13 December 2011

Tidak semudah 1,2,3!

"Humaira! dah solat zohor?"
"Humaira! Cepat salin pakaian!"
"Humaira! Jom makan!"

Begitulah jeritan saya saban hari setelah dia pulang dari sekolah. Itu cerita waktu tengahhari, waktu pagi makin banyaklah jeritan saya dari dapur yang sibuk menyiapkan sarapan.

Penat menjerit saya pergi menjenguk Humaira di dalam bilik. Aduhai, kadang-kadang naik angin juga jadinya kerana setiap hari saya terpaksa jeritkan perkara yang sama, meminta dia menyiapkan diri untuk ke sekolah dan menyelesaikan beberapa perkara setelah pulang dari sekolah.

Humaira sudah mencecah usia tujuh tahun pada tahun hadapan, sudah masanya kami mendisiplinkan dia dalam kebanyakkan urusan kehidupannya. Semua ini saya ambil dari pesanan Saidina Ali bahawa tujuh tahun kedua adalah masa untuk mendisiplinkan anak-anak.

Setiap waktu saya berfikir-fikir apakah cara terbaik mendisiplinkan anak-anak, selalu juga berbincang dengan suami saya. Setelah beberapa waktu saya amalkan kaedah suruhan demi suruhan, nampaknya hasilnya agak mengecewakan. Sampai bila saya perlu menyuruh dia melakukan satu persatu perkara dalam mengurus kehidupannya?

"Abang, macammana kita nak disiplinkan Humaira ya? dia dah semakin besar tapi saya nampak tak ada disiplin langsung. Balik dari sekolah terus menghadap televisyen. Makan ikut suka hati dia. Solat pun belum istiqamah lagi tu." Saya memulakan bicara ketika kami sama-sama minum petang dengan kuih  lapis dan teh tarik kegemaran suami.

"Abang rasa mesti ada caranya sebab jika di sekolah, dia boleh sahaja ikut peraturan, abang tengok bila sampai di kelas dia akan letak beg di rak, kemudian ambil kerusi dan kemudian duduk di tempat yang dikhaskan untuknya, kalau di sekolah dia boleh berdisiplin di rumah pun pasti boleh." suami saya memberi respon  dengan bercerita tentang kelakuan Humaira di sekolah.

Dia lebih tahu keadaannya kerana biasanya dia yang menghantar Humaira ke sekolah andai terlepas bas. Saya akan hanya menunggu di dalam kereta atau hanya duduk di rumah.

"Tapi macammana ya caranya? Mmm..." saya bertanya sambil mengerutkan dahi, kemudian termenung sebentar. otak saya ligat mengimbas kembali bagaimana caranya saya mendisiplinkan pelajar-pelajar tadika.

"Abang ada idea tak nak buat macammana?" Saya bertanya lagi apabila tidak ketemu jawapan daripada gambaran-gambaran ditadika. sedangkan suami saya masih membatu melihat saya.

"Nanti kita sama-sama fikirkan, yang penting sekarang ni abang nak minum teh tarik dulu, boleh tolong tuangkan airnya sayang?" Suami saya membalas sambil mulutnya dimuncungkan ke arah jag yang masih ditangan. Sejak tadi menanti teh tarik yang tak sampai-sampai.

"Eh lupa la pulak! Hehe..." saya tersengih-sengih bagai kerang busuk, lalu terus menuang air ke cawan yang tersedia dan menghidangkannya bersama kuih lapis yang baru saya buat pagi tadi.

Beberapa hari selepas perbincangan itu, saya masih seperti biasa, menjerit dari dapur memberi arahan demi arahan kepada Humaira. Andai terasa jemu, saya diamkan sahaja.

Susah juga nak disiplinkan anak sendiri rupanya, jika di Tadika, dengan pelajar dua puluh lima orang di dalam sebuah kelas tiada pula terasa bermasalah. Ada waktunya saya mengeluh, ada kalanya saya bertukar menjadi dinasor yang merah matanya menahan amarah kerana arahan yang diambil sambil lewa.

Puas bersabar saya leterkan juga Humaira, tetapi biasalah anak-anak, leteran ibu bagaikan air menderu, entah masuk ke telinga entahkan tidak.

Namun situasi ini berubah satu hari. Hari itu suami saya berada di rumah ketika Humaira sampai dari sekolah.

"baiklah Humaira', masuk rumah terus buat nombor satu, dua dan tiga ya." Suami saya berkata kepada humaira sebaik sahaja dia masuk dan menyalami ayahnya.

"Okay!" Jawab Humaira dengan selamba. Saya yang tak tahu hujung pangkal hairan juga mendengar arahan sebegitu.

" Satu,dua, tiga? apa benda la pula ayah ni?" saya tertanya-tanya di dalam hati.

Beberapa ketika kemudian, Humaira menjengah ke dapur untuk makan tengahhari, baju sudah bertukar dan bila ditanya tentang solat, sudah katanya.

"Haih jampi apa la yang ayah dia hembus ni? Tak pernah-pernah budak  ni datang sendiri ke dapur selagi ibu tak panggil. satu perkembangan yang menarik!" detik hati saya. Saya diam sahaja sambil mencedok nasi ke dalam pinggan dan hidangkan ayam masak kicap kepada Humaira. Saya dan suami sudah makan lebih awal kerana Humaira pulang dari sekolah agak lewat sekitar jam tiga setengah petang.

Saya tidak terus bertanya dengan suami tentang arahan satu dua tiganya itu, namun saya terus memerhati keletah mereka anak beranak. Setiap kali pulang dari kerja pasti si ayah akan bertanya anak sulungnya itu sama ada sudah buat satu dua tiga atau belum. andai dibuat, Humaira akan menjawab dengan penuh yakin. Tetapi jika tidak terlaksana, mulalah dia akan tersengih-sengih sambil cuba menukar topik perbualan.

"Ibu, lepas ni, ibu pastikan Humaira buat nombor satu,dua dan tiga lepas balik sekolah ya!" suami saya bersuara selepas bersembang dengan Humaira satu petang. Saya hanya terkedip-kedip, walaupun saya dapat mengagak tentang arahannya itu tapi saya belum benar-benar pasti tentangnya.

"Humaira, cuba Humaira bagitahu ibu, apa dia nombor satu, apa dia nombor dua dan apa dia nombor tiga yang ayah suruh humaira buat lepas balik sekolah." Suami saya mengalihkan pandangan kepada Humaira yang masih di atas ribanya.

"Laaa ibu tak tahu ke?" tanya Humaira kepada saya

"Dah tak ada siapa nak bagitahu ibu, macammana la ibu nak tahu?" Jawab saya dalam nada seolah merajuk.

"Hah cepatlah bagitahu ibu, apa dia satu dua tiga tu?" Saya berkata lagi sambil mengangkat kening

"Nombor satu tu solat zohor, nombor dua tukar baju,  nombor tiga pula pergi makan. Itulah no satu, dua dan tiga kan ayah?" Jelas humaira, kemudian meminta pengesahan dari ayahnya.

"oh macam tu.. jadi balik sahaja dari sekolah, Humaira kena solat zohor dulu, lepas tu tukar baju, lepas tu makan la ya?" saya cuba mengulang agar tidak tersalah.

"Haaa betul! Betul!" Humaira membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

"no empat apa?" sengaja saya tanya menguji

"Nombor empat tengok Toy Box la!" Humaira berkata sambil melompat dari riba ayahnya dan terus meluru ke arah adiknya yang baru bangun dari tidur.

Semenjak hari itu, saya tidak lagi perlu memberi arahan demi arahan, cukup dengan mengingatkan dia tentang nombor satu, dua dan tiga dan alhamdulillah kaedah itu sangat berkesan dan mudah dilaksanakan oleh Humaira.

Apabila dia sudah selesa dengan rutin waktu pulang dari sekolah, suami saya melakukan perkara yang sama untuk urusan di waktu pagi. Nombor satu masuk bilik air, nombor dua mandi, nombor tiga pakai uniform sekolah, nombor empat solat subuh (walaupun sudah jam 7.30 pagi), dan nombor lima sarapan.

Kami juga meminta Hamaira menulis sendiri aturan tersebut dan melekatkannya di peti sejuk agar dia lebih ingat. Walaupun kadang-kadang saya dan suami terpaksa mengingatkannya tentang rutin itu, tetapi cukup dengan menyebut nombor, dia sudah tahu apa yang sepatutnya dibuat. Tidaklah sesempurna mana, tetapi sudah banyak perubahan pada Humaira yang dapat saya lihat. Alhamdulillah.

Urusan mendisiplinkan anak-anak bagi saya bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi jika kena dengan gaya dan caranya, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan pening ibu dan ayah di dalam menangani karenah anak-anak.

Ibu bapa juga tidak boleh mengharapkan anak- anak berubah sekelip mata. Ia perlukan masa untuk anak-anak membiasakan diri dengan peraturan kehidupan. Kita hanya perlu mengaturnya dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Sesungguhnya mendidik anak-anak perlukan kepada kreativiti yang tinggi. Mungkin juga perlu dicuba dengan berbagai-bagai cara. Sama-samalah kita memohon kepada Allah agar sentiasa dikurniakan idea dalam membentuk diri anak-anak menjadi anak yang soleh dan musleh.

Yang pasti, ia tidak semudah 1,2,3!

Wallahua'lam

1 comment:

Nor Liyana Mohamad Rosly said...

rindu humaira dgn khadijah! :)