puan tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang jesus?

Saya: terima kasih atas pelawaan saudara,tetapi saya percaya (beriman) dengan agama Islam. Dan di dalam Islam Jesus adalah Nabi kami.

Mubaligh Kristian: Owh nabi! Puan tidak mahu belajar tentang Kristian?

Saya: saya rasa tidak,  kerana saya tidak percaya dengan konsep trinity. Di dalam Islam kami hanya ada satu Tuhan. Dan bagi saya konsep trinity itu sangat mengelirukan.

James kelihatan tidak senang dengan perkataan-perkataan saya. Saya terasa mahu cepat-cepat sahaja menghabiskan perbualan kerana di depan saya dua lelaki yang berbadan sasa sedangkan saya hanya bersama dua anak kecil, suami masih belum pulang. Kadang-kadang terlintas juga perasaan takut dengan orang asing ini.

Tambahan pula cuasa sejuk begitu menggigit. Ingin segera masuk ke rumah yang lebih hangat.

Mubaligh Kristian: Mmm jika begitu, adakah puan kenal sesiapa di kalangan rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui tentang jesus?

Saya menggeleng dengan perasaan yang sungguh menjengkelkan dengan pertanyaan pendakyah Kristian itu. Walaupun saya sudah tidak mahu mendengar tentang ajaran-ajaran mereka, boleh pula mereka minta saya beritahu jika ada sesiapa yang mahu mempelajarinya.

Perbualan kami berakhir apabila mereka memohon untuk beredar. Di dalam hati kagum juga saya dengan mereka kerana sanggup meredah hujan dan kesejukan malam semata-mata untuk menyampaikan dakyah mereka.

Saya kembali ke bilik bersama anak-anak dan terus mencapai Al-Quran. Belum sempat saya membaca, Khadijah yang kesejukan menarik selimut, lantas bersuara.

Khadijah: Ibu, siapa orang tadi tu?

Ibu: Mereka itu orang Kristian, dia nak bagitahu kita tentang agama Kristian.

Khadijah: Kita Muslim bukan?

Ibu : Ya, betul tu, memang kita Muslim sebagaimana yang ibu katakan kepada pakcik tadi.

Khadijah: Allah ialah Tuhan kita, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Allah ada satu je!

Ibu: Itu la, memang Allah tu satu, tapi dalam Kristian mereka kata tuhan tu ada tiga, sebab itulah ibu tak percaya pakcik tu nak cerita tentang Nabi Isa kerana dalam Kristian mereka mengatakan bahawa Nabi Isa itupun Tuhan juga sedangkan Nabi Isa adalah hanya seorang Nabi macam Nabi Muhammad.

Khadijah: tapi kenapa Allah utus Nabi Muhammad?

Ibu: Allah utuskan Nabi Muhammad supaya Nabi Muhammad boleh ajar kita tentang Islam. Boleh ajar kita solat, boleh ajar kita tentang Al-Quran..

Khadijah : Owh macam tu… Allah is our God and Nabi Muhammad is messenger of Allah..

Sayup-sayup suaranya mengulangi ayat tersebut, ayat yang diulang-ulang oleh ayahnya saban malam dalam menanamkan aqidah kepadanya.

Di dalam hati, saya bersyukur kerana walaupun usrah keluarga yang dibuat oleh suami hanyalah di atas katil sementara menidurkan anak-anak, tetapi ada impak dalam fikiran dan jiwa mereka.

Walaupun penyampaian yang diberikan di dalam bentuk bercerita dan bersahaja, rupa-rupanya anak-anak dapat mengingatinya dengan baik.

Perkara pertama yang mesti ditanamkan oleh ibubapa kepada anak-anak ialah aqidah. Jangan kita sebagai ibubapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada ustaz dan ustazah di sekolah semata-mata.


Sekarang, projek-projek kritianisasi berjalan secara meluas tidak kira di mana sahaja. Maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menanamkan aqidah yang mantap kepada anak-anak supaya andaikata ada yang datang kepada mereka membawa dakyah kristian, mereka terlebih dahulu mempunyai keyakinan yang mantap terhadap Islam.

2 comments:

Anonymous said...

Salam kak,

saya iela, bolehkah akak berkongsi tips, mcm mana nak suruh anak hafal bacaan2 dlm solat seharian? saya mempunyai ank berumur 6 tahun dan dia hanya seorang belum dikurniakan adik beradik lain lg.. dia sudah belaja step solat, tp bacaan dia hanya tau alfatihah, itupun bukan sepenuhnya..

dalam solat pun jika kami solat bersama, dia tidak akn fokus, malah menari la, toleh kiri kanan la...mcm2 ragam dia lakukan...

boleh sy tahu bagaimana akak mengajar cara anak akak solat...suka membaca2 nasihat akak dlm blog nie... harap akak dpt berkongsi bagaimana akak mendidik ank akak...

ummuhumaira said...

salam dik, tahniah kerana bersungguh2 dalam menitikberatkan solat dalam kehidupan anak2.

berdasarkan pengalaman akak, ada beberapa cara yang dapat membantu anak2 untuk menghafal bacaan solat

1. hantar anak ke tadika atau kelas mengaji yang buat solat secara praktikal di mana anak2 akan membaca bacaan solat secara beramai2. Ini amat memudahkan anak2 kerana mereka tahu bacaan di setiap gerakan solat

2. ibu atau bapa, melatih anak solat secara praktikal. Ketika mengajar anak solat, mintak anak berdiri seperti mahu solat, baca kuat2 kemudian anak ikut bacaan kita. dan teruskan cara sebegini di setiap pergerakan solat. ibu/bapa baca bacaan solat dan anak mengikutnya. buat sebegini sekerap yang mungkin. di samping itu, latihan solat ini juga dapat memberi peluang kepada ibubapa untuk membetulkan kedudukan kaki dan tangan ketika anak2 mengerjakan rukun2 solat.

3. di luar solat, contohnya di dalam kereta menuju ke sekolah, ulang2 bacaan solat sehingga anak2 menghafal.

4. letakkan target hafalan contohnya minggu ini hafal niat, minggu depan hafal alfatihah dan seterusnya sehingga anak dapat menghafal seluruh bacaan solat

5. anak berumur 6 tahun mmg sukar untuk fokus di dalam solat tetapi insya Allah lama kelamaan ia akan semakin baik.

mudah2an tips di atas membantu adik untuk mengajar anak solat.. selamat berjaya!