“Kak, orang yang janji dengan saya nak buka tadika tu dah
memungkiri janji dia. Buat tak tahu bila saya tanya. Telefon tak angkat, mesej
tak berjawab. Kecewa betul!” Adu Nor dengan wajah sugul.
“Ya Allah, kenapa jadi macam tu?” Saya bertanya kerana
sebelum ini bersungguh benar kawannya itu untuk sama-sama mengusahakan tadika.
Nor bekerja lama dengan saya. Sejak tahun 2004. Walaupun
hanya berbekalkan sijil SPM, dia merupakan pekerja yang amat dedikasi dan
bersungguh-sungguh. Dia bekerja dengan baik dan akhirnya saya melantiknya
sebagai pengurus kerana saya dan suami akan berkelana ke bumi Australia kerana
suami menyambung pengajian ke peringkat PhD.
Gajinya saat itu agak lumayan jika dibandingkan dengan
kelulusan yang dia ada, saya tidak kisah untuk membayarnya kerana saya percaya
dan yakin dengan kebolehan beliau menguruskan tadika yang akan saya tinggalkan
selama 4 tahun.
Pada tahun 2009 beliau berkahwin, tetapi terus bekerja
dengan saya di Jitra Kedah walaupun terpaksa berjauhan dengan suami yang bekerja
di Kuala Lumpur. Setiap dua minggu dia akan pulang ke Kuala Lumpur, begitulah
dia berulang alik sehinggalah anaknya yang dilahirkan pada 2010 berumur dua
tahun.
Awal November 2012, Nor menyatakan hasrat untuk berhenti
kerja kerana ada seorang kawan mengajaknya untuk mengusahakan tadika mereka
bersama di Serdang. Nor menerima tawaran tersebut dengan senang hati kerana
beliau juga sudah penat untuk berulang alik dari kuala lumpur ke Kedah. Sungguh
perkahwinan jarak jauh ini memang cukup memenatkan.
Kawan beliau itu datang ke rumah Nor berbincang tentang
pembukaan tadika baru tersebut, berjanji untuk berkongsi modal, menggunakan
rumah yang sedang diduduki dan berjanji akan berpindah secepat mungkin. Ingin
menggunakan pengalaman Nor yang telah bekerja lebih dari sepuluh tahun di
beberapa tadika, mereka berbincang tentang banyak perkara dan Nor dengan
bersungguh melakukan berbagai perkara seperti flash card, alat bantu mengajar
dan macam-macam lagi
Tiba-tiba, setelah banyak persedian yang telah dibuat, kawan
beliau itu makin sukar dihubungi, telefeon tidak berjawab, mesej tidak dibalas.
Nor semakin panas punggung. Bingung. Dia sudah berhenti kerja dengan saya pada
awal November, andai impian untuk
membuka tadika ini tidak dapat dilaksanakan, pasti dia akan mengalami kesukaran
untuk melunaskan perbelanjaan hidup seperti membayar ansuran kereta, takaful
dan bermacam-macam lagi.
Nor semakin buntu, sudah banyak kali dia mencuba untuk
menghubungi kawan beliau tersebut dan akhirnya dia pergi sahaja ke rumah mereka
dan benarlah seperti sangkaannya bahawa mereka tidak lagi berminat untuk
mengusahakan tadika tersebut.
Luluh hati Nor mendengarnya. Bercerita dengan saya dengan
rasa penuh kecewa dan terselit juga kemarahan atas ketidak jujuran kawannya
itu.
Menurut cerita Nor,
suami kawannya itu orangnya kaya, banyak duit, jadi jika tidak buka tadika pun
tidaklah punya masalah untuk menguruskan kewangan keluarga. Namun bagi Nor, ia
suatu yang memeritkan, gaji suaminya tidaklah sebesar mana. Tambahan pula dia
hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia, bukan mudah untuk mencari pekerjaan
pada zaman sekarang ini.
Hiba hati saya mendengar luahan hatinya, masih
terngiang-ngiang kegembiraannya ketika bercerita tentang hasrat membuka tadika
baru dan tidak lagi perlu berjauhan dengan suaminya. Namun kegembiraannya hanya
sementara, Allah sedang mengujinya.
“Nor, akak faham perasaan Nor. Akak pun tak tahu bagaimana
nak membantu Nor sebab akak dah ambil pekerja baru untuk menggantikan Nor. Mmm
bagaimana ya?” Saya pun buntu dibuatnya.
Saya memang sayangkan dia, saya suka cara dia bekerja.
Ketika dia menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dengan saya, memang berat
untuk melepaskannya, namun saya memahami kesusahannya berulang alik
bertahun-tahun. Oleh sebab itu, saya terpaksa juga menerima keputusannya untuk
berhenti kerja.
“Mmm saya faham kak, saya cerita ni bukan saya minta akak
ambil saya bekerja semula tetapi sekadar meluahkan perasaan kecewa saya. Tak
tahulah bagaimana nak bayar kereta, takaful dan lain-lain nanti.” Termenung
juga dia memikirkan semua itu. Kesian!
“Begini Nor, yakinlah bahawa semua yang berlaku ada
hikmahnya. Allah sedang menyusun yang terbaik untuk Nor sekeluarga. Jika nor
bekerja dengan akak lagi, sampai bila Nor nak PJJ dengan suami? Kesian kepada
Syaurah yang tidak mendapat kasih saying seorang ayah. Insya Allah, yakinlah
jika niat Nor berhenti adalah untuk berbakti kepada suami, pasti Allah akan
mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Allah akan melapangkan
rezekinya kepada Nor, dan Allah akan kurniakan yang lebih baik dari yang kita
sangkakan.”
“Betul tu kak, itulah yang saya doakan siang malam. Saya
sendiri pun dah tak larat lagi nak berulang alik mengusung si syaurah ni saban
minggu. Akak doakan saya ya?”
“Insya Allah, sama-sama kita doakan. Berkenaan dengan kawan
Nor tu, maafkan sahaja. Tidak guna menyimpan dendam. Simpan dendam, hati kita
tenang.”
“Mmmm ya la.. saya pun malas dah
ingat perkara tu..”
Selang beberapa minggu, saya menghadiri sebuah program di
Kuala Lumpur, dan bertemu dengan seorang kawan yang juga mengusahakan sebuah
tadika di Gombak. Sesekali berjumpa, kami bercerita panjang. Saling bertanya
khabar dan bertukar cerita tentang tadika masing-masing.
“Akak, saya pening dengan masalah cikgu-cikgu saya. Kerja
sekejap berhenti, aduh letih nak mencari pengganti.” Luah Pijah kepada saya,
sebenarnya berkongsi masalah yang sama dengan saya.
Memang bukan mudah nak mendapat guru yang boleh bekerja
secara tetap dengan tadika. Dengan gaji yang tidaklah sebanyak mana, sudah
pasti anak-anak muda sekarang lebih cenderung untuk bekerja di sector lain
seperti bekerja di pasaraya besar atau kilang.
Ditambah pula perlu berurusan dengan kanak-kanak kecil,
tidak semua orang yang sanggup melayani karenah mereka. Walaubagaimana pun,
saya bersyukur kerana walaupun ada guru yang berhenti tahun ini, tetapi masih
ada tujuh lapan orang guru saya yang masih setia. Yang paling lama, hampir lima
tahun.
“Oh ye ke, jadi pijah sedang mencari pekerja sekarang ni?”
Saya bertanya kembali. Di dalam benak terlintas wajah Nor.
“Ya kak, puas mencari, tetapi belum ada yang betul-betul
sesuai.” Keluh pijah
“Mmm Kak Nor adik akak tu, sekarang tengah cari kerja, dia dah berhenti
dengan akak awal November hari tu, kalau pijah nak, boleh lah tanya dia sebab
dia memang sedang mencari kerja sekitar rumah dia. Lagipun rumah dia dengan
tadika pijah tu tak jauh mana rasanya.” Saya memberi cadangan.
“Ya Allah betul ke akak? Alhamdulillah… Harap-harap dia nak
bekerja di tadika saya!” Pijah meluahkan harapnnya.
Setelah dihubungi, syukur Nor juga bersetuju untuk bekerja
di Tadika rakan saya itu.
Begitulah perancangan Allah. Kadang-kadang Allah sedang
menyediakan sesuatu untuk kita. Pada saya, rezeki Allah itu amat luas. Jika
tidak diberi sebagaimana yang kita bayangkan, maka akan disalurkan dengan cara
lain.
Apa yang penting ialah keyakinan kita kepada Allah s.w.t.
Keyakinan bahawa Allah akan mengurniakan rezekinya andai kita berniat untuk
buat kebaikan. Allah akan memberi kita rezeki yang tidak disangka-sangka jika
kita bertaqwa kepadanya. Kita hanya perlu berusaha, Allah akan melorongkannya
kepada kita.
Tarbiyyah buat saya kali ini,
1.
Apabila
niat kita adalah untuk mentaati suami dan berbakti kepada keluarga, Allah akan
memudahkan urusan kita.
2.
Rezeki Allah itu sangat luas, akan diberikan
kepada siapa yang dikehendaki.
3.
Jika berjanji usah dimungkiri kerana andai ia
tidak menyusahkan diri sendiri mungkin ia akan memberi kesukaran kepada orang
lain. Andai belum pasti dapat menepati, lebih baik jangan sesekali berjanji.
4.
Allah mengetahui yang terbaik buat kita. Mungkin
bagi kita ia tidak baik, tetapi ia adalah yang terbaik buat kita. Mungkin juga
bagi kita ia adalah yang terbaik, tetapi bagi Allah mungkin sebaliknya. Maka
sentiasa bersangka baik dengan Allah s.w.t, Allah akan mengurniakan ketenangan
buat kita.
1 comment:
Assalamualaikum...walau saya baru terbaca tulisan ni, saya terharu dengan pengajaran daripadanya.
Masyaallah...sesungguhnya kurniaan Allah sama ada baik atau buruk wajar diraikan, disyukuri kerana kedua-dua baik dan buruk itu adalah akhirnya untuk kebaikan jua. Manusia hanya perlu bermujahadah dalam redha dan sabar diiringi doa n usaha. In Sya Allah.
Post a Comment