Dulu, sebelum saya berhijrah
mengikut suami menyambung pelajaran di South Australia, saya selalu merasakan
memasak suatu urusan yang merumitkan. Ia perlukan masa yang panjang, memerlukan
kudrat yang banyak dan akan memenatkan saya yang sudah sedia penat setelah
seharian bekerja.
Saya rasa, ramai juga yang
merasakan sedemikian, tambahan pula di Malaysia kedai makan boleh dijumpai di
mana sahaja. Perjalanan dari tempat kerja ke rumah pun akan menempuhi
berpuluh-puluh kedai makan. Itu belum dikira dengan pasar malam yang ada saban
hari, jika di Jitra hampir setiap hari ada pasar malam cuma tempat sahaja yang
berbeza.
Namun, setelah tiga tahun saya
tinggal di negara orang yang agak sukar untuk mencari kedai makan halal. Jika
ada, ia agak jauh dari rumah dan memakan masa untuk pergi ke sana. Itu belum
dikira belanja yang terpaksa dikeluarkan kerana makanan di kedai yang agak
mahal (sekali makan mesti sediakan Aud 30 ke atas) menyebabkan kami
jarang-jarang makan di luar.
Faktor ini menyebabkan saya
belajar banyak perkara yang membuatkan saya telah mengubah fikiran bahawa
memasak makanan untuk seisi keluarga sebenarnya mudah sahaja jika betul cara
dan kita mempunyai tips-tips yang berguna.
Malahan, sekarang saya juga
merasakan bahawa betapa ruginya saya dahulu membiarkan anak dan suami makan
makanan kedai yang belum terjamin kebersihannya dan menggunakan ajinomoto yang
tidak baik untuk kesihataan.Sedangkan air tangan seorang ibu itulah yang akan
mengikat hati ahli keluarganya.
Maka di sini, ingin saya
kongsikan sedikit tips bagi ibu yang sibuk bekerja, sama-sama kita berazam
untuk mengurangkan makan di kedai. Sama-sama kita usahakan untuk memasak untuk
keluarga kita yang lebih terjamin kebersihan dan kesuciannya.
Tips memasak cepat
1. 1. Pembelian,
pembersihan dan pembungkusan
a) Jika membeli bahan mentah seperti ayam, daging atau
ikan, beli untuk stok seminggu, jadi kita tak perlu menyinggah kedai setiap
hari atau selang dua tiga hari. Ini dah menjimatkan masa sebab sekali kita
pergi kedai atau pasar malam, kita akan ambil masa mungkin 15 minit hingga satu
jam sebab memusing-musing mencari barang. Itu belum kira belanja lebihan sebab
kita ‘terbeli’ benda-benda yang tidak sepatutnya.
b) Ketika membeli, minta penjual potong siap-siap
bahan mentah tersebut. Contohnya: kalau minggu tu kita nak buat sup ayam, minta
penjual ayam potong kecil-kecil ayam kita tu, kalau nak buat nasi ayam,
potonglah empat. Elakkan beli ayam seekor yang kita terpaksa potong sendiri di
rumah. Pisau kita mungkin tidak setajam pisau pakcik jual ayam jadi ia akan
merumitkan kerja-kerja kita.
c) Jika ikan, minta penjual buang terus sisik dan
potong ikan yang dibeli kepada beberapa bahagian yang kita nak. (ini boleh
dibuat kalau kita beli ikan besar-besar macam siakap, kalau beli ikan selar
kuning, siang sendiri la di rumah).
d) sekiranya kita membeli ikan yang bersisik, buang atau kikis(betul tak perkataan ni saya tak pasti) sisik ikan di dalam bekas yang berisi air supaya sisik tidak berterbangan ke serata alam yang menyusahkan kita untuk membersihkannya.
e) Jadi, bila bahan mentah dah siap dipotong mengikut menu kita,
balik rumah kita hanya perlu membersihkannya. Bila dah siap cuci, bungkus bahan
mentah mengikut kegunaan harian, jangan masuk semua dalam satu bekas atau satu
plastic sebab ia akan menyukarkan kita bila nak masak nanti.
Contohnya: keluarga saya akan gunakan 5-6 ketul
ayam sekali makan, maka saya akan bungkus ayam mentah 5-6 ketul sahaja
dalam satu plastic/ bekas. Jadi kalau
saya nak masak esok, malam tu saya akan letak satu plastic/bekas dibahagian bawah
peti ais ataupun saya akan defrost guna microwave. Maka dengan cara begini,
tidak perlu lagi kita mengeluarkan satu bongkah besar bahan mentah yang agak
sukar untuk kita ambil bahagian yang kita mahukan.
f) Kita juga boleh perap bahan mentah sebelum masukkan
dalam peti ais. Bahan mentah yang hendak dibakar sebagai contoh, kita boleh perap
daging atau ayam dengan bermacam-macam resepi seperti tandoori, lada hitam atau
sebagainya. Maka kalau nak masak nanti tak perlulah kita buka botol kunyit atau
rempah untuk lumurkan pada ayam atau daging kita tu. Jika suami sampai rumah
dulu, boleh telefon suami minta masukkan sahaja daging atau ayam tu dalam oven
atau airfryer… mudah kan?
2. 2. Kisar bawang dan cili dalam kuantiti besar
Orang Malaysia seperti saya memang suka menumis.
Kalau tak menumis rasa macam tak lengkap. Jadi kalau nak menumis mesti perlukan
bawang putih, bawang besar/bawang merah dan cili kering.
a) Bagi memudahkan kerja-kerja menumis, kisar
bawang-bawang dan cili tu banyak-banyak sekali harung. Jadi kita hanya akan
mengupas bawang dua minggu sekali sahaja dan hanya perlu basuh blender kita
sekali tu je la. Bayangkan jika setiap kali nak masak baru nak kisar, jenuh
juga kita nak mencuci blender yang sedikit sebanyak mengambil masa juga.
Tambahan pula kerja mengupas bawang juga mengambil
masa juga. Maka jika dah siap kisar, bila nak masak keluarkan saja bekas
bawang/cili kisar dari peti ais, terus sahaja boleh menumis. Jadi berapa banyak
masa yang kita boleh jimat? Jimat masa nak kupas bawang, nak ambil blender,
pasang plug, nak tekan, dan nak basuh blender. Kiralah sendiri ye…
b) Saya beli bawang putih yang siap dikupas
tu, hehe punyalah ‘rajin’, tapi bagi saya apa yang penting ia mudah dan tidak
membuang masa saya.
c) Bawang merah pun dah bertahun tidak saya gunakan,
saya hanya gunakan bawang besar dan rasanya tidaklah jauh berbeza.. Sebiji
bawang besar lebih kurang sama kuantiti dengan 4-5 biji bawang merah.. Jadi
lebih baik saya kupas bawang besar sahaja berbanding bawang merah yang
kecil-kecil dan merumitkan itu.
Berbalik kepada bahan kisar tadi, dalam peti ais
saya akan ada 3 bekas bahan menumis yang sudah siap dikisar
a) Bawang besar + bawang putih
b) Bawang
besar + bawang putih + cili kering (elakkan mengisar cili kering sahaja, ia
akan cepat berkulat dan berbau masam. Jika dicampur 3 bahan ini, bahan kisar
akan tahan sehingga dua minggu)
c) Halia
(halia akan mudah kecut dan kering, maka dengan mengisarnya ia dapat
mengelakkan halia dari cepat rosak)
Jika
ada bahan-bahan kisar ni, cakap je nak masak apa semua boleh guna. Sup, kari,
nasi goreng, mee goreng, paprik? Semua boleh guna bahan kisar tu sahaja. Saya
memang tak suka guna bawang yang dihiris sebab nanti masa makan saya terpaksa
pilih dan buang pula dari pinggan anak-anak saya. Bila kisar, mereka telan
sahaja semua.
Dengan
adanya bahan-bahan kisar ni, suami saya pun rajin nak membantu masak ketika
saya dalam keadaan kurang sihat ataupun ketika dia nak tunjukkan bakat memasak
dia. Jika bahan kisar dah habis mulalah dia susah hati sebab susah dia nak
masak kari…hehe..
3. 3. Gunakan gunting bukan pisau
Saya lebih suka menggunakan gunting berbanding
pisau. Jika guna pisau kita perlukan papan pemotong ( jadi tidak perlu mencuci
papan pemotong lagi), tetapi jika menggunakan gunting tak perlu lagi papan tu.
Gunting terus sayur terus masuk ke dalam bekas.
Jika dibandingkan antara gunting dan pisau, saya akan buat kerja dengan lebih cepat menggunakan gunting
Saya akan menggunakan gunting untuk potong sayur
berdaun macam sawi, kangkung, bayam dan sebagainya (kacang panjang dan cili juga
saya potong guna gunting). Bahkan saya juga menggunakan gunting untuk menyiang
ikan.
Pada waktu-waktu terdesak (kalau tak terdesak pun
saya buat juga), saya akan potong sayur-sayur tu terus masuk kuali hehe…
Contohnya: saya masak nasi/mee goreng, saya potong sawi terus masuk kuali, tapi
jangan lupa basuh dulu sawi tu ye..
4. 4. Lauk yang tidak habis jangan dibuang, boleh
dibekukan
Kadang kala, walaupun kita dah bajet masakan kita
seperti biasa ada juga masa-masa tertentu lauk tak habis. Kebiasaannya kita
akan buang saja. Di sini saya nak mencadangkan supaya jangan buang lauk lebihan
itu. Masukkan ke dalam bekas, bekukan ia kerana ia akan menjadi lauk penyelamat
ketika kita ‘super sibuk’.
Pengalaman saya, jika letak di tengah-tengah peti
sejuk, lauk akan mudah rosak berbanding kita letakkan di tempat sejukbeku. Apa
yang selalu saya buat ialah, jika ada lauk lebihan seperti kari, kurma, rendang
atau yang sewaktu dengannya yang saya bekukan. Beberapa hari selepas itu saya
akan buat dadar tepung, roti jala atau lebih mudah beli sahaja roti kosong yang
boleh dicicah dengan lauk-lauk tersebut. Maka, tidak perlu kita berbelanja untuk
sarapan pagi.
Jika saya tidak sempat atau datang angin malas
memasak untuk makan malam, lauk itu jugalah yang akan menjadi penyelamat, saya
hanya perlu masak nasi dan potong ulam- ulaman. Selesai untuk sekali makan
sekeluarga.
5. 5. Masak 1 lauk yang lengkap
Kebiasaannya, saya akan masak satu kuah, satu lauk
goreng dan satu sayur. Namun semasa waktu-waktu yang sibuk dan nak cepat, saya
akan masak satu lauk sahaja yang ada semua benda. Contohnya seperti tomyam, paprik, sweet sour, masak kicap atau apa jua yang boleh dimasukkan semua ke dalam satu periuk.
Apa jenis lauk tu tidak penting, yang penting cukup
khasiat.
6. Satu lagi cara ialah tidak perlu masak sayur, makan
sahaja ulam-ulaman atau acar yang hanya perlu digaul dengan garam, gula dan
sedikit asam limau. Cara ini lebih sihat kan?
6. 7. Gunakan
oven/airfryer/kukus
Saya
memang suka bakar sahaja ikan, ayam atau daging. Jika kita menggunakan kaedah
ini, hanya masukkan bahan mentah dalam tu, pusing sahaja timer, kemudian
tinggal. Bila bunyi ‘ting’ dah boleh makan
Maka
sementara proses pembakaran tu, boleh la kita buat kerja lain seperti goreng
sayur, basuh pinggan, mandi atau sebagainya. 2-3 kerja dalam satu masa
Jika
kita menggoreng, kita terpaksa tunggu ikan, ayam atau daging tu. Kalau lambat
sikit mungkin akan hangit. Nak kena balikkan satu hal lagi, dengan minyak yang
terpercik di sekitar dapur pun satu hal lagi. Semuanya memerlukan masa untuk
dibuat dan dibersihkan.
7. 8. Dari
dapur terus ke meja
Ini pula strategi saya untuk menjimatkan masa
mencuci periuk belanga. Saya suka menggunakan peralatan memasak yang boleh
dipindahkan dari dapur terus ke meja makan.
Saya suka gunakan mangkuk corning ware yang boleh
digunakan untuk memasak sama ada di atas dapur atau di dalam oven. Lepas masak
terus letak atas meja. Jadi kuranglah kerja saya dalam urusan basuh membasuh
peralatan dan ia sangat menjimatkan tenaga dan masa saya.
Biasanya kita memasak menggunakan periuk, kemudian ceduk ke
dalam mangkuk kemudian baru dihidangkan. Maka, banyaklah peralatan yang
terpaksa digunakan.
8.
9. Sarapan mudah dan berkhasiat
Ajar keluarga kita makan sarapan yang mudah
disediakan dan berkhasiat. Jika selalunya kita sediakan nasi goreng, mee
goreng, nasi lemak atau sebagainya yang mengambil masa untuk memasaknya.
Mungkin sekarang tibalah masanya untuk kita menukar menu sarapan kepada yang
lebih mudah dan sihat.
Kita boleh buat sandwich yang disapu dengan sardine,
coklat, mentega dan gula atau apa sahaja yang disukai kemudian dibakar. Boleh juga
makan oat dan segelas kopi. Pancake juga satu pilihan yang mudah dan
berkhasiat.
Jika kita mungkin mengambil masa 15 minit ke 30
minit untuk menyediakan nasi goreng, dengan menyediakan sarapan mudah dan
ringkas seperti yang saya sebutkan tadi, kita mungkin hanya perlukan masa 5-10
minit sahaja.
Mudah, tidak perlu basuh kuali, tidak perlu
mengotorkan dapur dengan bahan tumisan, dan yang paling penting ia lebih sihat!
#########
Itulah Antara tips-tips yang selalu saya amalkan di
dapur saban hari. Ia memudahkan dan menjimatkan masa. Saya juga rasa sangat
gembira apabila saya dapat menyediakan makanan yang terjamin dari segi
kebersihan, bebas ajinomoto, sihat (makanan kedai selalu menggunakan minyak berlebihan),
segar dan yang penting suci. Bak kata orang “Halalan Toiyiban”
Dulu, ada orang berseloroh dengan saya : “Jangan
sampai anak-anak dan suami lebih kasihkan mamak kedai makan atau tukang masak
kedai daripada kita si isteri dan si ibu kerana ‘manisnya’ air tangan mereka...”
Walaupun kita penat memasak, airtangan pasti akan
ada kesannya. Apatah lagi jika ketika memasak kita selangi dengan selawat dan
zikir. Suami bertambah cinta, anak-anak suka dan kita juga bahagia! Ingatlah
memberi itu lebih bahagia dari menerima…